Alhamdulillah… berbaloi Neezam perah otak sejam dua depan pc. Hehehehe…
So, ini adalah artikel Neezam kat Utusan Malaysia hari ni.
Mengimpikan pembantu rumah tempatan
Oleh: KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR
DI dalam alaf baru yang serba moden ini, sudah menjadi lumrah bagi pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing. Ini adalah hasil kejayaan sistem pentadbiran dan pendidikan negara yang telah mewujudkan masyarakat Malaysia berpengetahuan tinggi. Lantaran tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga telah dipikul secara kolektif, maka masa untuk menguruskan rumah tangga menjadi minimum. Ia lebih terasa bagi pasangan yang telah mempunyai anak-anak. Untuk itu, menggaji pembantu rumah adalah jalan penyelesaian yang paling tepat dan popular. Sebagai langkah penyelesaian alternatif, Kementerian Sumber Manusia telah menggalakkan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) untuk menawarkan modul latihan pembantu rumah di pusat-pusat latihan mereka. Modul latihan ini mengkhusus kepada warga tempatan yang berminat untuk mendalami karier sebagai pembantu rumah.
Selain itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar baru-baru ini telah mengumumkan bahawa kementeriannya akan membekalkan silibus dan tenaga pengajar untuk pihak swasta melatih warga tempatan sebagai pembantu rumah. Ujarnya lagi, pihak swasta perlu mengambil inisiatif menyediakan pusat latihan tersebut bagi membolehkan warga tempatan mengisi keperluan lebih 100,000 pembantu rumah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Langkah bijak kerajaan ini mempunyai rasionalnya. Pembantu rumah tempatan adalah lebih arif tentang selok-belok budaya dan norma masyarakat Malaysia. Maka, minimumlah masalah komunikasi di antara pembantu rumah ini dengan bakal majikan mereka. Mendapatkan pembantu rumah tempatan kelak turut menjadi lebih mudah. Bakal majikan tidak perlu memikirkan urusan dokumentasi seperti visa dan pasport dan menjimatkan pelbagai kos. Isu-isu seperti majikan yang tertipu juga dapat dielakkan kerana kebolehpercayaan yang lebih tinggi ada pada pembantu rumah tempatan. Selain itu, usaha sebegini menjadi alternatif pekerjaan yang menarik bagi rakyat tempatan selain daripada pilihan kerjaya sebagai operator pengeluaran di kilang, pelayan di pasar raya dan sebagainya.
Daripada perspektif sosio ekonomi negara pula, aliran keluar mata wang negara dapat diminimumkan bahkan digunakan untuk menjana pembangunan domestik. Negara juga berupaya meningkatkan penggunaan sumber manusia tempatan, mengurangkan kadar pengangguran dan meminimumkan import tenaga kerja luar negara. Dan jika strategi melatih dan mewujudkan golongan pembantu rumah warga tempatan ini dijana dengan sebaiknya, tidak mustahil Malaysia mampu mengeksport pembantu rumah tempatan untuk pasaran di luar negara.
Bagi merealisasikan penghasilan tenaga pembantu rumah yang berkualiti tinggi, berikut adalah beberapa saranan yang difikirkan wajar untuk diperhalusi oleh pihak kerajaan dan agensi yang terbabit. Pertamanya, bakal pembantu rumah diberikan latihan asas yang secukupnya seperti kemahiran memasak, mengemas rumah, penjagaan bayi dan kanak-kanak, dan sebagainya. Keduanya, memberikan latihan menghadapi situasi tidak terduga seperti latihan pertolongan cemas, kaedah mengawal kebakaran, kes rompakan, dan sebagainya.
Ketiganya, mereka perlu didedahkan dengan pengetahuan am dan perundangan seperti kontrak pekerjaan dan hak perundangan, gangguan seksual di tempat kerja, penderaan dan seumpamanya. Ia membantu memberi kefahaman kepada mereka tentang hak mereka dan bakal majikan di sisi undang-undang. Ia juga berfungsi dalam memandu arah tentang tindakan susulan yang wajar diambil jika berlaku sebarang kes yang tidak diingini.
Keempatnya, kerajaan perlu memastikan bahawa agensi yang menyalurkan tenaga pembantu rumah tempatan ini kelak menyelaraskan kesesuaian pembantu rumah dengan bakal majikan dari pelbagai aspek terutama yang melibatkan sensitiviti keagamaan dan kebudayaan. Ia adalah untuk mengelakkan anasir-anasir ketidakadilan, bias, dan tindakan di luar norma dan batasan keagamaan dan adat resam sesuatu bangsa.
Kelimanya, untuk menjadikan karier pembantu rumah adalah menarik di kalangan warga tempatan, disarankan agar kadar gaji dan kemudahan-kemudahan sampingan seperti hak cuti tahunan, cuti sakit dan sebagainya dikaji sebaik mungkin. Kadar gaji yang diberikan perlulah diseragamkan dan menarik untuk bakal pembantu rumah tempatan dan bersesuaian dengan kemampuan bakal majikan.
Apa yang penting adalah usaha membuka ruang kepada warga tempatan untuk menceburi karier sebagai pembantu rumah ini akan menjadi penyelesaian paling jitu terhadap pelbagai isu yang berkaitan. Syaratnya, usaha murni kerajaan ini disahut dengan nada positif dan bersungguh-sungguh oleh agensi pembekal pekerja terutamanya di sektor swasta. Adalah diyakini jika betul dan sistematik pelaksanaan latihan pembantu rumah ini kelak, maka para majikan akan dapat memperoleh pembantu rumah yang profesional, berkemahiran tinggi, berdisiplin, dan memiliki kelas ‘A’.
- PENULIS ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
No comments :
Post a Comment