♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Wednesday, June 4, 2008

Girls day out!

Hahahha… baca tajuk tu… jangan marah aaa…

Bersempena dengan harijadi Umie yang masuk sebaya dengan aku (just for this month yer kite sebaya, Umie) semalam, aku dengan senang hatinya meninggalkan Niesreena di samping suami tercinta untuk gi berpoya-poya tak hengat punyer dengan anak-anak dara yang memang tiada suami apatah lagi anak. Hhehhehehe...

Patut ker aku berbuat begitu kengkawan? But I did... ;p

Masa Umie sms aku ajak tengok wayang, aku rasa macam tak leh nak gi jer sebab Neezam dah seminggu lebih berpoya-poya tak study kat rumah dan masa dapat sms tu pun Neezam dengan senang hati sedang ‘beriadah’ di meja pool dengan Hairil. So, aku rasa Neezam mesti nak gi office esok. Tapi setelah berjaya membuat muka seposen ala-ala comel, Neezam yang baik hati itew dengan rela hati membenarkan aku gi berpoya-poya dan declared cuti untuk dirinya sendiri sempena hari jadi Umie. Hahahaha...

Dan demi kasih dan cintanya Neezam pada aku, Neezam telah menghantar aku ke pintu masuk Northland pada keesokkan harinya. Siap bagi duit (tips: kengkawan, kalau suami atau boypren korang tanya, "ada duit?" jawapannya MESTI "tak der" walaupun sebaliknya yer... harap maklum...) dan... kad metlink. Chet! Itu tandanya kena balik sendiri naik bas. Masa bagi tiket metlink Neezam kata, "pandaikan balik sendiri?" alaaaa... sebenarnya ayat yang nak Neezam sampaikan ialah "balik sendiri!".

Setelah hampir setahun aku tak gi tengok wayang, semalam, gi tengok citer ‘21′. Best!!! Well, actually aku tak tau samada citer tu yang best atau sebab aku rasa seronok sebab tu jadi best... Ish... Merepeklah... Korang paham tak?

Lepas tengok wayang, gi makan pankek, then pusing-pusing Northland jap, grab a few nice clothes untuk Niesreena *tabiat yang tak boleh tidak! tolooooong!*, then balik naik bas.

Sampai rumah, Niesreena cepat-cepat lari peluk aku. Rindunya kat Niesreena. Serius rindu! Walaupun baru beberapa jam berpisah. Peluk-peluk Niesreena, cium-cium, geletek-geletek. Mesti Niesreena pun rindu kat aku gak. Neezam kata sepanjang perjalanan balik lepas hantar aku tu Niesreena menangis jer. Balik rumah wat perangai nak berkepit jer dengan Neezam. Takut kena tinggal plak kot. Cian anak mama.

Well, overall, seronoklah keluar dengan diorang; adik-adik dan kakak-kakak itew memang sporting. Seronok jugak sekali-sekala release tension tengok wayang tapi kepala aku tetap ingatkan anak dan suami yang ditinggalkan kat rumah. Hehehe...

So, bila nak gi berpoya-poya lagi?


*juliet le sweetheart : bukan kaki tengok wayang sebenarnya...

Monday, June 2, 2008

Usaha bersepadu tangani masalah pelajar

Artikel Neezam di Berita Harian semalam...

Usaha bersepadu tangani masalah pelajar

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

SUNGGUH memeranjatkan apabila membaca laporan akhbar ini, mengenai tindakan kurang ajar tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Segamat, Johor yang ditahan polis selepas memaksa seorang pelajar perempuan membuka pakaian sebelum merakam payu daranya menggunakan telefon bimbit.

Lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui bahawa kejadian itu berlaku pada Februari lalu di dalam stor sekolah ketika kejohanan sukan sekolah berlangsung.
Tidak cukup gambar pelajar perempuan itu diambil separuh bogel, pelajar lelaki berkenaan turut meraba seluruh badan mangsa dan gambar yang diambil disebar di daerah ini melalui khidmat pesanan multimedia (MMS) kepada orang ramai, termasuk tunang mangsa.

