بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Artikel enche Neezam hari ni di Berita Harian pula, bersempena dengan sambutan Hari Ibu.
Artikel penuh di bawah, atau boleh terus ke laman web Berita Harian, klik sini.
Hargai pengorbanan ibu, jauhi kata-kata mengguris hati
Setiap tahun Ahad kedua dalam bulan Mei dinamakan khusus sebagai Hari Ibu. Namun, kasih sayang dan menghormati seorang wanita bergelar ibu bukanlah terhad pada tarikh itu sahaja sebaliknya mereka perlu dirai setiap masa.
Islam menggariskan martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan seperti firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: 'Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).'
Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepadanya. Sebagai misalan, cerita rakyat, Si Tanggang yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
Nabi Muhammad SAW juga sudah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Baginda dan berkata: 'Saya ingin melaksanakan jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian'. Rasulullah SAW kemudian menjawab, 'Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.'
Kita sebagai anak perlulah memberi perhatian kepada ibu. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosi. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Kita juga berperanan untuk menegur ibu jika mereka membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh membuatnya tersasar daripada batasan disyariatkan Islam dan norma budaya serta masyarakat.
Bagi anak-anak yang berjauhan dengan ibu, jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga juga ibu sendiri, apa salahnya untuk membawa mereka menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.
Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat berakhir nafasnya di dunia ini. Walaupun mungkin ibu sudah meninggal dunia, sebagai anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan rohnya supaya sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya.
Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk 'Ke Makam Bonda karya Usman Awang: Begitulah bakti kami berikan, tiada sama bonda melahirkan, kasih bonda tiada sempadan, kemuncak murni kemuliaan insan. Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan ibu. Sememangnya syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu.
No comments :
Post a Comment