♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, September 19, 2009

Perantau anggap rakan umpama keluarga sendiri

Artikel Enche Neezam hari ni di Berita Harian mengenai sambutan dan aktiviti kitorang di Desa Bundoora sepanjang bulan Ramadan.

Tadi online dengan FIL, dapatlah tengok surat khabar Berita Harian hari ni. Ada 3 gambar; satu, gambar tadarus, dua, gambar orang bayar zakat dan tiga, gambar anak-anak dara Barnes Way dan Main Drive tengah iftar kat kat rumah kitorang. Obvious gambar enche Neezam dan beberapa warga Desa Bundoora. Famous seh! Dapatlah sedara mara diorang kat Malaysia tengok gambar diorang kat sini. :)

So berikut ada artikel penuh enche Neezam mengenai kemeriahan sambutan bulan Ramadan di Australia. Untuk ke link berita harian online, sila klik pada tajuk.

Perantau anggap rakan umpama keluarga sendiri

Daripada Khairunneezam Mohd Noor, Melbourne, Australia

Kata orang berpuasa dalam bulan Ramadan di perantauan tidak sesekali akan semeriah seperti mana amalan dan budaya berpuasa di tanahair tercinta. Di Australia umpamanya, sangat sukar untuk menemukan program-program yang mencerminkan aktiviti umat Islam di bulan Ramadan melalui kaca televisyen dan media cetak. Ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana penganut agama Islam adalah golongan minoriti di sini, dengan populasi kira-kira 500,000 orang di seluruh Australia . Pada hemat penulis yang kini merantau di Bundoora, sebuah kawasan pesisiran kotaraya Melbourne ini, cahaya Ramadan walaupun secara umumnya kelihatan suram di sini, namun ianya disambut tidak kurang meriahnya dalam kalangan komuniti umat Islam pelbagai bangsa, khususnya kami para perantau warganegara Malaysia.

Cabaran berpuasa di perantauan amatlah kuat. Masakan tidak, contohnya majoriti rakan-rakan sekuliah atau sepejabat yang bukan beragama Islam ‘selamba’ makan secara terbuka kerana mereka mungkin tidak sensitif dengan keadaan kami umat Islam yang sedang berpuasa. Kami harus sedar, untuk menjadi umat Islam yang bertakwa, sesukar manapun godaan untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang menjadi salah satu tunjang Rukun Islam ini, ianya perlu dilaksanakan secekal mungkin. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Dalam hal mendidik anak-anak kecil untuk bertahan berpuasa semasa bersekolah, ibu bapa Muslim turut menerima dugaan yang mencabar. Misalnya, beberapa sahabat menceritakan bahawa terdapat guru-guru sekolah yang bukan beragama Islam mempersoalkan mengapa anak-anak yang masih kecil ini dibiarkan kelaparan? Pada hemat mereka, umur sekecil ini tidak sesuai untuk berpuasa kerana mereka perlukan tenaga dan konsentrasi dalam semua aktiviti di sekolah. Lantaran itu, guru-guru ini ‘bermurah hati’ menyediakan makanan kepada anak-anak Muslim ini, alasannya untuk mengekalkan konsentrasi semasa belajar dan mengelakkan penyakit seperti gastrik, dehydrated dan sebagainya.

Maka, demi usaha untuk mendidik anak-anak menghayati ibadah puasa yang waib ini, sahabat-sahabat penulis telah mengambil inisiatif berbincang dan menerangkan kepada guru-guru tersebut betapa puasa di sepanjang bulan Ramadan adalah ibadah yang menjadi tunjang utama dalam Rukun Islam, dan ia perlu dihormati. Bahkan ianya secara saintifik terbukti berpuasa mampu membentuk tahap kesihatan seseorang yang cergas dan cerdas. Akhirnya, guru-guru tersebut faham, akur dan sedia memberi kerjasama.

Menyentuh mengenai iftar atau berbuka puasa, masjid-masjid yang dibina oleh bangsa Turki , Albania ataupun Arab sering menjadi salah satu pilihan utama selain berbuka puasa di rumah bersama-sama keluarga. Ramai juga rakan warga Malaysia yang bermurah hati mengundang rakan-rakan lain untuk berbuka di rumah mereka. Walaupun menu masakannya ala kadar, namun ia tidak menjadi suatu isu kerana di perantauan ini, rakan-rakan sudah diumpamakan seperti keluarga sendiri dan silaturrahim sesama kami adalah sangat erat. Satu fakta menarik berkenaan penganjuran iftar di sini adalah, komuniti perantau Muslim Malaysia di Bundoora ini telah beberapa tahun menganjurkan ‘Majlis Iftar Makanan Ala Malaysia’ di surau La Trobe University di sini. Sambutan yang diberikan saban tahun adalah sangat memberangsangkan dari segi keikhlasan para penderma Malaysia yang menjayakan majlis iftar dan juga para pelajar antarabangsa yang beragama Islam di universiti ini.

