Artkel enche Neezam hari ni. Macam biasa disiarkan di akhbar Harian Metro sisipan minda. Bersesuaian dengan musim cuti sekolah ni, enche Neezam menulis mengenai pergurusan masa anak-anak.
Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
Didik Anak Urus Masa Sepanjang Cuti Sekolah
Cuti persekolahan hujung tahun telah pun bermula sejak hujung minggu lepas. Inilah masanya untuk anak-anak kita mengambil peluang melepaskan lelah dan penat sepanjang sesi persekolahan yang telah diharungi sepanjang tahun. Apatah lagi bagi anak-anak yang baru sahaja melalui peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM. Bagi sesetengah anak-anak ini, cuti persekolahan selama lebih dari sebulan ini sangat dinanti-nantikan kerana pengisiannya yang telah dirangka rapi oleh mereka dan ibu bapa mereka. Namun, bagi sesetengah anak-anak yang lain, ianya tiada beza cuma hanya tidak perlu ke sekolah. Sebagai ibu bapa kita harus memainkan peranan untuk membantu anak-anak untuk merangka dan memenuhi waktu cuti mereka ini dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat, berkualiti dan produktif.
Sepanjang waktu cuti sekolah ini, anak-anak harus dididik bahawa ia bukanlah satu bentuk rehat yang ‘totok’ dengan aktiviti bermalas-malasan dan bermain permainan komputer atau menonton rancangan di televisyen sahaja. Jangan membazirkan masa anak-anak sebegitu sahaja, kerana daripada perspektif Islam ini adalah satu bentuk kerugian. Rasulullah SAW sendiri ada berpesan yang bermaksud, “Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang” (Riwayat Bukhari). Ini jelas memberi isyarat bahawa jika masa lapang itu dibiarkan sahaja tanpa aktiviti yang berfaedah, maka tidak ada kebaikan pun dapat diraih, terutamanya anak-anak ketika cuti sekolah ini.
Anak-anak perlu dididik sepanjang cuti sekolah itu untuk belajar menghormati dan menguruskan masa sebaiknya. Ibrah atau pengajaran daripada firman Allah dalam surah al-‘Asr perlu dihayati sebaiknya. Melalui surah itu, Allah menggambarkan bahawa manusia yang tidak memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya untuk mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya adalah daripada golongan yang rugi. Golongan manusia yang turut dianggap rugi adalah kelompok manusia yang membiarkan masa berlalu tanpa memanfaatkannya untuk saling menasihati dan membimbing manusia yang lain untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Golongan yang rugi juga adalah mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah kerana lalai, kurang ilmu dan leka dengan nikmat kehidupan dunia yang sementara sifatnya.
Aktiviti pembelajaran masih terus boleh berjalan, namun ianya dalam bentuk yang berbeza tidak seperti di dalam kelas di sekolah. Mungkin pada waktu cuti sebeginilah kemahiran tertentu termasuk kemahiran insaniah atau soft skills boleh dicerna sebaiknya dalam kalangan anak-anak. Sejak sekian lama, banyak aktiviti yang boleh disusunatur dan dianjurkan oleh ibu dan bapa demi memastikan masa anak-anak itu dihabiskan dengan penuh bermanfaat dan anak-anak tidak akan berkata ‘saya bosanlah bercuti di rumah’.
Aktiviti Lazim di Rumah
Sepanjang cuti sekolah ini, anak-anak bermula pada usia tertentu mungkin boleh diajar untuk membantu ibu dan bapa dalam urusan rumahtangga. Dengan aktiviti harian yang lazim seperti mengemas rumah, menyapu sampah, membasuh dan menyidai pakaian, memasak dan membasuh kereta misalnya, anak-anak akan memahami bahawa rutin sebegini harus dikendalikan secara bersama-sama demi membantu ibu dan bapa meringankan tanggungjawab mereka.
Kem Ibadah dan Kemahiran Ilmu Keagamaan
Penulis sendiri telah menerima banyak iklan mengenai penganjuran kem-kem akademik dan ibadah yang khusus untuk para pelajar sepanjang cuti sekolah ini. Dengan kos penyertaan yang rata-ratanya murah dan berpatutan, ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak-anak mereka menyertai kem sebegini yang sarat dengan pengisian kerohanian, Kursus solat, kelas mengaji dan menghafaz al Quran, ibadah fardu ain, dan sebagainya. Program sebegini mampu mencerna pengetahuan keagamaan yang lebih baik dan dalam kaedah pembelajaran yang lebih menarik untuk anak-anak.
Penyertaan Program Pembentukan Kemahiran
Tempoh percutian yang panjang sebegini juga merupakan satu ruang yang baik untuk ibu bapa membentuk kemahiran-kemahiran tertentu untuk anak-anak melalui penyertaan mereka dalam penganjuran pelbagai program tersepadu.
