♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Wednesday, May 11, 2022

Hargai pengorbanan ibu, jauhi kata-kata mengguris hati

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam hari ni di Berita Harian pula, bersempena dengan sambutan Hari Ibu.

Artikel penuh di bawah, atau boleh terus ke laman web Berita Harian, klik sini.

Hargai pengorbanan ibu, jauhi kata-kata mengguris hati

Setiap tahun Ahad kedua dalam bulan Mei dinamakan khusus sebagai Hari Ibu. Namun, kasih sayang dan menghormati seorang wanita bergelar ibu bukanlah terhad pada tarikh itu sahaja sebaliknya mereka perlu dirai setiap masa.

Islam menggariskan martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan seperti firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: 'Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).'

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepadanya. Sebagai misalan, cerita rakyat, Si Tanggang yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Nabi Muhammad SAW juga sudah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Baginda dan berkata: 'Saya ingin melaksanakan jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian'. Rasulullah SAW kemudian menjawab, 'Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.'

Kita sebagai anak perlulah memberi perhatian kepada ibu. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosi. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Kita juga berperanan untuk menegur ibu jika mereka membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh membuatnya tersasar daripada batasan disyariatkan Islam dan norma budaya serta masyarakat.

Bagi anak-anak yang berjauhan dengan ibu, jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga juga ibu sendiri, apa salahnya untuk membawa mereka menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat berakhir nafasnya di dunia ini. Walaupun mungkin ibu sudah meninggal dunia, sebagai anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan rohnya supaya sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya.

Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk 'Ke Makam Bonda karya Usman Awang: Begitulah bakti kami berikan, tiada sama bonda melahirkan, kasih bonda tiada sempadan, kemuncak murni kemuliaan insan. Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan ibu. Sememangnya syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu.

Profesor Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor,
Universiti Sains Islam Malaysia

Monday, May 9, 2022

Raikan Ibu Sepanjang Zaman

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam di Malaysia Gazette hari ni bersempena dengan sambutan Hari Ibu.


Artikel penuh di seperti di bawah atau boleh ke laman web rasmi Malaysia Gazette, klik sini.

Raikan ibu sepanjang zaman

SESUNGGUHNYA, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia. Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya. Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa. Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan sebagaimana Allah SWT mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: ‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).’

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu. Sebagai misalan, cerita rakyat ‘Si Tanggang’ yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: ‘Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)’.

Bayangkan, untuk anak-anak berkata ‘Ha’ pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat bahawa, keredhaan Allah SWT itu terletak kepada keredhaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: ‘Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian’. Rasulullah SAW kemudian menjawab, ‘Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.’

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, ‘Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali ‘Siapakah selepas ibu?’ dan jawapan Rasulullah SAW tetap ‘Ibumu’. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab ‘Bapamu’. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.

Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh tersebut. Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang masa semampunya. Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.

Sebagai anak-anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sebagai anak-anak kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia ‘emas’nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya. Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuskan di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak-anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israa’ ayat 24, maksudnya: ‘Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.’

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya. Namun, kerana wujudnya hubungan dan ‘chemistry’ yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka.

Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap-rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ karya Usman Awang: ‘Begitulah bakti kami berikan, Tiada sama bonda melahirkan, Kasih bonda tiada sempadan, Kemuncak murni kemuliaan insan’. Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang insan yang bernama ibu. Sememangnya syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu.


Oleh: Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Ketua Program, Program Pengurusan dengan Pelancongan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia


Sunday, May 8, 2022

Father & son's ride

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Hari ni father and son's ride - enche Neezam dan Naufal dekat Kota Seriemas jer. Gi lah kome. Aku masih sayang nak bakar lemak-lemak di badan ni. Muahahahhahaa... 





Tunggu enche Neezam ajak gi berbasikal kat Putrajaya, baru onzzzz... 

Friday, May 6, 2022

Neeyaz turns 5!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم


Happy birthday sayang mama. Mama loves you so much! You will always be my baby. Jangan membesar cepat sangat. Huhuhu...


Thursday, May 5, 2022

Bimbing kanak-kanak teruskan ibadah ketika Ramadan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam di Berita Harian hari ni.

Artikel penuh di bawah, atau boleh ke laman web Berita Harian, klik sini.

Bimbing kanak-kanak teruskan ibadah ketika Ramadan

Menyorot dari perspektif Islam, hari raya adalah antara syiar Islam yang agung. Hari raya disyariatkan bagi memenuhi dan menyempurnakan fitrah keperluan jiwa dan fizikal umat Islam sebagai manusia.

