Seperti biasa lepas mandi tiap-tiap pagi rutin harian aku akan bermula kat dapur; mengemas, membasuh, memasak. Manakala Neezam pulak, turn on pc dan baca online newspaper; semestinya Utusan Online.
Pagi tadi, sedang aku sebuk-sebuk sediakan sarapan tiba-tiba Neezam tarik tangan aku ke bilik dan disuruh aku baca rencana kat Utusan online. Rupa-rupanya tulisan Neezam disiarkan kat Utusan Malaysia.
Neezam gembira sangat! Aku pun tumpang gembira… Mana tak nya, Neezam ingatkan tulisan dia tu tak layak nak disiarkan sebab hampir seminggu Neezam hantar ke Utusan tapi masih tak disiarkan sehinggalah ke hari tu. Dah sedih dah ‘orang tua’ tu. Tapi hari tu Neezam seronok sangat.
Seronok bila tengok Neezam seronok. Tersenggih jer Neezam sepanjang hari tu. Aku sempat jugak sms kat adik aku kat KL supaya tengok rencana Neezam.
So, inilah hasilnya.
Mengintegrasi pensyarah, industri
Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR
ACAP kali kita mendengar isu siswazah universiti yang tidak memiliki tahap pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan oleh industri. Secara zahirnya seolah-olah siswazah sendiri yang bersalah kerana tidak kompetitif dan tidak cukup berkemahiran.
Laporan akhbar yang menyiarkan cadangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed, baru-baru ini yang menyarankan agar para pensyarah di institusi pengajian tinggi membuat latihan praktikal di industri sangat menarik perhatian.
Ini merupakan bukti bahawa kerajaan benarbenar serius untuk memartabatkan kecemerlangan dan kualiti para pensyarah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Pelaksanaan cadangan ini akan menjadi satu titik-tolak yang sangat bermakna bagi meningkatkan kredibiliti siswazah yang akan dihasilkan sesebuah universiti sejajar dengan kehendak pasaran semasa.
Strategi
Selain itu, usaha mengintegrasikan pensyarah universiti dengan industri melalui latihan praktikal sebegini adalah satu strategi bersifat serampang dua mata. Bak kata pepatah sambil berdiang nasi masak, ia dianggap pembuka mata dan perspektif pensyarah tentang perkembangan semasa di industri.
Tidak disangkal, pensyarah universiti di mata masyarakat adalah golongan bijak pandai yang sarat dengan ilmu pengetahuan di dada mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Pensyarah universiti menjadi sumber rujukan untuk penyelesaian bagi sebarang isu semasa yang timbul berkaitan dengan bidang mereka.
Pun begitu, mereka masih perlu mendalami praktis dan perkembangan sebenar ilmu tersebut di dalam industri. Kepesatan dan pembangunan di dalam industri kadangkala menyebabkan teori-teori dan ilmu yang dimiliki dan diajar di universiti menjadi lapuk ditelan zaman.
Akhirnya, kualiti pembelajaran yang diterima oleh para pelajar turut ketinggalan. Natijahnya, kesan buruk ditanggung siswazah kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan industri. Justeru, cadangan untuk ahli akademik universiti bergelumang dan menyertai industri secara hands-on adalah sangat wajar dan perlu disahut dengan nada yang positif di kalangan mereka.
Penglibatan di dalam latihan praktikal di industri bukanlah satu trend atau fenomena asing di kalangan pensyarah universiti di negara-negara lain. Ternyata ia menjadi ‘budaya akademik’ yang utama bagi mereka selain daripada mengendalikan kuliah dan penyelidikan semata-mata.
Begitu juga dengan sebilangan kecil pensyarah di universiti tempatan yang bijak mengambil inisiatif menyertai industri untuk memantapkan pengetahuan mereka. Namun, masih juga perlu ada kesedaran bersifat kolektif di kalangan semua pensyarah untuk berbuat sedemikian.
Apa yang pasti, usaha kerajaan menggalakkan pensyarah universiti untuk melihat sendiri dunia sebenar di dalam industri perlu dilihat dari perspektif yang terbuka.
No comments :
Post a Comment