♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Tuesday, June 10, 2014

Persediaan Awal Fizikal Sebelum Pergi Menunaikan Ibadah Haji atau Umrah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Semalam aku kongsikan mengenai

Persediaan Awal Mental dan Spiritual Sebelum Pergi Menunaikan Ibadah Haji atau Umrah

Hari ni, aku ingin kongsikan persediaan fizikal pulak.

Sumber daripada blog Shafiqalbu.

❤ ❤ ❤ ❤ ❤

Ibadah Haji dan Umrah melibatkan penyatuan antara kegiatan ibadah mental dan fizikal. Maka persiapan dan kesediaan fizikal amat diperlukan sebelum berangkat agar dapat bertahan terhadap keadaan persekitaran yang sangat berbeza dengan situasi di tanah air.

Pada setiap musim haji, keadaan di tanah suci padat dengan para jemaah yang menunaikan ibadah haji dari seluruh dunia sehingga mencapai 3 juta orang dan ianya sentiasa meningkat setiap tahun, sedangkan tempatnya terhad.

Apabila seseorang telah cukup syarat-syarat yang mewajibkannya untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah adalah dinasihatkan supaya melakukan Solat Istikharah apabila seseorang itu berniat pergi ke sana. Langkah ini bukanlah meminta pertolongan Allah سبحانه وتعالى supaya memutuskan sama ada hendak pergi atau pun tidak, tetapi untuk menunjukkan kepada kita beberapa perkara iaitu:-

✓ Adakah hendak pergi haji dahulu atau menunggu pada masa akan datang untuk pergi bersama isteri, suami atau ahli keluarga lainnya.
✓ Agensi, muasasah atau pakej haji yang hendak dipilih, selepas mengutama dan mendahulukan kesempurnaan ibadah daripada kepentingan kemewahan.

Persediaan Awal Fizikal Sebelum Pergi Menunaikan Ibadah Haji atau Umrah

Apabila seseorang telah dipanggil atau namanya sudah ada dalam senarai menunggu, maka hendaklah dia membuat beberapa persiapan dan adalah lebih baik jika persediaan tersebut dapat dilakukan sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum tarikh keberangkatan ke tanah suci. Walau bagaimanapun masih belum terlambat jika ianya dilakukan mulai sekarang.

Oleh kerana ibadah haji dan umrah selain memerlukan kefahaman mendalam dan penghayatan rohani, ia banyak melibatkan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki seperti tawaf dan bersaie dan melontar Jamrah.

Antara perkara-perkara yang perlu dibuat persediaan ialah:-

❀ 1 ❀ Pemeriksaan Kesihatan

Kepada bakal haji/hajah, eloklah lakukan dahulu pemeriksaan menyeluruh tubuh (General Check Up) di makmal untuk mengesan sebarang penyakit yang mungkin ada tanpa disedari dan bagi mengetahui keadaan kesihatan secara jelas dan lengkap supaya doktor boleh mengambil tindakan ‘preventif’ (pencegahan) lebih awal.

❀ 2 ❀ Nasihat Doktor Perunding

Bagi yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan sebagainya, mintalah nasihat doktor tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Sediakan segala ubat yang diperlukan kerana walaupun banyak farmasi dan klinik-klinik di Makkah dan Madinah, tetapi harga ubat-ubatan di sana agak mahal.

❀ 3 ❀ Latihan Kecergasan

Bagi mencapai keadaan yang sihat dan segar, lakukan senaman secara teratur. Latihan bersenam, berlari atau beraerobik yang sesuai dengan keadaan kesihatan dan usia bakal jemaah, amat perlu untuk menjaga kesihatan jantung kerana kesediaan fizikal yang baik dan jantung yang sihat diperlukan bagi menjalankan ibadah haji seperti Tawaf, Saie dan Melontar Jamrah. Begitu juga kegiatan biasa seperti ulang alik ke masjid, ke pasar dan lainnya dilakukan dengan berjalan kaki.

Maka ketahanan jasmani dan kesihatan harus dipersiapkan agar sentiasa cergas, bersedia, berstamina dan lebih tahan terhadap penyakit mahupun cengkaman hawa berbeza. Contohilah bagaimana Uwais al-Qarni mempersiapkan dirinya untuk ke Makkah di sini.