Lebih parah apabila mangsa diugut supaya tidak memecahkan rahsia perlakuan sumbang mereka ini kepada sesiapa.

Sebagai seorang manusia, sesiapa saja yang membaca berita ini pasti akan berasa cukup marah dan mengutuk tindakan luar batasan seperti ini kerana tindakan biadab pelajar ini melampaui had moral, etika dan keagamaan.

Apakah agaknya yang terfikir dalam pemikiran pelajar itu pada masa mereka melakukan kerja terkutuk itu? Mana pergi pertimbangan agama mereka, mana hilangnya didikan budaya, adab dan sopan santun.

Tidak keterlaluan kalau dilabel mereka ini sebagai ‘penjenayah’ kerana mengambil kesempatan di atas kelemahan perempuan.

Jika diamati sedalam-dalamnya akan Falsafah Pendidikan Negara, sistem pendidikan di Malaysia berteraskan kepada matlamat untuk melahirkan insan seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Selain itu, bangsa Malaysia yang berilmu dan berakhlak mulia turut diberi penekanan sebagai produk yang diharapkan mampu menyumbang kepada kemakmuran negara. Namun, apa yang dilakukan pelajar terbabit tidak menonjolkan ciri-ciri insan cemerlang seperti diharapkan dalam falsafah pendidikan negara.

Berdasarkan pengalaman penulis menjadi guru sebelum ini, sememangnya ada sebilangan pelajar yang ‘keras kepala’, tidak berdisiplin dan cukup sukar untuk dibentuk keperibadiannya. Mereka ini menjadikan sekolah bukannya dengan matlamat untuk berjaya akademik dan sahsiahnya.

Sebaliknya, sekolah menjadi medan untuk menunjukkan belang dan taring mereka di kalangan rakan. Kejadian seperti yang dilaporkan itu adalah satu kes disiplin yang parah selain daripada merokok, pukul, ugut, pergaulan bebas antara jantina dan sebagainya.

Dalam hal ini, penulis meminta semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan maruah pelajar perempuan itu dibela dan mengelak kes serupa berlaku pada masa akan datang. Diharapkan pelajar ini jika terbukti bahawa mereka bersalah akan didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada diri mereka dan pelajar lain.
Semoga pelajar yang terbabit dan masyarakat sedar bahawa kita tidak seharusnya berundur kepada sifat ‘barbarian’ atau orang zaman batu tetapi perlu lebih matang dalam bertindak dan berfikir.

Pihak sekolah yang terbabit pula perlu bertanggungjawab kerana kejadian itu berlaku dalam kawasan sekolah. Kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan di persekitaran sekolah pada sepanjang masa bagi mengelak penyalahgunaannya oleh pelajar mahu pun pihak luar.

Badan Pengawas sekolah perlu lebih diaktifkan peranannya bukan sekadar menjadi ‘mata-mata’ sekolah bahkan sebagai pembimbing rakan sebaya yang berkesan kepada rakan pelajar yang lain.

Sekolah juga boleh mengikuti langkah sesetengah sekolah lain yang aktif mengadakan program keagamaan seperti bertadarus al-Quran, ceramah dan program agama dan moral, mengedarkan risalah berkaitan nilai murni dan sebagainya.

Ibu bapa pelajar pula perlu lebih bijak mendidik anak-anak. Walaupun mungkin tanggungjawab pendidikan itu diletakkan kepada pihak sekolah, tidak dapat dinafikan bahawa apa yang dipelajari atau dididik di rumah adalah lebih besar ertinya dalam membentuk keperibadian anak yang sempurna.

Kawal tingkah laku anak, ambil tahu ke mana mereka pergi dan dengan siapa. Sememangnya anak tidak suka dikongkong, tetapi kalau kebebasan melampau diberikan ibu bapa, padahnya anak akan terpengaruh dengan gejala negatif yang dibawa rakan-rakan sebaya.

