♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, September 19, 2009

Perantau anggap rakan umpama keluarga sendiri

Artikel Enche Neezam hari ni di Berita Harian mengenai sambutan dan aktiviti kitorang di Desa Bundoora sepanjang bulan Ramadan.

Tadi online dengan FIL, dapatlah tengok surat khabar Berita Harian hari ni. Ada 3 gambar; satu, gambar tadarus, dua, gambar orang bayar zakat dan tiga, gambar anak-anak dara Barnes Way dan Main Drive tengah iftar kat kat rumah kitorang. Obvious gambar enche Neezam dan beberapa warga Desa Bundoora. Famous seh! Dapatlah sedara mara diorang kat Malaysia tengok gambar diorang kat sini. :)

So berikut ada artikel penuh enche Neezam mengenai kemeriahan sambutan bulan Ramadan di Australia. Untuk ke link berita harian online, sila klik pada tajuk.

Perantau anggap rakan umpama keluarga sendiri

Daripada Khairunneezam Mohd Noor, Melbourne, Australia

Kata orang berpuasa dalam bulan Ramadan di perantauan tidak sesekali akan semeriah seperti mana amalan dan budaya berpuasa di tanahair tercinta. Di Australia umpamanya, sangat sukar untuk menemukan program-program yang mencerminkan aktiviti umat Islam di bulan Ramadan melalui kaca televisyen dan media cetak. Ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana penganut agama Islam adalah golongan minoriti di sini, dengan populasi kira-kira 500,000 orang di seluruh Australia . Pada hemat penulis yang kini merantau di Bundoora, sebuah kawasan pesisiran kotaraya Melbourne ini, cahaya Ramadan walaupun secara umumnya kelihatan suram di sini, namun ianya disambut tidak kurang meriahnya dalam kalangan komuniti umat Islam pelbagai bangsa, khususnya kami para perantau warganegara Malaysia.

Cabaran berpuasa di perantauan amatlah kuat. Masakan tidak, contohnya majoriti rakan-rakan sekuliah atau sepejabat yang bukan beragama Islam ‘selamba’ makan secara terbuka kerana mereka mungkin tidak sensitif dengan keadaan kami umat Islam yang sedang berpuasa. Kami harus sedar, untuk menjadi umat Islam yang bertakwa, sesukar manapun godaan untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang menjadi salah satu tunjang Rukun Islam ini, ianya perlu dilaksanakan secekal mungkin. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Dalam hal mendidik anak-anak kecil untuk bertahan berpuasa semasa bersekolah, ibu bapa Muslim turut menerima dugaan yang mencabar. Misalnya, beberapa sahabat menceritakan bahawa terdapat guru-guru sekolah yang bukan beragama Islam mempersoalkan mengapa anak-anak yang masih kecil ini dibiarkan kelaparan? Pada hemat mereka, umur sekecil ini tidak sesuai untuk berpuasa kerana mereka perlukan tenaga dan konsentrasi dalam semua aktiviti di sekolah. Lantaran itu, guru-guru ini ‘bermurah hati’ menyediakan makanan kepada anak-anak Muslim ini, alasannya untuk mengekalkan konsentrasi semasa belajar dan mengelakkan penyakit seperti gastrik, dehydrated dan sebagainya.

Maka, demi usaha untuk mendidik anak-anak menghayati ibadah puasa yang waib ini, sahabat-sahabat penulis telah mengambil inisiatif berbincang dan menerangkan kepada guru-guru tersebut betapa puasa di sepanjang bulan Ramadan adalah ibadah yang menjadi tunjang utama dalam Rukun Islam, dan ia perlu dihormati. Bahkan ianya secara saintifik terbukti berpuasa mampu membentuk tahap kesihatan seseorang yang cergas dan cerdas. Akhirnya, guru-guru tersebut faham, akur dan sedia memberi kerjasama.

Menyentuh mengenai iftar atau berbuka puasa, masjid-masjid yang dibina oleh bangsa Turki , Albania ataupun Arab sering menjadi salah satu pilihan utama selain berbuka puasa di rumah bersama-sama keluarga. Ramai juga rakan warga Malaysia yang bermurah hati mengundang rakan-rakan lain untuk berbuka di rumah mereka. Walaupun menu masakannya ala kadar, namun ia tidak menjadi suatu isu kerana di perantauan ini, rakan-rakan sudah diumpamakan seperti keluarga sendiri dan silaturrahim sesama kami adalah sangat erat. Satu fakta menarik berkenaan penganjuran iftar di sini adalah, komuniti perantau Muslim Malaysia di Bundoora ini telah beberapa tahun menganjurkan ‘Majlis Iftar Makanan Ala Malaysia’ di surau La Trobe University di sini. Sambutan yang diberikan saban tahun adalah sangat memberangsangkan dari segi keikhlasan para penderma Malaysia yang menjayakan majlis iftar dan juga para pelajar antarabangsa yang beragama Islam di universiti ini.