❀ 4 ❀ Latihan Berjalan Kaki

Lakukanlah latihan fizikal untuk membiasakan diri kita yang bakal menggunakan tenaga semasa pergi dan balik ke masjid di tanah suci nanti, seperti berjalan kaki sejauh purata 3 hingga 4 kilometer, sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Ini adalah persediaan yang terbaik kerana rata-rata kedudukan hotel penginapan terletak agak jauh jaraknya iaitu:-

1/ Jarak ke Masjidil Haram antara 800 – 1,500 meter
2/ Jarak untuk Tawaf mengelilingi Kaabah sejauh 500 meter – 1 kilometer
3/ Jarak Bukit Safa ke Marwah lebih kurang 420 meter dan apabila mengerjakan ibadah Saie, akan berulang alik 7 kali sejauh 2,940 meter (hampir 3 kilometer)
4/ Melontar Jamrah, terpaksa melalui terowong sepanjang 3.5 kilometer. Jika duduk di Mina Mu’assir, dalam 5–7 kilometer ke jamrah.

Ada 3 jamrah yang perlu dilalui 4 hari berturut-turut:-

a/ Jarak antara Jamrah Ula dengan Jamrah Wusta adalah 247 meter.
b/ Jarak antara Jamrah Wusta dan Kubra kira-kira 200 meter.

Latihan fizikal ini adalah sebagai suatu ikhtiar kita sahaja kerana yang menentukan kekuatan dan tenaga itu adalah Allah سبحانه وتعالى. Latihan ini elok dimulakan 3 bulan atau sebulan lagi keberangkatan kita ke sana.

❀ 5 ❀ Membiasakan Diri Berada di Cuaca Panas Terik

Bekerja, berkebun atau beraktiviti di tengah terik panas matahari perlu dilakukan untuk melatih fizikal agar bakal jamaah membiasakan diri dengan sengatan matahari dan keadaan di Tanah Suci yang lebih panas.

Pada musim panas, suhu siang hari di Arab Saudi boleh mencapai 40-50 darjah Celsius, kepanasannya menyengat di samping angin kering membahang hingga menyebabkan ramai jemaah meninggal dunia akibat ‘Heat Stroke’ (kekurangan cecair dalam badan).

❀ 6 ❀ Membiasakan Diri dengan Suhu Dingin

Latihlah diri untuk bangun malam berqiamullail bagi menzalimi ibadah di samping membiasakan diri dengan air dan cuaca dingin. Ini tujuannya mempersiapkan fizikal dan mental sebagai persediaan menghadapi keadaan di Makkah kerana terpaksa bangun awal untuk ke Baitullah bagi solat Subuh. Di samping cabaran bermalam di Mina dan Padang Arafah kerana suhu waktu malam dan musim sejuknya boleh turun sehingga 10ºC yang disertai angin kering dan dingin menusuk tulang.

❀ 7 ❀ Manasik Haji

Manasik adalah latihan atau tata cara ibadah haji menjelang keberangkatan ke tanah suci. Pergi melaksanakan haji merupakan rangkaian ibadah yang terikat dengan masa dan tempat disertai dengan peraturan dan larangan tertentu serta dilihat dari sifat dan aspek hukumnya:-

1) Rukun Jika ditinggalkan boleh membatalkan haji atau tidak sah
2) Wajib Sekiranya ditinggalkan wajib ditebus dengan membayar Dam
3) Sunat Jika dilaksanakan akan mendapat pahala dan sekiranya ditinggalkan tidak berdosa
4) Makruh Jika ditinggalkan akan mendapat pahala
5) Haram Dilarang sama sekali melakukannya. Sekiranya mahu dilaksanakan juga akan mendapat dosa

❀ 8 ❀ Menambah Ilmu

Berusaha belajar dengan orang yang arif sehingga mantap akan cara atau kaifiat mengerjakan Haji dan Umrah, kerana ibadat haji yang tidak mengikut cara-cara yang telah ditetapkan akan rosak, cacat dan tidak diterima sebagai ibadat haji yang sempurna.