Banyak juga program jangka pendek yang dianjurkan secara intensif yang boleh disertai anak-anak berdasarkan kemahiran-kemahiran tertentu. Misalannya, program berkaitan kemahiran bahasa (termasuklah bahasa Melayu, Inggeris, dan lain-lain); kemahiran kendiri seperti kelas membuat kek dan kuih, kelas menjahit atau program asas tani; dan kemahiran teknologi maklumat seperti asas penggunaan komputer dan pengaturcaraan, dan kemahiran sosial melalui program kepemimpinan dan motivasi. Kemahiran-kemahiran ini merupakan satu bentuk bonus dan nilai tambah kepada input-input akademik yang telah diperoleh anak-anak di sekolah yang boleh digunakan dalam jangka masa panjang demi manfaat diri mereka sendiri.
Lawatan Tempat Menarik
Sepanjang cuti sekolah ini juga, anak-anak boleh dibawa melawat tempat-tempat peranginan atau bersejarah. Tempat-tempat yang biasanya menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi adalah seperti pantai, taman tema, muzium, zoo dan sebagainya. Banyak promosi menarik yang diadakan sepanjang cuti sekolah ini. Misalnya, Pusat Sains Negara dibuka secara percuma kepada semua pengunjung sehingga ke akhir tahun ini. Dengan berkonsepkan penerokaan peribadi atau ‘self exploration’, anak-anak akan merasai pengalaman yang sangat menarik dan mengujakan di samping menambah pengetahuan berkenaan sains dan teknologi di sini.
Ziarah Saudara-Mara dan Balik Kampung
Selain itu, ada juga ibu bapa yang mengambil inisiatif ‘sambil menyelam minum air’ dengan membawa anak-anak melawat atau menziarahi sanak saudara dengan tujuan untuk merapatkan silaturrahim dan perhubungan kekeluargaan. Menjadi kelaziman cuti panjang sebegini, pasti akan ada majlis perkahwinan. Maka inilah masanya untuk anak-anak jika berpeluang, merasai apa yang dipanggil sebagai ‘rewang’ atau majlis gotong-royong dan kenduri sekeluarga yang sangat meriah dan menarik. Ada juga anak-anak yang dibawa bercuti di kampung dan merasai sendiri nikmat kehidupan kampung yang kelihatannya asing bagi sesetengah anak-anak ini. Suasana kampung seperti di sawah bendang, sungai dan jeram, pantai dan teluk, ladang getah dan sawit, atau pun suasana kampung di ceruk hutan dan pedalaman, adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dinikmati dan dirasai oleh generasi muda sekarang yang mampu membentuk nilai keinsafan dan rasa syukur terhadap nikmat yang dikurniakan Tuhan.
Aktiviti Sukan dan Lasak
Ada juga ibu bapa yang gemar dan inginkan anak-anak merasai pengalaman berbeza dan mencabar dalam percutian dengan membawa mereka mendaki gunung, mengembara dalam hutan, berkayak di sungai dan pantai, memancing di laut, menaiki kenderaan pacuan empat roda di jeram, dan seumpamanya. Bagi yang berkemampuan dan yakin dengan penerimaan anak-anak, inilah ruang masanya yang sesuai untuk bersama-sama berkongsi minat tersebut dengan anak-anak.
Bekerja Separuh Masa
Ada ibu bapa yang suka memupuk semangat berdikari dan bersyukur dengan nikmat rezeki pemberian Allah SWT dengan cara menggalakkan anak-anak untuk bekerja secara separuh masa. Anak-anak yang merasai tempoh waktu bekerja walau pun singkat ini pasti akan banyak belajar mengenai disiplin, penjagaan masa, sifat amanah, sabar dan tekun. Hasil upah yang diterima mereka pula, walau pun kecil, merupakan sesuatu yang sangat bermakna buat anak-anak kerana ianya adalah hasil daripada titik peluh mereka sendiri. Ia boleh dijadikan hasil tabungan yang boleh digunakan oleh anak-anak untuk mungkin membeli sesuatu yang mereka idam-idamkan atau sebagai kegunaan di masa hadapan.
Apa sahaja pengisian dan aktiviti yang dirangka oleh ibu bapa untuk anak-anak sepanjang cuti persekolahan ini pasti akan memberikan kebaikan buat anak-anak. Ambillah peluang ini untuk mendekati anak-anak terutamanya dalam hal minat dan kecenderungan serta potensi diri anak-anak. Pokok pangkalnya, masa yang terluang sepanjang cuti ini tidak digunakan dengan sia-sia oleh anak-anak dan ianya digunakan sebaik mungkin dalam memelihara hubungan kekeluargaan yang lebih erat dan mesra.
Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
No comments :
Post a Comment