♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Sunday, August 10, 2008

Bertegas atasi gangguan seksual

Dah lama sangat Neezam tak hantar artikel ke suratkhabar. Kata Neezam, dia nak puasa menulis artikel kat suratkhabar untuk seketika waktu sebab nak fokus pada phD dia. Tetiba semalam ada pulak artikelnya yang tersiar. Ntah bila masa dia hantar ntah.

So, inilah artikel Neezam semalam kat Berita Harian.

Bertegas atasi gangguan seksual

KETENTERAMAN dan kesejahteraan bekerja menjadi antara faktor penting untuk mewujudkan kepuasan, sekali gus meningkatkan prestasi bekerja. Namun, gangguan seksual baik secara lisan, perbuatan, visual dan psikologi boleh menjejaskan keharmonian pekerja.

Gangguan seperti itu banyak berlaku baik di sektor awam atau swasta, cuma sesetengahnya tidak dilaporkan kerana menganggap perkara itu remeh atau tidak mahu menjadi buah mulut.

Tingkah laku dikatakan berunsur seksual apabila ia dianggap oleh mangsa sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaannya atau ia dianggap sebagai satu pencabulan maruah atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya tetapi tiada hubungan secara langsung dengan pekerjaannya.

Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa saja di tempat kerja. Tidak kira pekerja bawahan atau pengurusan, bujang atau berkahwin, berkelulusan rendah atau lepasan universiti, cantik mahupun tidak, berkopiah apatah lagi terdedah, tua atau pun muda, semuanya berpotensi menjadi mangsa gangguan seksual.

Mangsa gangguan seksual di tempat kerja akan menghadapi natijah seperti tekanan psikologi dan ketidakstabilan emosi, kesihatan fizikal yang tidak menentu, kemurungan, mudah meradang dan seumpamanya.

Dari aspek pekerjaan, mangsa cenderung menunjukkan prestasi menurun, ponteng kerja, perbalahan, malah berhenti kerja. Dari segi perhubungan sosial, mangsa mungkin cenderung bergaul, bercakap dan berinteraksi dengan kumpulan tertentu atau jelas cuba menghindari golongan tertentu.

Majikan turut menerima padahnya apabila wujud gejala seperti ketidakhadiran pekerja, produktiviti kerja yang rendah, reputasi organisasi yang tercalar, pekerja hilang semangat untuk bekerja, pusing ganti pekerja yang tinggi, kos untuk mengambil pekerja baru, kos melatih pekerja baru, saman oleh mangsa gangguan seksual, penurunan keyakinan pekerja terhadap organisasi dan sebagainya.

Kerajaan dari semasa ke semasa serius membantu dan melindungi golongan pekerja tidak kira di sektor awam mahu pun swasta daripada gangguan seksual. Ada beberapa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan mangsa gangguan seksual membela diri mereka. Seseorang yang melakukan gangguan seksual di tempat kerja boleh disabitkan kesalahannya di bawah Seksyen 509 dan 354 Kanun Keseksaan.

Beberapa cadangan berikut boleh membantu majikan dalam membendung permasalahan gangguan seksual di dalam organisasi mereka.

  • Pertama; Sekiranya organisasi masih tidak mempunyai dasar berkaitan pencegahan dan pembasmian gangguan seksual, wujudkan segera dasar itu yang dengan jelas menyatakan bahawa organisasi tidak langsung bertolak ansur terhadap sebarang aduan atau kes gangguan seksual.
  • Kedua; Majikan perlu menyediakan pelbagai pilihan kepada pekerja untuk membuat sebarang aduan berkaitan gangguan seksual. Contohnya, mangsa boleh berhubung terus dengan pihak majikan.
  • Ketiga; Majikan perlu melaksanakan latihan dan pendidikan mengenai gangguan seksual di tempat kerja bagi memberi kefahaman mengenai konsep gangguan seksual dalam organisasi.
  • Keempat; Melaksanakan kajian berkala dan konsisten berkaitan gangguan seksual di kalangan pekerja.
  • Kelima, sekiranya berlaku sebarang kes gangguan seksual, kendalikan siasatan terhadap aduan gangguan seksual itu secara teliti.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
La Trobe University,
Bundoora, Melbourne,
Australia.


*juliet le sweetheart : tak sempat nak update blog semalam sebab gentel karipap sepanjang hari; 150 biji tempahan semalam. Aduuuussss… Penat…



No comments :

back to top