Amat rugi jika setelah berpeluang ke sana dan berkorban masa, harta dan wang ringgit, ibadah Haji dan Umrah kita menjadi sia-sia begitu saja disebabkan ketidakperhatinan dan kecuaian sendiri.

❀ 9 ❀ Bacalah Buku-Buku Berkaitan

Pembacaan buku-buku berkaitan ibadah Haji dan Umrah, sejarah Madinah dan Mekah akan dapat membantu apabila kita menjalani ibadah tersebut. Membaca buku-buku seperti cara-cara mengerjakan ibadah umrah dan Haji akan membuka minda dan naluri kita sebelum kita berada di tanah suci.

Selain untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah, tujuan ke Tanah suci sudah pasti untuk ziarah ke tempat-tempat yang bersejarah di sekitar Mekah dan Madinah. Dengan mengetahui riwayat dari tempat-tempat bersejarah tersebut terlebih dahulu, maka ketika berziarah ke tempat tersebut nanti, akan dapat lebih memahami dan menyelami makna tempat-tempat yang kita kunjungi.

Firman Allah سبحانه وتعالى:-

“Di Baitullah terdapat bukti-bukti sejarah yang meyakinkan, antaranya tempat peribadahan Ibrahim; Sesiapa yang masuk ke sana, maka ia selamat.”

(Surah Al-Imran; Ayat 97)

❀ 10 ❀ Perbanyakkan Membaca Al-Quran

Berguru dan lancarkanlah pembacaan Al-Quran kita kerana selain daripada pahala yang kita perolehi dari membacanya, ia amat bermanfaat apabila kita berada di tanah suci. Iaitu selain daripada ibadah Haji dan Umrah, pembacaan Al-Quran adalah sesuatu yang amat digalakkan dan sekiranya dapat kita mengkhatam Al-Quran dalam masa ibadah tersebut adalah menjadi satu kebaikan kepada kita.

❀ 11 ❀ Belajar Berdoa

Di Tanah suci perbanyakkanlah beristighfar, berzikir dan berdoa kerana banyak tempat-tempat mustajab untuk memanjatkan doa. Pelajari pelbagai doa sebagaimana Rasulullah ﷺ ajarkan atau doa-doa yang ada di dalam Al-Quran, hafalkan dan lebih menghayati makna doa tersebut. Sehingga kita boleh berdoa dengan fasih, khusuk dan tawaduk di hadapan Allah سبحانه وتعالى, kebiasaannya intipati doa adalah ingin mendapatkan kejahteraan di dunia dan di akhirat.

Banyakkan berdoa terutama pada tengah malam dan dinihari, memohon supaya ibadah Haji dan Umrah yang akan dilaksanakan diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah سبحانه وتعالى. Juga berdoa agar selamat perjalanan pergi balik, kesejahteraan orang yang ditinggalkan, selamat harta benda, sihat tubuh badan, doa agar Allah سبحانه وتعالى memberi petunjuk, dikurniakan kita hati yang ikhlas dan sebagainya.

❀ 12 ❀ Latih Diri Mendekati Masjid

Sekiranya dahulu kita sering solat di rumah, latihlah diri kita mendekati masjid dan biasa-biasakanlah solat berjemaah di masjid tempat tinggal kita. Sekiranya terdapatnya majlis-majlis ilmu, rajin-rajinkanlah langkah kaki kita hadir di majlis yang dihadiri para malaikat ini kerana majlis-majlis ini akan melembutkan hati kita.

Ia juga adalah tempat terbaik untuk kita menyendiri (beriktikaf) memohon perlindungan agar dipermudahkan perjalanan pergi dan balik mengerjakan ibadah malah memohon keselamatan kepada ahli keluarga yang bakal kita tinggalkan sepanjang perjalanan.

❀ 13 ❀ Perbanyakkanlah Solat Sunat

Solat sunat seperti Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Taubat dan Solat Sunat Tahajud adalah bertujuan untuk membantu kita bermunajat kepada Allah سبحانه وتعالى dan membersihkan diri kita dari dosa-dosa dan segala perbuatan lampau yang telah banyak kita lakukan. Dengan memohon keampunan dan taubat ini semoga Allah سبحانه وتعالى mengampuni kita.

