♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, July 4, 2019

Remaja Cerminan Masa Depan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Biasanya artikel enche Neezam keluar hari Sabtu, tetiba keluar hari ni... hari Khamis... pun boleh... huhuhu...

Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Remaja Cerminan Masa Depan

Sesiapa sahaja yang membaca laporan Harian Metro baru-baru ini mengenai seorang pelajar sekolah yang mabuk sehingga tidak sedarkan diri di Kuantan, Pahang pasti mengundang rasa sedih dan gusar kepada kita semua. Pelajar Tingkatan Dua, yang baru setahun jagung umurnya itu, dipercayai meminum minuman keras secara berlebihan bersama-sama beberapa rakannya, walhal dia sepatutnya sedang mengikuti sesi persekolahan dan dia ditemui sedemikian ketika masih beruniform sekolah. Mujur dia ditemui oleh orang ramai dan diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut dan kemudiannya stabil.

Sesungguhnya, apa yang terjadi ini menjadi satu fenomena yang diterima dengan kekesalan oleh majoriti masyarakat di negara kita. Bagi mereka yang matang dan waras pemikirannya pasti sudah menggeleng-gelengkan kepala memberi maksud tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan pelajar-pelajar tersebut. Ini adalah bukti nyata akan keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial yang tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat walau di mana pun ia dilakukan di muka bumi ini. Lihat sahaja buktinya apabila ribuan netizen mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut melalui ruangan komen pada perkongsian di pelbagai platform media sosial.

Begitu pun, percaya atau tidak, ada sebilangan remaja atau belia hari ini yang sebenarnya kagum dan berbangga dengan perbuatan tersebut, bahkan menyatakan itulah gaya kehidupan remaja zaman sekarang. Bagi sebilangan mereka ini, cakap-cakap orang dewasa yang membandingkan ketinggian nilai tata susila dan adab sopan generasi terdahulu dengan mereka adalah umpama satu perbandingan yang tidak relevan bahkan sudah lapuk ditelan zaman.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa ada sesetengah daripada golongan belia zaman sekarang yang ‘berdarah muda’, terlalu bebas untuk melakukan apa sahaja dengan berkiblatkan nafsu dan kehendak masing-masing tanpa memikirkan akan kesan-kesan negatifnya. Pada mereka, umur mereka bukan lagi setahun jagung, malah sudah menjangkau dewasa dan mereka berhak untuk membuat keputusan sendiri dan memilih cara hidup tersendiri.

Kebejatan sosial dalam kalangan belia membimbangkan semua terutamanya ibu bapa dan keluarga. Wujudnya gejala-gejala negatif dalam kalangan belia selain daripada pengambilan alkohol berlebihan dan bahan memabukkan, umpamanya lumba haram, seks bebas tanpa ikatan sah, peniruan budaya kuning dari barat, penyalahgunaan dadah, bahkan kes-kes jenayah seperti samun, buli, rogol dan bunuh adalah masalah bertaraf nasional yang menggusarkan semua pihak. Laporan-laporan di media saban hari mengenai kebejatan sosial anak belia remaja ini sepatutnya telah membuka mata dan pintu hati semua pihak untuk sama-sama berganding bahu secara kolektif menangani kemaslahatan generasi belia ini.

Sejarah hidup para sahabat Baginda Rasulullah SAW yang terdiri dalam kalangan belia memperlihatkan ketinggian gaya pemikiran, nilai tatasusila dan peradaban golongan muda belia. Misalnya, sewaktu berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah mengamanahkan Saidina Ali bin Abi Talib untuk tinggal dan tidur di rumah baginda sebagai strategi untuk mengelirukan kaum Quraisy yang mengepung rumah Rasulullah. Saidina Ali yang pada ketika itu dikatakan hanya berumur belasan tahun sedikit pun tidak membantah dan tidak gentar meskipun menyedari keselamatan dan nyawanya akan terancam.

