♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, March 19, 2009

Penemuan menarik

Ye! Penemuan menarik hari ini. Bukan aku yang discovered tapi my mr. hubby. Hehehhe...

Bukak Utusan Malaysia hari ini, bahagian forum yer murid-murid... Atau klik jer kat tajuk bawah tu...

* * * * *

Ada kakitangan awam berniaga waktu kerja

SAYA bersetuju dengan luahan hati Akmar Hayati dari Putrajaya mengenai sikap kaki tangan awam yang makan dan minum tidak tentu masa pada waktu bekerja. Saya juga merasa terpanggil untuk berbicara tentang etika kerja kakitangan awam yang dilihat teruk berbanding dengan pekerja-pekerja swasta.

Mereka ini bukan sahaja makan, minum tidak tentu masa, malah turut melakukan urusan-urusan peribadi di waktu pejabat. Contohnya, berniaga, menjual pakaian, kuih pada waktu pejabat.

Juga datang kerja lewat, balik awal, ponteng kerja dan pelbagai lagi. Malah sesetengah kakitangan awam turut keluar pejabat pada pukul 12.00 tengah hari dengan alasan untuk mengambil anak sekolah dan masuk pada pukul 2.30 petang selepas selesai menghantar anak ke sekolah KAFA.

Tidak bolehkah urusan persekolahan anak ini diselesaikan dengan menggunakan khidmat bas atau van sekolah untuk menghantar dan mengambil anak sekolah?

Sekiranya perkara ini dilakukan pada setiap hari, ditolak waktu makan dan minum, bersembang dan berbual kosong, membaca surat khabar, berapa jam sangatkah waktu kerja yang berkualiti buat golongan ini?

Sesetengah kakitangan awam juga sangat berkira apabila kebetulan datang awal setengah jam dan balik lambat setengah jam, terus dibuat tuntutan kerja lebih masa. Tidak fikirkah berapa banyak waktu yang telah dihabiskan untuk urusan peribadi?

Mengkhianati amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak berfaedah bermaksud makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha yang dilaksanakan?

Saya tidak nafikan bukan semua anggota perkhidmatan awam bersikap begitu. Namun jika sebahagiannya bersikap sambil lewa dan acuh tidak acuh, maka sudah pasti ia akan menjejaskan imej dan integriti keseluruhan kakitangan awam itu sendiri.

Dicadangkan juga agar ketua-ketua jabatan bersikap tegas menangani masalah-masalah yang berlaku di kalangan kakitangannya sendiri.

Kita perlu fikirkan adakah sumber pendapatan yang diperoleh halal untuk digunakan bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber tidak halal menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang berlakunya gejala-gejala negatif dalam diri seorang dan kelangsungan hidup keluarga yang ditanggungnya.

Perubahan minda dan membuang sikap-sikap negatif amat perlu bagi seluruh warga perkhidmatan awam. Barulah nanti kita layak dipanggil warga perkhidmatan awam yang berintegriti, produktif, efisyen dan memiliki minda kelas pertama.

PENCINTA NEGARA
Kuala Lumpur

* * * * *

Apa yang menariknya pada artikel ni? Apa penemuan menariknyer? Haaaa... ni lah bak kata pepatah; hanya jauhari mengenal manikam.

Bila Neezam baca artikel ni, Neezam macam kenaaaaaaallll jer antara ayat-ayat yang digunakan tu *yang berwarna merah tu lah*. Rupa-rupanya ayat tu diambil bulat-bulat daripada artikel Neezam kat Utusan Malaysia, 20hb Mei 2008; Budaya Keluar Minum.


* * * * *

Budaya keluar minum

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dalam titahnya pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-65 baru-baru ini menggesa para penjawat awam supaya tidak mementingkan diri sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan awam. Baginda turut bertitah bahawa penjawat awam perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti serta sanggup berkorban demi kemakmuran rakyat dan negara.

Demi menyahut aspirasi murni Tuanku Syed Sirajuddin, kakitangan awam harus membuang jauh-jauh sifat mementingkan diri dan amalan negatif yang mampu mencalarkan nilai integriti dan merendahkan keberkesanan perkhidmatan seperti merasuah, curi tulang, ponteng kerja dan birokrasi. Tidak ketinggalan amalan keluar minum yang nampaknya masih begitu kental menghantui diri kakitangan awam.

Sebagai pelanggan atau orang awam, mungkin ada dalam kalangan kita selalu merungut-rungut dan berasa meluat mendengar alasan 'pegawai sedang minum' apabila ingin menyelesaikan urusan penting dengan sesetengah jabatan kerajaan.

Apatah lagi bila kita sedang dihambat masa dan sesuatu urusan itu hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk diselesaikan. Bertambah sakit hati lagi apabila datang berurusan pada waktu pagi, diminta oleh pegawai di kaunter untuk datang pada sebelah petang, dan apabila datang pada sebelah petang, diminta untuk datang pada keesokan hari semata-mata kerana pegawai pergi minum.

Budaya keluar minum dalam kalangan kakitangan awam ini sememangnya masih galak berlaku. Cubalah jenguk restoran, warung dan kafetaria yang berhampiran dengan pejabat-pejabat kerajaan pada hari-hari bekerja. Boleh dikatakan bahawa tempat-tempat makan ini memang tidak akan sunyi dengan pelanggan yang turun minum, rata-ratanya kakitangan awam.

