بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Artikel enche Neezam disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda.
Artikel penuh di bawah ni.... Eh... Dialog Kotaraya pasal durianlah... huhuhu...>
Perpecahan Lemahkan Negara
Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Ia membawa erti persefahaman dalam sesebuah masyarakat dapat membuahkan kejayaan manakala perbalahan akan menyebabkan perpecahan. Namun, persoalannya apakah kita semua menghayati maksud peribahasa ini kalau disandarkan kepada senario semasa di seluruh tanah air? Sejak kebelakangan ini, sebilangan masyarakat kita kelihatan semakin galak membugarkan perpecahan, tercari-cari perbezaan dan kelemahan pihak lain, menyebarluaskan fitnah dan keburukan, serta bertepuk tangan melihat pihak yang dibenci jatuh terjelepuk ditimpa kesukaran dan kejatuhan.
Medium penyebar perpecahan mutakhir ini pula umpama ‘minyak pelincir’ yang canggih terutamanya melalui dunia maya di internet. Namakan apa sahaja medium dan aplikasinya seperti e-mel, Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram, Telegram atau Skype, semuanya adalah medium pilihan masyarakat pelbagai latar belakang demografi. Ia merentasi jantina, bangsa, agama, batasan negara, tahap pendidikan, kerjaya dan sebagainya. Inti pati persengketaan dan permusuhan sangat ‘pantas dan mudah disebar dan dicapai oleh masyarakat ‘netizen’. Ia boleh disebarkan 24 jam sehari, sampai ke pengetahuan khalayak sepantas sekelip mata, kebolehan untuk mengubah suai kandungan audio atau video menggunakan perisian tertentu, dan sebagainya.
Cerita dan kisah yang dijaja-jaja pula meloyakan. Skandal, isu keluarga, pergaduhan, permusuhan, atau apa sahaja, asalkan ia boleh menjadi ‘bahan berita’ yang sensasi, boleh mengundang gelak ketawa, boleh meraih simpati dan benci, maka ianya menjadi mahal di mata pilihan penyebar cerita. Walhal, jika perkara yang sama berlaku kepada diri sendiri, sudah tentulah penyebar cerita pun akan melenting dan menaikkan suhu kemarahan. Maka, persoalannya, mengapa mereka rasa begitu lazat berkongsikan hal yang tidak sepatutnya untuk tatapan khalayak?
Natijahnya, pertelingkahan, fitnah, buruk sangka dan persengketaan kian berkembang biak dalam masyarakat. Tiada lagi asas untuk percaya-mempercayai, apatah lagi untuk saling hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan bersatu padu. Dalam konteks umat Islam, perpecahan hanya menyebabkan umat Islam hilang kehebatan di mata musuh sehingga boleh menyebabkan umat Islam ditindas serta diancam keselamatan nyawa, harta benda dan sehingga ke tahap kesucian akidah. Rasulullah SAW sendiri diutuskan Allah SWT untuk menyatupadukan manusia pada zaman jahiliah di jazirah Arab supaya mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
Perpecahan, perbalahan dan permusuhan sesama sendiri seperti ini melunturkan sedikit demi sedikit semangat perpaduan. Sedangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam amat penting dan mesti dipelihara demi masa depan yang sentiasa harmoni. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Surah ali-Imran, ayat 103). Sesungguhnya perpaduan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara. Sebaliknya, perpecahan, perbalahan dan permusuhan akan membawa kehancuran dan kemusnahan. Dalam hal ini, Allah SWT mengingatkan kita supaya mengutamakan perpaduan demi kekuatan ummah melalui firmannya yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar” (Surah al-Anfal, ayat 46).
Perbalahan ini mencakupi semua aspek sehingga perkara kecil pun dijadikan punca kepada pertelingkahan dan kemudiannya mengakibatkan perpecahan. Gejala perpecahan ini menjadi bertambah buruk apabila terdapat sesetengah pihak yang melemparkan cercaan dan kehinaan terhadap bangsanya sendiri secara bebas dan terbuka tanpa sekatan, tanpa rasa dan segan dan silu. Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap kasih sayang, berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Sebaliknya nilai-nilai mulia ini hendaklah dihayati kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita saling memerlukan antara sesama anggota badan yang lain. Namun demikian, realitinya sekarang ini, semua nilai-nilai murni itu kurang diambil perhatian. Ia sepatutnya wujud dalam diri setiap Muslim di setiap peringkat. Sepatutnya nilai-nilai murni itu menjadikan kita umat yang insaf, sentiasa memperbaiki kesilapan diri, menjauhi perpecahan dan pertelingkahan, nasihat menasihati antara satu dengan yang lain, dan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Berdasarkan inti pati khutbah Jumaat terbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, alim ulama’ menyarankan lima langkah yang tuntas dalam membentuk dan membugarkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Pertama, saranan untuk berusaha ke arah perpaduan bukanlah menjadi pilihan peribadi yang boleh dibicara mengikut selera hati individu tetapi merupakan sunnah kewajipan yang menjadi teras kepada semua pihak. Perpaduan di antara kepelbagaian kaum, agama dan ideologi politik tidak boleh dielakkan demi memastikan negara terus aman dan makmur meskipun wujud jurang perbezaan yang ketara. Perpaduan dan kasih sayang sebenarnya mewujudkan keselamatan dan kemakmuran yang dapat terus dinikmati pada hari ini.
Kedua, umat Islam perlu memahami kepentingan perpaduan dan nilai kasih sayang sehingga ke tahap pencernaan sifat-sifat tersebut di dalam pemikiran serta urusan hidup seharian. Pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan toleransi agama selama ini, pastinya dapat diperkukuhkan dengan prinsip kesederhanaan dan Rahmatan Lil-a’lamin. Kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan tinggi kasih sayangnya. Pastinya dengan itu akan membuka ruang untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara.
Ketiga, menganjurkan program bersifat penglibatan secara langsung dengan tema perpaduan agar aspirasi ke arah perpaduan menjadi tindak balas fitrah masyarakat madani dan bukan sekadar bermusim. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan seumpamanya,boleh mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Ini menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dalam berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa membataskan sempadan agama dan bangsa. Dengan itu, masyarakat tidak kekok dalam memainkan peranan untuk melahirkan permuafakatan sesama sendiri.
Keempat, melahirkan lebih banyak pelapis dan pendakwah yang akan meneruskan agenda perpaduan supaya generasi muda turut menjadi agen perpaduan pada usia seawal mungkin. Dalam sedar ataupun tidak, golongan muda kini merupakan kelompok terbesar dalam populasi masyarakat di Malaysia yang berpotensi untuk membangun masa depan negara kerana mempunyai banyak tenaga, idea serta meneruskan agenda perpaduan dan pembangunan negara.
Kelima, menjadikan agenda perpaduan dan kasih sayang sebagai agenda umat di peringkat negara mahupun dunia Islam global agar suasana persekitaran itu sendiri menjadi faktor pendesak ke arah perpaduan ummah. Umat Islam sepatutnya mengambil peluang untuk memperkasakan beberapa perkara yang berkaitan dengan Islam. Ia bukan sahaja untuk menyebarkan syiar dan syariat Islam bahkan menyelesaikan isu perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Umat Islam diseru agar bersatu-padu dan bantu membantu seterusnya memperkukuh perpaduan dan mengelak perpecahan. Ini dapat dilaksanakan dengan membina hubungan yang baik di setiap lapisan masyarakat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10).