Macam biasa, artikel enche Neezam disiarkan di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Kali ni mengenai Perihal Pemimpin di Tempat Kerja.
Artikel penuh di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
BUKAN SENANG MENJADI PEMIMPIN DI TEMPAT KERJA
Apabila memperihalkan mengenai kepimpinan di tempat kerja, ada yang suka mempunyai pemimpin yang berorientasikan pekerja atau pun yang berorientasikan tugasan. Pemimpin yang berorientasikan pekerja dikatakan mudah didekati, bertolak ansur, banyak memberi persetujuan berbanding arahan, lantaran sifat kemanusiaan yang tinggi menjadi dambaan semua pekerja. Sebaliknya bagi pemimpin yang berorientasikan tugasan, mereka kelihatan tegas, garang, menekankan disiplin dan output, maka kerana dengan itulah matlamat kerja lebih cepat dicapai dan terurus.
Banyak kajian yang telah dibuat oleh pakar dalam bidang kepemimpinan mengenai kaedah kepemimpinan seperti yang disebutkan di atas. Misalnya usaha para pengkaji di Ohio State University dan Michigan of Michigan yang diiktiraf sebagai pelopor kepada Teori Kepemimpinan Situasi yang memperihalkan spektrum yang sangat berbeza antara kedua-dua gaya kepimpinan berorientasikan pekerja dan tugasan ini. Ia diteruskan dengan kajian oleh Robert Blake dan Jane Mouton yang memfokuskan kepada kaedah kepemimpinan mana yang perlu diamalkan oleh seseorang pemimpin di organisasi. Atas apa sebab pun, kepimpinan merupakan suatu elemen penting dan daya penggerak kepada usaha pencapaian matlamat semua pekerja dan organisasi itu sendiri.
Islam mengiktiraf akan kepentingan konsep kepimpinan, seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila tiga orang keluar bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua (Amir)” (riwayat Abu Hurairah).
Untuk itu, Islam memberikan banyak garis panduan dan prinsip kepimpinan agar ianya diamalkan secara adil, saksama, berkesan dan mendapat keredaan Allah SWT. Dalam al-Quran misalnya, banyak panduan yang diberikan dalam mewujudkan prinsip kepimpinan yang tepat.
Antaranya menurut Yusuf Ismail dalam bukunya ‘Mengurus Secara Islam’, kepimpinan yang bermatlamatkan mencari keredhaan Allah SWT melalui surah at-Taubah (ayat 72), melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran (ali-Imran, ayat 104 hingga 110), membuat keputusan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam (al-Maidah, ayat 44, 45, 47, dan 50) dan menjaga kesejahteraan masyarakat (al-Baqarah, ayat 148 dan al-Qasas, ayat 77). Seterusnya seruan untuk membangunkan kapasiti individidu semaksimum mungkin (ali-Imran, ayat 139 dan al-Hujarat, ayat 13), melaksanakan prinsip syura (ali-Imran, ayat 159 dan as-Syura, ayat 36), mewujudkan jamaah (as-Saf, ayat 4), berlaku adil (al-Maidah, ayat 8 dan an-Nisa’, ayat 129), dan berlaku Ihsan (an-Nahl, ayat 90).
Menurut perbahasan para sarjana, asas kepada kepimpinan Islam mestilah menjurus kepada tiga matlamat utama. Pertamanya ‘akidah’, iaitu hakikat kepimpinan itu adalah amanah Allah SWT yang mempunyai implikasi kepada keimanan terhadap Rukun Iman yang enam yang pasti ditanya di akhirat kelak. Sesiapa yang berjaya memimpin dengan baik akan ke syurga dan yang tersasar akan ke neraka.
Keduanya, ‘syarak’, iaitu mengakui dan menurut setiap syariat dan undang-undang yang diperuntukkan oleh Allah SWT di dalam sumber teragung iaitu kitab Al-Quran dan panduan Rasulullah SAW melalui al-Hadis. Pematuhannya dikelaskan sebagai suatu ibadah seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT bahawa manusia itu diciptakan untuk tujuan beribadah.
Ketiga pula adalah ‘akhlak’, yang menjadi asas kepada kepimpinan Islam dan ianya mestilah bertunjang kepada aqidah dan syariat. Akhlak yang terpuji memberi refleksi ke arah pembentukan kepimpinan yang sempurna seperti mana yang disyariatkan Islam.
Ciri-ciri pemimpin yang berpaksikan syariat Islam akan memberikan kesan kepada gaya kepimpinannya dan penerimaan ahli-ahli di bawahnya. Begitu juga dengan kepimpinan di dalam sesebuah organisasi, jika betul dan baik pemimpinnya, maka pekerja-pekerja atau orang bawahannya juga akan menuruti amalan betul dan baik yang ditunjukkan terajunya.
Seseorang yang memegang jawatan pengurus dan sekaligus sebagai pemimpin perlu faham bahawa dia perlu melaksanakan amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh organisasi. Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya” (an-Nisa’: 58).
Jika pangkat dan autoritinya itu disalahgunakan dan ditadbir dengan cara yang tidak betul, maka kesannya adalah kepimpinannya itu tidak diredhai Allah SWT. Bila tidak mendapat keredhaan-Nya, hilangnya keberkatan dalam pekerjaannya dan hilanglah jua kepercayaan organisasi dan para pengikut terhadap kemampuan pengurus tersebut.
Islam turut menekankan konsep seseorang pemimpin untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh, tekun dan cekap. Seseorang yang dilantik menjadi pengurus dan pemimpin bukanlah seorang insan yang sempurna serba-serbinya. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam’ apatah lagi manusia yang bersungguh-sungguh mahu mengubah dirinya. Maka, seseorang pemimpin itu perlulah sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri, bekerja dengan komited untuk memantapkan kemahiran kerja dan kemahiran kepimpinan. Begitu juga, dari semasa ke semasa tekun untuk menambahbaikkan nilai produktiviti dan kecekapan kerja supaya mampu menjadi contoh yang baik kepada pekerja bawahan. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun”.
Begitu juga dengan saranan untuk pemimpin membugarkan kaedah melaksanakan kerja secara berpasukan seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan…” (Al-Ma’idah, ayat 2).
Manusia fitrahnya tidak mampu berbuat sesuatu dengan sempurna secara sendirian. Bantu-membantu, nasihat-menasihati dan saling bekerjasama adalah unsur yang sangat berkesan dalam mentadbir kehidupan yang lebih baik dan lebih bermakna dalam sesebuah masyarakat. Begitu juga dengan masyarakat dalam konteks sesebuah organisasi, semangat berpasukan sangat tinggi nilainya bukan sahaja untuk mencapai matlamat organisasi dan individu pekerja, bahkan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Maka pemimpin dalam sesebuah organisasi perlu sentiasa melaksanakan strategi-strategi yag berkesan dalam mewujudkan konsep ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ di kalangan ahli-ahli dalam organisasi. Setiap pekerja tidak kira pangkat dan latar belakang dianggap sebagai aset penting dalam memakmurkan dan membangunkan organisasi dan peranan mereka itu dihargai sebaiknya. Pemimpin yang sentiasa mengambil tahu dan membantu akan hal ehwal para pengikutnya adalah pemimpin yang sangat disukai dalam Islam seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia” (Riwayat Al-Quda’).
Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
No comments :
Post a Comment