Kami para perantau di sini, sangat merindui budaya membeli juadah berbuka di ‘Pasar Ramadan’ yang cukup unik seperti mana di Malaysia. Rasa rindu tersebut sedikit sebanyak terubat apabila ada beberapa keluarga pemastautin tetap dari Malaysia dan Singapura serta para pelajar yang sepakat menganjurkan Bazar Ramadan Mini pada setiap hujung minggu sepanjang Ramadan ini. Dapatlah juga kami melepaskan ‘rindu dendam’ untuk menikmati makanan dan kuih-kuih berteraskan masakan Malaysia di sini.

Menginsafi bahawa amal ibadah dalam penghulu segala bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT dan hanya dapat dirasai setahun sekali sahaja, maka kami para perantau di sini menganjurkan pelbagai aktiviti kerohanian dan keagamaan sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini. Dalam menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah, sebilangan daripada kami memilih untuk solat di masjid dan surau berhampiran. Komuniti perantau Malaysia di Bundoora sendiri turut menganjurkan solat Tarawih di rumah setiap seorang dari kami secara bergilir-gilir. Wujud juga perkumpulan kecil sesama rakan-rakan dalam penganjuran program bertadarus dan khatam al-Quran yang turut diselangi dengan sesi tazkirah dan kupasan ayat-ayat suci al-Quran sepanjang Ramadan ini.

Zakat fitrah yang wajib dibayar dalam bulan Ramadan ini bukan merupakan satu masalah buat kami umat Islam di Australia, khususnya di sekitar Bundoora ini. Ini adalah kerana dengan kadar AUD10 setiap individu, terdapat beberapa saluran zakat seperti pembayaran terus kepada masjid-masjid di sekitar Melbourne ataupun pembayaran melalui amil-amil zakat yang dilantik oleh Khairat Melayu Islam Victoria (KMIV). Begitu juga zakat fitrah boleh dilunaskan secara atas talian kepada Human Appeal International, suatu badan khusus yang beribu pejabat di New South Wales, Australia yang mengutip zakat dan derma dan kemudiannya menyalurkannya kepada umat Islam yang memerlukan di seluruh dunia.

Akhirnya, sebagai persediaan untuk solat sunat hari raya Aidilfitri kelak, komuniti perantau Malaysia di Bundoora telahpun menempah sebuah dewan khas berdekatan kawasan kediaman kami di sini. Dengan izin Allah, dapatlah kami nanti berkumpul untuk bertakbir memuji keagungan-Nya dan seterusnya melaksanakan solat sunat Aidilfitri bersama-sama.

Begitulah antara aktiviti dan amal ibadah yang teguh dilaksanakan bukan sahaja oleh kami para perantau Malaysia di Australia ini, bahkan semua umat Islam di seluruh dunia. Kami akur bahawa penghayatan bulan Ramadan ini sebenarnya tidak berpaksikan kepada di bumi mana kaki ini berpijak, tetapi ianya lebih kepada sekuat mana hati dan jiwa luhur melaksanakan segala amal ibadah kepada-Nya. Bukanlah suatu alasan untuk mengatakan ‘aku berada di bumi asing’ dan itu seakan-akan memberi permit besar untuk meringan-ringankan hal amal ibadah kepada Allah, terutamanya dalam bulan Ramadan ini.

Peluang yang diberikan Allah SWT untuk bertemu dengan bulan Ramadan dan beribadah sebaiknya tidak seharus dilepaskan kerana Rasulullah SAW menjamin yang kita yang khusyuk beribadah ini akan termasuk dalam golongan para siddiqin dan syuhada. Dari Amr bin Murrah al-Juhani berkata: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW kemudian berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada yang lebih berhak untuk disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku melaksanakan puasa Ramadan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk orang yang manakah aku? Baginda menjawab: “Termasuk dari siddiqin dan syuhada” (Hadis riwayat Ibn-Hibban).

Semoga Allah menerima segala amalan baik kita di bulan Ramadan yang penuh kemuliaan tahun ini dan dapat pula beristiqamah dalam melaksanakannya secara berkualiti pada bulan-bulan yang mendatang.

Penulis kini melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di La Trobe University, Melbourne.


*juliet le sweetheart : hari memasak...


Thursday, September 10, 2009

Salam perantauan 2009 @ Utusan

Alhamdulillah, tahun ni salam perantauan kitorang sekeluarga disiarkan lagi kat Utusan. Tahun ni kali ketiga disiarkan. First dulu masa 2007, gambar Niesreena kecik lagi, dalam 4-5 bulan, gambar kat Great Ocean Road. Second, 2008, Niesreena dah setahun lebih. Gambar kitorang main salji kat Lake Mountain. Tapi masa kedua-dua gambar tu tersiar, kitorang balik beraya kat Malaysia. Hhehehhe... tak aci ek... ;p

Insya Allah tahun ni tahun terakhir kitorang kat sini. Dan insya Allah, kitorang akan beraya kat Melbourne tahun ni. Alhamdulillah keluar jugak gambar kitorang berempat. Tapi gambar dalam rumah jer. Gambar lepas majlis potong jambul baby Naufal. Gambar dekat lagi. So, penuhlah muka kitorang. Hehehehhehe...

