♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Monday, July 22, 2019

Peranan Besar Alumni IPT

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda.

Artikel penuh kat bawah ni.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat!

Peranan Besar Alumni IPT

Sebagai seorang lepasan institusi pengajian tinggi (IPT), tidak kira apa arenanya, universiti, kolej atau pun institusi tertentu, pasti tidak akan melupakan saat-saat bergraduasi. Bukan itu sahaja, kita juga pasti masih terasa kepuasannya apabila berjaya menggenggam segulung sijil yang bukan sesuatu yang mudah untuk diraih. Penat lelah, perih jerih, air mata dan peluh adalah pengiring kepada seribu satu dugaan dan cabaran yang ditempuhi sepanjang pengajian. Sudah tentu, segala apa yang telah diraih sepanjang menuntut ilmu di kampus dulu menjadi bekalan yang sangat bermanfaat dalam menempuh pancaroba kerjaya, perniagaan atau pun kehidupan seharian-harian.

Sebagai lulusan IPT atau alumni, kita seharusnya berasa bangga menyebut bahawa kita adalah produk dari IPT di mana kita menuntut ilmu. IPT merupakan ‘alma mater’ yang tidak seharusnya dilupakan. Selepas alam persekolahan, nilai kompetensi yang tergabung daripada elemen pengetahuan (knowledge), kemahiran (skill) dan sikap (attitude) diterapkan sebaiknya dalam diri seseorang pelajar di peringkat pengajian tinggi berdasarkan bidang ikhtisas dan pengajian spesifik masing-masing dalam tempoh masa yang telah diprogramkan. Nilai kompetensi ini diperkukuhkan lagi dengan menerapan kemahiran insaniah (soft skills) yang menjadi nilai tambah kepada kualiti seseorang pelajar apabila telah bergraduasi kelak. Misalnya, kemahiran sosial, pengucapan awam, keusahawanan, dan sebagainya.

IPT menjadi medan terbaik dalam menyediakan graduan atau sumber manusia yang terbaik untuk ‘dibeli’ oleh bakal majikan-majikan, dan para alumni harus sedar bahawa alma mater mereka berjasa besar dalam kejayaan hidup mereka dalam kehidupan pasca-graduasi. Alumni bertanggungjawab dalam membantu IPT membangunkan kapasiti dan menambah baik kualiti penyampaian dan perkhidmatan IPT yang mana kesan positifnya akan diraih oleh generasi pelajar yang sedang menuntut dan juga selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Dalam satu penulisan bertajuk ‘Peranan Alumni Dalam Pembangunan Universiti’ oleh Noraisyah Md Idris (2015), keterlibatan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada sesebuah IPT adalah penting bagi mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan sesebuah IPT. Dengan mewujudkan saluran yang mempermudahkan hubungan yang erat di antara alumni dengan pelajar dan IPT, ia dapat memberi faedah yang amat bermakna dalam memperkayakan pengalaman pelajar semasa berada di IPT tersebut. Setiap alumni melalui pengalaman daripada pelajar kepada graduan yang unik dan berbeza, justeru itu terdapat potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada IPT dalam cara dan skala yang pelbagai.

Alumni adalah contoh tauladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar. Dengan kembalinya alumni semula ke IPT untuk membantu, mereka membawa bersama kredibiliti dan justifikasi sebagai sebahagian daripada universiti yang berjaya setelah melalui pengalaman dan liku-liku kehidupan yang sama seperti mana para pelajar semasa. Selain itu, pengalaman yang dikongsi oleh alumni dengan pelajar sama ada dalam soal pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya, dapat diterima dengan lebih baik sebagai panduan dan dijadikan inspirasi oleh pelajar. Ia mampu meningkakan kefahaman dan keyakinan pelajar IPT untuk menyahut seruan dan usaha universiti dalam membentuk bakal graduan yang terbaik.

Persaingan untuk memasuki bidang kerjaya semakin mencabar berikutan dengan pengeluaran graduan dalam jumlah yang banyak berbanding penawaran pekerjaan. Peluang pekerjaan adalah lebih kritikal dalam sektor pekerjaan tertentu. Apabila tiba di tahun akhir pengajian pelajar terpaksa memikirkan secara lebih serius mengenai soal kerjaya mereka. Inilah waktu yang sesuai untuk alumni memainkan peranan signifikan dalam khidmat mentoring tentang peluang-peluang pekerjaan yang ada di dalam industri. Lebih menarik lagi andai wujud ruang bagi pelajar diterima masuk sama ada untuk menjalani latihan praktikal atau menimba pengalaman bekerja di industri di mana alumni berada.

