Sejak akhir-akhir ni artikel enche Neezam tetap pulak keluar setiap hari Sabtu. Sebelum ni ada jugak keluar on weekdays. Alhamdulillah...
Semalam artikel enche Neezam disiarkan macam biasa di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Isu mengenai hala tuju graduan selepas konvo yang tentunya fasa mencari kerja. Kenalah artikel enche Neezam kali ni memandangkan sekarang tengah musim konvo.
Di sini aku sertakan artikel penuh dan orginal dari enche Neezam ni. So, tak perlulah cari di link lain.
Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
Fasa Mencari Kerja
APA PILIHAN SELEPAS BERGRADUASI?
Beberapa minggu kebelakangan ini kita dapat melihat graduan-graduan institusi pengajian tinggi sama ada awam mahu pun swasta yang naik ke pentas, memakai jubah khusus dan mortar board menerima segulung ijazah masing-masing dalam majlis konvokesyen yang dilangsungkan secara gilang-gemilang. Di saat ini, perasaan bercampur-baur antara kepuasan, kegembiran, terharu dan sebagainya pasti dirasakan oleh setiap graduan. Inilah salah satu kemuncak ‘nikmat’ dalam perjuangan menuntut ilmu yang berhak untuk diraikan selepas bertungkus-lumus dalam perjuangan perjalanan akademik di institusi pengajian masing-masing.
Kejayaan ini turut dikongsi oleh ibu bapa, keluarga, sahabat handai, bahkan para pensyarah yang menjadi saksi sepanjang suka dan duka sepanjang destinasi beronak duri untuk menuntut ilmu pengetahuan di menara gading. Begitu pun, di sebalik kejayaan bergelar seorang graduan, apakah pula langkah seterusnya bagi mereka setelah berjaya menggenggam ijazah masing-masing? Adakah ia perlu terhenti setakat ini sahaja? Persoalan ini acap kali menjadi satu cabaran untuk dijawab oleh para graduan bahkan ‘adik-adik junior’ yang masih betah dalam perjuangan di universiti dan bakal menuruti langkah bergraduasi ini.
Para graduan semestinya sudah arif akan pilihan-pilihan yang sedia menanti untuk diterokai dan bakal mencorak kehidupan mereka. Keyakinan untuk memilih alternatif-alternatif yang terbentang luas ini perlu sejajar dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Mereka merancang, Allah merancang, dan Allah sebaik-baik perancang” (Surah ali-Imran, ayat 54). Sebagai hamba-hamba-Nya, kita harus terus meletakkan keyakinan bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi kita, bahkan akan memandu kita dalam pilihan kehidupan yang kita telusuri, asalkan keimanan, ketaqwaan dan istiqamah dalam berusaha menjadi elemen yang kukuh dalam diri.
Di institusi pengajian tinggi masing-masing, para graduan telah pun mempunyai kemahiran ikhtisas dan profesional yang diikuti dalam bidang pengajian masing-masing. Justeru, pilihan pertama selepas bergraduasi sudah tentulah mencari kerjaya dalam bidang yang berkaitan. Para graduan harus bijak mencari ruang dan peluang kerjaya dengan menyerlahkan keperibadian dan nilai intelektualisme terbaik dalam helaian resume masing-masing serta dalam bilik temuduga kelak. Kemudian, andai berjaya memperoleh ruang untuk menempatkan diri dalam alam pekerjaan yang diminati maka graduan perlu segera menterjemahkan kemahiran akademik masing-masing serta kemahiran insaniah atau soft skills yang telah diperoleh untuk ‘memenangi hati majikan’ untuk kali pertama dan konsisten sepanjang berkerjaya kelak.