Kebetulan, gambar kak Salwa sekeluarga *orang bawah* pun tersiar jugak pada page yang sama. Sehati sejiwa betul! Hehehhee... Teringat tahun lepas, masa salam perantauan kitorang tersiar online ni, kebetulan salam perantauan Sit sekeluarga kat Jepun bebetul sebelah salam perantauan kitorang. :) Kebetulan betul kan!

*Gambar-gambar dikiben dari blog enche Neezam ^_^*


Hmmmm... tapi dah tersiar ke belum kat paper ek? Biasanya kat online ni cepat sikit tersiarnyer. Lepas dua tiga hari baru tersiarkan surat khabar. Ha... famili kat Malaysia tu, rajin-rajin lah checkkan kat surat khabar Utusan k! :)


*juliet le sweetheart : mak abah kat Sabah, adik-adik kat KL... may Allah blessed us all and really hope to be together again very soon... amin...

Wednesday, September 9, 2009

Ingat lagi Poh Masterchef?

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hmmmm... jarang aku update blog pagi-pagi macam ni. Tapi hari ni special! Sebab artikel enche Neezam disiarkan kat Utusan Malaysia hari ni. First time keluar kat sisipan bahagian Keluarga.

Artikel enche Neezam hari ni mengenai Poh Masterchef. Ingat lagi tak kat amoi ni? Hmmm... may be kengkawan kat Malaysia tak kenal dengan Poh ni. Tapi Poh terkenal kat Australia ni, expecially yang menonton siri realiti tv masakan iaitu Masterchef. Apa yang specialnyer Poh ni? Sebab amoi ni orang Malaysia. Berasal dari Kuala Lumpur. :) Nak tahu lebih lanjut, apa kata kiter baca artikel enche Neezam yang disiarkan hari ni...

Oppppss... chop! Sebelum tu, ada pembetulan sikit sebenarnyer kat artikel enche Neezam ni. Artikel ni dah diedit sikit oleh editor Utusan yang membuatkan aku sedikit tak puas hati. Apatah lagi enche Neezam kan. Selain artikel ni dipendekkan *but still bersyukur dan berterima kasih sebab sudi siarkan hasil perah otak enche Neezam ni ^_^*, kat dalam artikel tu, editor Utusan tu tambah ayat "masyarakat di negara kiwi". Negara kiwi? Ayooooo... Australia bukan negara kiwi. Kalau kata negara kanggaroo ok lah lagi kan. Negara kiwi ialah New Zealand. Hmmmm... aku rasalah kan... mesti editor tu tengok citer Nur Kasih. Ada satu part tu, maybe dalam episod 1 atau 2, tak ingat tapi episod awal-awallah, yang Adam duduk atas kerusi tepi pokok sebelah dia ada lebih kurang 2-3 ekor kiwi. Masa tu baru gaduh sikit dengan Katrina sebab Adam fikir samada nak balik Malaysia atau tak tengok ayah dia sakit. Haaaaa... peminat-peminat Nur Kasih tu, ingat tak part tu? Hmmmmm... mungkin sebab tu kot editor tu rasa Australia ni negara kiwi ek. Tak per lah... Hehehe...

So, ini artikel enche Neezam hari ni. Jom baca!

Fenomena Poh Ling Yeow di Australia

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Poh Ling Yeow, wanita kelahiran Malaysia yang mencetuskan fenomena di Australia.

Nama Poh Ling Yeow mungkin begitu asing di Malaysia , tetapi tidak di Australia.

Gadis berbangsa Cina berusia 35 yang lebih dikenali sebagai Poh ini, telah meniti dari bibir ke bibir masyarakat di negara kiwi itu berikutan kejayaannya menjadi naib juara progam MasterChef Australia yang julung kali diadakan baru-baru ini.

MasterChef Australia merupakan pertandingan masakan berkonsepkan realiti TV yang diadaptasi daripada versi MasterChef di United Kingdom.

Dengan berteraskan kepada kepelbagaian tema masakan dan resipi, program ini berjaya menarik minat 7,500 peserta dari seluruh Australia.

Ironinya, para peserta yang diambil menyertai program tersebut majoritinya bukanlah berlatarbelakangkan kerjaya sebagai tukang masak profesional atau chef.

Namun rata-rata para peserta pertandingan menunjukkan kebolehan memasak yang mengagumkan dan memikat hati para juri profesional iaitu Chef George Calombaris, Chef Gary Mehigan dan pengkritik makanan terkenal Matt Preston, di samping beberapa chef undangan dari dalam mahupun luar Australia.

Pemenang edisi sulung MasterChef ini menerima habuan wang tunai A$100,000 (RM250,000) selain peluang belajar memasak bersama-sama chef terkemuka di seluruh Australia , serta mempunyai kolum tetap dalam majalah masakan terhebat di sini.

Poh, yang dilahirkan di Kuala Lumpur berhijrah mengikut keluarganya untuk bermastautin di Australia Selatan sejak berusia sembilan tahun.