Ia turut dikaitkan dengan hari bahagia penuh gembira dan secara umumnya diraikan dengan tatacara sesuai syariat.

Justeru itu, pada kedua-kedua hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, umat Islam diharamkan berpuasa.

Diriwayatkan bahawa suatu ketika, apabila mengetahui adanya nyanyian oleh dua kanak-kanak perempuan, Rasulullah SAW tidak melarangnya. Bahkan, ketika mendengar Saidina Abu Bakar RA hendak melarangnya, Baginda bersabda: "Biarkanlah mereka." (Hadis riwayat Bukhari).

Umat Islam tanpa mengira darjat, keturunan, pangkat mahu pun usia berhak meraikan kejayaan melaksanakan tanggungjawab berpuasa sebulan sepanjang Ramadan, termasuk golongan kanak-kanak.

Selama 11 bulan bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu juga fitrah manusia dicemari dan dirosakkan. Maka dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik pada Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amal ibadah yang dapat menguatkan serta menyucikan semula fitrahnya. Dari perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa pada Ramadan lalu, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah yang menjadi satu daripada tunjang Rukun Islam ini.

Kita sedia maklum pada tahun sudah, Aidilfitri disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelaksanaan itu mengehadkan kemeriahan dan warna-warni sambutannya. Namun, pada tahun ini, sambutan lebaran menjadi cukup meriah, menyemarakkan perasaan gembira di hati umat Islam terutama kanak-kanak.

Pada hari raya kali ini, mereka berpeluang memakai baju serba baharu, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih raya, selain mengutip sampul berisi wang pelbagai warna serta berpeluang mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara juga sahabat handai.

Tidak ada salah untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila muncul Aidilfitri dan Aidiladha.

Anas Malik berkata: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) ketika jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabda Baginda lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri."

Bagaimanapun, kanak-kanak juga perlu dibimbing dan difahamkan konsep 'wasatiyyah' atau kesederhanaan menyambut hari raya mengikut lunas-lunas Islam.

Dalam hal mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci pada lebaran ini, ia tidak sepatutnya disulami dengan unsur negatif. Misalnya boros berbelanja untuk kelengkapan rumah dan pakaian, terlalu leka menonton rancangan hiburan di televisyen, melayari media sosial atau permainan dalam talian, membazirkan makanan, lalai melaksanakan solat atau bermain.

Kanak-kanak perlu diasuh untuk meneruskan kesinambungan amal ibadah tidak kira yang bersifat khusus atau umum yang dilaksanakan ketika Ramadan pada bulan berikutnya.

Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari ketika Syawal, selain setiap Isnin dan Khamis.

Begitu juga dengan meneruskan amalan qiamullail yang diakui kelebihan dan faedahnya dari sudut pandangan Islam juga perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah juga perlu digalakkan.

Ajarkan juga kanak-kanak memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya, berzikir dan berdoa kepada-Nya. Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah dan sentiasa mendapat petunjuk serta hidayah dengan izin-Nya.

Amalan mulia seperti menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat dalam berbelanja, bersedekah, ziarah-menziarahi, hormati orang tua dan sebagainya adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak. Tujuannya supaya mereka faham akan konsep 'amar makruf, nahi mungkar' iaitu memperbanyakkan amalan yang mulia dan meninggalkan perbuatan dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang Ramadan lalu tidak akan bermakna jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga tidak turut sama menunjukkan contoh baik sebagai ikutan mereka.

Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Raya @ Segamat

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Raya kelima, lengkap dah semua - keluarga mertua.

Wednesday, May 4, 2022

Tukar shift

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Sempat juga jumpa adik tersayang.


Tukar shift - aku balik Segamat, adik pula balik Kajang.

Biasanya aku dan adik-adik akan raya bersama-sama. Maksudnya, bila turn raya dengan family aku, maka semua adik beradik akan balik beraya dengan mak abah dan bila turn family in-law, masing-masing akan balik ke keluarga mertua.

Tapi tahun ni, family aku beraya dengan mak abah. Manakala adik-adik beraya dengan keluarga mertua memasing. Sedih gak tak dapat berkumpul ramai-ramai. Jumpa adik-adik. Tapi aku rasa lagi sedih kalau nak biarkan mak abah beraya berdua jer. So, berganti-ganti lebih baik.

