♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Tuesday, May 20, 2008

Budaya keluar minum

Artikel Neezam mengenai ‘Budaya Keluar Minum’ disiarkan di kedua-dua suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian hari ni.

Masa aku bekerja dulu pun aku ada juga beberapa kali ‘berpengalaman’ berurusan dengan orang yang asyik keluar minum jer; 8.30 pagi masuk kerja (tu pun kalau datang on time), 10-11.30 pagi minum pagi, 12.30-2 ptg lunch, 3-4.30 ptg minum petang, 5.30 balik. Dan kebanyakkannya orang-orang macam ni adalah yang bekerja di pejabat-pejabat kerajaan dan company Melayu. Serious! Aku tak lah kata semua company Melayu dan kakitangan awam macam tu yer… tapi ada lah beberapa persen. Macam manalah business nak maju. Sebab tu masa kerja dulu aku lebih suka berurusan dengan company cina; lagi cepat dan senang. Bukan tak nak tolong bangsa Melayu, tapi kadang-kadang diorang yang tak reti nak tolong diri sendiri. Waktu keluar minum kadang-kadang lebih lama dari waktu bekerja.

Kat blog Neezam pun ada cerita ‘tipu kelentong’ pengalaman orang yang terpaksa deal dengan orang kaki kuar minum ni. Walaupun cerita tu hanya rekaan semata-mata, tapi aku percaya insiden tu banyak terjadi di dunia nyata...

Budaya keluar minum

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dalam titahnya pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-65 baru-baru ini menggesa para penjawat awam supaya tidak mementingkan diri sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan awam. Baginda turut bertitah bahawa penjawat awam perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti serta sanggup berkorban demi kemakmuran rakyat dan negara.

Demi menyahut aspirasi murni Tuanku Syed Sirajuddin, kakitangan awam harus membuang jauh-jauh sifat mementingkan diri dan amalan negatif yang mampu mencalarkan nilai integriti dan merendahkan keberkesanan perkhidmatan seperti merasuah, curi tulang, ponteng kerja dan birokrasi. Tidak ketinggalan amalan keluar minum yang nampaknya masih begitu kental menghantui diri kakitangan awam.

Sebagai pelanggan atau orang awam, mungkin ada dalam kalangan kita selalu merungut-rungut dan berasa meluat mendengar alasan ‘pegawai sedang minum’ apabila ingin menyelesaikan urusan penting dengan sesetengah jabatan kerajaan.

Apatah lagi bila kita sedang dihambat masa dan sesuatu urusan itu hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk diselesaikan. Bertambah sakit hati lagi apabila datang berurusan pada waktu pagi, diminta oleh pegawai di kaunter untuk datang pada sebelah petang, dan apabila datang pada sebelah petang, diminta untuk datang pada keesokan hari semata-mata kerana pegawai pergi minum.

Budaya keluar minum dalam kalangan kakitangan awam ini sememangnya masih galak berlaku. Cubalah jenguk restoran, warung dan kafetaria yang berhampiran dengan pejabat-pejabat kerajaan pada hari-hari bekerja. Boleh dikatakan bahawa tempat-tempat makan ini memang tidak akan sunyi dengan pelanggan yang turun minum, rata-ratanya kakitangan awam.

Tidak menjadi keanehan juga jika kita bertemu dengan sebilangan kakitangan awam yang berkali-kali datang ke kedai makan hanya untuk minum sambil ‘bergebang’ membuang masa!

Tiada salahnya untuk berehat seketika pada waktu bekerja. Daripada perspektif saintifik, diakui bahawa penggunaan domain-domain afektif (perasaan dan emosi), psiko motor (fizikal) dan kognitif (pemikiran) seseorang itu mempunyai hadhadnya. Ia perlu disegarkan semula dengan cara berehat seketika untuk mengelakkan unsur-unsur negatif berlaku seperti stres dan kelesuan.

Namun, yang silapnya apabila keperluan dan kelonggaran untuk berehat itu disalahgunakan seterusnya mengganggu kelancaran urusan pejabat terutamanya jika berurusan dengan pelanggan secara langsung. Itu sebabnya apabila diajukan persoalan tentang fenomena waktu minum dalam kalangan kakitangan kerajaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam melahirkan rasa kurang senangnya dan mahukan mekanisme kawalan dan tindakan proaktif diambil oleh semua pihak.

