♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Tuesday, January 20, 2009

Dan aku mula menghitung hari

Hari ni, 20 Januari, bermakna tak kurang dari sebulan lagi untuk aku dan suami serta anak tercinta akan terbang pulang ke bumi Melbourne. Perasaan aku bercampur ketika ini; tak tahu samada gembira atau sedih nak balik ke saner.

Pada satu keadaan, aku rasa sedih bila memikirkan tinggal beberapa minggu jer lagi kat Malaysia ni. Walaupun dah berbulan kat sini, tapi rasa tak puas lagi bersama-sama famili tersayang. Tapi pada satu keadaan lagi, aku rasa tak sabar nak balik ke Melbourne. Nak lupakan semua masalah kat sini, nak tumpukan perhatian pada keluarga kecil aku ajer; Neezam dan Niesreena serta baby yang bakal menyerikan lagi hidup kitorang bulan Mei nanti.

Dulu, masa nak balik ke sini, aku mengharapkan yang terbaik; keadaan yang terbaik untuk aku dan Neezam. Lebih baik dari kepulangan kitorang yang lepas... lebih baik dari sebelum pemergian kitorang ke bumi asing yang jauh beribu batu. Tapi nampaknya, harapan aku tak kesampaian. Harapan aku hanyalah angan-angan. Kepulangan kitorang kali lebih buruk dan teruk dari apa yang terjadi pada masa-masa yang lepas. Walaupun dah lama tak berjumpa dengan insan-insan yang dirindui tapi harapan aku tak sama dengan apa yang telah terjadi. Sedikit pun tak sama!

Aku hampa... sedih tak terkata... tapi aku redha. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Mungkin ini dugaan dari Allah swt. Dugaan yang maha hebat! Yang maha besar untuk aku hadapi. Hingga aku terpaksa...........

Aku nak balik. Nak balik ke rumah aku. Rumah kecil aku kat Melbourne. Aku nak lupakan semua masalah kat sini. Pada hakikatnya aku akan tinggalkan semua masalah tanpa penyelesaian, tapi aku harap aku tetap akan berasa tenang dan tenteram, sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan akan datang, sebelum aku kembali semula ke tanahair aku ni bila Neezam habis belajar nanti. Biarlah waktu yang menentukan segalanya... Aku malas nak pikir!

Aku harap Allah swt dapat memberikan aku kekuatan untuk membina semula semangat aku sekaligus menceriakan semula hidup aku. Tapi... mampukah aku?

Mungkin aku perlu menyelesaikan semua masalah ni dalam minggu-minggu terakhir sebelum aku balik. Tapi semua tu melibatkan banyak hati dan perasaan. Mungkin aku akan melukakan hati beberapa pihak, mungkin juga aku akan menggembirakan hati beberapa pihak yang lain. Tapi dalam fikiran aku... masih nak menjaga hati dan perasaan orang. Hingga kadang kala aku tak terjaga hati dan perasaan aku sendiri. Begitu jugak diorang, yang sering membuatkan aku kecewa dan hampa.

Apa-apa pun aku hanya bermohon yang terbaik daripada Allah swt; semoga dapat memberikan petunjuk bukan sahaja kepada aku, tetapi juga kepada diorang... yang amat aku sayangi. Semoga kitorang diberikan jalan penyelesaian yang terbaik. Kalau bukan pada waktu terdekat ni, mungkin pada waktu-waktu yang mendatang.

Aku sayangkan diorang, tapi mungkin sebab bisikan syaitan, aku rasakan diorang tak sayangkan aku... Aku harap keadaan yang terbaik pada masa akan datang... Demi insan-insan yang aku sayangi dan cintai...



*juliet le sweetheart : semoga Allah swt menyelamatkan umat Islam di Palestin dan menurunkan bala kepada orang-orang Yahudi!



Sunday, January 4, 2009

Dugaan demi dugaan

Assalamualaikum wbt...

Dah terlalu lama aku tak mengupdate blog aku ni. Dah jadi rumah tinggal dah ek... Siap dengan kerawang-kerawang labah-labah lagi. Aduuuhhhh... nampak gayanya jenuhlah aku nak 'membersihkan' dan menyerikan semula blog tersayang ni. :)

Banyak sebab yang menyebabkan aku tak terupdate blog aku ni.

Sejak balik bercuti dari Kuching beberapa minggu yang lepas, Niesreena dilanda demam yang teruk. Berhari-hari Niesreena terlantar kat hospital. Kesian permata hati aku tu. Memula Niesreena warded kat HKL dari 21 - 24 Disember. Lepas disahkan sehat semula oleh doktor, kitorang pun balik ke Segamat.

