♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Tuesday, May 12, 2009

Disiplin guru bentuk kejayaan kita

Beberapa hari yang lepas artikel enche Neezam di Utusan Malaysia bersempena dengan hari ibu. Hari ni artikel enche Neezam tersiar lagi tapi kat Berita Harian bersempena dengan hari guru yang bakal tiba pada 16 Mei 2009.

Disiplin guru bentuk kejayaan kita

MASIH terngiang-ngiang di telinga penulis ucapan bertalu-talu anak murid pada sambutan Hari Guru ketika penulis menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun lalu.

Sambil dihulurkan pelbagai hadiah dan kad ucapan, mereka tidak henti-henti bersalaman dan menguntum senyuman.

Lebih menyentuh perasaan, apabila ada murid yang berasal daripada keluarga miskin turut bersusah payah mencarikan hadiah untuk penulis.

Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan murid membalas jasanya.

Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru lain membaca ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan mempunyai nilai yang unik.

Bak kata sesetengah orang, selain doktor, guru adalah insan yang akan memahat erat ‘jawatan’ dengan namanya sehinggalah ke akhir hayatnya.

Bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, sambutan Hari Guru yang ke-38 tahun ini menyerlahkan hakikat bahawa menjadi guru bukan tugas mudah dan menuntut kecekalan serta semangat mendidik yang tinggi.

Guru adalah orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak bangsa.

Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehingga formula saintifik dan teks kesusasteraan, guru tidak akan jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Begitu juga dalam usaha membentuk modal insan cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid.

Oleh itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan murid.

Namun, tidak semua pihak terutama ibu bapa dan murid faham niat murni guru, lantas mengambil pelbagai tindakan ‘terburu-buru’ dengan menghukum dan mengheret guru ke pengadilan.

Itu adalah antara cabaran yang perlu dilalui guru zaman sekarang dan guru perlu terus menunjukkan wibawa diri dan memartabatkan profesion keguruan mereka.

Selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan budi dan jasa guru yang diibaratkan lilin membakar diri demi menerangi kehidupan anak bangsanya.

Mungkin ada di kalangan kita yang tersenyum sendirian apabila terkenangkan betapa dulu kita amat membenci guru yang garang dan merotan serta mendenda atas sebab kenakalan diri sendiri.

Apabila sudah dewasa, baru kita sedar tanpa tunjuk ajar dan bimbingan guru, pasti kita terumbang-ambing menghadapi gelora kehidupan yang penuh berliku. Terima kasih cikgu.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
Universiti La Trobe,
Melbourne, Australia.



*juliet le sweetheart : pernah merasa jadi cikgu :)



No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top