Menurut beliau, kakitangan awam perlu sentiasa tepat pada masanya dan mengutamakan pelanggan bukannya membuang masa dengan berbual-bual perkara tidak berfaedah di kedai makan sehingga boleh menimbulkan prasangka buruk daripada masyarakat.

Sebagai kakitangan awam, mereka perlu ingat bahawa tugas yang dipikul adalah suatu amanah yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat. Akan peri pentingnya sifat amanah ini disebutkan dengan jelas melalui Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal, ayat 27, bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak amanah."

Bukan sekadar tidak beriman bahkan tergolong dalam golongan orang munafiklah adanya bagi orang yang tidak amanah seperti sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain: Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.’

Mengkhianati amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak berfaedah bermaksud makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha yang dilaksanakan?

Bahkan perlu juga difikirkan adakah ia halal untuk digunakan bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber haram menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang akan berlakunya gejala-gejala negatif dalam diri seseorang dan kelangsungan hidup keluarga yang ditanggungnya.

Demi membendung budaya minum pagi yang mencacatkan kesempurnaan perkhidmatan jabatan kerajaan ini, semua pihak sebenarnya perlu melaksanakan perubahan. Pihak pengurusan dalam jabatan-jabatan kerajaan perlu mewujudkan dan mengaktifkan penggunaan pantri dalam pejabat. Peralatan paling asas untuk memasak air, memanaskan makanan dan menyimpan makanan boleh disediakan seperti cerek, ketuhar gelombang mikro, peti sejuk dan sebagainya.

Dicadangkan juga agar ketua-ketua jabatan tegas mengatur waktu rehat dan minum para pekerjanya agar perjalanan perkhidmatan dan operasi pejabat tidak terganggu. Dengan cara ini, produktiviti dan kualiti perkhidmatan kakitangan awam akan tetap mantap sepanjang hari dan urusan pelanggan berjalan lancar kerana akan sentiasa ada pegawai atau kakitangan yang berada di kaunter atau di pejabat.

Jika ada kakitangan yang masih kerap keluar minum dan membuang masa kerjanya, maka menjadi peranan ketua jabatan dan rakan-rakan sekerja untuk menegur dan memperingati mereka agar mengubah sikap dan memberi fokus terhadap tugas.

Sebagaimana yang diamalkan oleh sebilangan organisasi, para pekerjanya menyumbangkan sedikit wang dan berkongsi membeli makanan dan minuman ringan untuk diletakkan di pantri. Ada juga dalam kalangan pekerja yang sama-sama membawa pot-luck dari rumah masing-masing dan bertukar-tukar juadah makanan di pantri pejabat.

Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa untuk berjalan dan melepak di kafetaria, bahkan menjimatkan kantung poket daripada membelanjakan duit membeli air dan makanan di kafetaria. Begitu juga, silaturrahim sesama rakan sekerja dapat dieratkan.

Perubahan sikap dalam hal keluar minum ini perlu dimulakan dan seterusnya dikekalkan. Kita tidak mahu orang awam berterusan berpegang kepada stigma ‘pegawai kerajaan suka keluar minum’. Jika kita benar-benar berpegang kepada konsep mencari pendapatan halal dan beramanah seperti mana yang digariskan syariat Islam, pasti kita akan berjaya mengubah sikap negatif sebegini. Barulah boleh kita nanti layak dipanggil sebagai kakitangan awam yang berintegriti, produktif dan memiliki minda kelas pertama.


*juliet le sweetheart : dulu bekerja di company Melayu, nasib baik semua bukan kaki keluar minum

2 comments :

Sid said...

Salam... julie, sokong sangat article neezam ni. kalau semua penjawat awam ikut budaya kerja Jepun, insya Allah negara kita pasti maju.

Masa kita keje kat sana, kul 10 pagi rehat 10 minit. Tengahari, 45 minit. Petang, kul 3.15 rehat 10 minit. Barulah dinamakan rehat yang berkualiti. heheheh

Juliet Le Sweetheart said...

tu lah sit kan… sebenarnya kalau nak ikut setakat minum jer 5 minit je bleh siap, tapi borak yang lebih...

back to top