♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Showing posts with label Dr. Hubby's Articles. Show all posts
Showing posts with label Dr. Hubby's Articles. Show all posts

Wednesday, May 11, 2022

Hargai pengorbanan ibu, jauhi kata-kata mengguris hati

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam hari ni di Berita Harian pula, bersempena dengan sambutan Hari Ibu.

Artikel penuh di bawah, atau boleh terus ke laman web Berita Harian, klik sini.

Hargai pengorbanan ibu, jauhi kata-kata mengguris hati

Setiap tahun Ahad kedua dalam bulan Mei dinamakan khusus sebagai Hari Ibu. Namun, kasih sayang dan menghormati seorang wanita bergelar ibu bukanlah terhad pada tarikh itu sahaja sebaliknya mereka perlu dirai setiap masa.

Islam menggariskan martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan seperti firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: 'Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).'

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepadanya. Sebagai misalan, cerita rakyat, Si Tanggang yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Nabi Muhammad SAW juga sudah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Baginda dan berkata: 'Saya ingin melaksanakan jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian'. Rasulullah SAW kemudian menjawab, 'Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.'

Kita sebagai anak perlulah memberi perhatian kepada ibu. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosi. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Kita juga berperanan untuk menegur ibu jika mereka membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh membuatnya tersasar daripada batasan disyariatkan Islam dan norma budaya serta masyarakat.

Bagi anak-anak yang berjauhan dengan ibu, jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga juga ibu sendiri, apa salahnya untuk membawa mereka menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat berakhir nafasnya di dunia ini. Walaupun mungkin ibu sudah meninggal dunia, sebagai anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan rohnya supaya sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya.

Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk 'Ke Makam Bonda karya Usman Awang: Begitulah bakti kami berikan, tiada sama bonda melahirkan, kasih bonda tiada sempadan, kemuncak murni kemuliaan insan. Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan ibu. Sememangnya syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu.

Profesor Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor,
Universiti Sains Islam Malaysia

Monday, May 9, 2022

Raikan Ibu Sepanjang Zaman

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam di Malaysia Gazette hari ni bersempena dengan sambutan Hari Ibu.


Artikel penuh di seperti di bawah atau boleh ke laman web rasmi Malaysia Gazette, klik sini.

Raikan ibu sepanjang zaman

SESUNGGUHNYA, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia. Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya. Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa. Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan sebagaimana Allah SWT mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: ‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).’

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu. Sebagai misalan, cerita rakyat ‘Si Tanggang’ yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: ‘Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)’.

Bayangkan, untuk anak-anak berkata ‘Ha’ pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat bahawa, keredhaan Allah SWT itu terletak kepada keredhaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: ‘Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian’. Rasulullah SAW kemudian menjawab, ‘Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.’

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, ‘Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali ‘Siapakah selepas ibu?’ dan jawapan Rasulullah SAW tetap ‘Ibumu’. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab ‘Bapamu’. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.

Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh tersebut. Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang masa semampunya. Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.

Sebagai anak-anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sebagai anak-anak kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia ‘emas’nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya. Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuskan di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak-anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israa’ ayat 24, maksudnya: ‘Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.’

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya. Namun, kerana wujudnya hubungan dan ‘chemistry’ yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka.

Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap-rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ karya Usman Awang: ‘Begitulah bakti kami berikan, Tiada sama bonda melahirkan, Kasih bonda tiada sempadan, Kemuncak murni kemuliaan insan’. Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang insan yang bernama ibu. Sememangnya syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu.


Oleh: Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Ketua Program, Program Pengurusan dengan Pelancongan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia


Thursday, May 5, 2022

Bimbing kanak-kanak teruskan ibadah ketika Ramadan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam di Berita Harian hari ni.

Artikel penuh di bawah, atau boleh ke laman web Berita Harian, klik sini.

Bimbing kanak-kanak teruskan ibadah ketika Ramadan

Menyorot dari perspektif Islam, hari raya adalah antara syiar Islam yang agung. Hari raya disyariatkan bagi memenuhi dan menyempurnakan fitrah keperluan jiwa dan fizikal umat Islam sebagai manusia.

Ia turut dikaitkan dengan hari bahagia penuh gembira dan secara umumnya diraikan dengan tatacara sesuai syariat.

Justeru itu, pada kedua-kedua hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, umat Islam diharamkan berpuasa.

Diriwayatkan bahawa suatu ketika, apabila mengetahui adanya nyanyian oleh dua kanak-kanak perempuan, Rasulullah SAW tidak melarangnya. Bahkan, ketika mendengar Saidina Abu Bakar RA hendak melarangnya, Baginda bersabda: "Biarkanlah mereka." (Hadis riwayat Bukhari).

Umat Islam tanpa mengira darjat, keturunan, pangkat mahu pun usia berhak meraikan kejayaan melaksanakan tanggungjawab berpuasa sebulan sepanjang Ramadan, termasuk golongan kanak-kanak.

Selama 11 bulan bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu juga fitrah manusia dicemari dan dirosakkan. Maka dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik pada Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amal ibadah yang dapat menguatkan serta menyucikan semula fitrahnya. Dari perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa pada Ramadan lalu, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah yang menjadi satu daripada tunjang Rukun Islam ini.

Kita sedia maklum pada tahun sudah, Aidilfitri disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelaksanaan itu mengehadkan kemeriahan dan warna-warni sambutannya. Namun, pada tahun ini, sambutan lebaran menjadi cukup meriah, menyemarakkan perasaan gembira di hati umat Islam terutama kanak-kanak.

Pada hari raya kali ini, mereka berpeluang memakai baju serba baharu, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih raya, selain mengutip sampul berisi wang pelbagai warna serta berpeluang mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara juga sahabat handai.

Tidak ada salah untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila muncul Aidilfitri dan Aidiladha.

Anas Malik berkata: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) ketika jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabda Baginda lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri."

Bagaimanapun, kanak-kanak juga perlu dibimbing dan difahamkan konsep 'wasatiyyah' atau kesederhanaan menyambut hari raya mengikut lunas-lunas Islam.

Dalam hal mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci pada lebaran ini, ia tidak sepatutnya disulami dengan unsur negatif. Misalnya boros berbelanja untuk kelengkapan rumah dan pakaian, terlalu leka menonton rancangan hiburan di televisyen, melayari media sosial atau permainan dalam talian, membazirkan makanan, lalai melaksanakan solat atau bermain.

Kanak-kanak perlu diasuh untuk meneruskan kesinambungan amal ibadah tidak kira yang bersifat khusus atau umum yang dilaksanakan ketika Ramadan pada bulan berikutnya.

Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari ketika Syawal, selain setiap Isnin dan Khamis.

Begitu juga dengan meneruskan amalan qiamullail yang diakui kelebihan dan faedahnya dari sudut pandangan Islam juga perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah juga perlu digalakkan.

Ajarkan juga kanak-kanak memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya, berzikir dan berdoa kepada-Nya. Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah dan sentiasa mendapat petunjuk serta hidayah dengan izin-Nya.

Amalan mulia seperti menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat dalam berbelanja, bersedekah, ziarah-menziarahi, hormati orang tua dan sebagainya adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak. Tujuannya supaya mereka faham akan konsep 'amar makruf, nahi mungkar' iaitu memperbanyakkan amalan yang mulia dan meninggalkan perbuatan dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang Ramadan lalu tidak akan bermakna jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga tidak turut sama menunjukkan contoh baik sebagai ikutan mereka.

Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Thursday, April 28, 2022

Enche Neezam @ Koresponden Bernama

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Semalam enche Neezam bersiaran di slot Koresponden Bernama di Bernama TV.

Enche Neezam dipanggil untuk membincangkan tentang topik Penderaan Kanak-kanak. Sekarang ni kan tengah hangat berjalan kes penderaan kanak-kanak down syndrom, Bella yang teruk didera oleh penjaga dia si Benon tu. 

