Minggu ni banyak pulak artikel Neezam keluar. Hari ni keluar lagi kat Berita Harian.
Rasuah jejas usaha martabat sukan negara
SEPERTI kata bidalan ’sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.’ Begitulah juga ibaratnya bagi sebilangan ahli sukan yang dilaporkan sedang disiasat persatuan sukan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Mereka seronok menikmati hasil ‘durian runtuh’ secara rasuah. Apabila diri teruja dengan kelazatan mendapatkan untung sebegitu rupa, maka soal perundangan dan dosa pahala diletakkan jauh daripada kotak pemikiran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pernah melahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pemain bola sepak tempatan dan ‘bookie’ yang mengamalkan rasuah dalam sukan dan menganggap mereka sebagai individu tidak berintegriti, tidak patriotik dan menggagalkan usaha kerajaan untuk memajukan sektor sukan negara.
Sepatutnya sukan menjadi platform untuk menyihatkan dan menyeimbangkan potensi dan kekuatan jasmani, rohani, emosi dan intelek seseorang.
Begitu juga apabila seseorang ahli sukan masuk ke gelanggang atau padang, pelbagai unsur positif dibawa bersama dalam dirinya seperti semangat perjuangan, semangat berpasukan, bermain mengikut peraturan, berdisiplin, tidak mudah patah semangat serta bermotivasi.
Semua unsur positif itu luntur apabila rasuah menjadi objektif utama. Rasional diri hilang begitu mudah apabila dijanjikan habuan lumayan oleh ‘bookie’.
Akibatnya, usaha terancang dilaksanakan untuk memenuhi kehendak perasuah seperti kualiti permainan sengaja direndahkan, sambil lewa dan membelakangkan aspirasi semangat berpasukan.
Sia-sia pelaburan wang, pembangunan kemudahan fizikal, tenaga dan pemikiran yang dilaksanakan oleh persatuan sukan dan kerajaan.
Bagi penonton dan penyokong pasukan pula, ini adalah sandiwara yang tidak mereka sedari. Semangat penyokong untuk datang ke gelanggang perlawanan bagi memberikan sokongan moral seperti ’susu dibalas dengan tuba.’ Mereka tertipu dengan gelagat pemain yang ‘dibeli’ dan tidak menunjukkan prestasi sebenar di padang.
Penat penonton memekik dan bersorak untuk menaikkan semangat pemain disayangi, namun ia hanya membuang masa dan tenaga. Pemain tidak ubah seperti boneka dan ‘pak lawak’ menyajikan lakonan permainan hambar. Apabila kebanyakan persatuan sukan mahu menjalankan siasatan atau menubuhkan jawatankuasa tertentu untuk membanteras rasuah dalam organisasi masing-masing, ia langkah dialu-alukan. Siasatan perlu dijalankan sehingga ke akar umbi. Luaskan skop siasatan kepada setinggi-tinggi jawatan penaung sehingga kepada serendah-rendah jawatan ahli dalam persatuan.
Ahli sukan dan pentadbiran persatuan sukan yang bersih daripada gejala penipuan rasuah saja yang akan terus mewarnai dunia sukan, bukan dibayangi dalang yang hanya mencemar martabat kesukanan.
Jika terbukti ada ahli sukan terbabit rasuah, tindakan tegas perlu diambil dengan segera termasuk mengheret mereka ini ke muka pengadilan. Mereka perlu diberi pengajaran setimpal dengan kerakusan membaham hasil rasuah demi menjaga kesucian dunia kesukanan.
Biar kesilapan mereka menjadi pengajaran kepada pihak lain yang mungkin sedang menimbang tawaran lumayan daripada ‘bookie’ agar melupakan terus niat jahat mereka. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah. Tindakan proaktif perlu dilaksanakan semua pihak. Pendidikan mengenai kesan negatif amalan rasuah perlu diberikan secara serius kepada semua ahli sukan dan pentadbiran persatuan sukan. Matlamat dan aspirasi sebenar yang harus dimiliki apabila menyertai dunia sukan harus disuburkan di kalangan ahli sukan secara berterusan. Buka platform yang luas untuk ahli sukan untuk mengadu sebarang usaha pihak luar yang cuba memancing mereka terjebak dengan gejala rasuah.
Kepada ahli sukan, fikirkanlah mudarat dan bahaya rasuah dalam konteks moral dan agama. Tidak ada agama dalam dunia ini yang menghalalkan rasuah.
KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
La Trobe University Melbourne,
Australia.
*juliet le sweetheart : bila pulak aku nak tulis artikel ke suratkhabar yer?
No comments :
Post a Comment