♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, April 24, 2008

Penubuhan sekretariat cegah rasuah di IPT disokong

Artikel Neezam di Berita Harian hari ini. Check it out!

Penubuhan sekretariat cegah rasuah di IPT disokong

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini melahirkan idea untuk menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sekretariat membabitkan 20 IPT di seluruh negara itu diharapkan menyediakan garis panduan, mengeluarkan risalah serta mengadakan pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah.

Penubuhan sekretariat itu dialu-alukan dan perlu direalisasikan. Berdasarkan pengalaman menjadi pelajar dan pengajar di universiti, kes menyogok dan menerima rasuah di universiti memang berlaku.

Kes berlaku secara tersurat atau tersirat menggambarkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dikhuatiri terus berleluasa di universiti. Ia dikaburi dengan tanggapan bahawa ia murni dan tiada niat buruk. Kononnya, inilah konsep ‘menang-menang’ yakni ‘kau dapat apa kau mahu dan aku dapat apa yang aku mahu.’

Sehingga pada satu tahap, kerana kelazatan mendapat faedah melalui saluran ‘haram’ ini, ada sesetengah pihak di universiti menjadi ketagih dan tidak segan silu meminta rasuah. Kes sogokan rasuah yang kelihatannya semakin menjadi-jadi mutakhir ini membuktikan penyakit sosial itu masih kental menghantui masyarakat merentasi pelbagai usia, pangkat, sektor pekerjaan, bangsa dan jantina, termasuk warga universiti.

Gejala rasuah merobohkan kesucian dan martabat universiti sebagai gedung ilmu dan melunturkan kredibiliti dan keperibadian seseorang pensyarah atau pentadbir jika benar mereka mengamalkannya. Ironinya, elemen keikhlasan, keadilan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kejayaan turut luntur dalam jiwa penerima dan pemberi rasuah yang mencari jalan pintas mencapai matlamat masing-masing.

Dari perspektif Islam, kita ditegah terbabit dengan rasuah dan ia dianggap melakukan dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui(salahnya).”

Islam menuntut ummah tidak mencari jalan singkat dan haram mendapatkan rezeki tetapi berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal dan diberkati Allah SWT.

Rasuah mempunyai implikasi negatif sama ada kepada pemberi atau penerima. Pemberi rasuah dangkal dan akan mencari jalan singkat dengan memberi suapan untuk mendapatkan sesuatu. Penerima rasuah pula menjadi ketagih dan mahukan lagi suapan demi suapan kerana seronok menikmati rezeki haram.

Bagaimanapun, penerima rasuah sentiasa rasa tidak selamat kerana selalu mencurigai orang lain, menjadi tidak adil dan tidak amanah. Pemberi rasuah pula akan bertambah kuat perasaan tamak dan halobanya dengan mengamalkan ‘quid pro quo’ atau berkorban sedikit untuk mendapatkan habuan lumayan.

Rasuah membuatkan seseorang menjadi tidak rasional hilang keikhlasan bekerja kerana selalu memikirkan jalan untuk mendapatkan ganjaran dengan cara mudah dan cepat. Bahkan, akan wujud perasaan ‘hendak raih keuntungan sendiri’ dengan menerima rasuah.

Kemewahan dan kesenangan yang diterima atas tiket rasuah langsung tidak diberkati Allah, bahkan mendorong ke arah pembaziran dan penyalahgunaan kuasa serta pangkat. Rezeki dan harta benda bersumberkan sesuatu yang haram seperti rasuah, akan menjadi bahan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka di akhirat kelak.

Usaha pembentukan sekretariat pencegahan rasuah ini perlu direalisasikan dan juga disokong semua warga IPT.

Inilah landasan terbaik membimbing semua pihak mengenai bahaya rasuah yang menghancurkan kewarasan fikiran dan merobohkan status universiti sebagai wadah penyebar keilmuwan paling terulung.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
La Trobe University,
Melbourne Australia.


*juliet le sweetheart : menghitung hari ke Bright but badminton’s tournament come first. Seramnya…


No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top