♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, June 14, 2008

Budaya Malaysia tak luntur di Bundoora

Aku suka artikel Neezam yang kuar kat paper Berita Hairan Harian hari ni. Ia mengenai majlis post-perkahwinan yang kitorang organise untuk pengantin baru, Kak Tahsa dan suaminya Mufleh (Credit to Kak Ema yer… The best organizer ever…) Kenapa suka? Sebab bila baca artikel tu aku teringat masa majlis tu. Walaupun tak der kompang atau bunga manggar tapi suasana memang sangat meriah. Memang best, expecially sessi Neezam berbalas pantun dengan kak Tasha Wawa *bukan pengantin, nama sama*. Spontan dan menjadi… hehehhe…

Tambah best hari tu sebab ada banyak sangat makanan Malaysia; soto, roti jala, kari, rojak. First time jugak aku rasa nasi kambing yang best. Karipap pusing yang aku buat (test kali ketiga) pun liciiiiinnnnn… Seronok bila tengok makanan yang kita buat habis licin. Tambah seronok lagi bila orang kata kite masak sedap. (The next weekend aku dapat tempahan 60 biji karipap pusing :D. Bila citer kat mak, mak aku tak percaya) Hehehhe…

So, inilah artikel Neezam tentang majlis tersebut….

Budaya Malaysia tak ‘luntur’ di bumi asing

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

BEBERAPA hari lalu kami di Bundoora, sebuah kawasan pesisiran kotaraya Melbourne menyambut secara meriah dua rakan kami yang baru mendirikan rumah tangga. Mereka sebenarnya melangsungkan majlis akad nikah dan perkahwinan lebih awal di Malaysia. Namun, atas semangat dan jalinan ukhwah yang begitu kuat di kalangan yang rata-ratanya menuntut di sini, kami mengadakan sekali lagi majlis perkahwinan serba sederhana untuk mereka.

Walaupun jumlah tetamu yang hadir tidaklah begitu ramai berbanding majlis perkahwinan di tanah air, suasana ‘berewang’ dan kenduri tetap dapat dirasakan. Hiruk-pikuk rakan taulan berbual mesra, anak-anak berkejaran, kaum ibu yang sibuk menghidang dan menyiapkan juadah, serta pasangan pengantin yang masih tersipu-sipu melayan tetamu adalah rencah hidup bermasyarakat. Penulis kira ‘takkan lekang dek panas, dan takkan lapuk dek hujan’ walaupun beribu-ribu batu jauhnya dari tanah air. Adat resam Melayu yang penuh dengan kesantunan dan budi bahasanya cukup erat dipegang dan dizahirkan dalam majlis serba sederhana ini.

Majlis dimulakan dengan tetamu yang berkumpul beramai-ramai dan berarak bersama-sama menuju ke rumah pengantin. Seorang wakil rombongan memberikan salam di pintu dan tidak lupa menjual beberapa rangkap pantun sebagai ‘buah tangan’ kepada tuan rumah. Selepas dijawab seadanya juga dengan pantun, hadirin dipersilakan masuk disusuli dengan hadiah perkahwinan tanda ingatan tulus dan ikhlas buat pengantin.

Sesungguhnya, syariat Islam itu sesuatu yang menjadi tunjang dan pedoman kepada amalan manusia dalam kehidupan. Justeru, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa selamat, memohon supaya bukan saja rumah tangga pengantin diberi rahmat oleh Allah, bahkan mendoakan agar semua tanggungjawab dan urusan ‘duta-duta negara’ ini dapat disempurnakan dan diberi petunjuk dan hidayah oleh-Nya. Hadirin juga bersolat secara berjemaah sebagai memenuhi tuntutan rukun Islam yang perlu dilunaskan walau dalam apa keadaan sekalipun.

Hidangan untuk kenduri sederhana ini tidak lari daripada konsep makanan biasa di Malaysia, iaitu nasi beriani kambing. Ditambah lagi dengan sedekah berkonsepkan ‘pot-luck’ oleh sebilangan tetamu yang menghidangkan rojak, soto, karipap dan roti jala, maka terubatlah kerinduan sesiapa saja terhadap masakan ala Malaysia yang cukup sukar diperoleh di sini.

