♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, June 8, 2019

Muflis Lepas Raya?

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Hari Sabtu.... banyak tak undangan open house raya hujung minggu ni? Aku rasa tiap-tiap minggu ada undangan open house ni. Silap-silap sampai habis sebulan raya pun ada open house lagi. Huhuhu... serius! Based on past experiences... memang ada...

Hari ni aku dan keluarga dah balik ke rumah family aku pula di Kajang. Semalam dah bertolak balik. Takut nak balik last-last minit sebab tak nak stuck dalam jem.

Macam biasa, hari Sabtu artikel enche Neezam disiarkan di akhbar Berita Harian sisipan Minda. Aku baca tajuk artikel enche Neezam kali ni. Sentap jugaklah.... huhuhuhu....

Betul ke? Muflis tak memasing?

Aku rasa, mak bapak memang ada jer yang muflis... yang kaya waktu-waktu macam ni ialah anak-anak... ye tak? Huhuhuu...

Artikel penuh, seperti di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat!

Muflis lepas raya?

Alhamdulillah, hari ini genaplah 4 Syawal 1440 Hijriah, hari keempat seluruh umat Islam di negara kita menyambut hari raya Aidilfitri. Walaupun keadaan ekonomi negara kelihatan agak suram, namun penulis yakin, kemeriahan sambutan hari raya tidak pudar bahkan tetap meriah terutamanya bagi mereka yang bijak menguruskan hal ehwal kewangan dan perbelanjaan. Perbelanjaan perayaan ini sifatnya tidak tentu atau subjektif. Kadang kala hukumnya boleh jadi ‘wajib’ atau keperluan, tapi ada keadaannya ia jadi ‘harus’ atau sekadar memenuhi kehendak sahaja.

Baju raya, juadah seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih raya, perabot dan perhiasan rumah, serta sedikit peruntukan untuk duit raya adalah antara perkara yang biasa difikirkan dan disediakan perbelanjaannya. Itu tidak termasuk sesetengah suami yang memenuhi permintaan setahun sekali isteri untuk memiliki gelang emas sampai ke lengan. Begitu juga trend terkini sewaan kereta mewah untuk dipandu pulang ke kampung, menunjuk-nunjuk kepada saudara-mara akan ‘kemewahan palsu’ kita. Kalau teratur dan terkawal perbelanjaannya, maka kita akan tersenyum sampai ke telinga. Tapi sebaliknya, andai perbelanjaan melebihi batasannya, maka bersedialah menanggung hutang semata-mata hendak nampak bergaya dan lebih daripada orang lain.

Tahniah diucapkan kepada anda yang tahu kewajaran berbelanja sebelum, semasa dan selepas musim perayaan ini. Anda pasti antara orang yang telah membuat perancangan berbulan-bulan lamanya demi memastikan wang ringgit yang dibelanjakan sentiasa berhemah, terkawal dan tidak dibelanjakan secara semberono. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak membuat perancangan rapi perbelanjaan terutamanya bagi fasa pasca perayaan ini? Cubalah congak baki wang simpanan sama ada cukup atau tidak untuk berbelanja selepas raya ini.

Cubalah muhasabah kembali perbelanjaan yang dibuat untuk persediaan hari raya ini, apakah anda mengikut keperluan atau kehendak semata-mata? Adakah anda masih perlu mengikat perut seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu gaji bulanan seterusnya masuk ke dalam akaun bank? Mungkin ada antara kita yang tidak sanggup melihat baki wang simpanan dalam akaun bank. Kenyataan yang perlu dihadapi ini mungkin tidak akan menyenangkan hati. Jangan pula ada di antara kita yang ‘mengendeng-ngendeng’ duit raya anak-anak pula, tak malukah kita?

Sudah terhantuk, baru hendak terngadah. Bagi yang kelihatan ‘muflis’ selepas sambutan hari raya, ini mungkin satu bentuk ‘petunjuk’ daripada Allah SWT supaya di masa hadapan anda lebih berhemah dan bersedia dalam berbelanja. Sepatutnya kita maklum bahawa sambutan hari raya ini adalah lebih kepada kegembiraan kerana kita telah berjaya menyempurnakan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan dan menikmati kelazatan beribadah di bulan tersebut yang dibawa menjadi kelaziman dalam sebelas bulan yang mendatang.