Kami para perantau di sini, sangat merindui budaya membeli juadah berbuka di ‘Pasar Ramadan’ yang cukup unik seperti mana di Malaysia. Rasa rindu tersebut sedikit sebanyak terubat apabila ada beberapa keluarga pemastautin tetap dari Malaysia dan Singapura serta para pelajar yang sepakat menganjurkan Bazar Ramadan Mini pada setiap hujung minggu sepanjang Ramadan ini. Dapatlah juga kami melepaskan ‘rindu dendam’ untuk menikmati makanan dan kuih-kuih berteraskan masakan Malaysia di sini.

Menginsafi bahawa amal ibadah dalam penghulu segala bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT dan hanya dapat dirasai setahun sekali sahaja, maka kami para perantau di sini menganjurkan pelbagai aktiviti kerohanian dan keagamaan sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini. Dalam menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah, sebilangan daripada kami memilih untuk solat di masjid dan surau berhampiran. Komuniti perantau Malaysia di Bundoora sendiri turut menganjurkan solat Tarawih di rumah setiap seorang dari kami secara bergilir-gilir. Wujud juga perkumpulan kecil sesama rakan-rakan dalam penganjuran program bertadarus dan khatam al-Quran yang turut diselangi dengan sesi tazkirah dan kupasan ayat-ayat suci al-Quran sepanjang Ramadan ini.

Zakat fitrah yang wajib dibayar dalam bulan Ramadan ini bukan merupakan satu masalah buat kami umat Islam di Australia, khususnya di sekitar Bundoora ini. Ini adalah kerana dengan kadar AUD10 setiap individu, terdapat beberapa saluran zakat seperti pembayaran terus kepada masjid-masjid di sekitar Melbourne ataupun pembayaran melalui amil-amil zakat yang dilantik oleh Khairat Melayu Islam Victoria (KMIV). Begitu juga zakat fitrah boleh dilunaskan secara atas talian kepada Human Appeal International, suatu badan khusus yang beribu pejabat di New South Wales, Australia yang mengutip zakat dan derma dan kemudiannya menyalurkannya kepada umat Islam yang memerlukan di seluruh dunia.

Akhirnya, sebagai persediaan untuk solat sunat hari raya Aidilfitri kelak, komuniti perantau Malaysia di Bundoora telahpun menempah sebuah dewan khas berdekatan kawasan kediaman kami di sini. Dengan izin Allah, dapatlah kami nanti berkumpul untuk bertakbir memuji keagungan-Nya dan seterusnya melaksanakan solat sunat Aidilfitri bersama-sama.

Begitulah antara aktiviti dan amal ibadah yang teguh dilaksanakan bukan sahaja oleh kami para perantau Malaysia di Australia ini, bahkan semua umat Islam di seluruh dunia. Kami akur bahawa penghayatan bulan Ramadan ini sebenarnya tidak berpaksikan kepada di bumi mana kaki ini berpijak, tetapi ianya lebih kepada sekuat mana hati dan jiwa luhur melaksanakan segala amal ibadah kepada-Nya. Bukanlah suatu alasan untuk mengatakan ‘aku berada di bumi asing’ dan itu seakan-akan memberi permit besar untuk meringan-ringankan hal amal ibadah kepada Allah, terutamanya dalam bulan Ramadan ini.

Peluang yang diberikan Allah SWT untuk bertemu dengan bulan Ramadan dan beribadah sebaiknya tidak seharus dilepaskan kerana Rasulullah SAW menjamin yang kita yang khusyuk beribadah ini akan termasuk dalam golongan para siddiqin dan syuhada. Dari Amr bin Murrah al-Juhani berkata: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW kemudian berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada yang lebih berhak untuk disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku melaksanakan puasa Ramadan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk orang yang manakah aku? Baginda menjawab: “Termasuk dari siddiqin dan syuhada” (Hadis riwayat Ibn-Hibban).

Semoga Allah menerima segala amalan baik kita di bulan Ramadan yang penuh kemuliaan tahun ini dan dapat pula beristiqamah dalam melaksanakannya secara berkualiti pada bulan-bulan yang mendatang.

Penulis kini melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di La Trobe University, Melbourne.


*juliet le sweetheart : hari memasak...


2 comments :

Mas said...

julie...naper lama tak update citer...bz ker?windu la nak baca cerita pasal kakak reena n baby naufal..

*juliet le sweetheart said...

Mas, memang berderet entry kat draft, tak terpos. Hehehhe... Sejak bulan puasa ni rasa macam tak cukup jer 24 jam tau. Entah aper yang kiter bzkan sangat pun tak tau. Hehheheh.... will update very soon! Don't worry! ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top