♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, January 24, 2008

Remaja mesti diasuh elak rosak jiwa

Artikel Neezam kat Berita Harian hari nie.

Remaja mesti diasuh elak rosak jiwa

MEMBACA berita mengenai kisah seorang remaja Australia, Corey Delaney, 16, yang mengadakan parti liar ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah yang keluar bercuti baru-baru ini, cukup mengejutkan, selain boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat negara ini.

Apa yang terjadi di kawasan kejiranan Narre Warren South, Melbourne itu menjadi fenomena yang diterima dengan nada berbeza-beza oleh pelbagai pihak bukan saja di Australia bahkan di seluruh dunia.

Bagi mereka yang matang dan waras pemikiran, pasti tidak bersetuju dengan kelakuan Corey. Berbeza bagi golongan remaja seusia Corey, yang menganggap parti itu cukup meriah.

Keseronokan itu ditambah lagi dengan minuman keras dan hubungan bebas, berkelakuan tidak senonoh, mengganggu ketenteraman jiran atau lebih melampau sehingga ke tahap bertelanjang berlari di sekeliling kawasan kejiranan serta mencabar polis.

Tingkap sebuah kereta peronda dipecahkan ketika pihak berkuasa itu cuba mengawal keadaan. Akibatnya, polis terpaksa mengerahkan sehingga 30 pegawainya, satu skuad helikopter dan skuad anjing untuk meleraikan kekecohan disebabkan parti liar itu.

Ternyata apa yang dilakukan Corey, salah di sisi undang-undang dan tidak dapat diterima masyarakat sekelilingnya. Namun, dia tetap menunjukkan tahap kedegilan, apabila ditemuramah secara langsung pihak stesen televisyen, dia dengan bangganya berkata: "Itulah gaya kehidupan remaja zaman ini dan remaja lain tidak perlu takut melakukan apa yang saya buat".

Sikap biadap terserlah apabila dia enggan memohon maaf kepada ibu bapanya, jirannya dan seluruh rakyat Australia tetapi menolak dan menegaskan untuk mengadakan lagi parti liar pada masa depan!

Di negara kita, kes parti liar seperti itu tidaklah ketara dilaporkan, namun masih juga ada kebimbangan terhadap wujudnya gejala negatif di kalangan remaja umpamanya penyalahgunaan dadah, berlumba haram, seks bebas dan peniruan budaya kuning.

Ada juga remaja berani membuat parti liar ketika ketiadaan ibu bapa yang bercuti atau ada urusan selama beberapa hari di tempat lain.

Itu belum lagi dikira laporan kes jenayah membabitkan remaja bawah umur seperti samun, buli, rogol dan bunuh yang sepatutnya membuka mata semua pihak untuk sama-sama berganding bahu menangani masalah golongan itu masa kini.

Justeru, ada dua kategori tindakan yang perlu dipikul pada bahu semua pihak yang terbabit, iaitu melaksanakan langkah pencegahan dan perawatan.

Bagi pencegahan, ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak bertanggungjawab membimbing mereka agar berakhlak mulia dengan memberikan ilmu agama, moral dan tata susila mantap.

Pihak sekolah turut bertanggungjawab mendidik pelajar menjadi insan sempurna, berdisiplin dan kaya dengan ilmu pengetahuan yang mampu mencerna daya pemikiran yang sihat dan matang.

Masyarakat sekeliling juga berperanan sebagai ejen pelengkap dalam mencegah masalah sosial remaja. Mereka tidak seharusnya mengamalkan konsep ‘biarlah dia bukan anak aku,’ sebaliknya lebih kepada unsur bertanggungjawab tanpa memilih bulu.

Langkah perawatan bagi golongan remaja yang ‘parah’ jiwa dan pemikirannya seperti Corey.

Tindakan melalui saluran perundangan, adalah satu kaedah perawatan, mereka perlu dihukum atas tindakan yang melampaui batas undang-undang.

Selain itu, program kaunseling dan keagamaan diberikan kepada mereka untuk menyuburkan kembali nilai murni yang sebenarnya ada dalam diri mereka.

Amalan masyarakat sekeliling yang suka menjauhkan diri daripada mereka yang pernah berbuat salah juga perlu dihapuskan, terutama remaja yang masih terkial-kial mencari identiti diri.

Sememangnya, kalau tidak ada mekanisme pencegahan dan perawatan berkesan untuk membimbing remaja masa kini, maka tidak perlu kita bermimpi untuk dapat terus mengekalkan aliran kemajuan dan tradisi kemakmuran negara ini pada masa depan.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia NS.

No comments :

back to top