Yeppie! Seronoknya... Hari ni, enche Neezam kembali pulang ke tanah air... Kembali pulang ke pangkuanku. Hehehe... Happy sangat!
Enche Neezam dijangka landing jam 8.30 pagi dengan menaiki flight Emirates. So, aku dan pil serta the little Khairunns pagi-pagi lagi dah bertolak dari Segamat untuk menjemput enche Neezam kat KLIA.
Alhamdulillah, jam 9.30 pagi kitorang tiba kat KLIA dan enche Neezam dah pun menunggu kitorang. Happy sangat tengok muka buah hati terchinta! Niesreena dan Naufal pun happy sangat berjumpa semula dengan ayah diorang!
Happy! Happy! Happy!
Alhamdulillah... bersyukur kehadrat Allah swt kerana membawa cinta hati aku balik semula ke pangkuan aku dengan selamat, sihat dan sejahtera. Tq Allah! Syukur sangat!
Dan kebetulan juga, artikel enche Neezam disiarkan jugak hari ni kat surat khabar Berita Harian. Artikel enche Neezam kali ni adalah bersempena dengan sambutan hari raya korban di perantauan...
Tambah happy lagi! \^-^/
So, berikut adalah keratan artikel enche Neezam yang disiarkan hari ni.
Sambutan Aidiladha di perantauan tuntut pengorbanan
Oleh Khairunneezam Mohd Noor
Pelajar di Desa Bundoora anjur majlis solat sunat, kenduri bagi pupuk semangat dan kecekalan
HARI raya korban memberi makna yang sungguh mendalam terutama bagi rombongan jemaah haji di Makkah yang menjadi 'tetamu Allah' bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.
Begitu juga di seluruh pelosok dunia, kemeriahan sambutan perayaan ini begitu terasa dengan amalan solat sunat Aidiladha dan laungan takbir sehinggalah tamat hari tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah.
Ditambah lagi dengan penganjuran aktiviti korban dan menyembelih binatang seperti lembu, kambing dan unta yang dilakukan demi memperingati sejarah pengorbanan simbolik Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta kejayaan menepis godaan syaitan menambahkan rasa takwa dan taat kepada Allah.
Ibadah korban sangat berkesan merapatkan silaturahim antara penduduk setempat serta memberi ruang untuk bergembira menyambut hari raya korban bagi golongan miskin dan yatim piatu yang menerima sumbangan daging korban.
Menyambut hari raya korban di perantauan kebiasaannya tidaklah semeriah seperti di tanah air. Menitip pengalaman penulis yang merantau ke Melbourne, Australia, sejak beberapa tahun lalu, perantau sekadar mendapat peluang bersolat sunat Aidiladha sama ada di masjid atau surau.
Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar atau pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di Dewan Malaysia, rumah atau dewan komuniti.
Namun, suasana perayaan Aidiladha tahun ini agak berbeza bagi perantau Malaysia yang bermastautin di Desa Bundoora yang terletak di kawasan persisiran kota Melbourne.
Aidiladha tahun ini, komuniti Desa Bundoora (rata-ratanya pelajar pascasiswazah) menganjurkan majlis solat sunat hari raya dan kenduri sempena menyambut hari raya yang mulia ini. Sebilangan ahli komuniti turut menyertai ibadah korban dan aqiqah.
Seluruh warga Desa Bundoora bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini sejak beberapa minggu lalu seperti menempah dewan bagi solat sunat hari raya, menguruskan tempahan serta penyembelihan lembu dan kambing, selain persiapan majlis rewang kenduri.
Semua pihak rela ‘berkorban’ masa, tenaga dan wang demi menjayakan majlis ini. Bukan mudah untuk melihat suasana harmoni seperti ini dalam sesebuah masyarakat, apatah lagi yang berada jauh beribu batu dari Malaysia.
Peluang berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di tanah air, bertukar fikiran, berkongsi suka duka dan sama-sama menghayati erti tersirat mengenai pengorbanan.
Sambutan perayaan mungkin sederhana tetapi jauh di lubuk hati kami sedar bahawa kami sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang. Pengorbanan meninggalkan keluarga tercinta di tanah air untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing.
Semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah SWT, membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama anak bangsa serta meningkatkan martabat negara.
Hari raya korban memberikan maksud cukup signifikan mengenai kewajipan menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan serta kemakmuran insan sejagat.
Sambutan hari raya korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau perlunya bersabar, melipatgandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan kerja masing-masing dan akhirnya bertawakal kepada Allah SWT.
Akhirnya, tidak dinafikan menyambut hari raya korban di perantauan dapat memupuk kesedaran pengorbanan yang tidak boleh disalahertikan dengan melakukan perbuatan tidak bersesuaian pada perspektif masyarakat dan agama. Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut saluran dan cara yang diredai Allah SWT, selaras aspirasi agama, bangsa dan negara.
Penulis ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di La Trobe University, Melbourne
Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SambutanAidiladhadiperantauantuntutpengorbanan/Article/
You might also like...
|
|
|