Namun, kerana kita membudayakan sambutan hari raya adalah hari ‘pembebasan diri daripada Ramadan’, maka apa yang merasuk kita adalah nafsu serakah untuk berseronok-seronok tanpa had dan batasnya terutama dalam hal berbelanja. Persoalannya, adakah kita semua berhemat dalam pengurusan kewangan sebelum dan selepas berhari raya? Bagi mereka yang pernah melaluinya pasti masih terasa bebannya. Ini berikutan, mereka mungkin masih membayar hutang akibat keterlaluan berbelanja pada musim perayaan ini. Untuk itu, dicadangkan bahawa kita mengikut apa yang telah dianjurkan oleh Islam berkenaan pengurusan kewangan supaya kita tidak berterusan berada dalam kesengsaraan bila berbicara bab pengurusan kewangan.

Islam sangat teliti dalam memberikan panduan mengenai perbelanjaan dan pengurusan kewangan dan harta secara berhemah. Pengurusan kewangan adalah salah satu daripada lima aspek Maqasid Shariah iaitu dalam kategori pemeliharaan harta (Hifz al-Mal). Memiliki dan memelihara harta merupakan salah satu keperluan asasi manusia. Pada masa yang sama, Allah SWT mengurniakan hamba-hamba-Nya harta dengan kadar yang berbeza-beza. Ada manusia yang kaya, sederhana dan miskin di dunia ini. Namun demikian, kaya raya bukanlah ukuran untuk menandakan bahawa seseorang lebih dikasihi Allah SWT dan tidaklah bermakna mereka yang miskin itu dihina oleh Allah SWT. Ini diterangkan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku.” Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”.Sekali-kali tidak (demikian). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang berkemahuan lebih salah lagi kerana) kamu tidak muliakan anak yatim, (kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya” (Surah Al-Fajr, ayat 15-17).

Dalam Islam, melalui perancangan kewangan yang sistematik sahajala, maka kita akan dapat mengatasi sebarang masalah yang berkaitan secara proaktif dan bijak. Ia selaras dengan penegasan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dia (Yusuf) berkata: “Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari apa (bibit gandum) yang kamu simpan” (Surah Yusuf, ayat 47-48).

Malah, melalui harta yang dikurniakan kepada manusia, akan menjadi medan ujian kepada mereka sama ada terus merasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan ataupun berada di dalam kufur serta bongkak dengan kemewahan dunia yang sementara. Harta jugalah yang akan menjadi wasilah atau jambatan kepada kelestarian taqwa manusia kepada Allah SWT. Berpandukan kepada kewajipan yang diamanahkan oleh Allah SWT seperti zakat, nafkah, sedekah dan sebagainya, manusia dapat menjadikan harta itu pemangkin kepada jawapan syurga yang didambakan di akhirat kelak.

Berdasarkan saranan Ustaz Ahmad Fikri Mohd Paudzi dalam penulisannya bertajuk ‘Pengurusan kewangan menurut perspektif Islam, terdapat lima resolusi dalam pengurusan kewangan yang teratur. Pertama, menetapkan matlamat di dalam kewangan. Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber kewangan sedia ada. Hal ini akan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran seterusnya mengawal selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pembaziran itu adalah saudara kepada syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya” (Surah Al-Isra’, ayat 27).

Kedua, meningkatkan pengetahuan pengurusan kewangan. Melalui agensi pengurusan kewangan kerajaan dan swasta, terdapat pelbagai bentuk informasi yang boleh diperolehi. Malah, agensi tersebut juga menyediakan seminar dan kursus pengurusan kewangan dan hutang dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh masyarakat. Di antara agensi yang terlibat seperti Unit Khidmat Nasihat Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Insolvensi Malaysia. Ketiga, pengurusan hutang dengan bijaksana. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengambil harta manusia, dengan niat ingin menghancurkannya, maka Allah SWT juga, akan menghancurkan dirinya.” (Riwayat al-Bukhari). Setiap individu tidak akan terlepas daripada hutang-piutang seperti pembiayaan perumahan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, berazamlah untuk melunaskan segala hutang- piutang kerana ianya bukan sahaja menjadi beban di dunia malah di akhirat.