❀ 14 ❀ Belajar Solat Jenazah

Pada musim haji, sama ada di Masjid Nabawi di Madinah mahupun di Masjdil Haram, Makkah, hampir setiap solat wajib diiringi dengan Solat Jenazah. Mungkin kerana suhu udaranya yang sangat panas dan kadang-kadang terlalu sejuk, ditambah keadaan jemaah yang lemah maka hampir setiap solat ada saja permintaan untuk Solat Jenazah bagi jemaah haji yang meninggal dunia di dua kota suci tersebut. Oleh kerana itu, bagi jemaah yang belum mengetahuinya atau belum hafal bacaannya dianjurkan untuk mempelajari serta diingat sebelum berangkat ke Tanah Suci.

❀ 15 ❀ Tunaikan Amanah dan Nafkah

Mengembalikan semua amanah orang yang ada pada kita. Jika belum berkesempatan, maka perlu diwakilkan kepada seseorang agar menguruskannya jika terjadi sesuatu kepada diri kita. Disamping itu mohonlah dihalalkan daripada mereka yang pernah berurusan dengan kita.

Para jemaah yang berstatus ketua keluarga hendaklah menyediakan nafkah yang secukupnya untuk kehidupan dan keperluan keluarga serta mereka yang di bawah tanggungan mereka sepanjang berada di Tanah Suci sehingga kepulangan para jemaah ke tanah air. Pastikan juga nafkah orang yang kita tinggalkan di rumah, daripada sumber yang baik, suci dan bersih.

❀ 16 ❀ Selesaikan Hutang Piutang

Hutang boleh mengganggu ketenangan dalam menunaikan ibadah haji. Sebelum berangkat selesaikan dulu segala hutang piutang yang telah sampai tempoh masa perjanjiannya. Di samping itu mohonlah dihalalkan daripada mereka yang pernah berurusan dengan kita.

Beritahu kepada keluarga yang ditinggalkan sekiranya ada sebarang hutang yang tertangguh sehingga jika terjadi apa-apa terhadap diri kita, maka mereka yang ditinggalkan dapat menyelesaikannya.

❀ 17 ❀ Sumber Wang Halal

Sumber wang yang diperolehi untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah haruslah jelas kehalalannya, bukan dari hasil subahat dan tidak juga dari wang haram. Wang untuk menunaikan Haji dan Umrah bukanlah berasal dari hasil wang rasuah, penyelewengan, penipuan dan sebagainya kerana sumber nafkah yang haram, hajinya tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى.

Segala kos mengerjakan ibadah itu hendaklah yang halal lagi diredhai Allah سبحانه وتعالى. Ini juga berdasarkan kepada hadis Rasulullah ﷺ:-

“Apabila seseorang pergi menunaikan haji dengan perbelanjaan yang baik (halal) dan meletakkan langkah kakinya, kemudian dia melaungkan: “Labaik Allahumma Labaik” (Ya Allah! Inilah aku datang menyahut pangillanMu). Maka menyeru ia oleh seorang penyeru dari langit: “Allah sambut kedatanganmu semoga kamu akan bahagia (kerana) bekalanmu halal dan kenderaanmu (dari hasil yang) halal, maka haji engkau mabrur (diterima) tidak dicampuri dosa (tidak ditolak).”

Sebaliknya apabila seseorang pergi haji dengan perbelanjaan yang haram, lalu dia melangkah kaki sambil menyeru: “Labaik Allahumma Labaik!” (Ya Allah! Daku sahut panggilanMu). Maka menyeru seorang penyeru dari langit: “Tidak diterima kunjunganmu, dan tidak berbahagia keadaanmu! (Kerana) bekalanmu haram, perbelanjaanmu (dari harta yang) haram, maka hajimu dicampuri dosa (tidak diterima), tidak mendapat pahala.”

(Hadith Riwayat Tabrani dari Abu Hurairah r.a)

Walau bagaimanapun terdapat pendapat yang mengatakan hajinya sah, hanya dia berdosa dan tidak mendapat pahala.

Dari Abu Hurairah r.a.; Rasulullah ﷺ telah bersabda:-

“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, dan tidak akan menerima (sesuatu amalan) melainkan yang baik.”

والله أعلم بالصواب

وَالسَّلاَمْ

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top