Ling Yeow bukanlah seorang chef, tetapi merupakan seorang pelukis yang cukup berjaya di Australia.

Beliau menyertai pertandingan itu selepas berasakan kehilangan 'identiti dan budaya Malaysia' sejak berhijrah ke Australia..

"Saya rasa masakan medium tunggal yang membolehkan diri saya mengenali dan mengekalkan kembali identiti dan budaya Malaysia yang saya warisi.

"Dengan menyertai pertandingan ini saya jadi lebih bersungguh-sungguh 'mengorek' rahsia resipi masakan ala Malaysia terutamanya daripada ibu dan makcik saya yang turut berhijrah ke sini," katanya.

Lebih membanggakan wanita kecil molek itu seolah-olah menjadi 'duta masakan Malaysia' kerana tidak segan memperkenalkan menu dan resipi masakan tradisional.

Sepanjang pertandingan Ling Yeow mengetengah beberapa masakan yang 'berkonsepkan' Malaysia seperti nasi ayam, roti jala, martabak, pengat ubi keledek, otak-otak, karipap, nasi lemak, sambal petai dan sebagainya.

Penulis pada awalnya bersikap agak skeptikal memikirkan jangkaan komen para juri yang sememangnya 'sebati berlidahkan masakan ala Eropah' seperti masakan Itali, Perancis dan Greek.

Tetapi perkara yang berlaku adalah sebaliknya apabila juri terpikat dan memuji keenakan setiap resipi ala Malaysia ciptaan Ling Yeow sehingga memberikan gelaran 'Poh Yang Agung' kepadanya.

Walaupun gagal menggondol tempat pertama nyata Ling Yeow telah membuka mata ramai pihak di Australia bahawa masakan Malaysia mempunyai kelasnya yang tersendiri dan setanding dengan masakan negara-negara lain di peta dunia.

Inilah antara faktor paling berkesan dalam menarik minat para pelancong dari luar negara untuk bertandang dan bercuti di Malaysia . Ia sekali gus mampu merancakkan ekonomi negara dan memajukan sektor pelancongan tempatan.

Terbukti medium masakan dan makanan ini telah sekian lama menyerlahkan betapa Malaysia mempunyai identiti yang bersifat 'warna-warni' hasil ramuan rempah ratus dan resipi warisan pelbagai bangsanya.

Ia tetap berhasil mewujudkan keharmonian dan perpaduan yang sukar diperoleh di mana-mana negara lain di seluruh dunia. Tidak sukar untuk berjumpa sebuah kedai makan atau restoran di Malaysia yang dikunjungi pelanggan pelbagai bangsa saban hari.

Tidak juga menjadi sesuatu yang pelik jika bangsa yang berbeza mampu memasak dan menjual menu makanan bangsa lain dan mendapat sambutan yang cukup hangat.

Inilah antara kelebihan masyarakat Malaysia , yang sangat-sangat dicemburui oleh kebanyakan masyarakat dunia.

Penangan masakan ala Malaysia oleh Ling Yeow sememangnya telah mewujudkan fenomena yang tersendiri di Australia ini.

Begitu juga, seiring dengan populariti masakan wanita itu, identiti unik Malaysia yang tak akan lekang dek panas dan tak akan lapuk dek hujan turut sama menjadi popular dan menjadi buah mulut masyarakat Australia.

(Penulis sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah La Trobe University Melbourne, Australia)

*juliet le sweetheart : berangan nak masuk Masterchef second season. Ok tak? Hehehe...

Sunday, September 6, 2009

Niesreena 2 tahun 9 bulan

Dah lama rasanyer tak update pasal kakak Niesreena. Hari ni mama Niesreena nak cerita sikit pasal Niesreena yang dah masuk 2 tahun 9 bulan. Hmmmmm... beberapa bulan jer lagi nak masuk 3 tahun...

Sekarang ni vocab Niesreena sangat banyak. Aper yang keluar dari mulut Niesreena kekadang buat aku tersenyum, kekadang buat aku tergelak, kekadang buat aku terdiam, kekadang buat aku geram, kekadang buat aku hangiiiiinnnnn satu badan. Antara vocab Niesreena...

"Mama..."; of course! Ni memang ayat favorite dia. Waktu tidur pun sebut "mama". Kekadang buat aku senyum, but most of the time wat aku hangin. Mana tak nyer. Niesreena akan sebut "mama..." sambil mata dia tertutup sampailah aku nyahut dan belai-belai dia. Kalau sesekali tak per gak. Ni tiap-tiap malam cam tu. Manja sungguh!

"Apa tu?", "Wat pe?", "Asal?"; memang banyak sangat bertanyer sekarang. Oh ya, fyi, "Asal?" bukan bermaksud Niesreena tanyer asal orang tu dari mana, tapi adalah singkatan daripada perkataan "apasal" yang juga bermaksud "kenapa". Keep asking until she's satisfied.

"Nak ikut!"; pantang tengok aku pakai tudung, mesti keluar ayat ni. Eh silap! Bukan pakai tudung, baru pegang tudung! Dah kata nak ikut! Tau tau jer nak keluar!