Pada hemat penulis, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada budaya bermasyarakat seperti ini. Pertamanya, adat resam adalah sesuatu yang cukup mahal harganya. Mahal kerana ia melambangkan identiti warisan bangsa yang perlu dipupuk dan dipertahankan sebaik mungkin tidak kira di manapun kita berada. Dalam hal ini, walaupun komuniti warga Malaysia kecil, namun setiap individu begitu kental nilai jati dirinya tanpa hilang walau berada di negara orang.

Keduanya, sekental manapun adat resam yang dipegang, ia perlulah bertunjangkan kepada pegangan syariat Islam yang jitu kerana Islam itu cara hidup. Firman Allah, yang bermaksud: ”Sesungguhnya agama (cara hidup) yang benar di sisi Allah hanyalah Islam semata-mata".

Jangan terperanjat jika diberitahu bahawa ada sebilangan kita yang seakan-akan lupa mana diletakkan sejadah dan al-Quran dan mereka begitu mudah memberi alasan terlalu sibuk dengan urusan dan hal ehwal peribadi. Hakikatnya, sebagai seorang manusia yang bertakwa, tidak kira di mana kita berada, pada bila-bila waktu dan berhadapan dengan apa urusan sekalipun, syariat Islam itu perlu ditegakkan.

Hak kita kepada Allah perlu dilunaskan kerana itu adalah tanggungjawab kita sebagai makhluk ciptaan-Nya. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah adz-Dzaariyat, ayat 56 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku".

Ketiganya, dalam konteks hubungan sesama manusia, kita sememangnya sangat digalakkan untuk bercampur gaul, berasimilasi dan memupuk silaturahim sesama rakan berlainan negara, agama dan bangsa. Ini kerana ia adalah fitrah manusia yang perlukan sokongan sosial dan moral daripada individu lain. Rasulullah sendiri menegaskan akan kepentingan silaturahim dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: "Sesiapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menyambung silaturahim".

Begitu juga kita perlu ada rasa mengambil berat dan ada perasaan kasih kepada mereka yang seagama, sebangsa dan senegara dengan kita. Jika tidak wujud perasaan sebegini, itu jadinya apabila ada dalam kalangan kita yang keluar negara kadangkala akan bersua dengan orang senegara, sebangsa dan seagama tetapi terlalu ego dan sombong untuk membalas sapaan dan ucapan salam yang kita berikan.

Bahkan senyuman yang disedekahkan, ada kalanya dibalas dengan jelingan tajam penuh kejengkelan. Begitu juga bila diundang untuk ke majlis tertentu anjuran rakan senegara, orang sebegini pasti akan memandang sepi semata-mata. Inilah senario yang perlu diubah dalam sesetengah masyarakat Malaysia di luar negara. Apa seronoknya untuk menjadi ‘kera sumbang’ yang berasakan tidak layak untuk rakan senegara dan sebangsa bercampur gaul dengan mereka? Kalau sakit pening nanti, yang dicari untuk mendapatkan pertolongan, pastilah dalam kalangan rakan senegara dan sebangsa ini juga.

Untungnya senario di bumi Melbourne ini, bahkan mungkin di beberapa negara lain ada perkumpulan pelajar dan perantau Malaysia yang begitu aktif melaksanakan aktiviti keagamaan dan kebudayaan yang memberikan banyak manfaat kepada mereka sendiri dalam mengingatkan diri akan kepentingan untuk berpegang utuh kepada syariat Islam, memartabatkan budaya bangsa dan hidup bersatu-padu.

Kelas agama, ceramah patriotik, forum yang membariskan tokoh negara sebagai ahli panel atau penerbitan makalah berorientasikan hal ehwal tanah air antara usaha murni yang patut diteruskan sebagai bukti kecintaan kita kepada agama dan tanah air.

Inilah yang dinamakan sebagai ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri’, namun masih rindu dan teruja untuk ‘berhujankan batu’ di negara sendiri. Kesimpulannya, tidak kira di mana kita berada, ajaran Islam dan nilai murni dan budaya yang dipupuk dalam diri kita ini perlulah kita pertahankan dan diserlahkan sebagai tatapan umum di bumi asing. Barulah bangsa asing akan nampak betapa tingginya martabat kita sebagai umat Islam dan bangsa Malaysia yang hebat ketamadunan dan kaya budi pekertinya.

Penulis berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia dan sedang melanjutkan PhD di La Trobe University, Melbourne, Australia.