Keempat, menguruskan pelan pelaburan. Adalah tidak patut bagi mereka yang berharta untuk terus menyimpan sahaja tanpa ada usaha untuk mengembangkan harta tersebut. Harta perlu dikembangkan melalui beberapa kaedah yang disediakan seperti pelaburan dan sebagainya. Kelima, melibatkan ahli keluarga dalam pengurusan kewangan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-Malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6). Keterlibatan ahli keluarga terdekat adalah perlu untuk memastikan perancangan dan penyusunan kewangan menjadi teratur serta mencapai matlamat yang ditetapkan. Didiklah anak-anak untuk menyimpan daripada lebihan wang saku dan berbelanja untuk perkara yang perlu sahaja. Pada masa yang sama, bawa kepada pengetahuan keluarga tentang komposisi hutang-piutang yang ada, sempurnakan wasiat agar dengannya semua proses pembahagian harta selepas peninggalan kita dapat dijalankan dengan sempurna.

Kesimpulannya, menurut ruang lingkup Islam, harta dan kewangan merupakan alat untuk menjamin keselesaan dan kelangsungan hidup di dunia. Kehidupan dunia perlu dijalani dengan penuh berhemah untuk mencapai matlamat akhirat. Oleh itu, pengurusan yang baik, dapat menjamin kelangsungan hidup manusia dalam berkeluarga, bermasyarakat dan seterusnya memperolehi keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT dalam kehidupan. Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya serta maaf zahir batin.

Wednesday, June 5, 2019

My Khairunns Raya 2019

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Maaf Zahir dan Batin

Akhirnya habis sebulan Ramadhan. Rasa sekejap jer puasa... dah raya.

Raya tahun ni, aku sekeluarga beraya di Segamat. #teamrayamertua

Dah hampir 14 tahun berkahwin ni, tak der lah rasa sedih sangat tak dapat beraya dengan emak abah sendiri. Tapi dok terfikir-fikir jugaklah... apalah emak dengan abah tengah buat sekarang. Sian beraya tahun ni, anak-anak semua balik rumah mertua masing-masing. Emak dan abah balik kampung berdua jer. Alhamdulillah... untung abah ada ramai adik-beradik dan masih berkumpul bersama-sama setiap kali raya walaupun opah dah tak der.

Macam biasa, raya kat Segamat dari semalam lagi semua dah sibuk sediakan juadah raya. So, malam tadi berbuka dah siap makan ketupat dan rendang semua. Cuma kali ni berbeza sikit sebab ayah mertua tak sempat nak masak opor dan ungkep disebabkan kesibukkan hal lain. Biasanya tiap-tiap tahun inilah menu wajib kat sini.

Pagi tadi, lepas sarapan dan semua balik sembahyang raya, macam biasa, kitorang akan bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan tangkap gambar.

My family... tangan Neeyaz tu... konon-konon 'peace' lah sangat... huhuhu...

Mak dan ayah dengan semua cucu-cucu diorang... alhamdulillah... tahun ni tambah 2 orang lagi cucu - Khaireena dan Khairun.

Baby Neeyaz... eh baby lagi ke... tahun kedua Neeyaz beraya. Susahnya nak tangkap gambar dia. Ligat sangat!

My boys... My little Khairunns...

Me and my baby girl.

Me and l♥ve

Family cikgu Mohd Noor dan cikgu Zaliha.

Alhamdulillah... raya kali ni semua famili dah lengkap dikurniakan cahayamata. Semoga tahun mendatang, yang sorang tu lengkap dengan imam dia pulak. Ameen...

Tuesday, June 4, 2019

Segamat musim durian!!!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Eh... rasanya bukan Segamat jer musim durian. Satu Malaysia musim durian kan?

Tapi korang tau tak? Segamat memang famous dengan durian Segamat dan durian Segamat memang terrrrbaekkkkk!!!

Pagi tadi enche Neezam dan fil awal-awal pagi lagi dah hilang ke kebun durian kenalan fil. Geram jer tengok gambar durian yang enche Neezam kongsi. Memang banyak bergantung atas pokok. Bestnya!!! Aku tak pernah gi kebun durian. Tak sangka pulak kebun durian bersih macam ni. Aku bayangkan macam hutan... Huhuhu...

Bestnyer. Sebakul durian ayah bawak balik tadi.

Antara orang yang exited tengok buah durian... tentulah si Neeyaz ni!

Mulut dia asik "nak doyan.... nak doyan" selagi tak dikopek!

Bau durian ni.... Adoiiii... dah lah tengah puasa ni... tergugat betul!

Dua-dua ni memang hantu durian dan dua-dua ni memang tak posa. Saboooorrr je lah!

Tiba-tiba rasa lambat pulak waktu berbuka hari ni. Huhuhu...

back to top