Oleh Khairunneezam Mohd. Noor
GEJALA plagiarisme adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan saling tak tumpah konsepnya seumpama merompak. Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam dunia penulisan akademik, plagiarisme atau menciplak adalah unsur pemusnah kemurnian dan martabat ilmu pengetahuan.
Plagiarisme berlaku apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan-perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu. Kemudiannya, hasil yang diciplak itu dipersembahkan sebagai hasil ilmiah dirinya tanpa memberi pengiktirafan atau penghargaan yang sepatutnya kepada pemilik asal hasil ilmiah tersebut.
Terdapat tiga bentuk plagiarisme yang biasa diamalkan. Pertama, peniruan secara langsung perkataan-perkataan, perenggan-perenggan, atau sebarang bahan yang diambil daripada bahan terbitan orang lain tanpa usaha yang sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut.
Kedua, pengubahsuaian perkataan-perkataan orang lain tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Ketiga, menggunakan idea-idea yang secara langsung diambil daripada orang lain tanpa memberikan pengiktirafan kepadanya.
Dengan teknologi ‘dunia di hujung jari’ melalui Internet pada masa kini, diakui seseorang pelajar mampu menyiapkan kertas kerja atau tesisnya dengan jalan pintas yang cepat.
Namun, mengambil bulat-bulat atau sebahagian daripada karya milik orang lain dan memperakukan bahawa ia adalah hasil karya sendiri adalah satu perbuatan yang membuktikan kemalasan seseorang yang melampau dan sungguh keji. Di mana letaknya kualiti penulisan akademik dan etika seseorang pelajar itu andai dia meniru dan menciplak karya hak milik orang lain sewenang-wenangnya?
Untuk itu, pensyarah dan universiti diminta untuk tidak berkompromi dengan pelajar yang melakukan kesalahan sebegini. Walaupun statistik berlakunya kes-kes plagiat ini masih lagi bersifat terpinggir, namun jika ia dibiarkan terus berleluasa, dirasakan bahawa ia akan memberi impak yang cukup negatif terhadap usaha pembentukan siswazah yang berkualiti dan pengayaan karya-karya akademik yang boleh dikongsi bersama oleh semua pihak.
Terdapat beberapa pihak yang bertanggungjawab mencegah usaha plagiarisme dalam penulisan akademik iaitu universiti dan fakulti, pensyarah dan para pelajar.
Pihak universiti mesti mewujudkan atau jika sudah ada, kuat kuasakan sebaik-baiknya undang-undang berkenaan plagiarisme dan maklumkan tentang kesalahan dan kesan negatifnya kepada semua pensyarah dan pelajar. Pastikan bahawa dalam buku panduan akademik di setiap fakulti mengandungi maklumat dan kaedah penulisan sumber rujukan atau bibliografi yang tepat sebagai cara mencegah dan menangani sebarang plagiarisme.
Hanya dengan cara memberi pengiktirafan terhadap pemilik karya asal, barulah cedukan idea dan frasa-frasa tertentu dari karya asal tersebut ‘dihalalkan’ dalam konteks penulisan akademik.
Pihak pengurusan fakulti boleh mengaplikasikan perisian komputer atas talian yang dapat mengesan sebarang aktiviti plagiarisme dalam penulisan tesis atau tugasan pelajar. Perisian-perisian seperti ini diaplikasikan oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia yang digunakan secara meluas dalam menangani isu plagiarisme dalam penulisan akademik oleh pelajar. Misalnya, perisian-perisian komputer seperti Turnitin, Scan My Essay dan Word Check System cukup komprehensif dan efektif dalam menemukan sebarang unsur plagiarisme tesis dan penulisan akademik secara atas talian.
Para pensyarah berperanan untuk membimbing akan konsep plagiarisme kepada para pelajar bukan sekadar dalam penulisan tesis, bahkan dalam tugasan, laporan mingguan, pembentangan, dan sebagainya.
Seelok-eloknya setiap pelajar perlu dilatih tentang bagaimana kaedah penulisan akademik yang baik dengan menggabungkan idea-idea sendiri dan idea-idea daripada pelbagai sarjana dalam bahan rujukan yang lain. Para pelajar perlu diterangkan tentang peripentingnya kaedah penulisan rujukan yang tepat sebagai usaha menghargai para penulis bahan-bahan yang dimuatkan di dalam tugasan akademik para pelajar tersebut.
Pensyarah juga perlu tegas mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih degil membuat tugasan akademik secara plagiat sama ada meminta pelajar mengubah suai tugasan tersebut atau melaporkannya kepada pihak universiti.
Para pelajar pula bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang penulisan akademik atau tesis yang tidak mengandungi unsur plagiarisme. Setiap universiti mempunyai buku panduan penulisan akademik dan mereka perlu menuruti semua sistem dan disiplin penulisan yang telah ditetapkan.
Mereka perlu sedar bahawa penulisan akademik adalah satu usaha universiti untuk mengasah dan menyerlahkan tahap kebolehan akademik mereka sendiri. Jadikanlah penulisan akademik sebagai sumber terbaik untuk menyerlahkan daya pemikiran dan keintelektualan. Apalah ertinya kepuasan dalam usaha penulisan akademik andai seseorang pelajar itu mendapat ‘A’ dalam tesisnya, tetapi ia bukan secara mutlaknya hasil karya pelajar tersebut dan diplagiat daripada sumber-sumber lain.
Sekiranya kesemua pihak yang disebutkan di atas secara serius mengambil langkah sewajarnya dalam membendung gejala plagiarisme, adalah diyakini bahawa kemurnian dunia penulisan akademik akan dapat disuburkan. Bahkan, jika ditelusuri dari aspek moral dan keagamaan pun, plagiat adalah satu kesalahan yang serius dan boleh mengundang dosa.
Untuk itu, janganlah kita sewenang-wenangnya memplagiat hak milik orang lain. Andai suatu hari nanti kita terjumpa hasil penulisan akademik kita diplagiat oleh orang lain dan ia dijadikan satu bahan yang dikomersialkan serta mendapat untung, apa agaknya perasaan kita pada masa itu?
KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.
No comments :
Post a Comment