Ishhh ya Allah... memang sedih bila baca apa yang diperlakukan terhadap Bella. Tak terjangkau dek akal aku ni, macam mana tergamak dan hilangnya perikemanusiaan seorang manusia, nak nak lagi muslim, buat seorang budak oku macam tu sekali. Memang kejam!

Ya Allah... semoga kes Bella ni berjalan lancar dan si Benon tu dapat hukuman yang setimpal di dunia dan di akhirat!

Macam biasa, enche Neezam memang selalu nampak relaks jer bila di kaca tv 



Tahniah enche Neezam! Semoga lebih success lagi!

Tuesday, April 26, 2022

Didik kanak-kanak bersederhana di Hari Raya

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam di Malaysia Gazette hari ini berkenaan peri pentingnya didikan untuk anak-anak bersederhana dalam menyambut Aidilfitri tak lama lagi ni.

Artikel penuh di bawah atau boleh terus ke laman web Malaysia Gazette, klik sini.

Didik kanak-kanak bersederhana di Hari Raya

MENYOROT pada perspektif Islam, hari raya merupakan salah satu syiar Islam yang agung. Hari raya disyariatkan bagi memenuhi dan menyempurnakan fitrah keperluan jiwa dan fizikal umat Islam sebagai manusia. Begitulah sambutan hari raya dalam Islam, yang dikaitkan dengan hari bahagia dan gembira dan secara umumnya diraikan dengan kaedah dan tatacara yang sesuai dengan syariat. Maka sebab itu, pada kedua-kedua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, umat Islam diharamkan daripada berpuasa.

Diriwayatkan bahawa satu ketika, apabila Rasulullah SAW mengetahui adanya nyanyian yang dinyanyikan dua orang kanak-kanak perempuan, Baginda tidak melarangnya. Sebaliknya, Baginda membenarkannya. Bahkan, ketika mendengar Saidina Abu Bakar RA hendak melarangnya, Baginda pun bersabda, “Biarkanlah mereka.” (Hadis riwayat Bukhari). Semua umat Islam tidak mengira darjat, keturunan, pangkat mahu pun usia berhak meraikan kejayaan melaksanakan tanggungjawab berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan, termasuklah golongan kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa dalam bulan Ramadan, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah yang menjadi salah satu tunjang Rukun Islam ini. Kita sedia maklum pada tahun yang sudah, hari raya Aidilfitri disambut dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang menghadkan kemeriahan dan ‘warna-warni’nya. Namun, pada tahun ini, pasti sambutan hari raya akan menjadi cukup meriah, menyemarakkan perasaan gembira di hati umat Islam terutamanya kanak-kanak. Di hari rayalah mereka akan berpeluang memakai baju serba baharu, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang, dan kuih raya, mengutip ‘angpau’ berisi wang pelbagai warna dan mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara dan sahabat handai dalam keadaan.

Tidak ada salah dan silapnya untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Rasulullah SAW sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik berkata: “Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabda Baginda lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” Namun, anak-anak ini perlu dibimbing dan difahamkan akan konsep ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan menyambut hari raya mengikut lunas-lunas Islam.

Selama sebelas bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jualah fitrah asal manusia dicemari dan dirosakkan. Maka dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik dalam bulan Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amal ibadah yang dapat menguatkan dan menyucikan semula fitrahnya. Daripada perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Dalam hal mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci di hari raya ini, ia tidak sepatutnya disulamkan dengan unsur-unsur negatif. Misalnya boros berbelanja untuk kelengkapan rumah dan pakaian, terlalu leka menonton rancangan hiburan di televisyen, melayari media sosial atau permainan dalam talian yang melekakan, membazirkan makanan, lalai melaksanakan solat, bermain mercun dan sebagainya.

Kanak-kanak perlu diasuh untuk meneruskan kesinambungan amal ibadah tidak kira yang bersifat khusus atau umum yang dilaksanakan semasa bulan Ramadan pada bulan-bulan yang berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan puasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis. Begitu juga dengan meneruskan amalan Qiamullail yang telah diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah juga perlu digalakkan. Ajarkanlah juga kanak-kanak untuk memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya, berzikir dan berdoa kepada-Nya. Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah dan sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.

Amalan-amalan mulia lain seperti menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat dalam berbelanja, bersedekah, ziarah-menziarahi, hormat kepada orang tua dan sebagainya adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak. Tujuannya supaya mereka faham akan konsep ‘amar makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan yang mulia dan meninggalkan perbuatan yang dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang bulan Ramadan tidak akan bermakna jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga tidak turut sama menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka. Bersederhanalah dalam menyambut bulan Syawal kelak bersama anak-anak untuk merealisasikan pembentukan jiwa dan minda yang mulia dan soleh.


Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor,
Ketua Program, Program Pengurusan dengan Pelancongan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia


Thursday, April 21, 2022

Peranan masyarakat membela nasib kanak-kanak mangsa dera

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam menyentuh lagi tentang kes #justiceforbella. Kali ni di Agenda Daily.

Artikel penuh di bawah atau boleh terus ke laman web Agenda Daily, klik sini.

Peranan masyarakat membela nasib kanak-kanak mangsa dera

Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.

Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.

Berdasarkan informasi dalam laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia mengenai Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain. Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak. Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

Hari ini, masih lagi wujud sebilangan daripada ahli masyarakat kita yang tidak memahami peri pentingnya memberi didikan dan asuhan yang sempurna buat kanak-kanak. Walaupun kita acap kali mendengar orang bijak pandai mengatakan bahawa anak-anak kecil itu umpama sehelai kain putih, yang perlu kebijaksanaan ibu bapanya untuk mencorakkan ia dengan sewajarnya, namun kelihatannya ia hanya retorik bagi sebilangan kita. Golongan ibu bapa atau penjaga sebegini bukan setakat mengabaikan bahkan mendera anak-anak mereka sendiri.

Terbaharu seperti yang dilaporkan oleh sebuah tabloid, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mencatatkan 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di antara Mac 2020 hingga Mac tahun lalu. Begitu juga kes yang digemparkan di media sosial dan media cetak berkenaan penderaan kanak-kanak istimewa bernama Bella yang membawa kepada kecederaan yang begitu teruk oleh penjaganya. Perbicaraan kes ini sedang berlangsung di mahkamah dan mendapat perhatian meluas di media dan dalam kalangan netizen di media sosial. Rata-rata mengharapkan agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan nasib adik Bella akan terbela sebaiknya sehinggakan simpati itu diterbitkan jelas dengan wujudnya tanda pagar Justife For Bella (#justiceforbella - keadilan untuk Bella) meraih jutaan perkongsian di platform-platform maya sosial.

Kes-kes penderaan sebegini sebenarnya sangat membimbangkan semua pihak, apatah lagi Malaysia yang telah hampir 65 tahun mengecapi kemerdekaan. Kemerdekaan yang berjaya membawa negara keluar daripada belenggu penjajahan rupa-rupanya belum sepenuhnya disusuli dengan pembangunan nilai-nilai ketamadunan dan keibubapaan yang sewajarnya oleh sebilangan kita dalam masyarakat.

Apa sebenarnya punca penderaan anak-anak ini? Berdasarkan kajian ilmiah pelbagai pihak, penderaan ini berpunca daripada masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak dan masalah yang berlaku di pihak pendera itu sendiri. Anak-anak dikatakan menjadi punca penderaan kerana sifat mereka yang sedang dalam proses awal meneroka erti kehidupan. Atas sebab ini, kanak-kanak akan sering melakukan kesilapan, bermain dengan lasak, asyik menangis, tidak mendengar cakap, mengulang kesilapan, tidak berdisiplin dan seumpamanya. Bagi ibu bapa pula masalah seperti tekanan di tempat kerja, krisis rumah tangga, penyalahgunaan alkohol dan dadah, tekanan emosi, kurang didikan agama, pengalaman sendiri yang pernah didera ketika kecil dan kecuaian menjadi faktor pendorong kepada penderaan anak-anak mereka.