"Come on! Let's go!"; kemain lagi anak dara aku ni kan... Excited giler bila tau nak keluar. Bila bukak pintu jer terus berlari sambil jerit "Come on! Let's go!"

"Sorry, mama", "Sorry, ayah", "Sorry, Fal"; so sweet bila Niesreena minta maaf. Kekadang tu sambil minta maaf Niesreena akan peluk atau usap-usap orang yang Niesreena minta maaf. :)

"Thank you", "Aceh"; "Aceh" means "Terima kasih" of course! Perkataan ni akan digunakan setiap kali Niesreena dapat botol susu berisi air milo dari mama atau ayah dia. Dan kekadang lepas aku tukar lampin dia. So sweet!

Hmmmm... banyak lagi vocab Niesreena. Maklumlah dah nak masuk 3 tahun. Tapi rasanya vocab Niesreena tak sebanyak bebudak sebaya dia yang lain. Terutamanya bebudak sebaya Niesreena yang ada kakak atau abang; macam kengkawan Niesreena kat sini; Mila, Adam, Amani dan Amni. Hmmmm... diorang lagi banyak vocab rasanyer.

Aku suka bila Niesreena jumpa kengkawan sebaya dia. Mila, Adam, Amani dan Amni semuanya usia lebih kurang 2-3 tahun. Seronok bila tengok Niesreena berkawan-kawan. Niesreena pandai nak berkawan. Tapi ada satu jer perangai Niesreena yang aku kurang senang sikit. Perangai kedekut dia. Masya Allah! Kedekut sangat! Barang mainan Niesreena tak boleh nak dikongsi dengan diorang. Tapi yang peliknyer kalau dengan kakak-kakak yang besar sikit dari Niesreena, Niesreena tak kesah plak nak kongsi mainan. Pilih bulu betul! Tapi yang bagusnyer Niesreena ni, kalau bukan mainan dia, dia tak kan kedekut. Niesreena tahu bukan dia punyer dan memang buat macam orang punyer. Cuma, kalau nak mintak dari Niesreena, sila jangan main rampas jer, mintak elok-elok. Kalau rampas jer dari tangan Niesreena, hmmmmm... silap besar ar... Niesreena tak kasi! Niesreena rampas balik!

*Pics from along cik Din*
Oh ya... selain asyik bertanya itu dan ini, tingginyer sikap curious Niesreena sehingga setiap benda yang boleh dimakan, Niesreena nak rasa. Kalau aku kata "tak boleh!" hmmmm memang tak laku lah... Nak jugak! Jadi solution yang aku buat ialah... setiap kali Niesreena nak rasa aper... aku kasi jer... kalau Niesreena suka, Niesreena makan... kalau Niesreena tak suka, hmmmm rasakan! Hari tu Niesreena beria-iya minta lemon, aku bagi... Niesreena kata masam. Merengit-rengit muka Niesreena menahan rasa masam. Sampai hari ni tak mintak nak rasa lemon lagi. Niesreena nak rasa gula, aku bagi... Niesreena suka. Pantang nampak gula, mesti mintak masuk mulut dia sikit. Niesreena minta rasa bawang, aku bagi... Niesreena tak suka. Siap nangis lagi! Niesreena minta rasa cili padi... speechless... tak sampai hati aku nak bagi... So, sekarang ni Niesreena dah tau bezakan rasa manis, masam, masin, pedas...

Niesreena pandai berangan sekarang. Cakap sorang-sorang. Main sorang-sorang. Kalau remote tv tu, kadang jadi handphone dia, kadang jadi mic dia. Pandai betul berimaginasi. Ha... ketip kuku plak jadi handphone flip dia. Siap suruh mama posing, dia nak ambil gambar dari handphone flip *ketip kuku* dia. Hehehhe... Kekadang cakap-cakap dengan baby Naufal. Entah apa yang diorang borakkan ntah. Niesreena very gentle dengan adik dia. Hmmmm... ada satu hari tu Niesreena tengah makan wafer. Nasib baik tergerak hati aku untuk tengok Niesreena dan Naufal kat ruang tamu. Tengok-tengok Niesreena tengah suapkan wafer kat baby Naufal yang tengah terbaring. Terkejut aku dibuatnyer. Yang baby Naufal plak bukan main nganga lagi, siap jilat-jilat dan nyonyot serpihan wafer kat bibir dia. Then aku marahlah Niesreena, "jangan bagi Naufal. Naufal tak boleh makan lagi. Naufal tak der gigi..." Niesreena kata, "Naufal nak sikit jer..." Hmmmm... iyolah tu....

Niesreena ni pantang sangat tengok almari baju aku terbuka. Kalau tengok pintu almari tak berkunci, horeeeee sangatlah dia. Pastu nanti tengoklah hasil seni kat muka dia; yang bergincu, yang bereye shadow, yang pipi merah! Dua batang dah gincu aku jadi mangsa. Niesreena memang suka sangat tengok aku bersiap-siap tau. Sebab dia nak sebuk sekali. Aku sapu bedak, Niesreena pun nak sapu bedak. Aku pakai eye shadow, dia pun nak. Aku pakai lipstick, hmmmm tak sempat nak pakai dia dah acu bibir dia dulu. Kemain lagi...