Ternyata kesanggupan serta keberanian Saidina Ali mempertaruhkan nyawanya tidak sia-sia. Ini kerana pengorbanannya bukan sahaja telah memudahkan proses penghijrahan Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar dari Mekah ke Madinah, malahan ia turut mengejutkan dan menimbulkan kebingungan dalam kalangan kaum Quraisy. Sirah Nabawiyyah berkenaan kehebatan Saidina Ali ini adalah bukti jelas bahawa generasi belia sebenarnya mampu melaksanakan apa juga tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan jika diberi bimbingan, kepercayaan dan tunjuk ajar secara berhikmah.

Banyak kaedah telah dicadangkan oleh ilmuan, pakar bidang sosial, bahkan orang-orang tua yang hidup lebih dahulu daripada kita. Melalui langkah pencegahan, ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak-anak remaja ini bertanggungjawab membimbing mereka sejak kecil lagi untuk menjadi insan yang kamil, soleh dan berakhlak mulia dengan memberikan ilmu agama, moral dan ketatasusilaan yang mantap. Anak-anak remaja juga perlu difahamkan bahawa setiap tindak-tanduk mereka ada had batasannya terutama daripada perspektif agama, perundangan, budaya dan masyarakat. Pihak sekolah atau guru-guru turut memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak murid mereka terutamanya mereka yang sedang meniti usia remaja dengan bimbingan untuk menjadi insan terpelajar, berdisiplin dan kaya dengan ilmu pengetahuan yang mampu mencerna daya pemikiran yang sihat dan matang.

Masyarakat sekeliling berperanan sebagai agen pelengkap dalam mencegah berlakunya permasalahan sosial dalam kalangan remaja. Mereka tidak seharusnya mengamalkan konsep ‘lantaklah, dia bukannya anak aku’, akan tetapi lebih kepada unsur cakna dan tanggungjawab tanpa memilih bulu dengan cara menegur dan menghalang secara baik andai tersua sebarang tindak-tanduk anak-anak remaja yang menyimpang berlaku di depan mata. Masyarakat setempat terutamanya pemimpin-pemimpin atau jawatan kuasa penduduk kawasan kejiranan perlulah bijak menyusun atur program-program membabitkan golongan remaja dalam pengisian aktiviti keilmuan, sosial, keagamaan, sukan, rekreasi dan sebagainya.

Intervensi atau langkah perawatan sewajarnya pula perlu bagi golongan remaja yang telah ‘parah’ jiwa dan pemikirannya seperti dalam kes pelajar yang dirakam merokok dalam kelas ini. Tindakan melalui saluran perundangan misalnya, adalah salah satu kaedah konservatif dalam langkah perawatan di mana mereka perlu dihukum andai melakukan satu-satu tindak-tanduk yang melampui batas undang-undang. Selain itu, program pembentukan jati diri, tata susila dan keagamaan yang komprehensif boleh didedahkan kepada mereka untuk menyuburkan kembali nilai-nilai murni yang sebenarnya ada dalam diri mereka.

Amalan masyarakat sekeliling yang suka menjauhkan diri daripada mereka yang pernah berbuat salah juga perlu dihapuskan, terutamanya golongan remaja yang masih terkial-kial mencari identiti dan jati diri mereka yang sebenarnya. Dalam hal ini, masyarakat perlu membuang jauh-jauh akan konsep ‘nasi sudah menjadi bubur’. Para remaja yang tersasar sebegini, perlu didekati dan diserlahkan akan contoh kehidupan sebenar yang boleh diterima oleh masyarakat, undang-undang dan agama sendiri.

Andai tidak ada mekanisme dan usaha pencegahan dan perawatan yang berkesan untuk membimbing golongan remaja masa kini, maka tidak perlulah kita bermimpi untuk dapat terus mengekalkan kemajuan dan kemakmuran negara ini pada masa hadapan. Sememangnya benar kata Saidina Ali RA iaitu, “andai kamu mahu melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Jika molek budi pekerti dan matang pemikiran mereka pada hari ini, maka akan berjayalah negara untuk terus memacu rentak kemajuan dan kesejahteraan. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku, maka tunggu sahajalah akan kehancuran pembangunan negara dan kepupusan warisan tamadun dan budaya bangsa Malaysia ditelan kebejatan sosial yang membarah dan semakin parah.

No comments :

back to top