*juliet le sweetheart : suka bagi orang makan... :)


Friday, June 6, 2008

Yang ke setahun setengah

Hari ni genap usia Niesreena 18 bulan. Dah setahun setengah dah anak mama dan ayah sorang ni. Rasa macam kejap jer tau. Tengok-tengok dah besar. :’)

Korang yang ada anak tu... pernah tak sekali sekala rasa rinduuuuu sangat dekat anak korang? Maksud aku rindu masa diorang kecik-kecik dulu; masa tak der gigi lagi, baru nak pandai pusing, baru nak pandai bercakap, baru nak pandai berjalan, baru nak pandai makan, baru nak wat memacam lah…

Aku kadang kala ada rasa macam tu tau… Pelik tak? Bila aku tengok balik gambar-gambar Niesreena masa kecik-kecik dulu, rasa rinduuuu sangat kat Niesreena yang kecik tu.

Masa Niesreena tak der gigi lagi, aku suka masukkan jari aku dalam mulut Niesreena, bagi Niesreena gigit. Tak sakit. Comel jer Niesreena gigit-gigit sambil wonder apalah yang sedang digigitnya tu kan. Sekarang ni kalau bagi Niesreena gigit, mahu putuslah jari aku, sebab gigi Niesreena dah berderet. Recently ada 17 batang dah gigi Niesreena. Cantik gigi Niesreena. Putih dan teratur jer. Comel bila Niesreena tersenyum tunjukkan gigi dia.

Masa Niesreena tak pandai merangkak, mama dan ayah selalu kena dokong Niesreena sebab Niesreena tak suka baring. Niesreena suka didokong. Even baring dalam stroller pun tak nak. Kalau keluar, aku dan Neezam bergilir-gilir dokong Niesreena dalam 'poket kanggaroo’. Kadang-kadang sampai sakit tulang belakang kitorang. Nasib baik masa tu Niesreena ringan jer. Bila balik bercuti kat Malaysia, baru Niesreena pandai merangkak. Mungkin masa kat sini kitorang selalu letak Niesreena atas katil, kononnya sebab lembut untuk Niesreena. Tapi bila balik Malaysia, letak atas karpet jer, terus cepat jer Niesreena merangkak. Siap merangkak naik tangga lagi (ni ayah tok dia kat Segamat yang ajar). Seronok tengok Niesreena naik tangga masa tu. Maklumlah 1st time. Sekarang ni Niesreena suka betul main kat tangga, konon advantures lah bagi dia. Tapi setiap kali Niesreena main kat tangga mesti aku jerit, "Jangan!!! Nanti jatuh!!!"

Masa Niesreena tak pandai jalan dulu, aku selalu pegang kedua-dua tangan Niesreena, ajar dia berjalan. Tapi bila Niesreena dah boleh duduk sendiri without support, kitorang mula dudukkan Niesreena dalam walker. Nasib baik Niesreena suka. Berjalan ke sana, ke mari. Kadang-kadang aku letak Niesreena dalam walker sambil biarkan Niesreena tengok tv. Masa tu dah senang, tak payah nak dokong selalu dan aku pun senang nak buat kerja rumah. Niesreena kadang-kadang duduk dalam walker tu sampai tertidur-tidur. Cian anak mama. Bila Niesreena 11 bulan, Niesreena dah pandai jalan. Sekarang ni Niesreena sukaaaa sangat berjalan dan berlari. Tak nak duduk dalam stroller atau troli bila keluar. Nak jalan gak! Waktu ni, aku dan Neezam plak penat berlari, nak mengejarkan Niesreena yang asik ke sana ke mari. Fuuuhhhhhh…

Masa Niesreena baru mula nak makan dulu, kitorang beri Niesreena Heinz fruit puree. Masa tu Niesreena berusia 4 bulan. Niesreena suka makan fruit puree. Sehari makan sebotol. Bila masuk 6 bulan. Kitorang tambah custard plak. Sehari 2 botol. Pun Niesreena suka jugak. Bila masuk 8 bulan, kitorang mula bagi Niesreena makan nestum. Sehari 3 kali. Banyak Niesreena makan. Pantang ulur sudu, mesti nganga jer. Tapi sekarang ni Niesreena dah tak berapa kuat makan tapi Niesreena kuat main. Susah sangat nak bagi Niesreena makan. Aku bagi Niesreena makan nasi 2 kali sehari. Sekali makan ambil masa 2 jam! Tu pun jarang-jarang habis. Tapi nasib baiklah Niesreena membesar dan berisi gak. Tak lah kurus kering sebab tak makan.