Setiap kali kalau ayah Niesreena balik rumah, dengar bunyi kunci jer, Niesreena akan berlari-lari... bukan berlari-lari sambut ayah balik. Tapi berlari-lari disebalik tv. Menyorok! Pastu panggil, "Ayah... ayah..." nak suruh ayah cari Niesreena. Suka betul dia kalau ayah dia layan, "mana Niesreena ni?".

Alhamdulillah... Niesreena seorang anak yang ceria dan periang. Sering buat aku tersenyum dan gembira. Tapi kadang-kadang ada jugak rasa marah dengan Niesreena bila Niesreena tak dengar kata atau buat perangai yang aku tak suka. Aku marah Niesreena. Kadang-kadang aku menyesal marah Niesreena. Aku sedih bila dengar Niesreena nangis. Honest! Tapi aku tak nak Niesreena spoil. Aku nak Niesreena menjadi anak yang baik dan dengar kata. Tapi dalam usia macam sekarang ni, Niesreena dah betul-betul faham ke?; apa yang aku nak, apa yang aku tak nak, untuk dia.

Apa-apa pun aku sangat-sangat bersyukur kerana dikurniakan Niesreena dan Naufal. Harap-harap diorang berdua menjadi anak yang solehah dan soleh hendaknya. Amin...



*juliet le sweetheart : aku tulis blog untuk aku baca balik akan datang...


Saturday, September 5, 2009

Kuih kasturi @k@ kuih kacang

Setiap kali aku sediakan juadah berbuka, mesti nak pikir sekali nak wat kuih aper tau. Kalau tak buat kuih atau apa-apa manisan macam tak lengkap pulak. So, hari ni, percubaan ketiga aku wat kuih kasturi. Tau tak kuih kasturi ni kuih aper? Tu nama komersialnyer lah, tapi ramai lagi yang kenal kuih ni dengan nama kuih kacang, kot.

Walaupun dah percubaan kali ketiga, tapi tetap tak menjadi dengan jayanyer. Hancus! Rasa mungkin ada lah... *maksudnyer sedaplah tu... ngeh ngeh ngeh... ;p* Tapi tang rupa... hancus! Hehehehe... lantaklah... dan setiap kali buat mesti terbuat banyak tau. Aku ni memang tak pandai nak budget untuk wat sikit. So terpaksalah aku mencari mangsa-mangsa untuk merasa kuih aku yang serba tak menjadi ni. Dan mangsa-mangsanyer ialah... siapa lagi kalau bukan jiran tetangga aku yang terdekat ni; orang bawah yang selalu jadi mangsa, orang dua tiga tapak, orang lima enam tapak. Hehehehhe... nasiblah korang... ;p

So, kat sini aku nak kongsi resepi kuih kasturi ni. Lain kali blehlah korang wat plak dan bolehlah ulur sepinggan kat #14, Waterdale Appartment yer... :)

Bahan-bahan untuk inti...

  • 1 cawan kacang hijau tapi aku buat pakai kacang merah... pun sedap!
  • 1 1/2 cawan air
  • 1/2 cawan santan
  • 1/2 cawan gula perang atau sukati koranglah nak manis cam ner
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • garam

Dan bahan-bahan untuk kulitnya pulak...

  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 1/2 cawan air
  • 1 biji telur
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • garam

Cara-caranya...

  • Untuk inti; memula rendam kacang dalam sejam sebelum rebus kacang tu dengan air. Guna api kecik. Bila kacang dah lembut bolehlah masukkan garam, santan dan gula.
  • Bila kacang dah sejuk sikit, bolehlah tambahkan tepung. Gaul sehingga sebati. Kalau adunan macam keras, tambahkan air lagi. Tapi jangan lembut sangat takut nanti masa goreng, kuih berkecai.
  • Pastu bentukkan inti tu jadi bulat-bulat leper macam gambar kat bawah ni. Haaa... ni aku wat petang tadilah ni... :)

  • Ok! Untuk kulitnyer, sangat senang. Macam tepung untuk goreng pisang jer. Adunkan semua bahan-bahan.
  • Then panaskan minyak dalam kuali.
  • Bila minyak dan panas, ambil inti kacang tu, celupkan dalam tepung dan terus masukkan dalam kuali.
  • Goreng dengan api sederhana besar!

Then siap! Bolehlah dibuat minum petang *ooopppsss... bagi orang-orang yang tak boleh berpuasa* atau juadah ketika berbuka atau more!

Senang kan? Selamat mencuba!

~Tiga biji yang tercantik. Ngeh ngeh ngeh... rupa yang selebihnyer? Biarlah menjadi rahsia aku dan 'mangsa-mangsa'ku petang tadi... Hehehhe...~



*juliet le sweetheart : nak try kuih aper plak ek pas ni?


