♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, May 16, 2009

Terima Kasih, Cikgu!

Selamat Hari Guru

diucapkan, terutamanya kepada...

suami, Khairunneezam Mohd Noor

juga kepada emak, abah, ayah dan mak mertuaku...

tidak lupa juga kepada para pendidik seluruh Malaysia...

Walaupun mak dan abah bukan cikgu, tapi dioranglah guru pertama dalam kehidupan aku :)


*juliet le sweetheart : pernah jadi guru sandaran tidak terlatih kat Sekolah Menengah Teknik Setapak 2003-2004


Thursday, May 14, 2009

Pantang

Dah lebih dua minggu aku berpantang. Aku rasa dah tiba masanya untuk aku kembali menyarung apron dan mentake-over semua 'kawasan jajahan' aku *my kitchen!* daripada taklukan mr. hubby. Hehehe...

Mesti ada kengkawan dan pembaca blog yang kata, "tak sampai tiga minggu berpantang?! Awak tu dah lah bersalin ceasar". ;p Even aku bukak pintu masa orang datang rumah pun, ada yang terperanjat bila aku dah boleh berjalan.

Sebenarnya, lama dah aku rasa sihat dan boleh berjalan. Cuma kekadang tu rasa ngilu kat tempat luka bersalin tu... aku telan panadol jer lah. Gyne dan midwives pun galakkan aku berjalan daripada dok terbaring jer. Kata diorang, dengan cara tu luka lebih cepat sembuh dan kuat. Tapi bukanlah berjalan sakan kan... Just jalan perlahan-lahan dan sekejap-sekejap jer.

Aku rasa aku tak der masalah nak wat kerja-kerja dapur. Just berdiri jer. Bila penat, duduklah... Boleh tak? Aku rasa aku tak boleh nak manja sangat dan mengharapkan Neezam jer wat kerja-kerja rumah. Sian kat dia. Dah beberapa minggu ni, atau mungkin dah nak masuk 2-3 bulan ni, Neezam nampak gayanya macam tak study jer. Macam-macam urusan dia cuba settlekan. Bila dah berpantang tanpa bantuan keluarga dan sedara-mara ni, kenalah berdikari sikit. Tak boleh nak harapkan 100% daripada suami jer.

Kalau boleh aku nak sangat mak ada di samping aku sekarang. Bukanlah nak bebankan mak jaga makan minum aku masa berpantang. Tapi, just nak mak ada di samping aku... Tengok mak main-main dengan cucu-cucu dia. Mesti mak seronok. Tapi mak tak dapat nak datang... dan aku faham...

Mak ada jugak contact aku beberapa kali. Mak kata mak minta maaf sangat sebab tak der di sisi aku sekarang ni. Beberapa kali mak minta maaf dan beberapa kali jugak mak menangis. Mak sedih... mak kata, kalau boleh mak nak jaga aku, nak masakkan untuk aku. Berkali-kali jugak mak nasihatkan aku supaya jaga diri baik-baik, jaga makan betul-betul masa berpantang ni, banyakkan rehat... macam-macam lagi lah... Sian mak... Aku tahu, mak risaukan aku... Berkali-kali jugak aku bagitau kat mak supaya jangan risaukan aku. Tapi naluri mak kan... risau...

Tapi aku faham kenapa mak tak dapat datang jaga aku. Banyak sebab... lagipun abah baru jer dapat tawaran kerja kat UMS baru-baru ni. So, terpaksalah mak dan abah berhijrah ke Sabah pulak. Banyak benda nak kena uruskan, dan banyak jugak belanja untuk bina hidup baru kat sana. Aku faham...

Alhamdulillah, baby Naufal pun tak banyak kerenah. Setakat bangun minum susu 3-4 kali waktu malam tu biasalah kan. Orang kata, baby boy ni lagi kuat menyusu. So, lagi kerap bangun malam untuk menyusu. Tapi aku rasa macam sama jer masa Niesreena dulu; 3-4 kali gak bangun dulu. Tapi yang bagusnya baby Naufal ni, kalau berjaga dia tak kesah kalau tak berdokong. Baby Naufal boleh baring jer. Matanya yang comel tu terkebil-kebil jer tengok sekeliling. So, bolehlah mama dan ayah buat kerja sendiri dan berehat sikit. Mungkin baby Naufal tahu, mama dan ayahnya jer yang ada untuk jaga keluarga ni di saat mama tengah berpantang. So, baby Naufal tak nak tambahkan keserabutan mama dan ayah lagi. :)

Niesreena pun dah semakin bijak *dan nakal!*. Dah bolehlah nak disuruh-suruh; mintak tolong itu dan ini. Kadang-kadang bila datang akal nakal dia tu, pening jugaklah mama dan ayah nak layan.

