بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Artikel enche Neezam di Berita Harian hari ni.
Artikel penuh di bawah, atau boleh ke laman web Berita Harian, klik sini.
Menyorot dari perspektif Islam, hari raya adalah antara syiar Islam yang agung. Hari raya disyariatkan bagi memenuhi dan menyempurnakan fitrah keperluan jiwa dan fizikal umat Islam sebagai manusia.
Ia turut dikaitkan dengan hari bahagia penuh gembira dan secara umumnya diraikan dengan tatacara sesuai syariat.
Justeru itu, pada kedua-kedua hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, umat Islam diharamkan berpuasa.
Diriwayatkan bahawa suatu ketika, apabila mengetahui adanya nyanyian oleh dua kanak-kanak perempuan, Rasulullah SAW tidak melarangnya. Bahkan, ketika mendengar Saidina Abu Bakar RA hendak melarangnya, Baginda bersabda: "Biarkanlah mereka." (Hadis riwayat Bukhari).
Umat Islam tanpa mengira darjat, keturunan, pangkat mahu pun usia berhak meraikan kejayaan melaksanakan tanggungjawab berpuasa sebulan sepanjang Ramadan, termasuk golongan kanak-kanak.
Selama 11 bulan bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu juga fitrah manusia dicemari dan dirosakkan. Maka dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik pada Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amal ibadah yang dapat menguatkan serta menyucikan semula fitrahnya. Dari perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.
Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa pada Ramadan lalu, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah yang menjadi satu daripada tunjang Rukun Islam ini.
Kita sedia maklum pada tahun sudah, Aidilfitri disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelaksanaan itu mengehadkan kemeriahan dan warna-warni sambutannya. Namun, pada tahun ini, sambutan lebaran menjadi cukup meriah, menyemarakkan perasaan gembira di hati umat Islam terutama kanak-kanak.
Pada hari raya kali ini, mereka berpeluang memakai baju serba baharu, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih raya, selain mengutip sampul berisi wang pelbagai warna serta berpeluang mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara juga sahabat handai.
Tidak ada salah untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila muncul Aidilfitri dan Aidiladha.
Anas Malik berkata: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) ketika jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabda Baginda lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri."
Bagaimanapun, kanak-kanak juga perlu dibimbing dan difahamkan konsep 'wasatiyyah' atau kesederhanaan menyambut hari raya mengikut lunas-lunas Islam.
Dalam hal mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci pada lebaran ini, ia tidak sepatutnya disulami dengan unsur negatif. Misalnya boros berbelanja untuk kelengkapan rumah dan pakaian, terlalu leka menonton rancangan hiburan di televisyen, melayari media sosial atau permainan dalam talian, membazirkan makanan, lalai melaksanakan solat atau bermain.
Kanak-kanak perlu diasuh untuk meneruskan kesinambungan amal ibadah tidak kira yang bersifat khusus atau umum yang dilaksanakan ketika Ramadan pada bulan berikutnya.
Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari ketika Syawal, selain setiap Isnin dan Khamis.
Begitu juga dengan meneruskan amalan qiamullail yang diakui kelebihan dan faedahnya dari sudut pandangan Islam juga perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah juga perlu digalakkan.
Ajarkan juga kanak-kanak memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya, berzikir dan berdoa kepada-Nya. Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah dan sentiasa mendapat petunjuk serta hidayah dengan izin-Nya.
Amalan mulia seperti menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat dalam berbelanja, bersedekah, ziarah-menziarahi, hormati orang tua dan sebagainya adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak. Tujuannya supaya mereka faham akan konsep 'amar makruf, nahi mungkar' iaitu memperbanyakkan amalan yang mulia dan meninggalkan perbuatan dilarang.
Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang Ramadan lalu tidak akan bermakna jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga tidak turut sama menunjukkan contoh baik sebagai ikutan mereka.
Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd NoorFakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.
No comments :
Post a Comment