♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, April 20, 2019

Beli Belah Online: Rahmat atau Bala

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Amboi tajuk artikel enche Neezam hari ni... mesti dapat ilham dari tabiat aku yang suka membeli-belah online ni. Huhuhu...

Tabiat membeli online aku ni bermula sejak kerja kat Shah Alam ni lah... Terikut-ikut kawan-kawan. Dulu tak berani beli online sebab takut tak selamat. Tapi bila tengok kengkawan beli online semuanya ok jer... Tu yang terberjangkit pulak. Hehehhe...

Antara sebab aku suka berbelanja online ni sebab senang nak cari benda yang kita nak dan banyak pilihan, pastu kadang-kadang kita boleh dapat harga lebih murah. Dulu aku suka berbelanja kat Lazada. Tapi aku rasa sejak end of last year kot, Lazada dah ada delivery charges, so aku beralih pulak kepada Shopee. Aku rasa kat Shopee lebih murah. Harga barang murah dan kos penghantaran pun murah berbanding Lazada.

Tapi alhamdulillah... setakat ni tabiat ni boleh dibendung lagi. So, aku rasa tak lah bala sangat. Huhuhu... Cuma tu lah... kadang-kadang tu rasa ada benda tak perlu pun nak terbeli sebab terbekenan di hati. Bahaya jugak kan...

Apa pulak pendapat korang tentang berbelanja online ni? Rahmat ke bala?

Jom baca pendapat enche Neezam dalam artikel beliau kat bawah ni.

Membeli-belah Secara Atas Talian: Rahmat atau Bencana?

Peredaran zaman bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Nilai ketamadunan manusia kelihatannya turut bersandar kepada bagaimana majunya sesebuah generasi itu mencipta dan memanfaatkan evolusi sains dan inovasi demi kelangsungan hidup. Akan hal ini, dapat dilihat bahawa sebilangan besar ahli dalam masyarakat pada hari ini ‘memakmurkan’ trend membeli-belah secara atas talian. Ia dikatakan sebagai satu budaya yang sangat cepat berkembang, diterima, dan diraikan lantaran nilai ‘pro’ yang lebih banyak daripada ‘kontra’ jika dibandingkan dengan kaedah membeli-belah secara konvensional.

“Jimat”. Itulah perkataan yang selalu dikaitkan dengan dengan membeli-belah secara atas talian. Jimat duit petrol kereta untuk ke pasaraya dan jimat masa kerana tidak perlu ke lokasi lain andai pasaraya yang dikunjungi tiada barangan yang dicari. “Masyarakat sekarang semakin malas!”, itulah pula tanggapan sesetengah pihak mengenai trend pembelian barang atas talian ini. Golongan ini menegaskan sebegitu kerana kelihatannya membeli–belah seperti itu adalah simbol ‘kemalasan’ kerana secara fizikalnya kita tidak perlu bergerak ke mana-mana lokasi. Hanya perlu duduk, menghadap skrin telefon bimbit atau gajet, buka laman sesawang atau aplikasi internet tertentu dan bakal pembeli akan menemukan katalog-katalog barangan pilihan. “You name it, you will get it”, namakan sahaja pasti anda akan temukan ia. Pilih sahaja barangan, buat pesanan, bayar dan tunggu saja dalam tempoh tertentu, barang yang dipesan akan sampai di depan pintu rumah.

Sejarah membeli-belah secara atas talian ini bermula pada tahun 1979 apabila Michael Aldrich, seorang usahawan, pakar IT dan pereka cipta, berjaya menghubungkan siaran televisyen domestik dengan real time computer untuk melakukan transaksi perbankan melalui saluran telefon domestik. Usaha ini terus berkembang pada era 1980an dan 1990an apabila browser world wide web mula beroperasi dan dapat dilayari hampir di seluruh dunia yang memberi ruang kepada perusahaan-perusahaan tertentu memasarkan barangan melalui atas talian. Pada tahun 1995, Amazon mula memasarkan dan menjual buku secara atas talian, manakala syarikat gergasi seperti Dell dan Cisco menggunakan internet untuk semua transaksi penjualan mereka. Begitu juga dengan laman sesawang eBay yang mula menjadi tumpuan atas talian dengan memberikan ruang kepada peniaga dan pembeli untuk membida dan menawarkan harga pelbagai barangan yang mencecah nilai jualan sebanyak USD131 pada tahun 1995 itu. Menurut laman sesawang eReviewes yang berpengkalan di United Kingdom, pada tahun 2015, jual beli atas talian di seluruh dunia mencatatkan nilai setinggi USD1.55 trillion yang membuktikan betapa ‘makmur’nya mod transaksi sebegini yang menjadi pilihan utama masyarakat seluruh dunia.