Rinduuuu sangat masa Niesreena kecik-kecik dulu. Nasib baik ada gambar dan video aksi-aksi Niesreena dulu-dulu. Geram tengok! Masa tu Niesreena montel sangat! Hehehe… Tapi sekarang pun Niesreena montel jugak. Tambah comel lagi. Banyak aksi dan keletah plak sekarang ni. Buat aku tambah sayang sangat kat puteri aku sorang ni.

Akan datang nanti mesti aku rindu pulak waktu-waktu Niesreena yang sekarang ni. So, better aku manfaatkan waktu pembesaran Niesreena ni sebaik-baik mungkin kan. Lagipun tak semua emak dapat rasa pengalaman dengan anak sebagaimana aku rasa. Lebih-lebih lagi emak yang bekerja. Bersyukur sangat kerana aku diberi pengalaman manis macam ni.


*juliet le sweetheart : teringin nak kembar plak lepas ni… ;p

Thursday, June 5, 2008

Harga minyak naik lagi

Ramai mengeluh harga minyak naik, termasuklah aku *sigh*. Harga minyak kat Malaysia naik mendadak 78 sen! Dasyat kan dengar, hampir satu hengget tu. FYI, harga minyak kat Melbourne ni pun naik gak. In fact, asyik naik jer! Bilalah harga minyak ni nak turun? *Logik tak soalan aku tu? ;p* Harga minyak kat Melbourne ni dah naik berbulan-bulan yang lepas, naik sikit-sikit; tiap-tiap bulan naik beberapa sen and still continuing, sedangkan masa tu Malaysia tak naik-naikkan harga minyak pun. Gomen Malaysia masih baik hati lagi menampung harga minyak yang semakin naik hinggalah semalam. Mungkin dah tak termampu nak tolong lagi. So, terpaksa jugak naikkan harga minyak. Kalau nak total kenaikan harga minyak kat Malaysia compared to Australia atau negara-negara lain, harga minyak kat Malaysia memang murah.

Bertuah kite kat Malaysia sebab harga minyak walaupun naik 78 sen, still jauh lebih murah kalau nak dibandingkan dengan negara-negara lain. Kalau tak, takkan lah orang-orang Singapore dan Thailand gila-gila masuk negara kita semata-mata nak isi minyak. Betul tak? So korang bersyukurlah. Kerajaan naikkan harga minyak ada sebabnya. Bukan sukati jer nak naikkan harga. Percayalah cakap aku. *Nampak sangat tak aku ni penyokong kerajaan?* Hahahaha...

Nway, honestly aku bukanlah 100% menyokong apa sajer yang kerajaan buat tapi sekurang-kurangnya kite kena cuba berfikiran rasional sikit. Jangan terus naik hangin dan memberontak. Korang yang marah-marah sebab harga minyak naik tu, tau tak kenapa sebenarnya harga minyak naik? Haaaa... cuba cari jawapannya yer murid-murid...

Rentetan dengan kenaikan harga minyak, maka harga barang-barang keperluan harian mesti akan naik jugak. Itu dah macam tradisi setiap kali minyak naik rege. Tapi gaji jugak yang tak naik-naik. Ye tak? So, kite sebagai rakyat jelata ni terpaksa ikutlah arus globalisasi ni. Boleh kalau cuba nak menongkah arus, but it will takes a very hard work dan berbaloi ke? May be lepas ni kite boleh amalkan sifat berjimat cermat; berjimat dalam berbelanja, berjimat dalam penggunaan air dan elektrik, berjimat dalam semua aspek lah. Even kalau jarang keluar boleh jimat sikit minyak kereta.

So, hari ni artikel Neezam di suratkhabar Utusan Malaysia mengenai sifat berjimat cermat yang perlu dipupuk oleh kakitangan kerajaan dalam organisasi. Sama-samalah kite berjimat yer...

Pupuk sifat berjimat kakitangan awam

TIDAK dapat tidak, ramai yang mengakui bahawa banyak jabatan awam yang masih tidak dapat menguruskan penggunaan kepelbagaian sumber fizikal dalam organisasi secara berhemah dan bijaksana. Stigma ‘menghabiskan peruntukan tahunan’ yang selalu kedengaran dalam kalangan pegawai kerajaan perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya dalam mengelakkan pembaziran yang sememangnya merupakan amalan kegemaran syaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini meminta kakitangan awam untuk memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat bagi membantu kerajaan mengelakkan perbelanjaan subsidi melebihi aras perbelanjaan operasi yang boleh membawa masalah besar pada masa hadapan.