Kesan penderaan ini sudah tentulah kepada diri anak-anak itu sendiri. Di samping kesan fizikal di tubuh badan, wujud juga kesan mental dan psikologi. Anak-anak sudah tidak meletakkan ibu bapa sebagai pelindung yang boleh diharapkan di dalam kehidupan. Bahkan ibu bapa akan dianggap sebagai musuh yang ditakuti dan perlu dijauhi. Andai anak-anak itu meningkat remaja, mereka mungkin mencari erti ‘ketenangan’ daripada penderaan dengan berjinak-jinak menghisap rokok, lari dari rumah, terlibat dengan gangsterisme, bahkan menyalahgunakan dadah. Kesan penderaan kepada anak-anak ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Dikatakan bahawa mereka meneruskan ‘warisan’ ini bila mana mereka mendera anak-anak sendiri pula di atas faktor membalas dendam atau melempiaskan tekanan perasaan yang dilaluinya semasa kecil. Inilah antara gejala negatif yang menjadi implikasi daripada hilangnya nilai ‘kemerdekaan’ dalam jiwa dan minda kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

Jika disoroti pernyataan di dalam Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak diiktiraf sebagai kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran negara. Akta ini turut menyatakan bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dan bantuan dalam segala hal dan mengiktiraf ibu bapa dan keluarga memainkan peranan dalam pembesaran, penyaraan dan kebajikan mereka. Namun mengapa masih ada lagi kes-kes penderaan?

Inilah satu gejala yang boleh diiktiraf sebagai budaya ‘barbarian’ dan tidak bertamadun. Apakah wajar anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa ini didera sedemikian rupa? Jika faktor mahu mendidik dijadikan alasan, ini bukanlah kaedah yang tepat. Jika ibu bapa dan rumah tidak lagi menjadi entiti perlindungan yang boleh diharapkan oleh anak-anak, apalah ertinya kata-kata yang biasa kita dengar iaitu ‘Rumahku, Syurgaku’ pada mereka. Sebagai langkah membanteras gejala penderaan terhadap anak-anak ini, kerajaan sejak sekian lama serius melaksanakan kempen-kempen kesedaran dalam memupuk nilai kasih sayang dalam institusi kekeluargaan. Kempen-kempen kekeluargaan yang diuar-uarkan melalui media baharu, media massa, media cetak dan bahan-bahan edaran di pusat-pusat komuniti jelas cuba memupuk semangat dan kesedaran bahawa keluarga perlu diberikan keutamaan.

Dalam konteks perundangan pula, kerajaan telah menggubal Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang melindungi hak golongan kanak-kanak daripada sebarang perlakuan penderaan atau pencabulan hak mereka. Selain itu, sesiapa yang didapati mendera kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian, akan disiasat dan disabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Namun, langkah pencegahan gejala penderaan yang lebih bermakna adalah dalam kalangan ibu bapa sendiri. Pertamanya, ibu bapa perlu meluangkan lebih masa untuk mendampingi anak-anak mereka. Ianya dapat memberi kesempatan yang luas kepada ibu bapa memahami perkembangan dan keperluan anak-anak mereka serta memupuk tali silaturrahim yang erat dalam keluarga. Dengan pematuhan ketat terhadap SOP dan keselamatan daripada jangkitan Covid-19, bawalah anak-anak bersiar-siar atau berkelah, bersukan, menyertai aktiviti komuniti dan keagamaan, dan sebagainya.

Kedua, ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab, tatasusila serta kebudayaan. Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin di kalangan anak-anak bahawa ibu bapa adalah ‘role-model’ yang terbaik untuk diikuti mereka.

Ketiga, sekiranya anak-anak ada membuat kesilapan, dahulukan dengan nasihat dan teguran, bukan sewenang-wenangnya menghukum dan memukul membuta tuli. Hukuman yang ingin dikenakan sekalipun perlulah tidak melampaui batasan. Cukup sekadar untuk memberi pengajaran agar anak-anak tidak mengulang kesilapan lagi.

Keempat, jika wujud sebarang bibit-bibit atau anasir yang boleh mendorong ke arah melakukan penderaan, ibu bapa perlu segera mendapatkan khidmat nasihat seperti kaunseling, pakar perkembangan psikologi kanak-kanak, pakar perubatan, ahli agama dan sebagainya.

Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor,

Penulis merupakan Ketua Program, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Wednesday, April 20, 2022

#justiceforbella: Sejauh mana nasib kanak-kanak mangsa penderaan?

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche disiarkan di Malaysia Gazette hari ini, tanda solidariti kepada kanak-kanak oku mangsa penderaan, Bella. Mari kita sama-sama doakan kes anak syurga ni selesai dengan baik dan menjadi tanda aras dan amaran kepada tindakan pelaku-pelaku penderaan di seluruh negara dan dunia.

Jom bugarkan hashtag #justiceforbella.

Artikel penuh di bawah atau boleh terus ke laman web Malaysia Gazette, klik sini.

#JUSTICEFORBELLA: Sejauh mana nasib kanak-kanak mangsa penderaan?

BERDASARKAN informasi dalam laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia mengenai Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu. Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.

Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain. Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak. Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

Hari ini, masih lagi wujud sebilangan daripada ahli masyarakat kita yang tidak memahami peri pentingnya memberi didikan dan asuhan yang sempurna buat kanak-kanak. Walaupun kita acap kali mendengar orang bijak pandai mengatakan bahawa anak-anak kecil itu umpama sehelai kain putih, yang perlu kebijaksanaan ibu bapanya untuk mencorakkan ia dengan sewajarnya, namun kelihatannya ia hanya retorik bagi sebilangan kita. Golongan ibu bapa atau penjaga sebegini bukan setakat mengabaikan bahkan mendera anak-anak mereka sendiri.

Terbaharu seperti yang dilaporkan oleh sebuah tabloid, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mencatatkan 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di antara Mac 2020 hingga Mac tahun lalu. Begitu juga kes yang digemparkan di media sosial dan media cetak berkenaan penderaan kanak-kanak istimewa bernama Bella yang membawa kepada kecederaan yang begitu teruk oleh penjaganya. Perbicaraan kes ini sedang berlangsung di mahkamah dan mendapat perhatian meluas di media dan dalam kalangan netizen di media sosial. Rata-rata mengharapkan agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan nasib adik Bella akan terbela sebaiknya sehinggakan simpati itu diterbitkan jelas dengan wujudnya tanda pagar Justice For Bella (#justiceforbella- keadilan untuk Bella) meraih jutaan perkongsian di platform-platform maya sosial.

Kes-kes penderaan sebegini sebenarnya sangat membimbangkan semua pihak, apatah lagi Malaysia yang telah hampir 65 tahun mengecapi kemerdekaan. Kemerdekaan yang berjaya membawa negara keluar daripada belenggu penjajahan rupa-rupanya belum sepenuhnya disusuli dengan pembangunan nilai-nilai ketamadunan dan keibubapaan yang sewajarnya oleh sebilangan kita dalam masyarakat.

Apa sebenarnya punca penderaan anak-anak ini? Berdasarkan kajian ilmiah pelbagai pihak, penderaan ini berpunca daripada masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak dan masalah yang berlaku di pihak pendera itu sendiri. Anak-anak dikatakan menjadi punca penderaan kerana sifat mereka yang sedang dalam proses awal meneroka erti kehidupan. Atas sebab ini, kanak-kanak akan sering melakukan kesilapan, bermain dengan lasak, asyik menangis, tidak mendengar cakap, mengulang kesilapan, tidak berdisiplin dan seumpamanya. Bagi ibu bapa pula masalah seperti tekanan di tempat kerja, krisis rumah tangga, penyalahgunaan alkohol dan dadah, tekanan emosi, kurang didikan agama, pengalaman sendiri yang pernah didera ketika kecil dan kecuaian menjadi faktor pendorong kepada penderaan anak-anak mereka.