Tidak menjadi keanehan juga jika kita bertemu dengan sebilangan kakitangan awam yang berkali-kali datang ke kedai makan hanya untuk minum sambil 'bergebang' membuang masa!

Tiada salahnya untuk berehat seketika pada waktu bekerja. Daripada perspektif saintifik, diakui bahawa penggunaan domain-domain afektif (perasaan dan emosi), psiko motor (fizikal) dan kognitif (pemikiran) seseorang itu mempunyai hadhadnya. Ia perlu disegarkan semula dengan cara berehat seketika untuk mengelakkan unsur-unsur negatif berlaku seperti stres dan kelesuan.

Namun, yang silapnya apabila keperluan dan kelonggaran untuk berehat itu disalahgunakan seterusnya mengganggu kelancaran urusan pejabat terutamanya jika berurusan dengan pelanggan secara langsung. Itu sebabnya apabila diajukan persoalan tentang fenomena waktu minum dalam kalangan kakitangan kerajaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam melahirkan rasa kurang senangnya dan mahukan mekanisme kawalan dan tindakan proaktif diambil oleh semua pihak.

Menurut beliau, kakitangan awam perlu sentiasa tepat pada masanya dan mengutamakan pelanggan bukannya membuang masa dengan berbual-bual perkara tidak berfaedah di kedai makan sehingga boleh menimbulkan prasangka buruk daripada masyarakat.

Sebagai kakitangan awam, mereka perlu ingat bahawa tugas yang dipikul adalah suatu amanah yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat. Akan peri pentingnya sifat amanah ini disebutkan dengan jelas melalui Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal, ayat 27, bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak amanah."

Bukan sekadar tidak beriman bahkan tergolong dalam golongan orang munafiklah adanya bagi orang yang tidak amanah seperti sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain: Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.'

Mengkhianati amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak berfaedah bermaksud makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha yang dilaksanakan?

Bahkan perlu juga difikirkan adakah ia halal untuk digunakan bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber haram menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang akan berlakunya gejala-gejala negatif dalam diri seseorang dan kelangsungan hidup keluarga yang ditanggungnya.

Demi membendung budaya minum pagi yang mencacatkan kesempurnaan perkhidmatan jabatan kerajaan ini, semua pihak sebenarnya perlu melaksanakan perubahan. Pihak pengurusan dalam jabatan-jabatan kerajaan perlu mewujudkan dan mengaktifkan penggunaan pantri dalam pejabat. Peralatan paling asas untuk memasak air, memanaskan makanan dan menyimpan makanan boleh disediakan seperti cerek, ketuhar gelombang mikro, peti sejuk dan sebagainya.

Dicadangkan juga agar ketua-ketua jabatan tegas mengatur waktu rehat dan minum para pekerjanya agar perjalanan perkhidmatan dan operasi pejabat tidak terganggu. Dengan cara ini, produktiviti dan kualiti perkhidmatan kakitangan awam akan tetap mantap sepanjang hari dan urusan pelanggan berjalan lancar kerana akan sentiasa ada pegawai atau kakitangan yang berada di kaunter atau di pejabat.

Jika ada kakitangan yang masih kerap keluar minum dan membuang masa kerjanya, maka menjadi peranan ketua jabatan dan rakan-rakan sekerja untuk menegur dan memperingati mereka agar mengubah sikap dan memberi fokus terhadap tugas.

Sebagaimana yang diamalkan oleh sebilangan organisasi, para pekerjanya menyumbangkan sedikit wang dan berkongsi membeli makanan dan minuman ringan untuk diletakkan di pantri. Ada juga dalam kalangan pekerja yang sama-sama membawa pot-luck dari rumah masing-masing dan bertukar-tukar juadah makanan di pantri pejabat.

Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa untuk berjalan dan melepak di kafetaria, bahkan menjimatkan kantung poket daripada membelanjakan duit membeli air dan makanan di kafetaria. Begitu juga, silaturrahim sesama rakan sekerja dapat dieratkan.

Perubahan sikap dalam hal keluar minum ini perlu dimulakan dan seterusnya dikekalkan. Kita tidak mahu orang awam berterusan berpegang kepada stigma 'pegawai kerajaan suka keluar minum'. Jika kita benar-benar berpegang kepada konsep mencari pendapatan halal dan beramanah seperti mana yang digariskan syariat Islam, pasti kita akan berjaya mengubah sikap negatif sebegini. Barulah boleh kita nanti layak dipanggil sebagai kakitangan awam yang berintegriti, produktif dan memiliki minda kelas pertama.

* * * * *

Sama tak? *yang berwarna oren tu* Sama kan... Hehehhehee... Well, actually Neezam tak kesah pun. Ye lah... tu maksudnya penulis tu gunakan artikel Neezam tu sebagai rujukan. Bagus lah kan... Cumanya, kenapalah dia tiru bulat-bulat ayat Neezam tu? Plagiat namanya...


*juliet le sweetheart : tak kesah pun...



2 comments :

sz said...

wahhh betul tuh plagiat...kenalah bg kredit dari mana ayat2 tu diambil...ayoyoyoy

*juliet le sweetheart said...

Hehe... Tu lah pasal... Tapi may be penulis tu tak biasa menulis kot, so tak tau unsur-unsur pragiat ni. Tapi tak per lah... Hubby pun tak kesah. Maybe dia ada idea nak tulis tapi tak tau nak karang. Kot? ;p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top