Friday, September 4, 2009

Iftar @ Lalor

Iftar lagi... hmmmm minggu ni memang jadual kitorang full dengan iftar di rumah orang dan di rumah kitorang. Aku suka berbuka beramai-ramai ni sebab meriah! Dan yang best bila berbuka beramai-ramai ni sebab makanan pun bermacam-macam jenis. Bleh rasa air tangan orang lain. Nyum nyum...

Malam tadi kitorang berbuka kat rumah abang Ashraf dan kak Jumie kat Lalor. Ramai jugak yang datang tadi. Dan juadah berbuka sangatlah banyak. Best! Macam makan bufet kat hotel. Ngeh ngeh ngeh! Enche Neezam masak makaroni goreng untuk dibawa berbuka bersama. Sedap makaroni goreng enche Neezam ni... :)

Lepas berbuka puasa dan solat maghrib. Lebih ramai orang yang datang, sebab malam tadi giliran rumah kak Jumie untuk solat tarawih. Aku... kompom tak buleh nak join solat. Jadinyer... aku dilantik bersama-sama kak Azni dan kak Suzana untuk menjadi babysitter. Hehehhe... Kemain bising lagi bebudak ni. Susah gak nak handle. Silap-silap tak kusyuk orang-orang yang solat. ;p Sorry sangat!

So ni antara gambar semasa majlis. Saper yang kata nak copy tu, bleh lah copy yer. Aud$10 sekeping. Tq! ^_^


~Makaroni goreng enche Neezam. Amacam? Nampak menyelerakan tak?~


~Kak Jumie the tuan rumah yang ceria sokmo!~


~Antara tetamu yang hadir~


~Kakak Mira dan baby Naufal yang encem :)~


~Niesreena dan kengkawannyer~


Gambar-gambar kat bawah ni disnap oleh kak Azni. Punyerlah susah nak suruh budak -budak bertiga ni *Amni, Amani dan Niesreena* posing dan duduk elok-elok untuk bergambar. Ada jer yang tak kena; yang baringlah, yang berebut bantallah, yang tutup muka dengan bearlah, yang jelir lidah lah *Niesreenalah tu!* Akhirnyer... nilah hasil tangkapan kak Azni. Hehehhe...~



*juliet le sweetheart : suka jugak bertukar-tukar juadah sesama jiran. Orang bawah pandai masak... :)

Saturday, August 29, 2009

PaRam

8 Ramadhan, hari ni barulah berkesempatan ke param @k@ Pasar Ramadhan. Tu pun kemain jauh lagi kitorang pergi. Kat Craigieburn. Perjalanan pergi balik lebih 50km tu. Huhuhu...

Alang-alang dah pergi kemain jauh, hmmm apa lagi, enche Neezam pun memboronglah kemain banyak lagi! Hey! Belive me ok! Aku just beli kuih seri muka dua biji jer. Oh ya... dengan kerabu tomato, tempe, murtabak... Eh banyak jugak rupanya ek? ;p Hehehhehe... Walaupun gerai yang ada cuma 6-7 buah gerai jer, tapi kebanyakkan makanan yang dijual memang nampak menarik. Memang mencabar keimanan sungguh! Maklumlah... puasa-puasa ni semua nampak menarik. :)

So, hari ni menu berbuka kitorang tersangatlahhhhh banyaknyer. Sampai tak muat meja makan kitorang yang serba comel ni. Memborong punyerlah banyak. Sebelum keluar tadi pun aku masak plak dulu. Hmmmm... bertambah-tambah lagi lah. Kalau tau ada banyak makanan menarik, aku tak masak dari tadi.

Ha... ni menu air tangan aku...


~Ayam goreng french dressing. Resepi rekaan aku yang memang yummillious! Enche Neezam suka bangat walaupun pelik! ;p~

~Daging goreng black paper~

Dan ini pulak yang kitorang borong tadi... ;p


~Kerabu tomato~

~Mee goreng~

~Sate ayam dan daging. Sebatang aud$1. Mahal kan? Tapi sedap!~

~Nasi kerabu~

~Kuih seri muka kak Gee dan kuih gulung. 1st time buat kuih gulung. Menjadi dengan jayanyer sebab senang jer buatnyer~

~Ditambah pulak dengan air teh tarik. Pergh!

Ok, menu yang tiada di dalam gambar ialah murtabak *sebab frozen, so bleh simpan*, kuih lepat pisang *simpan untuk more* dan bubur lambuk *dapat free kat param tadi*. Niesreena suka sangat makan sate. 5 cucuk Niesreena makan sebelum kitorang sempat berbuka tadi. Nasib baik sate tu besar-besar. Niesreena makan 5 cucuk dah kenyang. Tu pun banyak kan. Nasib baik ada baki untuk kitorang. Takut gak kalau Niesreena habiskan semua. Tak sempatlah nak merasa. Kang kena cari batu belah, batu bertangkuplah pulak kan. Hehehhehe...

Banyaknyer juadah berbuka hari ni. Ini namanyer lepas geram. Maklumlah... kat sini bukan selalu ada pasar Ramadhan. Ada seminggu sekali jer. Tu pun tempatnyer tak tentu; kadang dekat, kadang jauh. Kalau rajin, pergilah... kalau malas, masak jer lah... ;p

So, kami amat kekenyangan hari ni. Nasib baik masih larat solat tarawih. Lepas dah tarawih, tala kuih lagi. Hehehhe...


