♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Wednesday, August 13, 2008

Semangat berjiran perlu diasuh sejak kecil

Artikel Neezam di Berita Harian hari ini di bahagian Agama. Kali ini Ostad Neezam menulis tentang resam hidup berjiran. Berikut adalah tulisan Neezam di suratkhabar BH hari ini. Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran darinya…

Semangat berjiran perlu diasuh sejak kecil

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

PEPATAH Melayu ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk kepada pentingnya hidup sekumpulan manusia bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.

Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormati dan menghargai hak sesama jiran tetangga.

Keharmonian hidup berjiran sangat dititikberatkan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dekat, jiran tetangga jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk sejak daripada kanak-kanak. Pada usia inilah anak mudah menyerap sebarang bentuk pendidikan diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat ‘buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya’.

Anak perlu dididik akan siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana perkara silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah.

Anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaannya tersendiri. Kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak, iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak, iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil lagi, jika anak faham akan kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini bahawa mereka akan terus memupuk dan menjulang nilai murni hidup bermasyarakat seperti mana disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh kita sebagai ibu bapa terapkan kepada anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran antaranya:

  • Menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga. Ia selaras hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperi laku baik terhadap jiran tetangganya.” (Mutafaqun ’alaih)
  • Menegah sikap buruk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan terlalu mudah mempercayai, malah menyebarkan khabar berita yang tidak menyenangkan berkaitan dengan jiran demi menjaga maruah dan keaiban mereka.
  • Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami kerana berdasarkan ajaran Islam ada masanya tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.
  • Mendidik anak ‘ringan tulang’ membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Anak perlu tahu bahawa pertolongan diberikan bukan sekadar bersifat material dan fizikal, bahkan sokongan moral turut berupaya membantu jiran mengharungi dugaan dan kesukaran yang diuji Allah.
  • Menegah anak mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya, membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.
  • Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis agama seperti bertadarus dan bertahlil, kenduri atau gotong-royong. Dengan cara itu barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling sesuai untuk meminta bantuan.
  • Jika berlaku masalah atau percanggahan pendapat sesama jiran tetangga, anak perlu dilatih untuk melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.
  • Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh di kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak juga perlu menyuburkan sifat bertolak ansur, mengalah dan mudah memaafkan apa juga kesalahan jiran terhadap mereka.
  • Menggalakkan anak bersedekah apa saja termampu kepada jiran tetangga yang memerlukan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima dan akan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah. Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh teladan sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita sendiri mengadu domba, bermusuhan dan mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak kita turut sama berbuat sedemikian.

Berilah pedoman kepada anak untuk memuliakan jiran tetangga seumpama mereka itu adalah sebahagian daripada keluarga terdekat yang sangat kita kasih.



*juliet le sweetheart : masalah dengan keling depan rumah yang asyik memekak malam-malam. *sigh*


No comments :

back to top