بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Artikel enche Neezam disiarkan hari ni. Macam biasa di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Artikel penuh ada di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
Tindakan Pantas Cantas Vandalisme
Sakit mata dan sakit hati! Itulah perasaan penulis apabila melihat dinding-dinding dan kaki lima di kawasan kejiranan saudara terdekat penulis diconteng dan disembur dengan perkataan yang tidak senonoh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sudahlah begitu, terdapat juga kesan bau air kencing manusia yang hanyir di sudut-sudut tangga apartmen tersebut yang cukup memualkan. Apakah takuk pemikiran sesetengah kita masih lagi seperti hidup di zaman batu? Tidak dapat digambarkan kesulitan yang terpaksa ditanggung masyarakat setempat akibat perbuatan vandalisme seperti ini di negara kita yang tercinta.
Laporan kes-kes vandalisme sangat acap kita ketemukan dalam media massa dan media cetak. Pada tahun 2016 misalnya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan telah menanggung kerugian lebih RM6 juta kerana menampung kos menggantikan 1300 unit tingkap koc komuternya yang pecah akibat perbuatan vandalisme. Contoh lain adalah kebakaran besar-besaran rumah kediaman kerana perlakuan mencuri kabel elektrik, kerosakan harta awam seperti di taman-taman rekreasi atau pengangkutan awam, kecurian yang berlaku terhadap harta milik surau atau rumah ibadat, dan seumpamanya. Perbuatan ini membuktikan bahawa pelaku vandalisme ini begitu ghairah melakukan perbuatan tidak bertamadun sebegini dan membelakangkan kepentingan dan hak orang lain.
Sememangnya penguatkuasaan dan tindakan undang-undang adalah antara kaedah terbaik dalam mengajar masyarakat untuk tidak melakukan vandalisme. Namun kaedah sebegini bukanlah jawapan yang bersifat total kepada pencegahan gejala buruk tersebut. Sebenarnya, kaedah psikologi dan pendidikan turut menyumbang ke arah pencegahan gejala vandalisme.
Dalam hal ini tidak berapa lama dahulu, kerajaan melalui Majlis Sosial Negara telah membuat keputusan untuk memulihkan kawasan-kawasan tegar dengan gejala sosial termasuklah vandalisme di sekitar Lembah Kelang. Majlis tersebut telah bersetuju melalui perbincangan bersama ahli akademik dan pakar dalam pelbagai bidang pembangunan sosial bahawa pelbagai projek sosial dan fizikal bagi memutihkan kawasan-kawasan tersebut berlandaskan ‘Teori Tingkap Pecah’ (Broken Window Theory) yang digagaskan oleh dua pakar sosiologi dari barat iaitu James Wilson dan George Kelling.
Teori Tingkap Pecah ini lahir hasil daripada kajian yang mendalam terhadap kaedah-kaedah yang paling signifikan dalam menangani keruntuhan nilai dan etika sosial dan menangani jenayah vandalisme di kalangan masyarakat di bandaraya New York, Amerika Syarikat pada awal 1980-an hingga 1990-an. Teori ini mendasari pemahaman bahawa untuk menangani gejala sosial, vandalisme dan seterusnya jenayah serius, keadaan fizikal di sesuatu kawasan itu perlu dipulihkan segera bagi meminimumkan pengulangan gejala yang sama.
Misalnya, jika ada tingkap bangunan yang pecah, ia perlu diganti dengan tingkap yang baru pada kadar segera. Jika tidak, lebih banyak lagi tingkap yang akan dipecahkan kerana si pelaku vandalisme akan merasakan pengurusan bangunan tidak mengambil endah akan kerosakan bangunannya dan meng'halal'kan perbuatan mereka. Begitu juga keadaannya dengan kaki-kaki lima atau lorong-lorong yang penuh dengan sampah, ianya perlu dibersihkan dengan segera. Jika tidak orang ramai akan terus meletakkan longgokan sampah yang lebih banyak kerana mereka memikirkan jalan tersebut sebagai tempat yang sesuai untuk dibuang sampah.
Berdasarkan teori ini juga, strategi terbaik mencegah kebejatan sosial dan vandalisme adalah dengan memperbetulkan sesuatu masalah sementara ianya masih tidak serius. Padang permainan kanak-kanak, telefon awam, tandas awam dan taman rekreasi merupakan antara kawasan yang perlu sentiasa dipelihara dan dipulihara bagi mengelakkan kes-kes vandalisme terus berleluasa.