Kesan penderaan ini sudah tentulah kepada diri anak-anak itu sendiri. Di samping kesan fizikal di tubuh badan, wujud juga kesan mental dan psikologi. Anak-anak sudah tidak meletakkan ibu bapa sebagai pelindung yang boleh diharapkan di dalam kehidupan. Bahkan ibu bapa akan dianggap sebagai musuh yang ditakuti dan perlu dijauhi. Andai anak-anak itu meningkat remaja, mereka mungkin mencari erti ‘ketenangan’ daripada penderaan dengan berjinak-jinak menghisap rokok, lari dari rumah, terlibat dengan gangsterisme, bahkan menyalahgunakan dadah. Kesan penderaan kepada anak-anak ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Dikatakan bahawa mereka meneruskan ‘warisan’ ini bila mana mereka mendera anak-anak sendiri pula di atas faktor membalas dendam atau melempiaskan tekanan perasaan yang dilaluinya semasa kecil. Inilah antara gejala negatif yang menjadi implikasi daripada hilangnya nilai ‘kemerdekaan’ dalam jiwa dan minda kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

Jika disoroti pernyataan di dalam Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak diiktiraf sebagai kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran negara. Akta ini turut menyatakan bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dan bantuan dalam segala hal dan mengiktiraf ibu bapa dan keluarga memainkan peranan dalam pembesaran, penyaraan dan kebajikan mereka. Namun mengapa masih ada lagi kes-kes penderaan?

Inilah satu gejala yang boleh diiktiraf sebagai budaya ‘barbarian’ dan tidak bertamadun. Apakah wajar anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa ini didera sedemikian rupa? Jika faktor mahu mendidik dijadikan alasan, ini bukanlah kaedah yang tepat. Jika ibu bapa dan rumah tidak lagi menjadi entiti perlindungan yang boleh diharapkan oleh anak-anak, apalah ertinya kata-kata yang biasa kita dengar iaitu ‘Rumahku, Syurgaku’ pada mereka. Sebagai langkah membanteras gejala penderaan terhadap anak-anak ini, kerajaan sejak sekian lama serius melaksanakan kempen-kempen kesedaran dalam memupuk nilai kasih sayang dalam institusi kekeluargaan. Kempen-kempen kekeluargaan yang diuar-uarkan melalui media baharu, media massa, media cetak dan bahan-bahan edaran di pusat-pusat komuniti jelas cuba memupuk semangat dan kesedaran bahawa keluarga perlu diberikan keutamaan.

Dalam konteks perundangan pula, kerajaan telah menggubal Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang melindungi hak golongan kanak-kanak daripada sebarang perlakuan penderaan atau pencabulan hak mereka. Selain itu, sesiapa yang didapati mendera kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian, akan disiasat dan disabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Namun, langkah pencegahan gejala penderaan yang lebih bermakna adalah dalam kalangan ibu bapa sendiri. Pertamanya, ibu bapa perlu meluangkan lebih masa untuk mendampingi anak-anak mereka. Ianya dapat memberi kesempatan yang luas kepada ibu bapa memahami perkembangan dan keperluan anak-anak mereka serta memupuk tali silaturrahim yang erat dalam keluarga. Dengan pematuhan ketat terhadap SOP dan keselamatan daripada jangkitan Covid-19, bawalah anak-anak bersiar-siar atau berkelah, bersukan, menyertai aktiviti komuniti dan keagamaan, dan sebagainya.

Kedua, ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab, tatasusila serta kebudayaan. Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin di kalangan anak-anak bahawa ibu bapa adalah ‘role-model’ yang terbaik untuk diikuti mereka.

Ketiga, sekiranya anak-anak ada membuat kesilapan, dahulukan dengan nasihat dan teguran, bukan sewenang-wenangnya menghukum dan memukul membuta tuli. Hukuman yang ingin dikenakan sekalipun perlulah tidak melampaui batasan. Cukup sekadar untuk memberi pengajaran agar anak-anak tidak mengulang kesilapan lagi.

Keempat, jika wujud sebarang bibit-bibit atau anasir yang boleh mendorong ke arah melakukan penderaan, ibu bapa perlu segera mendapatkan khidmat nasihat seperti kaunseling, pakar perkembangan psikologi kanak-kanak, pakar perubatan, ahli agama dan sebagainya.

Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor,
Ketua Program, Program Pengurusan dengan Pelancongan, 
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia

Thursday, April 14, 2022

Tidak salah berpuasa beberapa jam

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam hari ni di Utusan Malaysia berkenaan mendidik anak-anak berpuasa.


Niesreena dan Naufal dulu masing-masing mula berpuasa masa berusia 6 tahun dan alhamdulillah, walaupun mula berpuasa, Niesreena dan Naufal dapat berpuasa penuh sebulan.

Artikel penuh enche Neezam ada di bawah, atau boleh terus ke laman web Utusan Malaysia, klik sini.

Tidak salah berpuasa beberapa jam

JANGAN keliru berhubung anjuran berpuasa hanya beberapa jam kerana ia adalah kaedah untuk melatih anak-anak yang belum mencapai usia diwajibkan berpuasa iaitu baligh antara sembilan hingga 12 tahun untuk mengamalkan ibadah itu ketika Ramadan.

Alim ulama menyebut bahawa walaupun kanak-kanak masih belum mukalaf (cukup umur) iaitu diwajibkan melaksanakan hukum Islam, namun ibadah berpuasa oleh mereka dianggap sebagai satu bentuk latihan.

Menurut Imam Ibnu Battol Rahimahullah, para ulama sepakat bahawa amal ibadah tidaklah wajib kecuali jika seseorang sudah baligh.

Namun, majoriti ulama menganjurkan agar anak-anak dilatih berpuasa dan melakukan ibadah lain supaya nanti mereka tidak meninggalkannya dan terbiasa serta mudah melakukannya ketika sudah dihukumkan wajib kelak.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak seawal usia empat atau lima tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa ketika Ramadan.

Anak-anak perlu tahu bahawa puasa bererti menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Dinasihatkan sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa mengajarkan mereka ilmu asas tentang ibadah berpuasa seperti niat, tempoh berpuasa, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sunat diamalkan semasa berpuasa dan perkara makruh yang perlu dielakkan bagi menjamin kesempurnaan ibadah itu.

Setelah anak-anak faham erti berpuasa secara fizikal, bolehlah diajak mereka menghayati maksud yang tersirat di sebalik ibadah tersebut.

Anak-anak boleh diterangkan bahawa dengan menahan makan dan minum pada waktu siang adalah satu bentuk penghayatan terhadap sukarnya kehidupan orang fakir dan miskin yang hidup mereka sentiasa diuji Allah SWT.

GANJARAN

Latihan menahan nafsu makan dan minum pada siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran adalah sangat besar impaknya apabila anak-anak ini meningkat dewasa kelak.

Mereka tidak akan berasa canggung dan berat untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya.

Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbanyakkan ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia soleh dan solehah.

Minda dan pemikiran anak-anak perlu dididik supaya tidak mentafsir bahawa Ramadan adalah waktu sinonim dengan pesta bunga api dan mercun.

Hindarkan mereka daripada terjebak dengan sindrom negatif sebegini yang bukan sahaja membazirkan wang malah turut membahayakan nyawa.

Anak-anak juga tidak seharusnya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau membuat aktiviti tidak berfaedah.

Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran sangat besar oleh Allah SWT.

Untuk melatih anak-anak berpuasa, perlulah dimulakan secara berperingkat dan berdikit-dikit. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam atau hanya beberapa hari sepanjang Ramadan.

Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan dalam kalangan anak-anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa.

Contohnya, menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah atau sejumlah duit raya jika mereka berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

Tuesday, November 30, 2021

Sumbangan Alumni Universiti Sangat Ditagih

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam hari ini di akhbar Harakah.


Klik gambar atau link ini untuk artikel penuh.

