♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, May 29, 2008

Ilmu tanpa amalan bawa kesan negatif

Artikel Neezam di Berita Harian hari ni.

Ilmu tanpa amalan bawa kesan negatif

DALAM sistem pendidikan di negara kita, anak sejak usia empat atau lima tahun sudah mula mempunyai hubungan dengan institusi pendidikan iaitu taman didikan kanak-kanak (Tadika).

Setiap hari mereka dihantar ke sekolah, lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragamnya mengikuti sesi persekolahan selama enam hingga tujuh jam sehari. Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan yang perlu dihadiri anak seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran atau kegiatan kokurikulum.

Kehidupan seharian anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan budaya menimba ilmu yang tidak dapat disanggah pentingnya dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan inteleknya. Namun, ada anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu lumrah yang disusun atur ibu bapa.

Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar suatu rutin kehidupan harian daripada persepsi anak, bahkan ia adalah salah satu kewajipan yang mesti dikerjakan oleh setiap orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah, ‘Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim’. Anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjuang menegakkan hak diri dan berjihad ke jalan Allah seperti mana hadis Rasulullah, ‘Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali (Riwayat al-Tirmizi).

Sebagai ibu bapa, pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak seperti "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari? atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh? Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak bahawa "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin." >

Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak melangkahkan kaki ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk berjaya mendapat pekerjaan pada masa hadapan. Bila anak dibudayakan untuk terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan ‘A’ semaksimum mungkin dalam peperiksaan, ia menjadikan mereka tidak berfikir lebih jauh daripada tujuan berkenaan.

Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan. Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika kedudukan dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu apa tidak dapat dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak yang ‘kurang berjaya secara akademiknya’ disisihkan dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Mereka kemudian mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap ‘kurang bijak’ dengan terbabit dalam gejala negatif seperti merokok, melepak, merempit, vandalisme, mabuk, menagih dadah bahkan membunuh diri. Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.

Bagi sesetengah anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang dari ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian, semudah hilangnya nota-nota atau buku rujukan dari pandangan mata. Mungkin juga gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan pemikiran orang yang berilmu dan ‘kelihatan pandai’ tetapi tidak beramal dengan ilmu yang dipelajarinya.

Ibu bapa sebagai ‘role-model’ yang paling rapat dengan anak wajar memberikan teladan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu yang diperoleh. Contoh paling mudah adalah dalam hal beramal ibadat misalnya mengajak anak mengerjakan solat pada awal waktu, rajin melaksanakan puasa sunat serta bertadarus al-Quran bersama-sama.

Dalam hal moral dan tatasusila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya. Hal-hal yang nampak mudah dan remeh ini sebenarnya adalah pencetus yang signifikan dalam memperihalkan peri pentingnya mengamalkan ilmu yang diperoleh kepada anak-anak. Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dalam membangunkan martabat diri mereka sendiri, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
University La Trobe,
Melbourne Australia

*juliet le sweetheart : dulu kat UTM aku belajar Software Engineering. Sementara menjadi surirumah ni takut semua ilmu yang aku belajar 4 tahun tu hilang plak. What to do?

No comments :

back to top