Secara realistik banyak usaha yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk berjimat cermat. Berikut adalah antara cadangan yang perlu dipertimbangkan dan diambil tindakan segera oleh jabatan-jabatan dan para pekerja sektor awam:

1. Rata-rata, ramai pekerja yang menggunakan konsep ‘pakai dan buang’ dalam penggunaan alat tulis, kerana memikirkan ia boleh didapati dengan mudah dan stoknya banyak. Untuk itu, pengurusan jabatan perlu mengurangkan atau mengehadkan pemberian pen, klip kertas, gam dan sebagainya kepada setiap pekerja kerana alat tulis tersebut boleh bertahan untuk jangka masa yang lama jika ia digunakan dengan jimat dan disimpan dengan cermat.

2. Amalkan kaedah ‘kitar semula’ kertas-kertas A4 dan sebagainya yang telah digunakan untuk tujuan urusan dalaman. Misalnya, penggunaan kertas-kertas terpakai tapi masih boleh digunakan untuk mencetak pekeliling jabatan atau minit mesyuarat. Ia berkesan dalam menjimatkan kos pembelian kertas yang kebiasaannya akan dibuang setelah diguna walaupun ruang di belakang kertas itu masih elok untuk digunakan semula.

3. Aplikasikan teknologi maklumat dan Internet dengan semaksimum mungkin dalam usaha menjimatkan kertas. Misalnya notis panggilan mesyuarat, jemputan menghadiri program, atau pekeliling yang boleh dikirimkan dengan mudah melalui internet.

4. Terdapat sesetengah jabatan yang selalunya akan menghidangkan jamuan makanan semasa mesyuarat. Untuk itu, jabatan kerajaan harus mengikis budaya mengsinonimkan mesyuarat dengan jamuan makan untuk tujuan menjimatkan kos pembelian makanan yang dirasakan tidak perlu bagi kelancaran mesyuarat.

5. Pengurusan setiap jabatan perlu memikirkan kaedah berkesan dalam penggunaan barangan elektrik. Komputer, radio, televisyen, mesin pencetak dan alat pendingin hawa misalnya perlulah diingatkan supaya ditutup jika tidak digunakan seperti ketika waktu rehat atau waktu pejabat berakhir.

6. Kurangkan atau elakkanlah mengadakan kursus, mesyuarat atau pelancaran program organisasi di hotel-hotel mewah yang sememangnya memakan kos perbelanjaan yang tinggi. Apa salahnya jika mesyuarat atau kursus dalaman organisasi dilaksanakan di dalam organisasi sendiri yang mana pada hemat penulis cukup kemudahan dan ruang fizikalnya.

Banyak kos yang dapat dikurangkan, terutamanya kos penginapan, makanan, pengangkutan, petrol dan sebagainya. Apa yang penting adalah aspirasi, matlamat atau resolusi yang diharapkan daripada kursus, mesyuarat dan program itu dapat dicapai, bukan betapa hebatnya lokasi pelaksanaannya.

7. Setiap jabatan kerajaan harus berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan urusan sesuatu transaksi dengan pelanggan. Hal ini sebenarnya memberikan kesan positif bukan sahaja kepada pelanggan bahkan kepada satu-satu organisasi kerajaan itu sendiri.

8. Setiap pekerja harus bijak dan amanah dalam menggunakan masa bekerja dan dalam pengendalian peralatan pejabat. Kita sepatutnya mengikis tabiat-tabiat buruk ini yang mana secara tersiratnya membazir dan merugikan wang kerajaan dan rakyat. Pupuklah etika kerja yang berintegriti dan berpandukan kepada syariat Islam dan pegangan moral.

Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang dirasakan bersifat realistik dan boleh dipraktikkan secara menyeluruh dalam jabatan-jabatan kerajaan. Satu-satu perubahan yang baru itu sememangnya sukar untuk dilaksanakan, namun seperti kata-kata pujangga barat ‘kejayaan itu bermula dengan langkah pertama’.

Ambillah tindakan sewajarnya daripada sekarang untuk mengikis sikap boros, kurang cermat dan tidak berhemah dalam bekerja sebelum berlaku fenomena dan kesan yang lebih kritikal pada masa hadapan.

Khairunneezam Mohd Noor


*juliet le sweetheart : kadang-kadang susah nak berfikiran rasional kan?


back to top