بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Artikel pertama enche Neezam bulan August ni. Macam biasa di akhbar Berita Harian sisipan Minda.
Sedikit nasihat buat ibu bapa dan diri sendiri untuk betulkan niat didik anak-anak dalam perjalanan mereka menuntut ilmu.
Bukan Sekadar Dapat A
Menjelang suku terakhir dalam tahun 2019 ini, kebanyakan sekolah, ibu bapa mahu pun para pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Awam sudah memulakan ‘pecutan terakhir’ mereka demi persediaan terbaik untuk peperiksaan ini kelak. Misalnya, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung pada awal September, diikuti dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada penghujung September dan lain-lain lagi.
Penulis sendiri merasai bahang kehangatan persediaan peringkat akhir peperiksaan utama Malaysia ini apabila mendapat undangan untuk memberikan ceramah atau sesi motivasi akademik daripada sekolah-sekolah tertentu. Ini merupakan usaha murni daripada pihak sekolah dan warga pendidiknya yang serius dalam memberikan ‘tonik’ dan semangat walau pun di saat-saat akhir sebegini kepada para pelajar mereka sebelum bermulanya hari peperiksaan sebenar. Semoga calon-calon peperiksaan ini meraih kejayaan dalam peperiksaan mereka kelak, Inshaa Allah.
Dalam sistem pendidikan di negara kita, anak-anak sejak umur 4 atau 5 tahun telah mula mempunyai ‘chemistry’ atau hubungan dengan institusi pendidikan. Setiap hari mereka dihantar ke sekolah, lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragamnya mengikuti sesi persekolahan selama 6 hingga 7 jam sehari. Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan yang perlu dihadiri anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran atau kegiatan ko-kurikulum.
Kehidupan seharian anak-anak yang telah diprogramkan sebegini rupa menunjukkan budaya menimba ilmu yang tidak dapat disanggah peri pentingnya dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan inteleknya. Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu lumrah yang telah disusun atur oleh ibu bapanya.
Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar suatu rutin kehidupan harian daripada persepsi anak-anak, bahkan ia adalah salah satu kewajipan yang mesti dikerjakan oleh setiap orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW ‘Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim’. Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjuang menegakkan hak diri dan berjihad ke jalan Allah seperti mana hadis Rasulullah SAW, ‘Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali’ (riwayat al-Tirmizi).
Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak akan apa matlamat dan apa perlunya pergi ke sekolah sehari-harian? Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang menjawab bahawa mereka perlu ke sekolah demi mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang terutamanya dalam peperiksaan utama seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM.
Jawapan seperti ini dihujahkan oleh sesetengah bijak pandai sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan amalan dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk berjaya mendapat pekerjaan di masa hadapan. Bila anak-anak dibudayakan untuk terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan ‘A’ semaksimum mungkin dalam peperiksaan, ia menjadikan mereka tidak berfikir lebih jauh daripada tujuan tersebut.
Ibu bapa harus faham bahawa apabila anak-anak ke sekolah menuntut ilmu, maka ia hendaklah diikuti dengan amalan yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajari mereka. Imam Al-Ghazali Rahimahullah ada berkata: “Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan amalan yang sia-sia.” Apabila anak-anak tidak beramal dengan ilmu yang ada pada diri mereka, dikhuatiri bahawa apabila tiba saatnya, mereka menjadi orang yang menyesal dan meminta dikembalikan semula ke dunia, suatu perkara yang tidak mungkin terjadi.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Sajadah, ayat 12 yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat kebenaran di hadapan mata kami, kami telah mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan perkara yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan perkara yang baik-baik. Sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Maka anak-anak harus maklum bahawa mereka perlu menggunakan masa di dunia ini sebaik-baiknya dengan menuntut ilmu dan beramal dengannya, dan seterusnya menjauhi sikap hanya berbangga-bangga dengan amalan sedangkan ilmunya tiada.
Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ianya tidak menjadi kenyataan. Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika nombor dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu apa tidak dapat dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak-anak yang ‘kurang berjaya secara akademiknya’ disisihkan dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap ‘kurang bijak’ dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif. Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.
Bagi sesetengah anak-anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang dari ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian, semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata. Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan pemikiran orang-orang yang berilmu dan ‘kelihatan pandai’ tetapi tidak beramal dengan ilmu yang dipelajarinya.
Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. ‘Roh’ ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak usia kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang bukanlah salah, tetapi orientasinya kurang tepat. Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara ‘istiqamah’. Bak kata pujangga, gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman. Menurut perspektif Islam, dengan cara itu dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat. Saidina Ali bin Abi Talib RA ada berkata ‘Bahawasanya yang dikatakan orang ‘alim itu adalah mereka yang beramal dengan ilmunya dan ilmunya itu pula sesuai dengan amalnya’.
Ibu bapa sebagai ‘role-model’ yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu yang diperoleh. Contoh paling mudah adalah ibu bapa melazimi nilai dan pekerti mulia seperti rajin beramal ibadah, tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya. Hal-hal yang nampak mudah dan remeh ini sebenarnya adalah pencetus yang signifikan dalam memperihalkan peri pentingnya mengamalkan dan menjiwai ilmu yang diperoleh kepada anak-anak.
1 comment :
aida memang terapkan kat anak2 utk dpt A.
tak boleh tidak!
but, dlm masa yg sama, pndidikan dlm konteks lain juga aida terapkan.
A yg berkualiti :)
in shaa Allah...
kebetulan anak-anak aida hanya akademik.
bab koku diorang tak brape ke depan. involve, but not aktif.
ikut aida ler tu, agak pasif.
tapi aida x brape kisah. yg penting akademik ke depan. ok.
Post a Comment