Artikel enche Neezam hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda.
Artikel penuh kat bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
FOTOKOPI BAHAN KULIAH: HALAL ATAU HARAM?
Umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Begitulah ibaratnya dengan perniagaan atau kedai-kedai cetakan atau juga sinonim dengan perkataan ‘xerox’ atau fotokopi. Masakan tidak, ‘industri bersandarkan pendidikan’ seperti ini memang menjadi tumpuan, terutamanya dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sejak sekian lama, dan ironinya budaya fotokopi ini masih ada. Budaya ini sudah seakan-akan meresap sebati dalam masyarakat kita seolah-olah budaya dan amalan ini dibenarkan dan amat sukar dibendung daripada terus berleluasa dari satu generasi ke satu generasi. Ia masih dan tetap menjadi salah satu pilihan pelajar yang 'evergreen' dan kelihatan 'halal' dalam memiliki buku, makalah, sumber rujukan dan apa sahaja dokumen berkaitan dalam kuliah, walau pun tidak seketara fenomena serupa pada 10-20 tahun yang lalu.
Kita selalu juga tertanya-tanya, mengapa pelajar di IPT masih menggunakan cara tersebut untuk membuat salinan nota kuliah mereka? Masakan tidak, semurah 3 hingga 5 sen sahaja harga untuk sesalinan dokumen bersaiz kertas A4, ia dianggap kaedah termurah, mudah dan cepat untuk mendapatkan maklumat daripada buku teks, buku nota malah modul yang digunakan oleh mereka dalam sesi perkuliahan. Ini adalah satu bentuk 'langkah penjimatan' yang cukup disukai oleh pelajar. Kelihatannya wang saku dan biasiswa/pinjaman boleh digunakan untuk tujuan lain seperti tambah nilai talian internet, makanan, pengangkutan dan lain-lain.
Akan hal ini, kebiasaannya, pensyarah akan mengusulkan buku-buku tertentu untuk dibeli oleh pelajar kerana ia dijadikan teks rujukan dalam kuliah. Namun, harga buku rujukan tertentu adalah agak mahal atas sebab pelbagai faktor seperti ia rujukan utama dalam bidang pengajian tertentu, diimport dari luar negara, ditulis oleh penulis tersohor dan sebagainya. Maka sudah tentulah para pelajar akan ada perasaan 'tersepit' antara dua pilihan keutamaan, mahu membeli dan memiliki buku rujukan original tersebut atau untuk terus berjimat-cermat dalam penggunaan wang ringgit. Dalam perspektif ekonomi, isu ini berkait dengan teori 'kos melepas' atau Opportunity cost di mana para pelajar akan cenderung memilih untuk membuat salinan fotokopi lantaran rasa tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut.
Begitu pun, para pelajar harus memahami bahawa buku rujukan yang difotokopi itu adalah satu usaha jangka panjang oleh penulis karya akademik tersebut. Ia terhasil daripada pengetahuan, pengalaman dan kajian yang dihasilkan secara mutlak oleh penulis yang telah menghabiskan banyak masa, titik peluh dan buah fikiran untuk dikongsi oleh masyarakat dan khususnya mereka yang mempelajari bidang ilmu yang sama. Tidakkah para pelajar terfikir bahawa hasil ilmiah ini secara perundangannya mempunyai nilai 'hak milik' yang absah kepada penulisnya? Seterusnya, apakah tidak disedari bahawa penulis-penulis buku ini layak untuk menerima ganjaran hasil jualan buku-buku mereka hasil titik peluh mereka sendiri?
Begitu juga dengan hak syarikat percetakan yang telah bertungkus-lumus menjalankan proses perniagaan mereka bagi menjual buku-buku ini demi keuntungan dalam perniagaan mereka. Untuk itu, apabila hasil ilmiah ini difotokopi sewenang-wenangnya, ia adalah satu bentuk rompakan terhormat kepada hak milik penulis asal buku tersebut dan ini adalah satu gejala tidak beretika yang sungguh berleluasa dalam arena keilmuan yang cukup mulia iaitu di institusi pengajian tinggi.