Selain itu alumni boleh menyumbang kepakaran mereka dalam bidang yang berkaitan dengan profesion mereka bagi membangunkan program-program pengajian baru di IPT. Kehadiran alumni sebagai penceramah undangan, ahli jawatankuasa penasihat, pakar-pakar industri dan rakan kongsi projek usahasama dengan IPT menyambung ‘perjuangan’ mereka untuk menjayakan pembangunan institusi pengajian mereka yang disayangi.

Mutakhir, kesemua IPT komited dalam menyediakan pendidikan berterusan yang dapat membantu mempertingkatkan kerjaya kepada graduannya yang bekerja iaitu dengan menawarkan kursus-kursus pengajian pasca siswazah yang sesuai kepada alumni yang tamat pengajian ijazah pertama dan kedua. Alumni boleh menggalakkan pelajar terutama daripada kalangan keluarga dan rakan-rakan untuk mempertimbangkan sesebuah IPT sebagai pembekal pendidikan mereka. Alumni boleh menunjukkan kepada pelajar bagaimana seterusnya untuk menceburi bidang kerjaya apabila tamat pengajian nanti. Pengalaman di IPT tersebut dan kejayaan alumni dalam pekerjaan adalah hasil yang nyata yang boleh menjadi faktor penentu bagi pelajar dalam membuat keputusan tersebut.

Menurut Noraisyah lagi, alumni boleh menjadi duta yang terlibat secara aktif untuk membantu dalam mengukuhkan usaha pengambilan pelajar yang dilaksanakan oleh jabatan yang terlibat dengan kemasukan pelajar ke IPT. Usaha tersebut boleh digerakkan sama ada di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa bergantung kepada potensi dan kedudukan alumni. Alumni terutamanya daripada golongan yang lebih senior yang merupakan generasi yang lebih stabil daripada sudut ekonomi berupaya untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar-pelajar golongan B40 ataupun asnaf di IPT. Ianya umpama tongkat yang membantu golongan pelajar tidak bernasib baik ini untuk terus berjalan melangsungi pendidikan mereka sehingga ke penghujung pengajian.

Menurut Iskhakova, Hoffman dan Hilbert (2018) dalam satu kajiannya berkenaan ‘Kesetiaan Alumni Universiti’, alumni yang mungkin mendaftarkan persatuan mereka di bawah pejabat perhubungan alumni di universiti atau institusi masing-masing secara materialnya boleh melaksanakan program-program berkesan dalam mengumpul dana yang akan memberikan manfaat terbaik kepada para pelajar dari segi kewujudan biasiswa atau pinjaman pengajian, penganjuran aktiviti akademik dan ko-kurikulum pelajar, prasarana dan kemudahan di kampus, pelaksanaan kajian empirikal dan sosial berkenaan pelajar dan alumni sendiri, dan lain-lain yang memberikan manfaat secara langsung kepada IPT.

Alumni IPT tidak seharusnya berdiam diri dan tidak melihat kembali institusi yang banyak membantu mencorak kejayaan mereka selepas menamatkan pengajian. Alumni harus menggalas tanggungjawab dalam membina dan membangunkan modal insan yang beretika, berkemahiran, bertanggungjawab serta komitmen yang tinggi. Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam satu ucapannya ketika bertemu dengan para Alumni universitinya ada menyebut bahawa tanggungjawab dan amalan ini juga seharusnya digalas bersama oleh para alumni sekalian, yang menjadi harapan dan kesinambungan kepimpinan negara. Alumni dituntut untuk menyumbang sama ada dari segi infrastruktur, kualiti akademik, penyelidikan dan bantuan yuran pendidikan kepada pelajar miskin seperti contoh melalui sumbangan dana ke tabung endowmen dan wakaf yang diwujudkan di setiap IPT.

Saturday, July 20, 2019

Berbasikal on road @ Kota Seriemas

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Memang excited betul nak berbasikal petang tadi. Sebabnya... baby Neeyaz dah dapat seat dia. Dan mama pun ada basikal sendiri! Yay!

Minggu lepas, sempat pusing-pusing tasik jer kat taman Kota Seriemas ni. So, hari ni, ayah bawak kiter gi ronda jauh sikit - on road. Sian kakak Niesreena tak ikut sebab tak pandai naik basikal lagi. Huhuhu... Mama pun tak tau macam mana nak ajor. Sabarlah yer Niesreena... one day... one day...

Memang syok!

Aku sebenarnya tak pernah naik basikal lama dan jauh macam ni. Ni first time! Thank you enche Neezam... bagi pengalaman baru ni. Rasa-rasa pas ni boleh beli road bike kot. Huhuhu...

And hopefully, Niesreena boleh join kiter next time.

Alhamdulillah... Insya Allah ada rezeki bolehlah buat rutin hujung minggu - pecahkan lemak-lemakku ini.

Looking forward for the next weekend!

Tak sabar!

Friday, July 19, 2019

#faceapp

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Agak-agak sempat tak muka berkedut seribu macam ni?

Huhuhu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top