بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Insya Allah, dua hari lagi umat Islam seluruh dunia akan mula berpuasa. Korang dah buat persiapan nak menyambut Ramadhan ke? Biasanya bila beberapa hari sebelum bulan Ramadhan ni, aku akan ke Mydin, cari-cari barang keperluan dapur sikit.
Dan beberapa hari lepas, aku sempat jugak mengemas dan membersihkan rumah. Ye lah... kalau tunggu dah dekat nak raya baru nak buat semua, memang penatlah...
Artikel enche Neezam yang disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda pun menyentuh pasal puasa, Mendidik Anak Berpuasa. Niesreena dan Naufal dah mula berpuasa penuh sejak usia masing-masing 7 dan 6 tahun. Alhamdulillah... sehingga sekarang, Niesreena dan Naufal masih berpuasa penuh lagi di bulan Ramadhan.
Semoga tahun ni kita semua diberikan kesihatan yang baik dan boleh berpuasa penuh lagi dan melakukan ibadat sepanjang bulan Ramadhan yang akan datang. Insya Allah...
Artikel penuh enche Neezam di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
Mendidik Anak Berpuasa
Bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk umat Islam melaksanakan amal ibadah kerana telah dijanjikan oleh Allah Taala akan keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sayugia, ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan tunjang amalan ketiga dalam Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikannya termasuklah golongan anak-anak kecil. Alim ulamak menyebutkan bahawa walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melaksanakan syariat, namun ibadah berpuasa oleh mereka adalah dianggap sebagai suatu bentuk latihan.
Ibnu Battol Rahimahullah berkata, “Para ulama sepakat bahawa amal ibadah dan pelbagai kewajiban lain tidaklah wajib kecuali jika seseorang sudah baligh. Namun majoriti ulama menganjurkan agar anak dilatih berpuasa dan melakukan ibadah supaya nantinya mereka tidak meninggalkannya, dan terbiasa serta mudah melakukannya ketika sudah dihukumkan wajib kelak.”
Ibn Hajar ada menyebut dalam kitabnya tentang pendapat pelbagai ulama akan hukum-hakam puasa seorang budak kecil. Pendapat jumhur ialah tidak diwajibkan (untuk berpuasa) melainkan kanak-kanak tersebut mencapai umur baligh. Imam al-Syafi’ie mengatakan ianya digalakkan untuk dijadikan latihan jika mereka mampu.
Diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ R.A. katanya: “Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke perkampungan-perkampungan Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat dari bulu biri-biri. Jika ada di antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan tersebut sehingga tiba waktu berbuka” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Begitulah hadis Rasulullah yang menunjukkan kepada kita suasana pada zaman Rasulullah, menitikberatkan pendidikan puasa semenjak kecil lagi. Kalau mereka merengek, terlalu lapar, berilah mereka makanan untuk berbuka. Itu pendidikan permulaan pelajaran Puasa. Bukannya memaksa mereka tetapi melatih mereka melakukan ketaatan kepada Allah.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan bahawa anak-anak seawal usia empat atau lima tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini. Anak-anak kecil ini perlu didedahkan tentang ibadah berpuasa ini serta fadilatnya. Asasnya, anak-anak perlu tahu bahawa puasa bererti menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai daripada terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.
Dinasihatkan supaya sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa perlu mengajarkan mereka akan perkara-perkara asas tentang ibadah berpuasa seperti niat, tempoh berpuasa, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, perkara-perkara sunat diamalkan semasa berpuasa dan perkara yang makruh yang perlu dielakkan bagi menjamin kesempurnaan ibadah puasa.
Setelah anak-anak faham erti berpuasa secara fizikal, bolehlah diajak anak-anak menghayati maksud yang tersirat di sebalik ibadat berpuasa. Anak-anak boleh diterangkan bahawa dengan menahan makan dan minum pada waktu siang adalah satu bentuk penghayatan terhadap sukarnya kehidupan orang fakir dan miskin di seluruh dunia yang hidupnya sentiasa diuji Allah.
Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran adalah sangat besar impaknya apabila anak-anak ini meningkat dewasa kelak. Mereka tidak akan berasa canggung dan berat untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu yang lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbanyakkan juga ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia yang soleh dan solehah.
Minda dan pemikiran anak-anak perlu jua dididik supaya tidak mentafsir bahawa bulan Ramadan ini adalah waktu yang sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak dengan sindrom negatif sebegini yang bukan sahaja membazirkan wang malah turut membahayakan nyawa mereka. Anak-anak juga tidak seharusnya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau membuat aktiviti yang tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah.
Untuk melatih anak-anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat-peringkat dan berdikit-dikit. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam, atau hanya beberapa hari sepanjang bulan Ramadan. Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan dalam kalangan anak-anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa. Misalannya menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau sejumlah ‘duit raya’ jika mereka berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.
Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak apa perlunya berpuasa daripada konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar kesan positifnya. Anak-anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurnaan puasa mereka. Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat fardhu dan solat Tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak-anak juga boleh diasuh untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.
Jika kaedah-kaedah yang disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak-anak sepanjang bulan Ramadan ini, adalah diyakini bahawa mereka akan menjadi bukan sahaja umat Islam yang diredhai-Nya, bahkan menjadi insan yang sempurna akhlak dan tatasusilanya. Didikan agama yang mantap sejak usia kecil sebegini pasti dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak-anak ini apabila usia mereka menjangkau dewasa umpama bidalan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
No comments :
Post a Comment