Tuesday, September 28, 2021

Eche Neezam @ Berita RTM

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Nasib baik ada interview dengan Berita RTM semalam. Nampaklah hensem sikit enche Neezam berambut pendek.



Enche Neezam mengulas tentang Pelan Strategik Pendigitalan Perkhidmatan Awam, slot di dalam Berita RTM. 

Monday, September 20, 2021

Kepimpinan di tempat kerja yang diredhai Allah swt

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

ARtikel enche Neezam tentang kepemimpinan dan pemimpin di tempat kerja disiarkan di akhbar Harakah edisi 20-23 September 2021.


Klik gambar atau sini untuk artikel penuh.

Thursday, August 12, 2021

Enche Neezam @ RTM1

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Beberapa hari lepas enche Neezam ditemuramah oleh wartawan RTM1 bersempena dengan Hari Belia Sedunia 2021. Petang tadi dapatlah tengok sedikit daripada rakaman tersebut yang disiarkan di akhir Berita Wilayah jam 5 di TV1.


Insya Allah rakaman lebih panjang lagi akan disiarkan di rancangan Selamat Pagi Malaysia akan datang.

Tahniah enche Neezam 😍😍😍

Saturday, September 14, 2019

Amanah Lentur Peribadi Pekerja

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Alhamdulillah... Artikel terakhir enche Neezam di akhbar Harian Metro sisipan Minda disiarkan hari ni. Sedihnyer. Banyak jugak artikel yang enche Neezam dah kongsikan diruangan ni. Tapi rezeki sampai kat sini jer. Insya Allah, kalai ada rezeki di masa hadapan, kiter akan bertemu lagi.

Artikel penuh ada di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Amanah Lentur Peribadi Pekerja

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan kes penjualan sijil kelahiran dan MyKad kepada warga asing yang didalangi oleh pegawai kerajaan berpangkat tinggi di sebuah organisasi kerajaan di Pulau Pinang. Beliau didakwa dengan 11 pertuduhan iaitu dua di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), empat di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan lima di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Semua ini dipercayai kerana pegawai yang terlibat gelap mata dengan laba yang diperoleh sehingga mencecah ratusan ribu ringgit. Namun sayang, inilah perbuatan tidak beretika, melampaui batasan undang-undang dan membuktikan hilangnya harga diri si tertuduh kerana tidak menjaga amanah yang diberikan kepadanya oleh rakyat dan negara.

Perkataan amanah itu asalnya daripada bahasa Arab. Dari segi lughah atau bahasa dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan atau lurus. Namun, daripada konteks yang lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga sesuatu perkara sama ada yang bersifat nyata atau tidak nyata. Sifat amanah dikatakan sebagai sesuatu beban yang tidak terpikul dan telah ditolak oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, namun disanggupi oleh manusia untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: ''Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan' (surah al-Ahzaab, ayat 72).

Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman memiliki sifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepadaNya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara-perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling. Sifat amanah ini adalah merupakan antara empat sifat-sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (Benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW merupakan model nilai-nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan.

Misalnya, dalam urusan pekerjaan, Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda). Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlulah memenuhi dan mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya. Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh seseorang pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah. Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak-hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ianya adalah membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita. Islam telah memberikan rukhsoh atau keringanan dalam hal-hal tertentu pada waktu-waktu tertentu bagi umatnya yang giat melaksanakan pekerjaan bagi memajukan diri. Misalnya, jika seseorang melaksanakan tugas jauh di tempat lain melangkaui jarak dua marhalah, dia dibolehkan untuk menjamak dan/atau mengqasarkan solat fardhunya. Misalan ini merupakan suatu keringanan yang istimewa diberikan kepada umat Islam agar dapat terus tawaduk melaksanakan amanah untuk beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya. Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah SWT ini, jika diberikan keringanan sebanyak manapun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal-hal beribadah terutamanya yang fardu kerana kononnya terlalu fokus terhadap kerja-kerjanya.

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)." Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang-orang yang munafiq. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga tanda munafiq: Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati (Muttafaqun'Alaih).

Sunday, September 8, 2019

Fotokopi 'rompakan terhormat'

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Nampak gayanya, isu syarikat suratkhabar terpaksa gulung tikar ni terkena jugak tepias pada penulis atau kolumnis macam enche Neezam ni. Mungkin ini artikel-artikel terakhir enche Neezam diruangan ni. Lepas ni Harian Metro akan guna penulis dalaman diorang je.

Pihak akhbar tak der lah cakap yang diorang ada masalah kewangan ke hapa kan... tapi kitorang agak jer lah. Ye lah... artikel yang diberikan keruangan akhbar ni bukan free free. So, kalau guna penulis sendiri, lagi boleh jimat, kan?

Apapun, kitorang tetap akan sokong akhar Harian Metro dan akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang lain di Malaysia. Kepada Harian Metro, bagi pihak enche Neezam, terima kasih kerana memberikan salah satu platform untuk enche Neezam berkarya dan mengembangkan nama beliau. Semoga terus success dan terus utuh di pentas berita.

Alhamdulillah. Hari ni artikel enche Neezam masih lagi disiarkan di akhbar Harian Metro. Seperti biasa di sisipan Minda. Mungkin ini yang terakhir? Atau ada lagi di minggu depan?

Artikel penuh di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

FOTOKOPI 'rompakan terhormat'

Umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Begitulah ibaratnya dengan perniagaan atau kedai-kedai cetakan atau juga sinonim dengan perkataan ‘xerox’ atau fotokopi. Masakan tidak, ‘industri bersandarkan pendidikan’ seperti ini memang menjadi tumpuan, terutamanya dalam kalangan pelajar di di institusi pengajian tinggi (IPT) sejak sekian lama, dan ironinya budaya fotokopi ini masih ada. Budaya ini sudah seakan-akan meresap sebati dalam masyarakat kita seolah-olah budaya dan amalan ini dibenarkan dan amat sukar dibendung daripada terus berleluasa dari satu generasi ke satu generasi. Ia masih dan tetap menjadi salah satu pilihan pelajar yang 'evergreen' dan kelihatan 'halal' dalam memiliki buku, makalah, sumber rujukan dan apa sahaja dokumen berkaitan dalam kuliah, walau pun tidak seketara fenomena serupa pada 10-20 tahun yang lalu.

Kita selalu juga tertanya-tanya, mengapa pelajar di IPT masih menggunakan cara tersebut untuk membuat salinan nota kuliah mereka? Masakan tidak, semurah 3 hingga 5 sen sahaja harga untuk sesalinan dokumen bersaiz kertas A4, ia dianggap kaedah termurah, mudah dan cepat untuk mendapatkan maklumat daripada buku teks, buku nota malah modul yang digunakan oleh mereka dalam sesi perkuliahan. Ini adalah satu bentuk 'langkah penjimatan' yang cukup disukai oleh pelajar. Kelihatannya wang saku dan biasiswa/pinjaman boleh digunakan untuk tujuan lain seperti tambah nilai talian internet, makanan, pengangkutan dan lain-lain.

Akan hal ini, kebiasaannya, pensyarah akan mengusulkan buku-buku tertentu untuk dibeli oleh pelajar kerana ia dijadikan teks rujukan dalam kuliah. Namun, harga buku rujukan tertentu adalah agak mahal atas sebab pelbagai faktor seperti ia rujukan utama dalam bidang pengajian tertentu, diimport dari luar negara, ditulis oleh penulis tersohor dan sebagainya. Maka sudah tentulah para pelajar akan ada perasaan 'tersepit' antara dua pilihan keutamaan, mahu membeli dan memiliki buku rujukan original tersebut atau untuk terus berjimat-cermat dalam penggunaan wang ringgit. Dalam perspektif ekonomi, isu ini berkait dengan teori 'kos melepas' atau Opportunity cost di mana para pelajar akan cenderung memilih untuk membuat salinan fotokopi lantaran rasa tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut.

