♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, March 4, 2010

Di Utusan Malaysia hari ini

Dua artikel enche Neezam tersiar kat suratkhabar Utusan Malaysia hari ni.

Satu, di segmen 'Keluarga'. Artikel enche Neezam bertajuk 'Mengatur Tabiat Makan Anak'.

Dua, di segmen 'Forum'. Artikel bertajuk 'Kes Rogol Kini Menjadi-jadi'. Artikel ni rentetan daripada kes-kes rogol yang semakin berleluasa di Malaysia sekarang dan mangsa-mangsa kebanyakannya ialah remaja bawah umur. Paling menyedihkan kalau mangsa dan perogol tu beragama Islam. Betapa tipisnya nafsu diorang sehingga dengan mudah termakan dengan bisikan syaitan.

Takut dengar kan? Semoga kite semua dilindungi daripada perkara terkutuk tersebut dan keturunan kite sentiasa diperlihara dan dilindungi Allah swt. Amin...

So, di bawah ni adalah kedua-dua artikel enche Neezam yang disiarkan kat Utusan Malaysia hari ni. Boleh klik pada tajuk untuk terus ke web Utusan Malaysia Online.

Selamat membaca dan mengambil iktibar!

Segmen : Keluarga

Mengatur tabiat makan anak

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan.

Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat.

Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.

Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran.

Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.

Menurut Coughlin (2003) dalam penulisan jurnalnya bertajuk 'Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence' terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah.

Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen.

Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat.

Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja.

Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa.

Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak.

Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan.

Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat.

Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.

Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang.

Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa.

Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul.

Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.

Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok.

Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga.

Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.

Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.

Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.

Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi 'beracun', bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk.

* * * * * * * * *

Segmen : Forum

Kes rogol kini menjadi-jadi

LAPORAN kes rogol bergilir-gilir kelihatannya, semakin menjadi-jadi dan membimbangkan kebelakangan ini. Selaklah akhbar-akhbar, dengarlah berita di corong radio, atau tontonlah televisyen, pasti kita akan menemukan berita 'panas' dan menyedihkan seperti ini. Kelihatannya, maruah anak gadis hari ini sangat murah harganya, lantaran begitu mudah diratah-ratah oleh golongan lelaki bernafsu binatang.

Penulis rasa begitu tersentuh hati dan sedih membaca laporan Utusan Malaysia semalam bahawa seorang pelajar perempuan yang masih menuntut dalam tingkatan tiga mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh sekumpulan 15 lelaki di Felda Sungai Klah dekat Sungkai, kelmarin.

Nauzubillah! Penulis yakin bukan sahaja penulis, bahkan semua orang akan berdoa agar tidak berlaku perkara yang sama terhadap zuriat dan keluarga sendiri.

Jika diamati kronologi kebanyakan kes sebegini, terdapat banyak punca yang perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak. Antaranya faktor kepercayaan dan kebebasan tanpa batasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Kononnya generasi zaman sekarang tidak boleh dikongkong dan perlu diberi ruang memilih jalan hidup sendiri. Maka, anak-anak diberikan 'lampu hijau' untuk bercampur-gaul dengan golongan rakan yang disenangi mereka. Akibatnya, anak-anak ini tersalah memilih rakan-rakan.

Sikap ingin mencuba perkara negatif di kalangan anak remaja selalunya membawa padah. Mereka terdorong untuk mencuba sesuatu yang nampak menyeronokkan sambil bergaul bersama rakan-rakan tanpa memikirkan kesan buruk hasil sikap suka mencuba itu. Dalam kes rogol beramai-ramai ini, remaja lelaki kelihatan lebih 'berani' melakukan perkara negatif dan jenayah apabila berada dalam kumpulan rakan-rakan yang ramai.

Selain itu, wujud juga faktor 'kerelaan' anak gadis dalam perlakuan seks bebas dengan rakan-rakan. Bak kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Bermula dengan aksi ringan yang kemudian mengundang kepada aktiviti seks yang lebih menyeronokkan pada mata kepala mereka. Akhirnya, mereka tumpas menjadi 'lauk' mangsa rogol teman lelaki sendiri dan rakan-rakannya.

