♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, May 2, 2014

Penghayatan Ilmu Dalam Kalangan Kanak-Kanak

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

♥ ♥ ♥

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (HR Muslim)

♥ ♥ ♥

Salam hari Jumaat korang sumer!

Dah lama enche Neezam tak menulis artikel di suratkhabar. Hari ni buah tangan enche Neezam tersiar kat suratkhabar Utusan Malaysia. Kongsi kat sini untuk bacaan semua.

Untuk artikel penuh boleh klik nak link ni: Rencana : Penghayatan Ilmu Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Selamat membaca!

Penghayatan Ilmu Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Oleh DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

DALAM sistem pendidikan di negara kita, kebanyakan anak-anak sejak umur 4 atau 5 tahun telah mula mempunyai hubungan dengan institusi pendidikan.

Setiap hari mereka dihantar ke sekolah, lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragam mengikuti sesi persekolahan selama 6 hingga 7 jam sehari.

Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan yang perlu dihadiri anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran, kelas tae kwando, kelas piano, atau kegiatan kokurikulum.

Kehidupan seharian anak-anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan budaya menimba ilmu yang tidak dapat disanggah peri pentingnya dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan inteleknya.

Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu lumrah yang telah disusun atur oleh ibu bapanya.

Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar suatu rutin kehidupan harian daripada persepsi anak-anak, bahkan ia adalah salah satu kewajipan yang mesti dikerjakan oleh setiap orang Islam.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: "Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim". Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjuang menegakkan hak diri dan berjihad ke jalan Allah seperti mana hadis Rasulullah SAW, "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (Riwayat At-Tirmizi).

Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh?". Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak bahawa "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin".

Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk berjaya mendapat pekerjaan baik di masa hadapan.

Bila anak-anak dibudayakan untuk terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan "A" semaksimum mungkin dalam peperiksaan, ia menjadikan mereka tidak berfikir lebih jauh daripada tujuan tersebut.

Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan.

Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika pencapaian dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu apa tidak dapat dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak-anak yang kurang berjaya secara akademiknya disisihkan dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap kurang bijak dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif. Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.

Bagi sesetengah anak-anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang dari ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian, semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.

Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan pemikiran orang yang berilmu dan "kelihatan pandai" tetapi tidak beramal dengan ilmu yang dipelajarinya.

Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. "Roh" ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak usia kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang bukanlah salah, tetapi orientasinya kurang tepat.

Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman.

Sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamalkan. Dengan cara itu, dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat.

Saidina Ali bin Abi Talib RA ada berkata: "Bahawasanya yang dikatakan orang alim itu adalah mereka yang beramal dengan ilmunya dan ilmunya itu pula sesuai dengan amalnya."

Ibu bapa sebagai ‘role-model’ yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu yang diperoleh. Contoh paling mudah adalah dalam hal beramal ibadah misalnya mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu, rajin melaksanakan puasa sunat serta bertadarus al-Quran bersama-sama.

Dalam hal moral dan tata susila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya.

Hal-hal yang nampak mudah dan remeh ini sebenarnya adalah pencetus yang signifikan dalam memperihalkan pentingnya mengamalkan ilmu yang diperoleh kepada anak-anak.

Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dalam membangunkan martabat diri mereka sendiri, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

* PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Moh gi solat Jumaat!

No comments :

back to top