Begitu pun, para pelajar harus memahami bahawa buku rujukan yang difotokopi itu adalah satu usaha jangka panjang oleh penulis karya akademik tersebut. Ia terhasil daripada pengetahuan, pengalaman dan kajian yang dihasilkan secara mutlak oleh penulis yang telah menghabiskan banyak masa, titik peluh dan buah fikiran untuk dikongsi oleh masyarakat dan khususnya mereka yang mempelajari bidang ilmu yang sama. Tidakkah para pelajar terfikir bahawa hasil ilmiah ini secara perundangannya mempunyai nilai 'hak milik' yang absah kepada penulisnya? Seterusnya, apakah tidak disedari bahawa penulis-penulis buku ini layak untuk menerima ganjaran hasil jualan buku-buku mereka hasil titik peluh mereka sendiri?

Begitu juga dengan hak syarikat percetakan yang telah bertungkus-lumus menjalankan proses perniagaan mereka bagi menjual buku-buku ini demi keuntungan dalam perniagaan mereka. Untuk itu, apabila hasil ilmiah ini difotokopi sewenang-wenangnya, ia adalah satu bentuk rompakan terhormat kepada hak milik penulis asal buku tersebut dan ini adalah satu gejala tidak beretika yang sungguh berleluasa dalam arena keilmuan yang cukup mulia iaitu di institusi pengajian tinggi.

Bukan sahaja ia satu kesalahan di sisi etika dan undang-undang, dalam Islam sendiri ia adalah sesuatu yang tidak bertepatan dengan syariat apabila hasil karya ilmiah ini dicetak semula tanpa keizinan penulis dan syarikat percetakan yang merupakan 'tuan punya' karya tersebut. Yusof al-Qardawi dalam kitabnya “ Halal Dan Haram Dalam Islam” menyatakan bahawa Islam mengharamkan seorang muslim membeli sesuatu yang sudah diketahui, bahawa barangan tersebut adalah hasil rompakan atau hasil curian, ataupun sesuatu yang telah diambil dari orang lain dengan jalan yang tidak betul. Ini kerana perbuatan tersebut adalah menyamai amalan membantu perompak, pencuri selain ianya melanggar hak-hak orang lain, serta melanggar undang-undang berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang membeli barangan curian, sedangkan dia mengetahui bahawa barangan tersebut adalah satu hasil curian, maka dia bersekutu dalam dosa yang cacat” (Riwayat al-Baihaqi).

Untuk itu semua pihak harus bertindak dan bertanggungjawab dalam mencari solusi terbaik sebagai jalan penyelesaian bagi membendung masalah fotokopi ini daripada terus berleluasa. Antara alternatif yang ingin dicadangkan oleh penulis adalah seperti mana berikut. Pertama, semua pihak terutamanya pelajar IPT harus faham dan hadam dengan perkiraan hukum daripada perspektif Islam. Terdapat pelbagai pandangan telah diutarakan oleh ulama’-ulama’ kontemporari dalam merumuskan hukum dan kaedah membendung fenomena fotokopi ini.

Ada ulama’ yang menyatakan bahawa perbuatan fotokopi ini haram dan tercela. Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram)” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban). Hadis ini satu isyarat jelas yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, maka perbuatan memiliki sesuatu seperti buku rujukan secara tidak sah juga diibaratkan sebagai memperoleh sesuatu dengan haram.

Ada sesetengah pendapat lain pula yang membenarkan amalan ini atas dasar keperluan yang amat mendesak seperti masalah kesempitan kewangan atau keperluan yang meruncing untuk mendapatkan naskhah yang asal, dengan bersandarkan kepada Kitab al-Ashbah Wa al–Nazhoir iaitu : "Suatu keperluan boleh jatuh dalam kategori terdesak samada ia berbentuk umum atau khusus". Ini bermaksud perbuatan fotokopi ini adalah dibenarkan bagi kegunaan peribadi sahaja dan bukanlah bagi tujuan mengaut keuntungan atau tuntutan berupa faedah-faedah lain yang mana ianya adalah berlawanan dengan tujuan asal.

Kedua, kaedah kedua adalah dengan meminta keizinan untuk membuat salinan daripada penulis dan syarikat penerbitan buku yang dikehendaki. Namun, keizinan mungkin sesuatu yang sangat mustahil untuk diperoleh, lantaran faktor royalti dan keuntungan yang telah dikira-kira oleh pemilik karya. Ketiga, dicadangkan agar institusi pengajian tinggi dapat menambahkan lagi kuantiti buku-buku rujukan yang diperlukan pelajar di perpustakaan masing-masing supaya ia dapat dipinjam dan dijadikan rujukan pelajarsepanjang semester/pengajian. Pensyarah perlu bekerjasama dengan bekerjasama rapat dengan pihak perpustakaan dalam mencadangkan buku-buku rujukan yang sepatutnya dari semasa ke semasa.

Keempat, para pelajar harus kreatif dalam menggunakan sumber di internet dalam mencari buku-buku rujukan berbentuk elektronik. Banyak laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai genre buku rujukan yang tersohor dan terkini untuk dimuat turun secara sah kerana pengendali laman web tersebut kebiasaannya telah mendapat keizinan daripada para pemilik asal karya-karya akademik tersebut. Kelima, para pensyarah harus tegas dalam memastikan gejala fotokopi buku ini tidak terus berleluasa dengan memberikan nasihat sewajarnya kepada pelajar. Pensyarah turut boleh menggunakan sebaik mungkin sistem pangkalan data yang kebanyakannya telah dibina oleh institusi pengajian masing-masing yang boleh memuatkan nota-nota kuliah, slaid pembentangan, bahan rujukan dalam pelbagai bentuk yang telah dimuat turun daripada internet dan sebagainya.

Monday, August 19, 2019

Tindakan Pantas Cantas Vandalisme

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam disiarkan hari ni. Macam biasa di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Artikel penuh ada di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Tindakan Pantas Cantas Vandalisme

Sakit mata dan sakit hati! Itulah perasaan penulis apabila melihat dinding-dinding dan kaki lima di kawasan kejiranan saudara terdekat penulis diconteng dan disembur dengan perkataan yang tidak senonoh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sudahlah begitu, terdapat juga kesan bau air kencing manusia yang hanyir di sudut-sudut tangga apartmen tersebut yang cukup memualkan. Apakah takuk pemikiran sesetengah kita masih lagi seperti hidup di zaman batu? Tidak dapat digambarkan kesulitan yang terpaksa ditanggung masyarakat setempat akibat perbuatan vandalisme seperti ini di negara kita yang tercinta.

Laporan kes-kes vandalisme sangat acap kita ketemukan dalam media massa dan media cetak. Pada tahun 2016 misalnya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan telah menanggung kerugian lebih RM6 juta kerana menampung kos menggantikan 1300 unit tingkap koc komuternya yang pecah akibat perbuatan vandalisme. Contoh lain adalah kebakaran besar-besaran rumah kediaman kerana perlakuan mencuri kabel elektrik, kerosakan harta awam seperti di taman-taman rekreasi atau pengangkutan awam, kecurian yang berlaku terhadap harta milik surau atau rumah ibadat, dan seumpamanya. Perbuatan ini membuktikan bahawa pelaku vandalisme ini begitu ghairah melakukan perbuatan tidak bertamadun sebegini dan membelakangkan kepentingan dan hak orang lain.

Sememangnya penguatkuasaan dan tindakan undang-undang adalah antara kaedah terbaik dalam mengajar masyarakat untuk tidak melakukan vandalisme. Namun kaedah sebegini bukanlah jawapan yang bersifat total kepada pencegahan gejala buruk tersebut. Sebenarnya, kaedah psikologi dan pendidikan turut menyumbang ke arah pencegahan gejala vandalisme.