Pengaruh gaya hidup bersosial yang terlalu terbuka seperti yang dipaparkan di Internet dan media massa banyak mempengaruhi keperibadian dan pemikiran anak remaja kini. Berpeleseran, pergaulan tanpa batas antara lelaki dan perempuan, gaya hidup mewah dan menunjuk-nunjuk, kesemua ini adalah paparan gaya hidup yang kononnya menepati trend kehidupan yang didahagai remaja masa kini.

Begitu juga sumber bahan lucah terlalu mengujakan buat anak remaja yang begitu mudah diperoleh di Internet atau di sesetengah kedai telekomunikasi. Semua ini berupaya menjadi perangsang nafsu dan mendorong mereka mencari teman dan mangsa untuk melampiaskan nafsu seksual yang membuak-buak hasil dorongan bahan lucah tersebut.

Usia remaja belasan tahun adalah peringkat remaja melalui transformasi fizikal, tahap kematangan fikiran dan bertingkah laku ke arah kedewasaan. Namun dalam masa yang sama, mentaliti dan gaya 'kanak-kanak' itu masih juga wujud dalam diri mereka. Dalam hal ini, mereka sentiasa bereksperimen dan berkonflik dengan diri sendiri untuk memilih dan menentukan jenis dan cara gaya hidup yang ingin dibentuk. Ada kalanya langkah mereka tepat, tetapi selalu juga ia tersasar daripada batasan yang digariskan oleh agama dan budaya.

Andai anak-anak ini pernah tersilap langkah, maka sebagai ibu bapa dan keluarga, sokongan moral yang padu perlulah diberikan supaya mereka tidak rasa tersisih dengan kesilapan yang dibuat. Jangan mudah menghukum mereka tanpa kompromi dan terburu-buru.

Sebagai ibu bapa, anak remaja sememangnya perlu diberikan kebebasan, tetapi toleransi yang diberi perlu mempunyai batasan yang jelas dan tegas berasaskan prinsip keagamaan, moral dan kebudayaan. Tidak salah untuk anak-anak bersahabat, tetapi kita sebagai ibu bapa berperanan besar dalam membimbing anak-anak untuk memilih sahabat mereka yang tepat.

Masyarakat sekeliling juga berperanan sebagai ejen pelengkap dalam mencegah berlakunya masalah sosial di kalangan remaja. Tegur dan cegah jika mampu andai kita terlihat perilaku anak remaja yang kelihatannya menyimpang. Atau sekiranya tidak mampu melakukannya sendiri, laporkanlah kepada pihak yang sewajarnya seperti polis.

Secara spesifik, langkah perawatan sewajarnya perlu bagi golongan remaja yang telah menjadi mangsa dalam kes rogol beramai-ramai ini. Remaja seperti ini wajar diberikan rawatan pemulihan, bimbingan kerohanian dan kaunseling supaya mereka dapat mengatasi trauma dan tekanan jangka panjang yang dilaluinya. Ia menunjukkan bahawa masih ada sokongan padu diberikan oleh keluarga dan institusi kemasyarakatan di sekeliling mereka walaupun mereka pernah tersilap langkah atau menjadi mangsa tanpa kerelaan.

Bagi mereka yang bersalah seperti perogol beramai-ramai yang tidak berperikemanusiaan ini perlu dihukum melalui saluran perundangan sebagai balasan setimpal atas sifat dan nafsu kebinatangan mereka. Seterusnya, menjadi pengajaran berguna kepada mereka dan pihak-pihak lain agar tidak sewenang-wenangnya melakukan kejahatan dan merosakkan kehidupan orang lain yang tidak berdosa.

Sebagai peringatan kepada perogol yang masih tidak sedarkan diri dan semua remaja, ingatlah setiap sesuatu yang kita lakukan pasti akan mendapat balasannya kelak. Andai baik amalan yang kita lakukan maka baiklah balasan yang akan kita terima, begitu juga sebaliknya. Itulah janji Allah SWT kepada kita sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula." (surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

No comments :

back to top