Bertuah kite kat Malaysia sebab harga minyak walaupun naik 78 sen, still jauh lebih murah kalau nak dibandingkan dengan negara-negara lain. Kalau tak, takkan lah orang-orang Singapore dan Thailand gila-gila masuk negara kita semata-mata nak isi minyak. Betul tak? So korang bersyukurlah. Kerajaan naikkan harga minyak ada sebabnya. Bukan sukati jer nak naikkan harga. Percayalah cakap aku. *Nampak sangat tak aku ni penyokong kerajaan?* Hahahaha...
Nway, honestly aku bukanlah 100% menyokong apa sajer yang kerajaan buat tapi sekurang-kurangnya kite kena cuba berfikiran rasional sikit. Jangan terus naik hangin dan memberontak. Korang yang marah-marah sebab harga minyak naik tu, tau tak kenapa sebenarnya harga minyak naik? Haaaa... cuba cari jawapannya yer murid-murid...
Rentetan dengan kenaikan harga minyak, maka harga barang-barang keperluan harian mesti akan naik jugak. Itu dah macam tradisi setiap kali minyak naik rege. Tapi gaji jugak yang tak naik-naik. Ye tak? So, kite sebagai rakyat jelata ni terpaksa ikutlah arus globalisasi ni. Boleh kalau cuba nak menongkah arus, but it will takes a very hard work dan berbaloi ke? May be lepas ni kite boleh amalkan sifat berjimat cermat; berjimat dalam berbelanja, berjimat dalam penggunaan air dan elektrik, berjimat dalam semua aspek lah. Even kalau jarang keluar boleh jimat sikit minyak kereta.
So, hari ni artikel Neezam di suratkhabar Utusan Malaysia mengenai sifat berjimat cermat yang perlu dipupuk oleh kakitangan kerajaan dalam organisasi. Sama-samalah kite berjimat yer...
Pupuk sifat berjimat kakitangan awam
TIDAK dapat tidak, ramai yang mengakui bahawa banyak jabatan awam yang masih tidak dapat menguruskan penggunaan kepelbagaian sumber fizikal dalam organisasi secara berhemah dan bijaksana. Stigma ‘menghabiskan peruntukan tahunan’ yang selalu kedengaran dalam kalangan pegawai kerajaan perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya dalam mengelakkan pembaziran yang sememangnya merupakan amalan kegemaran syaitan.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini meminta kakitangan awam untuk memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat bagi membantu kerajaan mengelakkan perbelanjaan subsidi melebihi aras perbelanjaan operasi yang boleh membawa masalah besar pada masa hadapan.
Secara realistik banyak usaha yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk berjimat cermat. Berikut adalah antara cadangan yang perlu dipertimbangkan dan diambil tindakan segera oleh jabatan-jabatan dan para pekerja sektor awam:
1. Rata-rata, ramai pekerja yang menggunakan konsep ‘pakai dan buang’ dalam penggunaan alat tulis, kerana memikirkan ia boleh didapati dengan mudah dan stoknya banyak. Untuk itu, pengurusan jabatan perlu mengurangkan atau mengehadkan pemberian pen, klip kertas, gam dan sebagainya kepada setiap pekerja kerana alat tulis tersebut boleh bertahan untuk jangka masa yang lama jika ia digunakan dengan jimat dan disimpan dengan cermat.
2. Amalkan kaedah ‘kitar semula’ kertas-kertas A4 dan sebagainya yang telah digunakan untuk tujuan urusan dalaman. Misalnya, penggunaan kertas-kertas terpakai tapi masih boleh digunakan untuk mencetak pekeliling jabatan atau minit mesyuarat. Ia berkesan dalam menjimatkan kos pembelian kertas yang kebiasaannya akan dibuang setelah diguna walaupun ruang di belakang kertas itu masih elok untuk digunakan semula.
3. Aplikasikan teknologi maklumat dan Internet dengan semaksimum mungkin dalam usaha menjimatkan kertas. Misalnya notis panggilan mesyuarat, jemputan menghadiri program, atau pekeliling yang boleh dikirimkan dengan mudah melalui internet.
4. Terdapat sesetengah jabatan yang selalunya akan menghidangkan jamuan makanan semasa mesyuarat. Untuk itu, jabatan kerajaan harus mengikis budaya mengsinonimkan mesyuarat dengan jamuan makan untuk tujuan menjimatkan kos pembelian makanan yang dirasakan tidak perlu bagi kelancaran mesyuarat.
5. Pengurusan setiap jabatan perlu memikirkan kaedah berkesan dalam penggunaan barangan elektrik. Komputer, radio, televisyen, mesin pencetak dan alat pendingin hawa misalnya perlulah diingatkan supaya ditutup jika tidak digunakan seperti ketika waktu rehat atau waktu pejabat berakhir.
6. Kurangkan atau elakkanlah mengadakan kursus, mesyuarat atau pelancaran program organisasi di hotel-hotel mewah yang sememangnya memakan kos perbelanjaan yang tinggi. Apa salahnya jika mesyuarat atau kursus dalaman organisasi dilaksanakan di dalam organisasi sendiri yang mana pada hemat penulis cukup kemudahan dan ruang fizikalnya.
Banyak kos yang dapat dikurangkan, terutamanya kos penginapan, makanan, pengangkutan, petrol dan sebagainya. Apa yang penting adalah aspirasi, matlamat atau resolusi yang diharapkan daripada kursus, mesyuarat dan program itu dapat dicapai, bukan betapa hebatnya lokasi pelaksanaannya.
7. Setiap jabatan kerajaan harus berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan urusan sesuatu transaksi dengan pelanggan. Hal ini sebenarnya memberikan kesan positif bukan sahaja kepada pelanggan bahkan kepada satu-satu organisasi kerajaan itu sendiri.
8. Setiap pekerja harus bijak dan amanah dalam menggunakan masa bekerja dan dalam pengendalian peralatan pejabat. Kita sepatutnya mengikis tabiat-tabiat buruk ini yang mana secara tersiratnya membazir dan merugikan wang kerajaan dan rakyat. Pupuklah etika kerja yang berintegriti dan berpandukan kepada syariat Islam dan pegangan moral.
Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang dirasakan bersifat realistik dan boleh dipraktikkan secara menyeluruh dalam jabatan-jabatan kerajaan. Satu-satu perubahan yang baru itu sememangnya sukar untuk dilaksanakan, namun seperti kata-kata pujangga barat ‘kejayaan itu bermula dengan langkah pertama’.
Ambillah tindakan sewajarnya daripada sekarang untuk mengikis sikap boros, kurang cermat dan tidak berhemah dalam bekerja sebelum berlaku fenomena dan kesan yang lebih kritikal pada masa hadapan.
Khairunneezam Mohd Noor
*juliet le sweetheart : kadang-kadang susah nak berfikiran rasional kan?
No comments :
Post a Comment