Dalam hal ini tidak berapa lama dahulu, kerajaan melalui Majlis Sosial Negara telah membuat keputusan untuk memulihkan kawasan-kawasan tegar dengan gejala sosial termasuklah vandalisme di sekitar Lembah Kelang. Majlis tersebut telah bersetuju melalui perbincangan bersama ahli akademik dan pakar dalam pelbagai bidang pembangunan sosial bahawa pelbagai projek sosial dan fizikal bagi memutihkan kawasan-kawasan tersebut berlandaskan ‘Teori Tingkap Pecah’ (Broken Window Theory) yang digagaskan oleh dua pakar sosiologi dari barat iaitu James Wilson dan George Kelling.

Teori Tingkap Pecah ini lahir hasil daripada kajian yang mendalam terhadap kaedah-kaedah yang paling signifikan dalam menangani keruntuhan nilai dan etika sosial dan menangani jenayah vandalisme di kalangan masyarakat di bandaraya New York, Amerika Syarikat pada awal 1980-an hingga 1990-an. Teori ini mendasari pemahaman bahawa untuk menangani gejala sosial, vandalisme dan seterusnya jenayah serius, keadaan fizikal di sesuatu kawasan itu perlu dipulihkan segera bagi meminimumkan pengulangan gejala yang sama.

Misalnya, jika ada tingkap bangunan yang pecah, ia perlu diganti dengan tingkap yang baru pada kadar segera. Jika tidak, lebih banyak lagi tingkap yang akan dipecahkan kerana si pelaku vandalisme akan merasakan pengurusan bangunan tidak mengambil endah akan kerosakan bangunannya dan meng'halal'kan perbuatan mereka. Begitu juga keadaannya dengan kaki-kaki lima atau lorong-lorong yang penuh dengan sampah, ianya perlu dibersihkan dengan segera. Jika tidak orang ramai akan terus meletakkan longgokan sampah yang lebih banyak kerana mereka memikirkan jalan tersebut sebagai tempat yang sesuai untuk dibuang sampah.

Berdasarkan teori ini juga, strategi terbaik mencegah kebejatan sosial dan vandalisme adalah dengan memperbetulkan sesuatu masalah sementara ianya masih tidak serius. Padang permainan kanak-kanak, telefon awam, tandas awam dan taman rekreasi merupakan antara kawasan yang perlu sentiasa dipelihara dan dipulihara bagi mengelakkan kes-kes vandalisme terus berleluasa.

Terdapat satu kajian longitudinal yang dibuat oleh pengkaji-pengkaji bidang sosial di Australia yang cukup menarik dalam mendasari kesesuaian Teori Tingkap Pecah ini dalam menangani vandalisme. Hasil kajian tersebut mendapati, walau pun undang-undang Graffiti Prevention Bill diperkenalkan pada tahun 2007 dan dikemas kini sehingga tahun 2016, namun tembok dinding kedai-kedai di persisiran bandaraya Melbourne seperti di Northcote, Geelong, Fitzroy dan Camberwell, acap kali menjadi dinding pameran lukisan-lukisan ‘graffiti’ oleh pelaku vandalisme. Hukuman denda serta-merta AUD1000.00 dan penjara sehingga maksimum dua tahun di bawah undang-undang ini seakan-akan tidak mendatangkan rasa takut kepada mereka.

Berdasarkan Teori Tingkap Pecah, apabila pemilik kedai hanya membatu dan tidak berbuat apa-apa, didapati bahawa semakin banyak graffiti yang dicorakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Berbeza dengan keadaannya bagi pemilik kedai yang tidak jemu mengecat semula dinding kedainya setelah diconteng berkali-kali, kejadian vandalisme graffiti sebegini akan berkurangan dan akhirnya terhenti sendiri.

Berorientasikan Teori Tingkap Pecah inilah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan tindakan-tindakan bersepadu dalam mewujudkan persekitaran kehidupan masyarakat yang bersih, selesa dan aman. Apabila persekitaran menjadi teratur dan indah, maka kebejatan sosial dan vandalisme dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan. Kita sendiri sedia maklum bahawa memang wujud sesetengah masyarakat yang sebenarnya tidak berniat untuk membuat kerosakan terhadap kemudahan awam, tetapi sebenarnya secara tidak langsung ada tindak-tanduknya itu yang mencerminkan sikap vandalisme.

Misalnya, kerana terlalu malas hendak turun ke tingkat bawah, ada penghuni rumah apartmen dengan selamba melempar bungkusan sampah dari tingkat atas ke bawah. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan tiadanya rasa bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, bahkan boleh mengundang maut jika sampah tersebut menghempap kepala orang lain di bawah. Begitu juga keadaannya dengan kemudahan-kemudahan awam yang tidak digunakan secara berhemah oleh masyarakat. Itu sebabnya kita selalu dapat melihat tiang-tiang telefon awam dan perhentian bas yang selalu menjadi mangsa vandalisme seakan-akan ‘hidup segan, mati tak mau’. Sikap seperti ‘tak apa, nanti ada orang lain akan bersihkan’, atau ‘ini bukan harta aku’ adalah antara penyebab mengapa kebejatan sosial dan vandalisme sebegini masih terus berulang dan tiada noktahnya.

Untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan persekitaran fizikal di kawasan-kawasan terpilih ini, kerjasama dan keprihatinan semua pihak adalah sangat-sangat membantu. Tanggungjawab pemulihan ini perlu dipikul secara holistik oleh semua pihak, bukan sekadar kerajaan atau majlis perbandaran, bahkan masyarakat dan setiap individu. Jika setiap ahli dalam masyarakat memberi sokongan walaupun sebesar zarah, ianya akan tetap bermakna. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan rasa kebertanggungjawaban apabila menggunakan kemudahan awam. Ajar dan berikan contoh terbaik kepada mereka untuk misalnya tidak membuang sampah sesuka hati, dan lebih baik lagi ajar mereka untuk kitar semula sampah yang dibuang untuk tujuan lain yang lebih baik.

Sikap tegur-menegur dan ambil peduli di kalangan jiran-jiran juga perlu supaya tidak ada yang lepas tangan dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran. Jika ada yang ternampak individu-individu tertentu yang membuat vandalisme, tegur mereka secara berhemah atau adukan segera kepada pihak yang berwajib. Amalan gotong-royong dan bekerjasama membersih dan mengindahkan kemudahan awam mahu pun kawasan kejiranan perlulah disemai dan dikekalkan. Memang sudah ada beberapa komuniti perumahan yang telah mengambil inisiatif dalam mengawal gejala sosial seperti mewujudkan rukun tetangga, mengecat semula dinding-dinding rumah dan balai raya, mengedarkan risalah-risalah berkaitan kebersihan dan menganjurkan program-program pendidikan, namun ianya perlu juga disuburkan dan diamalkan oleh semua komuniti masyarakat di seluruh negara.

Saturday, August 10, 2019

Mereka harus dilindungi

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Salam hujung minggu you all. Dah dalam perjalanan balik ke kampung ke? Atau busy mengemas kain baju lagi?

Hmmm.. aku masih sibuk mengemas baju anak-anak. Entah pukul berapa nak gerak ni pun tak tau lah. Tapi kitorang beraya dekat jer. Dekat Kajang jer. So tak der lah risau sangat, kot kot jem ke hapa kan. Insya Allah, lepas kemas-kemas ni, kitorang geraklah ke Kajang melalui Lekas. Insya Allah lekas sampai ke Kajang.

Alhamdulillah... hari ni artikel enche Neezam disiarkan di Akhbar Harian Metro sisipan minda. Macam biasa.

Siapa yang harus dilindungi tu? Jom baca artikel penuh ada di bawah.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Mereka Harus Dilindungi

Anak-anak merupakan satu anugerah daripada Allah SWT dan menjadi kewajipan bagi kita sebagai ibu dan bapa menjaga anugerah ini dengan penuh amanah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya” (Surah al-Syura, ayat 49). Begitu jualah anak-anak ini merupakan satu bentuk ujian buat ibu dan bapa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu” (Surah at-Taghabun, ayat 15). Ujian dalam hal ini bermaksud, anak-anak adalah satu bentuk cubaan dalam menduga keimanan ibu bapa. Andai kata tersalah melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak, maka ia akan mengundang dosa dan kemurkaan-Nya.

