بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Alhamdulillah... macam biasa, artikel enche Neezam masih lagi menjadi pilihan akhbar Harian Metro untuk disiarkan setiap hari Sabtu di sisipan Minda.
Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
Manisnya Hidup Berjiran
Jiran menurut syarak ialah orang yang berdekatan dengan rumah sama ada di kanan, kiri, di depan atau belakang mahupun di tingkat atas ataupun bawah hingga 40 rumah dari setiap sudut. Menurut Suriani dan Halimatus Sa’diah (2018), ulama Mazhab Syafi’i dan Hambali mentafsirkan jiran sebagai 40 buah rumah dari segala arah iaitu depan, belakang, kanan, kiri dan lain-lain. Manakala Ulama Mazhab Maliki pula mentafsirkan jiran sebagai mereka yang berdampingan (di sekeliling) atau bertentangan dengan hanya dipisahkan oleh jalan yang sempit, bukan pula dipisahkan oleh sesuatu pemisah yang besar seperti pasar atau sungai yang lebar, atau mereka yang disatukan oleh sebuah masjid yang sama atau yang berada antara dua masjid yang berdekatan.
Keharmonian hidup berjiran merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 36, maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Para ulama menyatakan di dalam ayat ini, Allah SWT mengikat ayat tuntutan untuk berlaku baik kepada jiran dengan ayat tuntutan agar menyembah Allah SWT tanpa melakukan syirik kepada-Nya. Ini menunjukkan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran merupakan satu tuntutan yang besar sepertimana tuntutan agar menyembah Allah SWT. Untuk itu, Allah SWT menyediakan azab yang pedih buat orang yang suka menyakiti jirannya sepertimana yang akan jelaskan di bawah nanti.
Mengambil berat akan resam hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak. Pada usia inilah anak-anak mudah menyerap sebarang pendidikan yang diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya. Anak-anak perlu dididik akan siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana-mana perkara yang silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah SWT.
Pepatah Melayu ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk peri pentingnya hidup sekumpulan manusia yang bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur sesama manusia. Nilai muafakat itu pula lebih signifikan maksudnya dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsian nilai-nilai hidup yang harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormati, dan menghargai hak-hak sesama jiran tetangga, tidak kira usia, jantina, pangkat, keturunan dan agama. Muafakat dan rapatnya kedudukan jiran itu dalam Islam dinyatakan melalui Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.” (Riwayat al-Bukhari).
Sejak usia kecil lagi, jika anak-anak faham akan kepentingan menjaga hak-hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini bahawa mereka akan terus memupuk dan menjulang nilai-nilai murni hidup bermasyarakat seperti mana yang disyariatkan Islam. Untuk itu terdapat banyak perkara yang boleh kita sebagai ibu bapa terapkan kepada anak-anak berkaitan erti ‘kemanisan’ hidup berjiran. Antaranya adalah menggalakkan anak-anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan yang mulia terhadap jiran tetangga. Ia selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, ‘Hendaklah seseorang itu berperi laku baik terhadap jiran tetangganya’ (Muttafaqun ’alaih).
Anak-anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaannya yang tersendiri. Menurut hadis Rasulullah SAW kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran. Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki 3 hak iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluargaan. Perbezaan hak-hak ini perlu dijelaskan kepada anak-anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.
Kita harus menegah anak-anak daripada berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap-sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturrahim sesama jiran. Anak-anak perlu diajar bahawa jangan terlalu cepat mempercayai malah menyebarkan khabar berita yang buruk berkaitan dengan jiran demi menjaga maruah dan keaiban mereka.
Ibu bapa juga boleh memupuk anak-anak untuk mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutamanya jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab-adab berziarah perlu difahami sejelasnya oleh anak-anak kerana berdasarkan ajaran Islam ada juga masa-masanya yang tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.
Seterusnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk menjadi ‘ringan tulang’ membantu jiran-jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Anak-anak perlu tahu bahawa pertolongan yang diberikan bukan sekadar bersifat material dan fizikal, bahkan sokongan moral turut berupaya membantu jiran-jiran tersebut berjaya dalam mengharungi dugaan dan kesukaran yang diuji oleh Allah SWT.
Ibu bapa turut berperanan membiasakan anak-anak daripada mengganggu dan merosakkan dan hak-hak jiran. Misalnya, membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.
Anak-anak perlu digalakkan untuk menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis agama seperti bertadarus dan bertahlil, kenduri-kendara, gotong-royong dan sebagainya. Dengan cara ini barulah anak-anak faham bahawa hidup seperti ‘kera sumbang’ adalah tidak bermakna lantaran jiran tetangga adalah antara pihak yang paling rapat untuk meminta bantuan serta berkongsi suka dan duka kehidupan.
Sekiranya berlaku sebarang masalah ataupun percanggahan pendapat, anak-anak perlu dilatih untuk melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesar-besarkan perkara tersebut hingga menjadi kronik. Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh dalam kalangan anak-anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak-anak perlu juga menyuburkan sifat bertolak ansur dan mudah memaafkan apa jua kesalahan pihak lain terhadap mereka.
Apa yang lebih penting adalah ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh tauladan yang sebaiknya kepada anak-anak dalam hal kehidupan berjiran ini. Kalau kita sendiri bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran sebelah-menyebelah, tidak hairanlah jika anak-anak kita turut sama berbuat sedemikian. Bila suatu hari kelak, didatangkan dugaan tertentu oleh-Nya yang memerlukan kita menagih bantuan jiran sebelah menyebelah, barulah kita hendak terduduk menyesal, dan sedar akan peri pentingnya hidup berjiran. Ambillah pengajaran daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Riwayat Al-Bukhari).
Dr Khairunneezam Mohd Noor, Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
No comments :
Post a Comment