Keduanya, para graduan tidak boleh terlalu berharap bahawa kerjaya mereka akan sentiasa berkaitan dengan bidang pengajian. Dalam zaman yang serba mencabar, kerjaya yang diidamkan kelihatannya sukar untuk digapai kerana persaingan yang sangat tinggi daripada puluhan ribu graduan yang lain dan tawaran pekerjaan yang semakin mengecut jumlahnya. Maka, mereka perlu membuka perspektif pemikiran untuk mempertimbangkan kerjaya dalam bidang yang berbeza. Misalnya, berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang mempunyai pelajar yang memiliki ijazah dalam bidang perundangan dan bidang sains dan teknologi yang menceburkan diri dalam kerjaya sebagai Mutawwif (pembantu ibadah haji dan umrah). Mereka membentuk anjakan paradigma, betah melawan rasa lelah untuk meneroka kelainan berbanding apa dipelajari di universiti. Mereka bertatih perlahan-lahan membina pengalaman, mengutip pengetahuan dan mempelajari selok-belok kerjaya ini sehingga ada yang berjaya membuka agensi dalam pengurusan ibadah umrah sendiri.
Ketiganya, tiada salahnya untuk para graduan mencari pekerjaan bersifat ‘sementara’, di premis-premis perniagaan, jabatan-jabatan kerajaan, mahu pun pejabat-pejabat swasta. Banyak kisah yang kita temukan di media sosial mahu pun media cetak berkenaan graduan termasuklah dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, perubatan, pendidikan dan lain-lain yang tidak segan silu bekerja sementara sebagai ‘kuli’ atau pekerja biasa. Setidak-tidaknya, di platform inilah para graduan dapat mencari sumber pendapatan berbanding dengan hanya duduk menganggur di rumah atau sementara mendapat pekerjaan yang lebih signifikan atau stabil pendapatannya. Ia juga dapat memberikan input kepada para graduan mengenai perspektif kerja sebagai ‘orang bawahan’ yang akan menjadi satu bentuk latihan membentuk kemahiran, pengetahuan dan sikap sebagai pekerja yang seimbang serba serbinya.
Keempat, para graduan juga boleh memikirkan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Kalau diikutkan trend dan kebiasaannya, sememangnya ramai pelajar di universiti sendiri yang telahpun memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Daripada semudah menjual produk makanan, produk kecantikan dan kesihatan, sehinggalah kepada cetakan atau insurans, ia boleh diteruskan dan diteroka sehingga memungkinkan para graduan membentuk empayar perniagaan sendiri yang boleh diterima masyarakat. Ia selaras dengan pelan dan strategi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pembentukan usahawan-usahawan dalam kalangan graduan yang bukan lagi menjadi job seekers (pencari pekerjaan) bahkan mampu untuk menjadi job providers (penyedia pekerjaan) yang berupaya membantu masyarakat mencari ruang berkerjaya dan mencari sumber pendapatan yang baik dan tetap.
Kelima, para graduan turut boleh memikirkan untuk menambah nilai akan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran mereka dalam bidang pengajian yang diceburi. Begitu banyak ruang yang terbentang untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di institusi-institusi pengajian tinggi. Ia bakal menjadi platyform yang membolehkan para graduan mencabar kapasiti kompetensi dan semangat untuk terus menuntut ilmu pengetahuan mungkin sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.
Walau apa pun alternatif yang bakal dipilih oleh para graduan, mereka harus meletakkan dalam diri bahawa pada fasa kehidupan ini, segala usaha yang dibuat perlulah bertitik tolak kepada niat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Telusurilah apa yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hari yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Surah al-Fajr, ayat 27-30). Dengan redha dan izin Allah SWT, maka sudah tentulah kehidupan kita akan disuluhi dengan jalan-jalan kejayaan dan dipermudahkan.
Para graduan juga dinasihatkan untuk tidak mudah berasa selesa dengan kejayaan-kejayaan tertentu dalam berkerjaya dan kehidupan. Cabar kapasiti dan daya saing kendiri agar mampu menjadi bekalan dalam kehidupan di masa hadapan yang selesa dan jangan lupa untuk mengutip sebanyaknya amal jariah yang bakal menjadi ‘tiket’ untuk kehidupan yang bahagia di akhirat kelak. Seperti mana yang selalu dititipkan dalam doa kita sehari-hari yang bermaksud: “Wahai Tuhan, berikanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia, dan berikanlah jua kepada kami kebaikan hidup di akhirat, dan lindungilah kami daripada siksa api neraka” (Surah al-Baqarah, ayat 201). Semoga Allah mengiringi para graduan di sepanjang jalan dan kehidupan yang dipilih, Wallahualam.
Harian Metro, Minda, 17 November 2018
No comments :
Post a Comment