♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, March 20, 2009

Mendidik anak resam berjiran

Lama jugak enche Neezam 'puasa' menulis artikel ke surat khabar. Setelah sekian lama, hari ni ada terselit artikel enche Neezam di surat khabar Utusan Malaysia di bahagian Rencana.

Meh kita sama-sama baca dan hayatinya...

Mendidik anak resam berjiran

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

PEPATAH Melayu ada menyebut: "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat." Ia merujuk kepada kepentingan hidup bertunjangkan kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.

Nilai muafakat itu pula lebih signifikan maksudnya dalam konteks hidup berjiran kerana golongan ini merupakan antara orang paling dekat dengan kita.

Keharmonian hidup berjiran merupakan tuntutan syariat Islam. Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya." (Riwayat Al-Bukhari).

Mengambil berat akan resmi hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk pada anak-anak sejak mereka kecil.

Anak-anak perlu dididik akan siapakah jiran mereka dan apa pentingnya hidup berjiran. Mereka juga perlu diberitahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori dan setiap kategori mempunyai hak tersendiri.

Menurut Rasulullah SAW kategori pertama ialah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran. Kedua ialah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak sebagai jiran dan juga hak sebagai saudara seagama.

Sementara ketiga, jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak iaitu hak sebagai jiran, saudara Islam dan keluarga. Perbezaan hak-hak ini perlu dijelaskan kepada anak-anak.

Jika sejak kecil anak-anak dididik mengenai hak jiran, mereka akan terus menjunjung nilai murni hidup bermasyarakat seperti yang disyariatkan Islam.

Banyak perkara yang kita sebagai ibu bapa boleh terapkan kepada anak-anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran. Antaranya ialah:

- Menggalakkan anak-anak bersikap merendah diri, tidak sombong serta menghormati jiran.

- Menegah anak-anak daripada berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga.

- Memupuk budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran terutamanya apabila mereka sakit atau ditimpa kesusahan. Namun mereka juga perlu dididik mengenai masa-masa yang tidak sesuai untuk menziarahi jiran.

- Mendidik agar 'ringan tulang' membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Ia termasuk sokongan berbentuk material, fizikal dan moral.

- Menegah anak-anak daripada mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya membuat bising, membuang sampah atau mengambil hak milik jiran.

- Menggalakkan mereka menyertai program komuniti seperti solat berjemaah, bertadarus dan bertahlil, kendurikendara, gotong-royong dan sebagainya. Mereka perlu difahamkan mengenai keburukan bersifat seperti 'kera sumbang'.

- Setiap masalah perlu diselesaikan mengikut syariat dan tidak diperbesar-besarkan sehingga menjadi kronik. Sifat berdendam juga perlu dibuang dan disemarakkan dengan sifat bertolak ansur dan mudah memaafkan.

Apa yang lebih penting adalah ibu bapa sendiri perlu menunjukkan teladan terbaik kepada anak-anak dalam hal kehidupan berjiran.

Sekiranya kita sendiri bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu atau menegur sapa jiran tetangga, tidak hairanlah jika anak- anak turut berbuat sedemikian.

Janganlah kita hanya sedar kepentingan hidup berjiran setelah kita berdepan dengan ujian yang memerlukan kita menagih bantuan mereka.


*juliet le sweetheart : sri lankan depan rumah aku ni mesti tak tau hidup berjiran, sebab tu asyik memekak tanpa fikirkan jiran-jiran sebelah menyebelah! Elok kalau dia reti baca artikel ni. Hehehe...



No comments :

back to top