Terdapat satu kajian longitudinal yang dibuat oleh pengkaji-pengkaji bidang sosial di Australia yang cukup menarik dalam mendasari kesesuaian Teori Tingkap Pecah ini dalam menangani vandalisme. Hasil kajian tersebut mendapati, walau pun undang-undang Graffiti Prevention Bill diperkenalkan pada tahun 2007 dan dikemas kini sehingga tahun 2016, namun tembok dinding kedai-kedai di persisiran bandaraya Melbourne seperti di Northcote, Geelong, Fitzroy dan Camberwell, acap kali menjadi dinding pameran lukisan-lukisan ‘graffiti’ oleh pelaku vandalisme. Hukuman denda serta-merta AUD1000.00 dan penjara sehingga maksimum dua tahun di bawah undang-undang ini seakan-akan tidak mendatangkan rasa takut kepada mereka.
Berdasarkan Teori Tingkap Pecah, apabila pemilik kedai hanya membatu dan tidak berbuat apa-apa, didapati bahawa semakin banyak graffiti yang dicorakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Berbeza dengan keadaannya bagi pemilik kedai yang tidak jemu mengecat semula dinding kedainya setelah diconteng berkali-kali, kejadian vandalisme graffiti sebegini akan berkurangan dan akhirnya terhenti sendiri.
Berorientasikan Teori Tingkap Pecah inilah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan tindakan-tindakan bersepadu dalam mewujudkan persekitaran kehidupan masyarakat yang bersih, selesa dan aman. Apabila persekitaran menjadi teratur dan indah, maka kebejatan sosial dan vandalisme dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan. Kita sendiri sedia maklum bahawa memang wujud sesetengah masyarakat yang sebenarnya tidak berniat untuk membuat kerosakan terhadap kemudahan awam, tetapi sebenarnya secara tidak langsung ada tindak-tanduknya itu yang mencerminkan sikap vandalisme.
Misalnya, kerana terlalu malas hendak turun ke tingkat bawah, ada penghuni rumah apartmen dengan selamba melempar bungkusan sampah dari tingkat atas ke bawah. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan tiadanya rasa bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, bahkan boleh mengundang maut jika sampah tersebut menghempap kepala orang lain di bawah. Begitu juga keadaannya dengan kemudahan-kemudahan awam yang tidak digunakan secara berhemah oleh masyarakat. Itu sebabnya kita selalu dapat melihat tiang-tiang telefon awam dan perhentian bas yang selalu menjadi mangsa vandalisme seakan-akan ‘hidup segan, mati tak mau’. Sikap seperti ‘tak apa, nanti ada orang lain akan bersihkan’, atau ‘ini bukan harta aku’ adalah antara penyebab mengapa kebejatan sosial dan vandalisme sebegini masih terus berulang dan tiada noktahnya.
Untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan persekitaran fizikal di kawasan-kawasan terpilih ini, kerjasama dan keprihatinan semua pihak adalah sangat-sangat membantu. Tanggungjawab pemulihan ini perlu dipikul secara holistik oleh semua pihak, bukan sekadar kerajaan atau majlis perbandaran, bahkan masyarakat dan setiap individu. Jika setiap ahli dalam masyarakat memberi sokongan walaupun sebesar zarah, ianya akan tetap bermakna. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan rasa kebertanggungjawaban apabila menggunakan kemudahan awam. Ajar dan berikan contoh terbaik kepada mereka untuk misalnya tidak membuang sampah sesuka hati, dan lebih baik lagi ajar mereka untuk kitar semula sampah yang dibuang untuk tujuan lain yang lebih baik.
Sikap tegur-menegur dan ambil peduli di kalangan jiran-jiran juga perlu supaya tidak ada yang lepas tangan dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran. Jika ada yang ternampak individu-individu tertentu yang membuat vandalisme, tegur mereka secara berhemah atau adukan segera kepada pihak yang berwajib. Amalan gotong-royong dan bekerjasama membersih dan mengindahkan kemudahan awam mahu pun kawasan kejiranan perlulah disemai dan dikekalkan. Memang sudah ada beberapa komuniti perumahan yang telah mengambil inisiatif dalam mengawal gejala sosial seperti mewujudkan rukun tetangga, mengecat semula dinding-dinding rumah dan balai raya, mengedarkan risalah-risalah berkaitan kebersihan dan menganjurkan program-program pendidikan, namun ianya perlu juga disuburkan dan diamalkan oleh semua komuniti masyarakat di seluruh negara.
No comments :
Post a Comment