*juliet le sweetheart : kalau kat Malaysia pun aku bukan rajin sangat gi param, penatlah...

Thursday, August 27, 2009

4 bulan; masa untuk menyembur!

Baby Naufal dah 4 bulan hari ni. Macam tau-tau jer dia tau. Pagi tadi lebih kurang pukul 2 pagi, baby Naufal bangun dan tak mau tidur. Naufal tak nak berdokong, tapi nak tatap muka aku yang jelita ni. Hehehhe... terpaksalah aku 'sangkut' muka aku ni kat tepi cot Naufal. Kejap-kejap Naufal tergelak-gelak. Ntah aper yang kelakar ntah. Bila aku baring semula, baby Naufal menjerit-jerit. Nak gak tatap muka beta. Adoiai! Ngantuk seh pagi tadi! Sampai pukul 3.30 pagi baby Naufal wat perangai gitu! Agaknyer Naufal nak celebrate masuk 4 bulan dengan mama di pagi-pagi buta itew kan... ;p

Oh ya! Dan dipagi buta itew jugak, selain tergelak-gelak sakan sambil memandang muka mamanya yang jelita ni, baby Naufal asyik MENYEMBUR jer! Ayooooo... start dah! Aku baru jer tulis kat blog ni beberapa hari lepas kan, pasal rambut gugur. Pagi ni Naufal dah dok menyembur-nyembur. Habis ayaq liuq jadi mask kat muka Naufal.

Sempena nak masuk hari raya pertama buat baby Naufal sambut akan datang ni, aku dengan bersemangat wajanya nak bagilah hari raya's hair cut kat baby Naufal. Ingat nak tunggu dekat-dekat nak raya nanti baru nak potong. Tapi aku dah rimas sangat tengok rambut Naufal yang dah panjang menutup telinga tu. So, aku pun potong jer ler dengan confidentnyer. Ngeh ngeh ngeh... Nak tengok hasil tangan aku yang tak pandai potong rambut ni?

Ni gambar sebelum rambut baby Naufal menjadi mangsa experiment potong rambut oleh mama.


Dan hasilnyer...

*

*

*

*

*

*

*

*

jeng... jeng... jeng...


Terpendek sangat!

Enche' Neezam kata rambut hero dia ni dah jadi rambut 'Abu Bakar Elah'. Ngeh ngeh ngeh... Ingat tak saper ABE tu? Alaaaaa yang rambut dia macam tempurung kelapa, peserta akhir sinaran pasport kegemilangan beberapa tahun dulu tu... ;p

Hmmmmm... iye ker macam rambut ABE. Aku rasa ok aper aku potong. Lagi nampak bulat muka baby Naufal. Hensem aper. Hehehhe... Actually, aku admit ler aku tersilap potong. ;p Maklumler... tangan tak profesional katakan. Terpendek sangat rambut depan tu. Iyerlah... masa gunting tu rambut baby Naufal basah. Aku potong betul-betul ikut paras kening Naufal. Tapi... bila rambut tu kering... ayooooo... pendek seh! Ngeh ngeh ngeh...

Nasiblah Naufal yer... Harap-harap cepatlah panjang sebelum hari raya menjelma.

Tapi...

pendek-pendek pun still hensem kan... Hehehehhe...


*juliet le sweetheart : nak start bagi baby Naufal makan...


Wednesday, August 26, 2009

Sambal tumis kering

Atas permintaan puan Thahira Bibi. Ni aku tuliskan resepi sambal tumis kering. Esok pagi leh wat sahur yer Bibi. :)

So, bahan-bahannyer ialah...

  • segenggam cili kering / cili padi
  • 2 biji bawang merah besar
  • 4 ulas bawang putih
  • segenggam ikan bilik
  • air asam jawa
  • gula
  • garam

Cara-caranya...

  • tumbuk cili kering / cili padi bersama-sama bawang merah besar dan bawang putih sehingga lumat *tapi kalau malas tak der masa nak tumbuk, mesin jer semua dalam blender tapi guna air yang minimum
  • panaskan minyak dalam kuali
  • bila minyak dah panas masukkan ikan bilis
  • goreng sekejap supaya ikan bilik tu garing
  • then tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi sehingga garing *garing ok, bukan hangit tau!
  • masukkan air asam jawa sikit
  • masukkan juga garam dan gula sesuka hati korang. Ikutlah selera masing-masing...
  • SIAP!

Kalau korang suka, sedap jugak kalau masukkan sekali tempe dan kentang goreng. Potong tempe dan kentang kecik-kecik dan goreng. Then masukkan kat dalam sambal tumis tu dan gaul sekali. Sedap!

Selamat mencuba!


~Sambal tumis cili padi~

~Sambal tumis cili kering~



*juliet le sweetheart : setiap pagi nak kena fikir menu berbuka... pening gak... ;p


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top