Lepas sehari dua, demam Niesreena berulang semula. Asal malam jer demam, siang demamnya agak kebah. Malam temperaturenya naik setinggi 39++ darjah! Laporan kesihatan dari HKL yang lepas mengatakan terdapat bakteria dalam kandungan darah Niesreena, tapi tak pasti bakteria jenis apa. Demam Niesreena berulang-ulang. Aku dan hubby susah hati dan sedih sangat tengok keadaan Niesreena. Tak seaktif dan seceria selalu. Niesreena nampak lemah sangat dan asyik terbaring jer. Kemudian Niesreena mula muntah-muntah dan cirit-birit pulak. Kesian sangat tengok Niesreena. Nampak sangat Niesreena kelaparan. Tapi asal masuk jer apa-apa, mesti muntah balik. Minum air masak sikit pun boleh termuntah balik! Lebih banyak pulak yang keluar dari yang masuk. Niesreena nampak letih sangat. Badan pun mula susut, muka pun dah mula cengkung. Then Niesreena was warded again at Segamat Hospital.

Masuk hospital Segamat, Niesreena masuk air. Empat botol semuanya. Dan alhamdulillah Niesreena dah stop muntah-muntah dan cirit-birit. Demam Niesreena pun mula berkurangan. Lima hari Niesreena warded. 1hb yang lepas Niereena dah boleh keluar.

Alhamdulillah, hari ni Niesreena dah kembali aktif dan ceria seperti biasa. Selera makan Niesreena pun semakin bertambah-tambah. Susu pun dah minum banyak macam biasa. Mulut dah mula pok pek pok pek lebih dari biasa. :) Senang hati aku... Alhamdulillah... Aku bersyukur sangat bila tengok Niesreena dah kembali sihat.

Aku pulak, batuk masih tak baik-baik. Walau bagaimanapun dah mula kurang jugaklah dari beberapa minggu yang lepas. Penat batuk! Tidur pun tak lena. Asyik terjaga jer sebab batuk. Harap-harap dalam masa beberapa hari ni hilanglah batuk ni. Hmmmm... kalau boleh dalam masa beberapa jam ni hilanglah batuk ku ini... Or dalam beberapa minit ni... kalau dalam beberapa saat ni lagi bagus! Hilanglah batuk!!!

Selain kesihatan Niesreena yang terjejas, banyak lagi dugaan yang aku dan Neezam terima sejak akhir-akhir ni. Selepas satu-satu. Kadang tu tak lepas pun, tapi bertimpa-timpa pulak. Membuatkan aku sendiri pun tak sihat. Berat badan aku pun makin turun. Bila buat maternity check-up kat klinik, nurse selalu marah aku sebab berat badan aku yang asyik turun jer. Dua minggu sekali aku terpaksa berulang ke klinik untuk check-up sebab keadaan kesihatan aku yang tak berapa baik. Sian baby dalam perut ni. Kadang-kadang masalah-masalah yang berlaku di sekeliling aku menyebabkan aku terlupa ada baby yang perlu aku ambil berat dalam perut aku ni. Mama minta maaf sangat sayang...

Sekarang ni kandungan aku dah masuk 5 bulan. Aku dah dapat rasa baby bergerak-gerak. Aktif sangat terutamanya pada waktu malam. Niesreena pulak hairan jer tengok perut aku yang makin membesar ni. Sesekali Niesreena selak baju aku untuk tengok ada apa dalam baju aku sampai jadi 'besar' sangat perut mama Niesreena ni. Mesti Niesreena ingat mama ada simpan makanan dalam baju. Hehehe...

Emosi aku sekarang ni sangat kurang stabil disebabkan masalah-masalah yang berlaku. Dugaan-dugaan yang berlaku sejak akhir-akhir ni adalah dugaan terbesar yang pernah aku alami dalam hidup aku. Amat besar dan amat berat aku terima. Lebih-lebih lagi disaat aku tengah mengandung ni. Sian baby dalam perut. Mesti dia turut dapat merasakan keperitan yang aku rasakan sekarang ni.

Apa pun aku bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat menyanyangi aku. Sentiasa berada di sisi aku ketika aku sangat memerlukan bahu untuk menangis. Bersyukur kerana mempunyai anak yang ceria, yang sentiasa menghiburkan hati aku yang duka.

Ya Allah... kuatkanlah semangatku untuk menghadapi segala dugaan yang Engkau berikan ini. Sesungguhnya inilah dugaan yang besar yang pernah aku terima dariMu, ya Allah...


*juliet le sweetheart : tahniah buat kak Tahsa & Aleh yang dikurniakan seorang puteri pada hari tahun baru yang lepas.


Wednesday, December 3, 2008

Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat

Actually ni artikel yang sama kuar kat Utusan Malaysia ari tu tapi hari ni kuar plak kat Berita Harian tapi ada lain skit...

Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Ilmu hitam jadi amalan orang fasik, kufur kembang biak persengketaan dalam masyarakat

Dalam zaman serba moden pada hari ini, janganlah terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut sahaja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu, dan seumpamanya ia pastilah antara cabang-cabang sihir yang tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang-orang yang menjadi mangsanya.

Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau pun sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar dan diganggu-gugat secara fizikal, perasaan dan emosinya.

Baru-baru ini penulis dihubungi oleh seorang sahabat karib sewaktu sama-sama belajar di universiti dahulu. Sahabat ini menceritakan perihal keluarga dan dirinya sendiri yang menjadi mangsa sihir oleh orang-orang tertentu. Apa yang menjadi kekesalan buat penulis adalah perbuatan sihir tersebut telah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh sahabat dan keluarganya termasuklah menderita pelbagai penyakit misteri, diganggu jelmaan lembaga hitam, mengalami mimpi yang mengerikan dan sebagainya.

Sahabat penulis ini dan keluarganya telah berusaha sehabis daya untuk berubat menggunakan amalan perubatan moden dan tradisional, serta bertemu pakar perubatan berasaskan Islam. Namun, masih juga kesabaran dan keimanan mereka diuji Allah SWT apabila kesan-kesan sihir tersebut masih tidak berkurangan, bahkan semakin hebat mengasak kesejahteraaan hidup mereka. Sememangnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul sengsara kesan sihir ini.

Dalam kes yang dialami oleh sahabat penulis ini bahkan sesiapa sahajapun mangsa sihir, pasti akan mengundang beberapa persoalan. Jika benarlah ada orang lain membuat sebarang kesilapan, salah faham, mengganggu hak peribadi atau sebagainya terhadap kita, apakah tidak ada kaedah lain yang lebih tepat untuk kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut selain daripada amalan sihir? Apakah agaknya nilai kepuasan diri orang yang menyihir apabila melihat mangsa-mangsanya tersiksa secara fizikal, emosi dan mentalnya bahkan sehingga tercabut nyawanya?

Bukankah elok jika persengketaan itu diakhirkan dengan perbincangan yang telus, maaf-memaafkan, redha-meredhai dan berdamai. Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan jika mereka condong kepada perdamaian maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui (Surah al-Anfal, ayat 61).

Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir adalah rapuh nilai keimanannya. Golongan ini mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan dan hasutan syaitan. Inilah amalan orang-orang yang fasik dan kufur. Orang-orang seperti ini tidak sedar bahawa Allah SWT adalah maha berkuasa dan maha adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan yang baik jualah yang akan diterimanya daripada Allah SWT, begitulah jua padah yang sebaliknya jika dia melakukan kejahatan. Ini selaras dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula’ (Surah al-Zalzalah, ayat 7&8).

Agama Islam sangat-sangat mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dalam amalan sihir ini. Rasionalnya adalah kerana amalan sihir ini dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim. Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT bahkan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain sesuka hatinya. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim dalam kalangan pengamalnya.

Sihir juga akan mengembang biakkan persengketaan, sifat dendam yang tak surut-surut, mengundang fitnah, berpecah belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat. Bayangkanlah jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, kalau tercuit sedikit perasaan marah terhadap orang lain, maka sihir pantas dijadikan alat untuk membalas perbuatan orang tersebut. Bermakna, tak habis-habislah orang di sana sini sakit menderita dek permainan sihir yang tak kunjung padam.

Sebagai masyarakat muslim kita perlu secara kolektif, bersungguh-sungguh dan istiqamah menangani dan membasmi perbuatan sihir. Antara lainnya adalah dengan cara:

• Segenap lapisan masyarakat perlulah utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam dan menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah SWT dan juga memberi maksud sejahtera. Maka, menghayati Islam bermakna membugarkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.

• Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.

• Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT agar sentiasa teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat dan sihir manusia, jin dan syaitan.

• Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Quran. Dengan izin Allah SWT ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.

• Memberi didikan kepada masyarakat akan bahayanya amalan sihir yang bukan sahaja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda dan tidak rasional.

• Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT.

• Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapapun.

Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dengan izin-Nya serta sifat pengasih dan penyayang-Nya, pasti dapat kita menangkis sebarang perbuatan sihir jahat manusia, jin dan syaitan. Janganlah pula kaedah yang sama (iaitu sihir) hendak dipraktikkan untuk membalas kembali kejahatan pihak pengamal sihir tersebut.

Sifat sabar juga perlu terus ada dalam diri. Teruskan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan menepati syariat Islam dengan penuh tawakkal kepada Allah. Anggaplah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT untuk menguji keteguhan nilai Islam dan Iman dalam diri seseorang itu sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya’ (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


*juliet le sweetheart : ada kawan yang terlalu taksub dengan sihir dan bomoh...


back to top