♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, July 27, 2019

Kaya di Dunia, Bala di Akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro sisipan minda.

Seramkan tajuk... Bala ni... Bala...

Haa... nak tahu isi artikel, boleh baca artikel penuh di bawah ni.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat!

Rasuah lazat di Dunia, Bala di Akhirat

Menyedihkan apabila mengetahui bahawa gejala rasuah masih lagi berleluasa di negara kita yang tercinta ini. Apatah lagi andai ia berlaku dalam sektor kerajaan yang sepatutnya bersih dan bebas 100% daripada unsur ketidakadilan, pemerasan, penipuan, nepotisme, kronisme dan sebagainya yang mendorong mereka yang terlibat itu untuk memberi dan menerima rasuah.

Terbaharu, enam penjawat awam termasuk lima penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 antara 2015 hingga 2018. Dalam prosiding sama, seorang bekas penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara turut dituduh dengan semua mereka dikatakan menerima ganjaran daripada pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori melakukan kesalahan di Pulau Pinang.

Merujuk kepada Portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah difahami sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Dr. Muhmad Bakr Ismail dalam penulisannya al-Feqhul Wadhih mentafsirkan bahawa rasuah adalah sesuatu yang disogokkan kepada penzalim oleh penzalim untuk mengambil hak yang bukan miliknya, atau untuk menghilangkan hak dari yang empunya samada atas motif dendam atau penipuan dengannya, dan untuk mendapatkan satu kedudukan yang tidak sepatutnya atau pekerjaan yang dia tidak berkelayakkan.

Daripada perspektif Islam, rasuah adalah sesuatu yang dikeji dan dicela. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Al-Baqarah, ayat 188). Dalam satu hadis, daripada Thauban katanya, "Rasulullah SAW melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya," (Riwayat Ahmad & Hakim). Rasulullah SAW pernah mengutus Abdullah bin Rawahah ke tempat Yahudi untuk menentukan jumlah cukai yang mesti dibayar. Kemudian mereka menyogok sejumlah wang kepadanya. Lalu Abdullah berkata kepada orang-orang Yahudi itu: "Wang suap yang kamu sogokkan kepadaku itu adalah haram. Oleh itu kami tidak akan menerimanya." (Riwayat Malik)

Dalam satu temubual bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau menyatakan bahawa didikan yang tegas perlu diberikan kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan generasi muda. Walaupun amalan rasuah merupakan antara dosa besar yang jelas dinyatakan haram menurut ajaran Islam namun ia dilihat masih kurang diambil berat oleh orang ramai. Bukan sahaja tidak diambil berat, bahkan tidak memahami langsung apa maksud rasuah.

Malaysia berada di tangga 61 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan pada 2018, berbanding kedudukan ke-62 pada 2017. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar, berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), negara berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI pada tahun lalu dan 2017. Katanya, skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas Singapura yang menduduki tangga pertama iaitu kedudukan keenam dunia manakala Brunei melonjak ke tangga kedua (tangga ke-32 dunia). Sementara itu, di peringkat negara-negara Islam seluruh dunia, Malaysia menduduki tangga kelima, selepas Emiriah Arab Bersatu (22), Qatar (29), Brunei (32) dan Arab Saudi (57).

Ada yang menganggap dapatan ini masih menjadi indikator kurang baik dan menimbulkan banyak persoalan, tanggapan dan persepsi kurang baik mengenai keseriusan pihak-pihak berwajib menangani gejala rasuah mutakhir ini. Pun begitu, berkenaan laporan CPI ini, penulis bersetuju dengan kenyataan yang ditegaskan oleh pihak SPRM dari semasa ke semasa bahawa kedudukan itu tidak selari dengan usaha pihak kerajaan melalui SPRM menangani rasuah melalui operasi dan penguatkuasaan secara berterusan. SPRM menganggap Malaysia sepatutnya diletakkan pada kedudukan lebih baik jika mengambil kira tindakan agresif dan tangkapan ke atas individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah. Mata CPI itu merupakan satu persepsi atau pandangan masyarakat dipanggil expatriate atau pekerja profesional asing tentang rasuah di Malaysia dan dapatan itu boleh dipertikaikan kerana ia tidak bersifat komprehensif.

Apa pun keadaannya, kita tidak boleh mengambil mudah mengenai gejala rasuah ini. Kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya menuding jari kepada mana-mana pihak tanpa cuba melihat apakah diri kita sendiri pernah melakukan atau terdorong untuk merasuah dalam kehidupan kita sehari-hari. Masyarakat kita sebilangannya masih menganggap sesuatu ganjaran yang diberikan itu dibenarkan, dengan alasan ia sebagai hadiah atau sagu hati, sedangkan itulah yang dimaksudkan dengan rasuah.

Kita harus berganding bahu dalam mencegah dan membasmi amalan rasuah. Dalam aspek pencegahan, rasuah dan bahayanya boleh dididik secara serius kepada generasi muda dengan menyuntik silibus di sekolah dengan elemen benci rasuah melalui subjek-subjek seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan sebagainya. SPRM dan Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif yang menarik dalam mendidik murid-murid sekolah membenci rasuah apabila melancarkan program Sahabat Cilik SPRM di 14 buah sekolah terpilih di seluruh negara tidak berapa lama dulu. Ia diyakini dapat membugarkan pengetahuan yang lebih komprehensif mengenai rasuah dalam kalangan murid-murid sekolah dengan mengambil kira apa yang disebut dalam peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ dengan harapan bahawa mereka akan menjadi bakal pemimpin negara yang akan menjauhi amalan rasuah. Ibu bapa memainkan peranan paling penting di rumah untuk menerapkan rasa jijik terhadap rasuah dalam kalangan anak-anak dengan cara mendekatkan mereka dengan ajaran agama dan amal ibadah yang membentuk keperibadian diri yang mulia. Didik juga anak-anak untuk tidak mementingkan kebendaan beserta mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu dengan cara rasuah.

Daripada aspek perundangan, kerajaan sendiri telah menguatkuasakan undang-undang dan hukuman melalui antaranya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), dan Kanun Keseksaan (Akta 574). Hukuman setimpal perlu diberikan kepada mereka yang terbukti bersalah terlibat dalam rasuah supaya bukan sahaja mereka akan rasa ‘bertaubat’ untuk melakukannya lagi, bahkan masyarakat akan terdidik untuk berasa gerun dengan hukuman tersebut. Media cetak, media massa dan media baharu adalah platform terbaik untuk meyebarluaskan akan bahaya dan buruknya kesan rasuah dalam kalangan masyarakat. Usaha masyarakat untuk melaporkan sebarang kejadian rasuah perlu juga dibugarkan. Masyarakat perlu tahu bahawa sesiapa yang melaporkan kejadian rasuah sebenarnya dilindungi daripada segi undang-undang dan mereka tidak perlu gentar dengan sebarang tindak balas oleh pesalah rasuah yang mereka adukan. Misalnya, menerusi akta-akta yang berkaitan seperti Akta Melarikan Orang dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947 (Pindaan 1977) (Akta 191), Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang sepatutnya menjadi satu bentuk ‘perisai kebal’ bagi masyarakat yang sedar dan mahukan agar rasuah ini dibanteras sepenuhnya.

No comments :

back to top