Bukan sahaja ia satu kesalahan di sisi etika dan undang-undang, dalam Islam sendiri ia adalah sesuatu yang tidak bertepatan dengan syariat apabila hasil karya ilmiah ini dicetak semula tanpa keizinan penulis dan syarikat percetakan yang merupakan 'tuan punya' karya tersebut. Yusof al-Qardawi dalam kitabnya “Halal Dan Haram Dalam Islam” menyatakan bahawa Islam mengharamkan seorang muslim membeli sesuatu yang sudah diketahui, bahawa barangan tersebut adalah hasil rompakan atau hasil curian, ataupun sesuatu yang telah diambil dari orang lain dengan jalan yang tidak betul. Ini kerana perbuatan tersebut adalah menyamai amalan membantu perompak, pencuri selain ianya melanggar hak-hak orang lain, serta melanggar undang-undang berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang membeli barangan curian, sedangkan dia mengetahui bahawa barangan tersebut adalah satu hasil curian, maka dia bersekutu dalam dosa yang cacat” (Riwayat al-Baihaqi).
Untuk itu semua pihak harus bertindak dan bertanggungjawab dalam mencari solusi terbaik sebagai jalan penyelesaian bagi membendung masalah fotokopi ini daripada terus berleluasa. Antara alternatif yang ingin dicadangkan oleh penulis adalah seperti mana berikut. Pertama, semua pihak terutamanya pelajar IPT harus faham dan hadam dengan perkiraan hukum daripada perspektif Islam. Terdapat pelbagai pandangan telah diutarakan oleh ulama’-ulama’ kontemporari dalam merumuskan hukum dan kaedah membendung fenomena fotokopi ini.
Ada ulama’ yang menyatakan bahawa perbuatan fotokopi ini haram dan tercela. Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram)” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban). Hadis ini satu isyarat jelas yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, maka perbuatan memiliki sesuatu seperti buku rujukan secara tidak sah juga diibaratkan sebagai memperoleh sesuatu dengan haram.
Ada sesetengah pendapat lain pula yang membenarkan amalan ini atas dasar keperluan yang amat mendesak seperti masalah kesempitan kewangan atau keperluan yang meruncing untuk mendapatkan naskhah yang asal, dengan bersandarkan kepada Kitab al-Ashbah Wa al–Nazhoir iaitu : "Suatu keperluan boleh jatuh dalam kategori terdesak samada ia berbentuk umum atau khusus". Ini bermaksud perbuatan fotokopi ini adalah dibenarkan bagi kegunaan peribadi sahaja dan bukanlah bagi tujuan mengaut keuntungan atau tuntutan berupa faedah-faedah lain yang mana ianya adalah berlawanan dengan tujuan asal.
Kedua, kaedah kedua adalah dengan meminta keizinan untuk membuat salinan daripada penulis dan syarikat penerbitan buku yang dikehendaki. Namun, keizinan mungkin sesuatu yang sangat mustahil untuk diperoleh, lantaran faktor royalti dan keuntungan yang telah dikira-kira oleh pemilik karya. Ketiga, dicadangkan agar institusi pengajian tinggi dapat menambahkan lagi kuantiti buku-buku rujukan yang diperlukan pelajar di perpustakaan masing-masing supaya ia dapat dipinjam dan dijadikan rujukan pelajarsepanjang semester/pengajian. Pensyarah perlu bekerjasama dengan bekerjasama rapat dengan pihak perpustakaan dalam mencadangkan buku-buku rujukan yang sepatutnya dari semasa ke semasa.
Keempat, para pelajar harus kreatif dalam menggunakan sumber di internet dalam mencari buku-buku rujukan berbentuk elektronik. Banyak laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai genre buku rujukan yang tersohor dan terkini untuk dimuat turun secara sah kerana pengendali laman web tersebut kebiasaannya telah mendapat keizinan daripada para pemilik asal karya-karya akademik tersebut. Kelima, para pensyarah harus tegas dalam memastikan gejala fotokopi buku ini tidak terus berleluasa dengan memberikan nasihat sewajarnya kepada pelajar. Pensyarah turut boleh menggunakan sebaik mungkin sistem pangkalan data yang kebanyakannya telah dibina oleh institusi pengajian masing-masing yang boleh memuatkan nota-nota kuliah, slaid pembentangan, bahan rujukan dalam pelbagai bentuk yang telah dimuat turun daripada internet dan sebagainya.
Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
No comments :
Post a Comment