Lengkapkan anak dengan didikan agama, moral dan adab sopan supaya nanti tidak akan ada ibu bapa yang menepuk dahi sambil menyebut ‘nasi sudah menjadi bubur’.
Kepada pelajar pula, sememangnya zaman remaja ini adalah zaman yang mengasyikkan dan menyeronokkan kerana anda mula beralih daripada usia kanak-kanak kepada dewasa. Pelbagai ‘eksperimen’ tingkah laku anda laksanakan sebagai usaha mencari erti kehidupan dan mematangkan diri.

Anda turut bertanggungjawab kepada diri sendiri. Fikiran anda sudah boleh membezakan mana yang ‘hak’ dan mana yang ‘batil’. Pilihlah jalan kehidupan yang sebaiknya demi kebahagiaan hidup pada masa depan.

Jika perlukan bantuan dan sokongan mintalah tanpa segan silu daripada ibu bapa, keluarga, guru mahu pun masyarakat sekeliling. Semoga pisang tidak berbuah dua kali.


*juliet le sweetheart : terkedu membaca berita tu kelmarin...


Sunday, June 1, 2008

Prinsip kepimpinan berlandaskan syariat

Neezam’s latest article; disiarkan kat berita harian, bahagian agama, hari Jumaat yang lepas. Baru hari ni aku sempat nak baca dan uploadkan ke blog aku ni.

Prinsip kepimpinan berlandaskan syariat

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

DALAM kehidupan manusia, kepemimpinan adalah elemen yang sudah menjadi lumrah, sejak Adam dicipta dan Hawa untuk menjadi teman hidupnya, aspek kepemimpinan sudah wujud. Apabila Nabi Adam diturunkan ke dunia, Baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dalam membimbing isteri, Hawa dan anaknya menjalani kehidupan di muka bumi dan amal ibadah kepada Allah.

Sehingga kini, konsep kepemimpinan sentiasa wujud dalam kehidupan. Suami menjadi pemimpin kepada isteri, ibu bapa menjadi pemimpin dalam institusi kekeluargaan, penghulu menjadi pemimpin dalam masyarakat kampungnya, imam menjadi pemimpin kepada makmumnya dan begitu juga raja atau menteri yang memimpin kapasiti masyarakat yang lebih besar skopnya.

Tidak ketinggalan dalam sesebuah organisasi pekerjaan dan perniagaan, kepemimpinan adalah suatu daya penggerak kepada usaha pencapaian matlamat ahli dan organisasi itu sendiri. Islam mengiktiraf akan kepentingan konsep kepemimpinan, sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila tiga orang keluar bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua (Amir)” (riwayat Abu Hurairah).
Untuk itu, Islam memberi banyak garis panduan dan prinsip kepemimpinan agar ia diamalkan secara adil, saksama, berkesan dan mendapat keredaan Allah. Dalam al-Quran misalnya, banyak panduan diberikan dalam mewujudkan prinsip kepemimpinan yang tepat.

Antaranya, menurut Yusuf Ismail dalam bukunya, Mengurus Secara Islam, kepemimpinan bermatlamatkan mencari keredaan Allah melalui surah at-Taubah (ayat 72); melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran (ali-Imran, ayat 104 hingga 110); membuat keputusan sesuai dengan prinsip Islam (al-Maidah, ayat 44, 45, 47, dan 50) dan menjaga kesejahteraan masyarakat (al-Baqarah, ayat 148 dan al-Qasas, ayat 77).

Seterusnya seruan untuk membangunkan kapasiti individu semaksimum mungkin (ali-Imran, ayat 139 dan al-Hujarat, ayat 13); melaksanakan prinsip syura (ali-Imran, ayat 159 dan as-Syura, ayat 36); mewujudkan jamaah (as-Saf, ayat 4); berlaku adil (al-Maidah, ayat 8 dan an-Nisa’, ayat 129), dan berlaku ihsan (an-Nahl, ayat 90).

Menurut Mohd Isa (2002), asas kepada kepemimpinan Islam mesti menjurus kepada tiga matlamat utama. Pertamanya ‘akidah’, iaitu hakikat kepemimpinan itu adalah amanah Allah yang mempunyai implikasi kepada keimanan terhadap Rukun Iman yang enam yang pasti ditanya di akhirat kelak. Sesiapa yang berjaya memimpin dengan baik akan ke syurga dan yang tersasar akan ke neraka.

