♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, August 24, 2007

Pupuk patriotisme melalui perarakan

Artikel Neezam disiarkan kat suratkhabar lagi pada hari ni. Artikel Neezam kali ni bukan disiarkan kat Utusan seperti artikel-artikel Neezam yang lepas tapi kat Berita Harian pulak.

Dalam sibuk-sibuk berkemas nak balik Malaysia ni, Neezam sempat lagi menghantar artikel ke suratkhabar. Bagus betul! :)

So, feel free to read it ok!

Pupuk Patriotisme Melalui Perarakan

‘TANGGAL tiga puluh satu, bulan lapan lima puluh tujuh, merdeka merdeka, tetaplah merdeka, ia pasti menjadi sejarah’. Bait dalam lagu bertema kemerdekaan dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini sangat dalam maknanya dan mampu meresap ke dalam jiwa sesiapa saja yang mendengarnya.

Demikian juga dalam meniti tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia tahun ini, menjadi satu kemestian untuk semua warganya berasa bangga dengan kemerdekaan yang tidak ternilai ini.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ini adalah peribahasa yang tepat dalam usaha memupuk semangat cintakan negara dan mensyukuri nikmat kemerdekaan di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak di negara kita perlu dididik nilai patriotisme yang utuh dan penghayatan mendalam terhadap lipatan sejarah dan perkembangan negara dalam era pra dan pasca kemerdekaan.

Mereka perlu kenal siapakah tokoh penting yang memacu kepada kejayaan kemerdekaan negara. Semangat perjuangan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun V T Sambanthan dan lain-lain lagi perlu diserapkan ke dalam jiwa kanak-kanak agar mereka faham betapa besarnya tanggungjawab untuk mendaulatkan martabat bangsa, agama dan negara.

Kemerdekaan perlu ditafsir dan dipupuk kepada golongan setahun jagung ini ke arah landasan yang tepat. Mereka perlu dijelaskan merdeka bukan bererti bebas melakukan apa saja sehingga melampaui batas tata susila, budaya, keagamaan dan perundangan.

Merdeka perlu dihayati sebagai teras menjana pembangunan kendiri, perkembangan nilai keintelektualan dan kesepaduan di antara rakyat berbilang kaum dan agama. Dengan pendedahan seawal usia begini, adalah sangat berkesan dalam membimbing mereka menjadi warga negara yang cintakan negara tanpa belah bagi.

Banyak kaedah boleh dilaksanakan untuk memupuk jati diri dan semangat cintakan negara di kalangan kanak-kanak sempena hari kemerdekaan ini. Ibu bapa boleh membelikan anak mereka bahan bacaan yang mengkisahkan susur galur pembangunan dan sejarah negara.

Di pasaran mutakhir ini, terdapat banyak kaset dan CD yang memuatkan lagu patriotik yang boleh dibeli dan seterusnya disinonimkan dengan halwa telinga kanak-kanak.

Pada peringkat komuniti dan sekolah, pertandingan dan kempen yang bertemakan kemerdekaan turut menyumbang kepada penyampaian mesej cintakan negara di kalangan kanak-kanak. Misalnya, pertandingan membaca bahan bacaan kemerdekaan, deklamasi sajak, pertunjukan fesyen berbilang kaum, persembahan teater dan nyanyian lagu patriotik atau kempen mengibarkan Jalur Gemilang adalah antara aktiviti yang sangat wajar didedahkan kepada mereka.

Sambutan dan perarakan hari kemerdekaan adalah satu platform yang terbaik untuk kanak-kanak. Bawalah mereka melihat sendiri sambutan ini sama ada berkunjung ke tempat berlangsungnya sambutan berkenaan atau menontonnya di kaca televisyen.

Dalam usia muda sebegini, jika pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak ini diterapkan dengan nilai patriotisme, adalah diyakini mereka akan terus menjadi generasi yang kental dengan semangat sayangkan negara.

Mereka akan sentiasa mempunyai kesedaran untuk mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara sebaiknya, walau dengan apa cara sekalipun.

Penghayatan nilai kemerdekaan sebegini juga dapat memastikan bahawa ke mana-mana saja mereka pergi di setiap ceruk dunia kelak, perasaan bangga menjadi ‘anak Malaysia yang merdeka’ akan dibawa bersama-sama.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
Universiti Sains Islam Malaysia(Usim).

No comments :

back to top