بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Artikel enche Neezam yang disiarkan di akhbar Harian Metro hari ni di sisipan Minda.
Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat!
Lazatkah Fitnah>
Suatu masa dahulu dalam menyebarkan atau mendapatkan sesuatu informasi atau berita, mungkin kemampuannya terhad. Terhad dalam konteks geografi, apabila informasi atau berita itu sekadar berpusing-pusing di khalayak ahli dalam sesuatu komuniti. Terhad dalam konteks kepantasan, iaitu hanya dapat diperoleh informasi tersebut apabila ia ditulis dalam akhbar atau dipanjang-panjangkan daripada mulut ke mulut individu sahaja. Namun hari ini, segala-galanya berubah. Informasi yang disebar atau diperoleh tidak memerlukan masa yang panjang. Informasi juga tidak lagi bersifat picisan atau kecil-kecilan. Dengan kepesatan teknologi komunikasi dan dunia siber, sesuatu berita itu akan bergerak dan dapat diperoleh khalayak dalam sekelip mata sahaja. Tiada batasan geografi, tiada batasan masa, dan tiada had kapasiti informasi seperti dahulu.
Akan hal ini, timbul satu isu yang biasanya dinafikan atau ditelan sahaja oleh masyarakat, iaitu pengesahan kebenaran sesuatu informasi atau berita. Berita atau informasi bersifat pendidikan keagamaan, kesihatan dan seumpamanya mungkin satu bahan bacaan yang menjadi keperluan bagi sebilangan masyarakat yang dahagakan ilmu dan ingin menambah nilai dalam pengetahuan am mereka. Namun, berita bersifat sensasi seperti cerita mengenai individu terkenal, artis, ahli politik, figura tersohor adalah lebih ‘diraikan’ dan kelihatan lebih cepat untuk diperbualkan, didebatkan, dan dipanjang-panjangkan. Dalam hal ini, berita sensasi sebegini pastilah tidak ada lagi nilai ‘tabayyun’ atau usaha mencari kredibiliti dan kesahihannya dalam kalangan masyarakat, terutama yang digelar masyarakat ‘netizen’ yang berkomunikasi di dunia maya media sosial. Lagi buruk atau negatif isi kandungan berita sebegini, maka lebih lagilah ia diraikan dan disebarluaskan. Dengan semudah menekan butang atau ikon ‘hantar’, maka berita sensasi itu akan tersebar ke seluruh pelusuk dunia atas talian. Natijahnya, kebenaran menjadi sepi, fitnah dijaja ke sana ke sini.
Apa maksud fitnah? Menurut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah adalah tuduhan, khabar, kisah atau seumpamanya yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang lain. Ini adalah satu gambaran spesifik dalam kalangan masyarakat kita yang bertepatan nukilan Ibn Hajar dalam Kitab Fathul Bari yang menyebut bahawa: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka”.
Menurut penulisan dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, fitnah berlaku dalam dua keadaan. Pertama, apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut. Kedua, apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak. Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam era masa kini, dengan kemudahan serba canggih, sebarang bentuk maklumat amat mudah sekali disebarluaskan terutamanya menerusi whatsapp dan internet. Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah konvensional dilihat masih lagi menjadi penyumbang tersebarnya berita fitnah seperti menerusi laporan akhbar dan televisyen yang tidak tepat, ceramah-ceramah yang semberono, sembang-sembang santai di warung atau kedai kopi, perbualan sesama rakan sepejabat dan sebagainya. Kesemua medium ini dilihat masih lagi menjadi pilihan bagi mereka yang berkenaan melakukan fitnah disebabkan ianya mudah membentuk persepsi tanpa akan dinilai atau dipersoal kesahihannya oleh sesiapa. Jenayah fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat Melayu pada ketika ini bukanlah suatu gejala baru. Menurut Mohd Shukri Hanapi dalam penulisannya, ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, malah yang menjadi mangsa fitnah itu adalah isteri Baginda sendiri, iaitu Saidatina Aishah RA. Peristiwa ini lebih dikenali sebagai Kisah Ifki (tuduhan jahat).
Dalam peristiwa yang digembar-gemburkan oleh kaum munafik itu, Saidatina Aishah RA telah dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral dengan Safwan bin Mu‘attal. Dalam kes ini, selain Saidatina Aishah RA sendiri sebagai mangsa fitnah yang terpaksa menanggung malu dan derita, Baginda Rasulullah SAW sebagai suami turut menanggung aib dan malu di hadapan masyarakat awam. Kesan fitnah tersebut telah menyebabkan baginda tidak banyak bercakap dan terpaksa mengurungkan diri daripada masyarakat awam sambil berdoa kepada Allah SWT supaya diberi petunjuk bagi menangani aib itu. Keadaan itu kembali pulih dengan turunnya wahyu Allah SWT melalui ayat 11-19 dalam Surah al-Nur.
Kisah yang melanda Rasulullah SAW ini memberi banyak pengajaran penting. Antaranya, jika dilihat dalam konteks semasa, fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat kita tidak boleh dianggap suatu perkara remeh-temeh, kerana ia boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan sehingga ke tahap jiwa dalam masyarakat. Seterusnya, kita perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita yang disampaikan oleh seseorang. Hal ini semata-mata untuk mengelak daripada terlalu tergesa-gesa dalam membuat sesuatu keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita yang disebarkan. Ia boleh menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Sedangkan si pemfitnah pula disanjung.
Dalam hal ini, apa yang nyata adalah berlakunya penganiayaan dan kezaliman. Bagi membuktikan lagi betapa bahayanya jenayah fitnah itu, menurut ahli akademik dan penulis sirah nabawiyyah, kematian Saidina Usman bin Affan RA adalah berpunca daripada fitnah disebarkan oleh kumpulan ekstremis agama. Peristiwa itu membawa kepada beberapa siri peperangan sesama umat Islam pada zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib RA. Bukan setakat itu, malah kejatuhan empayar dan pemerintahan Islam adalah berpunca daripada jenayah fitnah. Misalnya, akibat fitnahlah maka kekuatan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah runtuh sebegitu mudah.
Jika dibiarkan jenayah fitnah menguasai jiwa, ia akan terus melekat di hati seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Hati yang dihinggapi oleh fitnah akan menumbuhkan padanya bintik-bintik hitam, manakala hati yang tidak dihinggapinya, akan menumbuhkan padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua. Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran. Segala-galanya adalah mengikut keinginan” (Riwayat Muslim).
Kita juga harus menyedari akan kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama dan mereka akan dihumban ke dalam neraka. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Riwayat Bukhari). Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar-penyebar fitnah.” (Riwayat al-Tabrani).
Terdapat banyak panduan dalam mengatasi dan mengelakkan gejala dan jenayah fitnah terus berleluasa seperti mana yang disarankan oleh agamawan dan ilmuan Islam. Pertamanya, jangan mudah percaya segala fitnah yang disebarkan kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kita seharusnya dan sedaya-upaya mesti mencegah fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu adalah wajib. Ketiga, harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, jangan bersangka jahat terhadap orang yang difitnah, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelimanya, jangan selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah SWT melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka janganlah memberitahu sesiapun segala fitnah yang disebarkan itu.
Terakhirnya, ketebalan fitnah yang melekat di hati manusia itu dapat dibersihkan dengan solat, puasa dan zakat. Diriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya: “Saidina Umar al-Khattab RA pernah bertanya kepadaku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah SAW meriwayatkan tentang fitnah? Para Sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Saidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Saidina Umar berkata: Fitnah tersebut boleh dihapuskan oleh solat, puasa dan zakat.” (Riwayat Muslim).
No comments :
Post a Comment