Keduanya, ‘syarak’, iaitu mengakui dan menurut setiap syariat dan undang-undang yang diperuntukkan Allah di dalam sumber teragung iaitu kitab al-Quran dan panduan Rasulullah melalui al-Hadis. Pematuhannya dikelaskan sebagai suatu ibadah seperti dikehendaki Allah bahawa manusia itu diciptakan untuk tujuan beribadah.

Ketiga pula adalah ‘akhlak’, yang menjadi asas kepada kepemimpinan Islam dan ia mesti bertunjang kepada aqidah dan syariat. Akhlak yang terpuji memberi refleksi ke arah pembentukan kepemimpinan yang sempurna seperti mana disyariatkan Islam.

Ciri-ciri pemimpin yang berpaksikan syariat Islam akan memberikan kesan kepada gaya kepemimpinannya dan penerimaan ahli di bawahnya. Begitu juga dengan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi, jika betul dan baik pemimpinnya, maka pekerja atau orang bawahannya juga akan menuruti amalan betul dan baik ditunjukkan terajunya.

Seseorang yang memegang jawatan pengurus dan sekali gus sebagai pemimpin perlu faham bahawa dia perlu melaksanakan amanah dan kepercayaan diberikan organisasi. Ia selaras dengan firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya” (an-Nisa’: 58).

Jika pangkat dan kekuasaan itu disalahgunakan dan ditadbir dengan cara tidak betul, maka kesannya adalah kepemimpinannya itu tidak diredai Allah. Bila tidak mendapat keredaan-Nya, hilangnya keberkatan dalam pekerjaannya dan hilanglah juga kepercayaan organisasi dan pengikut terhadap kemampuan pengurus itu.

Islam turut menekankan konsep seseorang pemimpin untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh, tekun dan cekap. Seseorang yang dilantik menjadi pengurus dan pemimpin bukanlah seorang insan yang sempurna serba-serbinya. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam’ apatah lagi manusia yang bersungguh-sungguh mahu mengubah dirinya. Maka, seseorang pemimpin itu perlu sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri, bekerja dengan komited untuk memantapkan kemahiran kerja dan kemahiran kepemimpinan. Begitu juga, dari semasa ke semasa tekun untuk menambah baik nilai produktiviti dan kecekapan kerja supaya mampu menjadi contoh baik kepada pekerja bawahan. Diriwayatkan al-Baihaqi bahawasanya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun”.

Begitu juga dengan saranan pemimpin melaksanakan kaedah kerja secara berpasukan seperti firman Allah bermaksud: “ Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan”(al-Ma’idah: 2). Manusia fitrahnya tidak mampu berbuat sesuatu dengan sempurna secara sendirian. Bantu-membantu, nasihat-menasihati dan saling bekerjasama adalah unsur sangat berkesan dalam mentadbir kehidupan lebih baik dan bermakna dalam sesebuah masyarakat. Begitu juga dengan masyarakat dalam konteks sesebuah organisasi, semangat berpasukan sangat tinggi nilainya bukan saja untuk mencapai matlamat organisasi dan individu pekerja, bahkan untuk mendapatkan keredaan Allah.

Pemimpin dalam sesebuah organisasi perlu sentiasa melaksanakan strategi yang berkesan dalam mewujudkan konsep ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ di kalangan ahli dalam organisasi. Setiap pekerja tidak kira pangkat dan latar belakang dianggap sebagai aset penting dalam memakmurkan dan membangunkan organisasi dan peranan mereka itu dihargai sebaiknya. Pemimpin yang sentiasa mengambil tahu dan membantu akan hal ehwal pengikutnya adalah pemimpin yang sangat disukai dalam Islam seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia” (Riwayat al-Quda’).


*juliet le sweetheart : alhamdulillah... bersyukur mendapat suami yang sentiasa memimpin aku... :D


back to top