Hari guru tiba lagi. Tiba-tiba jer terkenang masa aku menjadi guru sandaran kat Sekolah Menengah Teknik Setapak; walaupun sekolah teknik tetapi ada juga kelas-kelas vokasional. Banyak kenangan manis dan pahit menjadi cikgu tapi yang pastinya memang seronok dan kadang kala menguji kesabaran. Lebih-lebih lagi kalau mengajar budak yang memang tak nak belajar dan nakal!
Masa menjadi cikgu sandaran, aku mengajar matapelajaran bahasa Melayu dan sejarah. Ingat lagi 1st day masuk mengajar bahasa Melayu kelas tingkatan 4 PPU. Satu kelas tu ada 48 orang! Giler ramai. Dah tu bebudaknya serius nakal. Lelaki perempuan sama ajer. Aku 1st day dah lah agak nervous. Serius! Tapi disebabkan bebudak yang maha nakal, hilang nervous aku dan terus aku jadi marah. Kelas maha bising, budak-budak berborak, dan tidur; tak menghiraukan aku yang sedang mengajar kat depan. Akhirnya aku kalah, keluar dari kelas tanpa salam dan menangis. Huhuhu... Ada students yang perasan, ada jugak yang masih sebuk berborak.
Kat bilik guru, ramai cikgu-cikgu yang comfortkan aku. Malulah jugak. Hahaha... Tapi memang geram sangat dan cikgu-cikgu lain semua kata bebudak kelas tu memang nakal-nakal belaka. Insiden tu akhirnya sampai ke pengetahuan pengetua sekolah dan kelas tu dibahagikan kepada 2 kelas. So, satu kelas dalam 20++ students jer.
Hari lain, 2nd day masuk kelas yang sama, kebanyakkan student minta maaf kat aku tapi still nakal lagi. Macam-macam aku buat untuk ambil perhatian diorang untuk belajar. Memang menguji kesabaran.
Aku tak taulah apa dah jadi dengan diorang sekarang; tak mungkin masih belajar atau mungkin sedang bekerja kat restoran makanan segera jer. Hehehe... Ish tak baik aku cakap macam tu kan? Aku tak lah mendoakan diorang macam tu. Tapi itulah yang aku cakap dulu kat diorang yang nakal tu; "awaaaaakkk, kalau tak nak belajar betul-betul, 10 tahun lagi awak kerja kat kfc jer tau!" Hahahha... ayat-ayat keji seorang guru, tapi serius... aku tak doakan diorang macam tu, betuuuuul... aku hanya nak diorang sedar jer tentang masa depan diorang.
Seronok jadi guru walaupun banyak dugaan. Dulu masa nak pilih upu, mak cakap pilih jadi cikgu, "kerja 5 hari seminggu, kerja separuh hari, habis belajar terus posting, tak payah nak fikir cari-cari kerja dah dan banyak benefit lain", tu kata mak lah. Tapi mentality aku masa tu fikir, "tak nak lah masuk sekolah balik, aku nak kerja kat office, ada bilik sendiri, ada air-cond, ada komputer". Yup... walaupun dulu aku kerja ada bilik sendiri, air-cond, gaji pun sedap almost 3k tapi still aku menyesal sangat tak ikut cakap mak, baru sebuk nak ambik kpli. Kenapa aku menyesal sangat? Sebab dulu aku dapat offer maktab perguruan, tapi aku tolak dan aku ke UTM. Masa tu aku fikir “apa kelas maktab, universiti baru standard...” Hahaha... ayat keji lagi... Dan menyesal sangat sebab aku fikir, kalau aku jadi cikgu bolehlah aku cuti tanpa gaji sebab ikut husband belajar kat sini. Balik nanti tak payah nak fikir cari kerja lain dah tentu ada kerja. Lagipun jadi cikgu memang best sangat! Tapi sekarang aku jobless. Terpaksa berhenti kerja. Balik nanti kena cari kerja semula. How frustrating... Sebelum ni, tiga kali gi temuduga kpli tapi masih tak der rezeki. Kawan-kawan satu course masa kat utm pun ramai yang ambil kpli dan jadi cikgu sekarang ni. Rezeki masing-masing kan...
Nway, pengalaman setahun jagung aku tu membuatkan aku sedar betapa hebatnya menjadi seorang guru; hebat kerana cabaran menjadi guru tu bukan senang, hebat kerana kadang-kala seorang guru tu berjaya menjadikan anak murid beliau bergaji lebih besar dari gaji seorang guru... Dan sebab itulah juga aku nak sangat menjadi guru. Insya Allah kalau masih ada peluang dan rezeki...