Bijak pandai ada menyebut bahawa anak-anak kecil itu umpama sehelai kain putih. Terserah kepada kebijaksanaan ibu bapanya untuk mencorakkan ia dengan sewajarnya. Ibu bapa memegang tanggungjawab yang berat untuk memastikan perkembangan dan kemandirian anak-anak agar seimbang dari aspek fizikal, emosi, rohani dan intelek. Fungsi ibu bapa bukan semata-mata memberi makanan dan pakaian, bahkan meliputi aspek didikan yang sempurna serta menjaga keselamatan, kesihatan dan hak-hak mereka yang lain.

Namun, masih lagi wujud sebilangan masyarakat kita yang tidak memahami peri pentingnya memberi perhatian dan didikan yang sempurna buat anak-anak. Golongan ibu bapa ini bukan setakat mengabaikan bahkan mendera anak-anak mereka sendiri. Terbaharu, seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro pada penghujung Julai lalu, pihak polis telah menahan lelaki berusia 40 tahun di Taiping, Perak yang dipercayai mendera dua anaknya berusia 12 dan 15 tahun sejak beberapa tahun yang lalu. Ini adalah antara ratusan kes yang seakan-akan sudah menjadi halwa telinga kita sehari-hari.

Penderaan biasanya berlaku dalam bentuk fizikal iaitu memukul atau menyiksa tubuh badan anak-anak dalam jangka masa berterusan sehinggakan ada yang cedera parah dan menemui ajal. Penderaan juga berlaku dengan cara berbeza seperti penderaan seksual, penderaan secara mental, pengabaian oleh ibu bapa dan sebagainya.

Statistik kes penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan terdapat 429 kes dilaporkan pada tahun 2018 melibatkan penderaan fizikal, seksual, pengabaian dan kecuaian. Laporan-laporan seperti ini sungguh membimbangkan semua pihak, apatah lagi Malaysia telah hampir 62 tahun mengecapi kemerdekaan. Kemerdekaan yang berjaya membawa negara keluar daripada belenggu penjajahan rupa-rupanya belum sepenuhnya disusuli dengan pembangunan nilai-nilai ketamadunan dan keibubapaan yang sewajarnya oleh sebilangan kita dalam masyarakat.

Apa sebenarnya punca penderaan anak-anak ini? Menurut laman sesawang The National Society for the Prevention of Cruelty to Children (NSPCC), penderaan kanak-kanak berpunca daripada masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak dan masalah yang berlaku di pihak pendera itu sendiri. Anak-anak dikatakan menjadi punca penderaan kerana sifat mereka yang sedang dalam proses awal meneroka erti kehidupan. Atas sebab ini, kanak-kanak akan sering melakukan kesilapan, bermain dengan lasak, asyik menangis, tidak mendengar cakap, mengulang kesilapan, tidak berdisiplin dan seumpamanya. Bagi ibu bapa pula masalah seperti tekanan di tempat kerja, krisis rumah tangga, penyalahgunaan alkohol dan dadah, tekanan emosi, kurang didikan agama, pengalaman sendiri yang pernah didera ketika kecil dan kecuaian menjadi faktor pendorong kepada penderaan anak-anak mereka.

Kesan penderaan ini sudah tentulah kepada diri anak-anak itu sendiri. Di samping kesan fizikal di tubuh badan, wujud juga kesan mental dan psikologi. Anak-anak sudah tidak meletakkan ibu bapa sebagai pelindung yang boleh diharapkan di dalam kehidupan. Bahkan ibu bapa akan dianggap sebagai musuh yang ditakuti dan perlu dijauhi. Andai anak-anak itu meningkat remaja, mereka mungkin mencari erti ‘ketenangan’ daripada penderaan dengan berjinak-jinak menghisap rokok, lari dari rumah, terlibat dengan gangsterisme, bahkan menyalahgunakan dadah.

Kesan penderaan kepada anak-anak ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Dikatakan bahawa mereka meneruskan ‘warisan’ ini bila mana mereka mendera anak-anak sendiri pula di atas faktor membalas dendam atau melempiaskan tekanan perasaan yang dilaluinya semasa kecil. Inilah antara gejala negatif yang menjadi implikasi daripada hilangnya nilai ‘kemerdekaan’ dalam jiwa dan minda kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan. Jika disoroti pernyataan di dalam Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak diiktiraf sebagai kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran negara. Akta ini turut menyatakan bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dan bantuan dalam segala hal dan mengiktiraf ibu bapa dan keluarga memainkan peranan dalam pembesaran, penyaraan dan kebajikan mereka. Namun mengapa masih ada lagi kes-kes penderaan?

Inilah satu gejala yang boleh diiktiraf sebagai budaya ‘barbarian’ dan tidak bertamadun. Apakah wajar anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa ini didera sedemikian rupa? Jika faktor mahu mendidik dijadikan alasan, ini bukanlah kaedah yang tepat. Jika ibu bapa dan rumah tidak lagi menjadi entiti perlindungan yang boleh diharapkan oleh anak-anak, apalah ertinya kata-kata yang biasa kita dengar iaitu ‘Rumahku, Syurgaku’ pada mereka.

Sebagai langkah membanteras gejala penderaan terhadap anak-anak ini, kerajaan sejak sekian lama serius melaksanakan kempen-kempen kesedaran dalam memupuk nilai kasih sayang dalam institusi kekeluargaan. Kempen-kempen kekeluargaan yang diuar-uarkan melalui media baharu, media massa, media cetak dan bahan-bahan edaran di pusat-pusat komuniti jelas cuba memupuk semangat dan kesedaran bahawa keluarga perlu diberikan keutamaan.

Dalam konteks perundangan pula, kerajaan telah menggubal Akta Kanak-kanak 2001 yang melindungi hak golongan kanak-kanak daripada sebarang perlakuan penderaan atau pencabulan hak mereka. Andai sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, seseorang itu boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya. Selain itu, sesiapa yang didapati mendera kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian, akan disiasat dan disabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Namun, langkah pencegahan gejala penderaan yang lebih bermakna adalah dalam kalangan ibu bapa sendiri. Pertamanya, ibu bapa perlu meluangkan lebih masa untuk mendampingi anak-anak mereka. Ianya dapat memberi kesempatan yang luas kepada ibu bapa memahami perkembangan dan keperluan anak-anak mereka serta memupuk tali silaturrahim yang erat dalam keluarga. Bawalah anak-anak bersiar-siar atau berkelah, bersukan, menyertai aktiviti komuniti dan keagamaan, dan sebagainya.

Kedua, ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab dan tatasusila. Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin dalam kalangan anak-anak bahawa ibu bapa adalah ‘role-model’ yang terbaik untuk diikuti. Ketiga, sekiranya anak-anak ada membuat kesilapan, dahulukan dengan nasihat dan teguran, bukan sewenang-wenangnya menghukum dan memukul membuta tuli. Hukuman yang ingin dikenakan sekalipun perlulah tidak melampaui batasan. Cukup sekadar untuk memberi pengajaran agar anak-anak tidak mengulang kesilapan.

Keempat, jika wujud sebarang bibit-bibit atau anasir yang boleh mendorong ke arah melakukan penderaan, ibu bapa perlu segera mendapatkan khidmat nasihat seperti kaunseling, pakar perkembangan psikologi kanak-kanak, pakar perubatan, ahli agama dan sebagainya.

Ingatlah bahawa suatu hari nanti anak-anak ini jualah yang akan membela nasib kita semasa tua. Jika dari kecil lagi sudah didera dan tidak diberikan bimbingan yang sewajarnya, tidak mustahil kita sebagai ibu bapa akan menjadi penghuni rumah-rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua kelak tanpa dilawati mereka lagi.

back to top