Kini, trend pembelian barangan secara atas talian ini sangat ketara di seluruh dunia. Misalnya, mengikut kajian Pew Research Centre yang berpengkalan di Amerika Syarikat, pada tahun 2017, lapan daripada 10 warga Amerika Syarikat adalah pembeli-belah secara atas talian, dan secara puratanya 87 ke 90 peratus pembeli barangan secara atas talian adalah golongan umur pertengahan antara 18 hingga 29 tahun. Di Malaysia pula, banyak kajian turut dibuat berkenaan amalan membeli secara atas talian ini. Misalnya, satu kajian yang dibuat oleh Vase Technology ke atas seribu responden tempatan, mendapati bahawa 55 peratus daripada mereka lebih selesa dan memilih membeli secara atas talian berbanding 45 peratus secara konvensional. Hasil kajian ini juga mendapati pembeli atas talian di Malaysia banyak membeli gajet dan aksesori elektronik, diikuti produk kesihatan dan kecantikan, dan juga produk alatan rumah dan pakaian.

Canadian Pos dalam satu kajian sosialnya pada tahun 2016 menemukan beberapa sebab utama mengapa membeli-belah secara atas talian menjadi satu ‘fenomena’ mutakhir ini. Pertama, pembeli hanya perlu mencari apa mereka mahukan hanya dengan menekan papan kekunci pada telefon atau komputer, dan barangan yang dicari akan ditemukan dalam masa hanya beberapa saat! Kedua, tiada keperluan untuk bersesak-sesak atau beratur seperti di pasaraya dan transaksi juga menggunakan sistem perbankan atas talian tanpa perlu ada wang tunai di tangan. Ketiga, boleh membeli-belah pada bila-bila masa tanpa perlu risau dengan waktu berurusan konvensional dan terhad seperti di pasaraya. Kadang kala, sebelum mahu melelapkan mata di atas katil pun, transaksi pembelian boleh dilakukan dengan begitu selesa. Keempat, Ianya mudah bagi pembeli untuk membuat perbandingan harga dan juga ulasan pihak lain yang pernah membeli sesuatu barang yang hendak dibeli. Ianya kelihatan efektif dalam mewujudkan rasa selamat dan selesa untuk membeli sesuatu barangan itu, dengan kemampuan untuk memilih yang paling murah, paling berkualiti, dan paling dipercayai ramai. Yang kelimanya, barangan boleh didapatkan secara global, iaitu pembelian tidak terhad hanya pada penjual tempatan, atau daripada satu-satu negara sahaja, bahkan ia boleh diperoleh daripada mana-mana ceruk dunia.

Begitupun, sebagai pembeli yang bijak, kita harus berhati-hati dan memikirkan juga kesan negatif yang telah banyak juga terpaksa ditanggung oleh para pembeli secara atas talian yang lain. Melalui kes-kes yang mungkin telah diangkat sehingga ke tribunal tertentu atau mahkamah, kita perlu menimbang tara sebaiknya keperluan untuk membeli secara atas talian ini agar tidak ‘menangis’ di kemudian hari. Misalnya, isu barangan yang dibeli sama ada ia adalah tulen atau pun cetak rompak boleh juga mendatangkan kesan sampingan selain kerugian iaitu bahaya apabila mengendalikan atau menggunakan produk cetak rompak yang biasanya ditawarkan pada harga jauh lebih murah berbanding kebiasaannya. Seterusnya, pelanggan adakalanya perlu menunggu jangka masa yang lama untuk menerima barangan anda. Kadang-kadang, ini juga boleh mengambil masa sehingga sebulan atau lebih lama jika produk itu dibeli dari luar negara. Ada kalanya, produk langsung tidak sampai ke tangan kerana hilang sewaktu proses pengeposan, tersalah alamat, atau kalau diterima pun, ia sudah rosak atau tidak boleh digunakan. Kemudian, sebagai pembeli, kita tidak dapat menguji produk sebelum membeli kerana ianya hanya terhad kepada penampilan produk dan ciri-cirinya dalam gambar, brosur atau iklan penjual atas talian ini.

Unsur penipuan juga boleh berlaku apabila wujud penjual atas talian yang tidak jujur dan memang mengambil kesempatan untuk menipu. Begitu juga dengan isu kebolehpercayaan dan keselamatan transaksi pembelian atas talian menggunakan kad kredit yang boleh menyebabkan pembeli ditipu mentah-mentah apabila barangan tidak diperoleh, wang dalam akaun bank tetap dipotong untuk pembayaran.

Nyatanya, andai ianya adalah sesuatu yang boleh dikawal, memudahkan, dan memberikan banyak kelebihan, silakan meneruskan transaksi pembelian atas talian. Anda mungkin seorang pembeli yang berhemah dan tahu mengawal diri apabila membeli secara atas talian. Andai pernah tertipu, atau takut tertipu, maka alternatif untuk membeli-belah secara konvensional dan fizikal masih banyak dan anda tidak sedikitpun kelihatan ‘ketinggalan zaman’ berbanding para pembeli secara atas talian ini. Mungkin trend pembelian atas talian ini satu ‘rahmat’ bagi sesetengah kita, namun mungkin jua ia adalah satu ‘bencana’ buat sesetengah yang lain. Tepuk dada, tanya selera!

Dr Khairunneezam bin Mohd Noor, Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kempimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments :

back to top