So, bersempena dengan hari guru ni, aku ingin mengucapkan ‘SELAMAT HARI GURU’ kepada suami tercinta, Khairunneezam Mohd Noor; ayah mertua, cikgu Mohd Noor Abdullah; mak mertua, cikgu Zaleha Ismail; dan semua guru-guru, pensyarah-pensyarah, ustaz ustazah di mana sajer anda berada.
Dan berikut adalah keratan artikel Neezam hari ni di surat khabar Utusan Malaysia mengenai guru bersempena dengan hari guru...
Tugas guru martabatkan profesion keguruan
Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
MASIH kental lagi tersemat di dalam kotak pemikiran penulis akan pengalaman menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun yang lalu terutamanya ketika menyambut sambutan Hari Guru pada tahun tersebut.
Pada ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru-guru lain membacakan ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu Guru Malaysia dalam majlis perhimpunan, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan ini mempunyai nilai yang unik dan tersendiri.
Teringat juga kenangan manis apabila air mata ini begitu mudah mengalir apabila ada anak murid miskin yang bersusah payah mencarikan ‘hadiah’ sebagai ucapan terima kasih sempena sambutan Hari Guru ini.
Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.
Begitu jua dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid. Lantaran itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan anak-anak murid.
Namun, tidak semua pihak terutamanya ibu bapa dan anak-anak murid itu sendiri yang faham akan niat murni para guru, lantas mengambil pelbagai tindakan yang ‘terburu-buru’ dengan menghukum dan mengheret guru ke muka pengadilan.
Itu adalah antara cabaran yang perlu ditempuh oleh guru zaman sekarang dan guru perlu terus menguatkan azam, menunjukkan wibawa diri dalam usaha memartabatkan profesion keguruan mereka.
Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom terdapat lima fokus yang diharapkan mampu mengekalkan kejayaan dan kegemilangan dalam karier seseorang guru.
Pertamanya, kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sumber rujukan dalam bidang masing-masing. Bukan sahaja anak murid, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.
Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun dengan baik berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi role-model kepada anak-anak muridnya. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.
Ketiga, kemurnian akhlak seseorang guru itu turut menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki towering personality ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka.
Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak dapat tidak, perlu dihadapi dan ditangani oleh guru.
Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut "sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru."
Ujarnya lagi, "Menjadi cikgu pula ibarat meletakkan ‘roh’ guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja."
Nyatanya, selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan akan budi dan jasa guru-guru kita.
*juliet le sweetheart : selamat hari jadi kepada cikgu Sharmila, yang mungkin masih mengajar di Sekolah Menengah Teknik Setapak. Dulu cikgu Sharmila kata, dia nak jadi cikgu sebab dia lahir masa hari guru... :D
5 comments :
kite pun dulu jadik cikgu gak. cikgu tadika.. hehehe.. tapi brapa hari keje. terus berhenti, tanak amik gaji. bukan sebab student. sebab cikgu/ustaz. (kite cikgu tadika islam). ustaz tu jahat sgt, ada ke budak 5 tahun dia belasah, tampar kuat2 then kurung dalam toilet coz budak tu main time baca doa. iskk.. kite tegur, kite plak kena. rasa mcm nak report police pun ada. tapi fikir cikgu besar dia kwn mak kita aje, rasa malas.. tapi sian kat bebudak tu. anis nanti hantar tadika cina pun takpe la. ada cikgu laki ni, kite takut gak mcm2 jadik
Eeeee kejamnya ustaz tu. Tak berhati perut langsung. Dahlah budak 5 tahun. Baru nak kenal alam persekolahan. Ustaz ke setan tu? Tak pun ustaz tu ada tekanan perasaan..
ntah le.. tengok cikgu2/ustazah lain buat dunno aje. kita tgk pun sakit hati je rasa. hilang respect although diorang sume pakai jubah n tudung labuh. (kite sorang je pakai tudung pendek kat situ..hehehe)
salam..hihi..rajin gak baca blog awak nie.hope u don mind..tgk blog nie kt ur fotopagie. saya nie mmg ada hobby suka baca blog org..hihi..
betul tu..jd cikgu nie mmg sonok.lg2 bila ngajar budak skolah rendah.dulu sy ngajar tusyen jek.sonok bila murid2 suma paham apa yg kita ajar.skang nie ngajar budak u.xseseronok cm ngajar budak skolah.budak u ni paham@xpaham muka tetap sama jek.tp last2 suke komplen kt blakang
Salam Sya, tq sebab sudi melawat blog i ni :)
Post a Comment