Alhamdulillah, kawan-kawan pun banyak membantu di kala aku berpantang ni. Ada yang tolong jagakan Niesreena dan ada jugak yang bagi makanan yang sesuai untuk aku; makanan orang berpantang. Ya Allah! Bersyukur sangat dapat kawan-kawan yang baik di saat kiter berjauhan beribu batu daripada keluarga. Terima kasih sangat kat kengkawan semua!

Memang ramai kengkawan yang tanya, "mak ayah tak datang ke? Macam mana berpantang tanpa famili?". :) Jawapannya... "Neezam kan ada... :)" Alhamdulillah, suamiku itu masih mampu menjaga aku dengan baik. Dialah yang masak makan aku, dialah yang renehkan air halia untuk aku, dialah yang sapu minyak kat badan aku, dialah yang jaga anak-anak, dialah yang uruskan semua hal... Bersyukur dapat suami macam Neezam :)

Semoga Allah menguatkan semangat kitorang sekeluarga dan dipermudahkan segala urusan...


*juliet le sweetheart : dah bukak bandage...



Tuesday, May 12, 2009

Disiplin guru bentuk kejayaan kita

Beberapa hari yang lepas artikel enche Neezam di Utusan Malaysia bersempena dengan hari ibu. Hari ni artikel enche Neezam tersiar lagi tapi kat Berita Harian bersempena dengan hari guru yang bakal tiba pada 16 Mei 2009.

Disiplin guru bentuk kejayaan kita

MASIH terngiang-ngiang di telinga penulis ucapan bertalu-talu anak murid pada sambutan Hari Guru ketika penulis menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun lalu.

Sambil dihulurkan pelbagai hadiah dan kad ucapan, mereka tidak henti-henti bersalaman dan menguntum senyuman.

Lebih menyentuh perasaan, apabila ada murid yang berasal daripada keluarga miskin turut bersusah payah mencarikan hadiah untuk penulis.

Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan murid membalas jasanya.

Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru lain membaca ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan mempunyai nilai yang unik.

Bak kata sesetengah orang, selain doktor, guru adalah insan yang akan memahat erat ‘jawatan’ dengan namanya sehinggalah ke akhir hayatnya.

Bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, sambutan Hari Guru yang ke-38 tahun ini menyerlahkan hakikat bahawa menjadi guru bukan tugas mudah dan menuntut kecekalan serta semangat mendidik yang tinggi.

Guru adalah orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak bangsa.

Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehingga formula saintifik dan teks kesusasteraan, guru tidak akan jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Begitu juga dalam usaha membentuk modal insan cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid.

Oleh itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan murid.

Namun, tidak semua pihak terutama ibu bapa dan murid faham niat murni guru, lantas mengambil pelbagai tindakan ‘terburu-buru’ dengan menghukum dan mengheret guru ke pengadilan.

Itu adalah antara cabaran yang perlu dilalui guru zaman sekarang dan guru perlu terus menunjukkan wibawa diri dan memartabatkan profesion keguruan mereka.

Selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan budi dan jasa guru yang diibaratkan lilin membakar diri demi menerangi kehidupan anak bangsanya.

Mungkin ada di kalangan kita yang tersenyum sendirian apabila terkenangkan betapa dulu kita amat membenci guru yang garang dan merotan serta mendenda atas sebab kenakalan diri sendiri.

Apabila sudah dewasa, baru kita sedar tanpa tunjuk ajar dan bimbingan guru, pasti kita terumbang-ambing menghadapi gelora kehidupan yang penuh berliku. Terima kasih cikgu.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
Universiti La Trobe,
Melbourne, Australia.



*juliet le sweetheart : pernah merasa jadi cikgu :)



back to top