بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Alhamdulillah... macam biasa... artikel enche Neezam disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda.
Untuk artikel penuh, sila baca di bawah ni yer... Kami nak keluar beraya ni... hehehhe..
Selamat membaca dan semoga bermanfaat!
Apabila Kemurungan Melanda
Sesekali apabila kita menyelak helaian akhbar, menonton berita di kaca televisyen, atau merujuk perkongsian dalam aplikasi sosial di internet, kita akan temukan laporan mengenai insiden penderaan, pergaduhan, mahu pun bunuh diri, yang berlaku akibat kemurungan atau depression. Melalui laporan-laporan ini kita dihidangkan dengan pelbagai andaian mengenai kemurungan yang menyebabkan pelaku jenayah sebegini tidak memikirkan lagi sempadan dan kewarasan dalam bertindak-tanduk. Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Banyak punca berlakunya kemurungan dalam diri seseorang. Menurut Portal Kementerian Kesihatan Malaysia antaranya disebabkan oleh perubahan kimia dalam otak iaitu berlaku ketidakseimbangan kimia (Neurotransmitter Serotonin dan Norepinephrine). Ada juga yang mewarisi kemurungan daripada generasi keluarganya terdahulu atau persekitaran hasil daripada peristiwa hidup seperti kegagalan, kematian, atau bencana yang melanda dan kekurangan sokongan keluarga dan sosial. Kemurungan turut boleh terjadi apabila seseorang mempunyai penyakit-penyakit lain seperti gangguan fungsi thyroid hypothyroidism atau penyakit kronik lain. Kemurungan juga secara psikologinya berpunca daripada gaya dan corak pemikiran seseorang yang melibatkan bagaimana persepsi seseorang kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya.
Kita tidak boleh beranggapan kemurungan ini satu gejala yang berada jauh daripada parameter kehidupan kita. Kononnya, kita lihat kehidupan kita sentiasa kelihatan gembira, penuh hilai ketawa dan serba-serbi bahagia yang bukan indikator jelas kepada kemurungan. Silap-silap, anak-anak, keluarga terdekat mahu pun diri kita sendiri adalah penghidap kemurungan. Ada dalam kalangan kita yang terus-menerus bersikap denial atau menafikan bahawa sedikit-sebanyak mereka menunjukkan simptom-simptom kemurungan walau pun ia masih di peringkat awal. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 29 peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental termasuk kemurungan. Ini adalah indikator peningkatan yang tinggi berbanding hanya 10 peratus pada tahun 1996. Boleh disebut secara mudah, satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai masalah mental! Ini adalah sesuatu yang membimbangkan.
Kita harus mengetahui tanda dan gejala yang menjadi indikator bila seseorang itu sedang dirundung kemurungan lebih-lebih lagi jika ia ditunjukkan oleh ahli keluarga mahu pun sahabat rapat. Misalnya, seseorang itu kelihatan bersedih atau berada dalam status kekosongan perasaan yang berpanjangan. Kemudian, hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan, cepat rasa letih dan tidak bertenaga, mudah putus asa, mudah rasa bersalah dan rasa diri tidak berguna. Tanda-tanda lain adalah apabila seseorang selalu mendapat gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur, hilang selera makan dan penurunan berat badan mendadak, mudah marah dan tantrum, dan yang lebih teruk adalah apabila ada kecenderungan untuk berfikir bahawa penyelesaian masalah adalah dengan membunuh diri.
Bijak pandai dalam bidang psikologi dan perubatan mencadangkan banyak langkah pencegahan dan pembetulan yang perlu diambil secara proaktif dalam membendung kemurungan daripada menjadi kronik dan membahayakan penghidapnya dan orang-orang di sekelilingnya. Antaranya, kita perlu ketahui penyakit kita dengan cara berjumpa dengan pakar psikiatri atau doktor dan mendapatkan konsultasi daripada mereka. Seterusnya, patuh patuh kepada ubat-ubatan dan rawatan susulan andai dinasihatkan sebegitu oleh pakar perubatan. Kemudian, kita perlu mengamalkan cara berfikir yang positif dan tenang dan menguruskan konflik-konflik yang boleh memekarkan tekanan dan kemurungan. Gaya hidup yang sihat perlu menjadi amalan dengan cara bersukan, berekreasi atau melakukan aktiviti fizikal yang boleh membuat kita rasa gembira, dapat bersosial dengan keluarga dan rakan-rakan, dan memenuhi hobi atau aktiviti kegemaran kita.
Begitu pun, Islam memberikan panduan yang berbeza dalam pemerihalan usaha mengatasi masalah kemurungan. Manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu. Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya. Bijak pandai bidang agama menegaskan bahawa proses penyembuhan kemurungan dan masalah mental yang lain adalah secara kerohanian. Ia dilihat sebagai alternatif terbaik untuk merawat penyakit-penyakit mental ini dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat dan melakukan amar maa’ruf sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud : “Maka ingatlah kepadaku. Aku juga akan ingat kepadamu” (Surah al-Baqarah ayat 152).
Ini merupakan peringatan dan panduan bahawa andai kita sentiasa ingat dan membesarkan keEsaan-Nya, maka Allah SWT akan melindungi kita sepanjang masa. Begitu jua dengan ingatan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat” (al-Baqarah, ayat 153). Ini adalah isyarat jelas bahawa Allah SWT akan membantu dan melindungi kita sebagai hamba-Nya mengatasi sebarang permasalahan termasuk masalah mental dan kemurungan dengan syarat kita berusaha dan berdoa dengan penuh kesabaran dan tidak sesekali culas melaksanakan solat.
Selain itu, antara panduan yang boleh digunakan sebagai terapi jiwa menggunakan pendekatan Islam amalan membaca al-Quran, berwudhu’, dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW sebagai satu bentuk usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengingatkan diri akan kematian dan balasan di akhirat. Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi generasi yang cergas, cerdas dan bersemangat untuk menghadapi cabaran kehidupan yang sememangnya menekan emosi dan jiwa. Islam menggalakkan kita meyeimbangkan juga usaha membendung penyakit mental ini secara fisiologi atau lahiriah. Antaranya ialah menjaga kesihatan diri melalui pemakanan seimbang dan mengikut sunnah dan aktiviti fizikal dan riadah secara tekal.
Islam juga menyarankan melalui panduan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat banyak dalam hal pembentukan silaturrahim dan hubungan sosial yang baik dalam masyarakat. ‘Kera sumbang’, ‘hidup secara silo’ atau cenderung bersendirian adalah terma dan petunjuk kepada kecenderungan penyakit mental di mana kurangnya asimilasi, komunikasi, dan perkongsian aspirasi bersama pihak lain secara kolektif. Ia seterusnya akan membawa kepada sikap suka menyimpan dan memendam rasa tanpa mendapatkan bantuan dan pandangan pihak lain. Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling berupaya merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang, bersemangat dan bermotivasi dalam meneruskan kelangsungan hidup.
No comments :
Post a Comment