So, hari ni aku balik rumah mertua dan adik pula balik beraya dengan mak abah. Tak lah mak abah sunyi berdua jer cuti raya ni. Adik pula rumah mertua dia memang setaman dengan mertua aku. Alhamdulillah... sempat juga jumpa. Ingatkan selisih atas jalan jer. Huhuhu...

Monday, May 2, 2022

Salam Aidilfitri 2022

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Alhamdulillah... seronok raya tahun ni. Walaupun raya terkejut, tapi emak macam biasa, sentiasa prepared! Semua persediaan memasak dah ready - ketupat palas dah siap, tinggal nak kukus jer, bahan-bahan redang dah siap kisar, bahan-bahan sambal kacang dah siap, kacangnya dah siap tumbuk, daging dan paru dah perap. So tak lah kelam kelibut sangat. Lagipun kitorang jenis masak awal pagi, tak masak sehari sebelum raya macam sesetengah orang.


Macam biasa, emak pukul 4 pagi lagi dah sibuk kat dapur. Aku wajiblah tolong. Huhuhu... Pukul 7 pagi semua dah siap terhidang - ketupat palas, ketupat segera, rendang ayam, daging goreng sate, paru goreng, kuah lodeh dan sambal kacang. Sambal kacang enche Neezam yang buat. Biasanya kitorang buat sambal tumis gak. Tapi sebab emak aku kata sambal kacang enche Neezam buat sedap giler, maka cancel buat sambal tumis. Huhuhu...

Raya tahun ni, family aku jer beraya dengan emak abah. Manakala adik dan Joy beraya kat rumah mertua memasing. 









Paling seronok raya kali ni sebab kitorang berkesempatan balik ke Tapah Road. Lepas makan dan bersalam-salaman, terus bertolak ke sana. Seronok dapat berjumpa dengan semua makcik-makcik dan pakcik-pakcik, sepupu-sepapat yang memang dah lama giler tak jumpa.






Niesreena, Naufal dan Neeyaz pun seronok jugak sebab dah lama tak rasa kemeriahan beraya kat kampung, kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah dan collect duit raya. Hehehe...



Dapatlah juga tunjukkan kampung halaman aku, tempat atok abah diorang membesar. Dulu masa diorang kecik-kecik pernahlah jejak gak kat sini beberapa kali. Neeyaz first time sampai sini.

Alhamdulillah... semoga tahun depan kiter semua dapat berkumpul lagi.

Salam Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Sunday, May 1, 2022

Raya 2022 @ Raya terkejut!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Hahahha... macam tak percaya dengar pengumuman raya kejap tadi. Esok raya weh!!!


Memang hari ini dalam sejarah. Akhirnya boleh gak nyanyi lagu "Esok hari raya!" lepas dengar pengumuman raya, Biasanya kena puasa sehari lagi. Huhuhu...

Raya terkejut. Tapi alhamdulillah... emak aku memang superwoman. Semua benda dah siap prepare walaupun tak sangka esok nak raya. Dua hari lepas emak dah siap perap daging satay, rebus paru dan perap, kisar bahan-bahan rendang, goreng dan tumbuk kacang untuk sambal kacang. Emak aku memang terbaik!

Pagi tadi aku sampai, aku tolong siapkan ketupat palas jer. Alhamdulillah... siap! Nasib baiklah emak suruh siapkan siang tadi. Kalau tak, memang kena overtimelah malam ni. Huhuhu...

Emak siap sedekah bahan-bahan kuah lodeh kat jiran belakang rumah sebab diorang memang tak prepare apa pun lagi. Ayam dan  daging semua tak der. Ingat nak shopping last minit esok. Terpaksalah bergegas ke supermarket malam ni. Kesian diorang.

Alhamdulillah... walaupun terkejut, kitorang relax-relax jer. Sebab kitorang memang sejenis yang memasak lauk-lauk raya di awal pagi hari raya pertama. So, esok bangun awal untuk memasak. Kalau family mertua aku, sehari sebelum raya dah siap masak dah. So, malam terakhir berbuka puasa dah makan ketupat rendang semua. Kali ni tak sempatlah.

Apa-apapun, ada masa beberapa jam lagi sebelum raya ni. Gi lah shopping last minit apa yang patut.

Esok hari raya! Esok hari rayaaaaaaaaaaa!

back to top