♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, April 4, 2008

Sifat sabar bentuk jiwa sentiasa tenang

Artikel yang satu ini telah diletakkan di bahagian agama suratkhabar berita harian. Terus hari tu Neezam rasa dirinya ostad. Hehehheehe…

Sifat sabar bentuk jiwa sentiasa tenang

SESUNGGUHNYA tiada sesiapapun di dunia ini yang suka berhadapan dengan musibah atau malapetaka. Sebagai manusia yang beriman, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan bertakwa. Ujian yang diberikan Allah ini datang dalam pelbagai cara. Kehilangan atau kematian ahli keluarga tersayang, gagal dalam pelajaran, kesukaran dalam bekerja, kemusnahan harta benda, menghidap pelbagai penyakit kronik, terbabit dalam kemalangan, kerugian dalam perniagaan dan sebagainya adalah sesuatu yang cukup pedih untuk dihadapi.

Jika hati seseorang itu goyah dan tidak rasional, musibah yang melanda tidak akan dianggap sebagai cubaan dan petunjuk yang berupaya meneguhkan keimanan dan kekuatan diri. Kehidupan dianggap sebagai tidak bermakna. Jiwa tidak tenteram dan perasaan menjadi kusut apabila kesenangan dan kebahagiaan dinikmati sebelum ini hilang sekelip mata. Ada di antara kita yang menganggap Allah tidak adil kerana menurunkan musibah demi musibah, umpama ’sudah jatuh ditimpa tangga’. Ditambah lagi hasutan syaitan akan menyemarakkan lagi rasa putus asa, sesal, sedih dan marah. Kesannya, mulalah seseorang itu mencari penyelesaian secara negatif dengan melakukan kemungkaran . Ia sebenarnya adalah tanda protes terhadap nasib buruk dialami mereka.

Sebenarnya jika sifat sabar dipupuk sebaiknya dalam diri, seseorang itu akan terus diberi petunjuk oleh Allah dalam menghadapi cabaran kehidupan di dunia yang fana ini. Firman Allah, maksudnya: Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi (Surah al-A`raf ayat 178).

Bagi orang yang bersabar, dia akan reda dan tabah menerima segala ketentuan Allah. Bahkan sifat berserah (tawakal) dan bersyukur akan tumbuh subur di dalam sanubari di samping percaya segala sesuatu yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Individu seperti ini sedar bahawa Allah menunjukkan contoh kesabaran rasul yang bergelar `Ululazmi’ yang menerima pelbagai cabaran lebih hebat dalam menyebarkan dakwah Islamiah pada zaman mereka. Sifat sabar dapat membentuk keperibadian seseorang supaya sentiasa tenang. Ketenangan ini yang akan memandu dirinya untuk memuhasabah diri. Daripada perspektif Islam, orang yang bersabar dan tabah menghadapi ketentuan Allah adalah orang yang terpelihara kehidupannya di dunia dan di akhirat dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Ini selaras dengan firman Allah: "Sesungguhnya orang yang sabar sajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira? (Surah al-Zumar, ayat 10).

Sebagai masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap satu sama lain, adalah wajar untuk kita membimbing dan membantu sebaiknya orang yang dilanda kesusahan. Bukannya mencemuh, menghina atau menjauhkan diri daripada mereka ini yang masih trauma dan tercari-cari pedoman menghadapi saat-saat sukar dalam hidup.

Bantuan boleh dihulurkan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, kudrat tulang empat kerat, nasihat, kaunseling dan doa. Sokongan masyarakat dari segi fizikal, psikologi dan emosi sangat terkesan dalam membentuk sifat kesabaran dan ketakwaan dalam diri mereka yang dilanda musibah. Ia sekali gus menunjukkan betapa tingginya nilai tamadun masyarakat yang mengambil berat hal ehwal dan kebajikan setiap ahlinya.

Monday, March 31, 2008

Mendidik anak-anak menjaga alam sekitar

Artikel Neezam disiarkan kat Berita Harian.

Mendidik anak-anak menjaga alam sekitar

Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang peri pentingnya alam sekitar kepada manusia. Sekadar mengungkap bait-bait awal dalam lagu tersebut ‘Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa’. Ia memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.

Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan merasa padahnya. Buktinya hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksid adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung sendiri oleh kita dek kerana kealpaan kita dalam menjaga alam sekitar. Kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO), majlis perbandaran dan komuniti masyarakat di seluruh negara telah sekian lama melaksanakan pelbagai inisiatif dalam penjagaan alam sekitar. Kempen kitar semula di media cetak dan media massa , pembinaan pusat-pusat kitar semula bahan buangan, majlis gotong-royong, penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar dan sebagainya adalah antara usaha yang cukup giat dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Namun, jika segala usaha ini tidak disambut dengan baik oleh kita, maka ianya tak ubahlah seperti ‘hanya bertepuk sebelah tangan’, tiada hasil dan kesan positif.

Banyak pihak meyakini bahawa sebagai salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak. Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak-anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar. Pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ memberi maksud bahawa anak-anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya untuk menjaga alam sekitar dan mempunyai rasa bertanggungjawab yang dibawa sehinggalah mereka menjadi dewasa kelak.

Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa dalam hal ini terutamanya dalam melangsungi kehidupan seharian di rumah. Demi memberi kesedaran dan pendidikan awal tentang penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak-anak ke perpustakaan untuk membaca bahan-bahan bacaan yang berkaitan. Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman web seperti www.kitarsemula.com, www.kid-at-art.com atau www.compostguide.com dan sebagainya yang sarat dengan informasi, panduan dan tips penjagaan alam sekitar. Melalui bahan-bahan pembacaan seperti ini, secara umumnya anak-anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu ‘Reduce’- kurangkan, ‘Reuse’- gunakan semula dan ‘Recycle’- kitar semula. Anak-anak perlu diberitahu akan fakta-fakta yang bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatkan daripada ditebang jika kertas-kertas terpakai dikitar semula secara bijak. Begitu juga fakta bahawa kitar semula bahan buangan mampu menjimatkan kos pengendalian pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit oleh kerajaan.

Antara usaha-usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh d
diterapkan kepada anak-anak di rumah adalah:

- Mengasuh anak-anak menggunakan sumber alam secara berhemah terutamanya dalam penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu ditutup jika tidak digunakan lagi.

- Menggalakkan anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi perlulah di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya. Sediakan tong sampah di rumah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak-anak membuang sampah mengikut kategorinya.

- Mengajar anak-anak untuk mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitaran semula yang memberikan bayaran ke atas bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan turut berminat untuk menambahkan jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara yang mudah sebegini.

- Beritahu anak-anak bahawa sisa-sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi ‘baja kompos’ yang boleh digunakan kemudian sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur. Dengan cara ini anak-anak akan turut dapat dididik akan konsep ‘berbakti kepada tanah’ dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.

- Majalah-majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan atikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku scrap atau ensiklopedia peribadi tentang apa sahaja topik yang menjadi minat mereka. Ia akan membantu menjana pemikiran kanak-kanak yang matang melalui pembacaan yang luas.

- Ibu bapa perlu menerapkan kepada anak-anak sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian yang lama yang boleh dibuat kraftangan menjadi beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubahsuai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca. Ini secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak menjadi kreatif dan kritis.

- Pakaian milik anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan. Begitu juga dengan amalan ‘hand me downs’ di mana pakaian dan barang-barang permainan anak-anak boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan mereka yang lain. Dengan cara ini, item-item tersebut tidaklah dibuang begitu sahaja dan membazir, bahkan hubungan baik dan sillaturrahim sesama sahabat handai dapat dieratkan.

- Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutamanya yang berunsurkan Styrofoam dan tidak terbiodegradasi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.

- Galakkan anak-anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.

Kita perlu sedar bahawa walaupun sumbangan kita dan anak-anak terhadap pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar ini nampaknya seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab yang serupa, sudah tentu ianya akan menjadi begitu berkesan dan bermakna. Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikkan oleh anak-anak kita ini pada masa hadapan dan diperturunkan kepada generasi yang seterusnya. Diharap jua bahawa bait-bait terakhir lagu Hijau dendangan Zainal Abidin tidak akan menjadi realiti yang mana ia berbunyi lebih kurang begini ‘oh anak-anak, tak boleh merasa mandi laut, bersaing main ramai-ramai’. Sebaliknya boleh dinyanyikan ‘oh anak-anak dan cucu-cicit masih boleh merasa mandi laut, bergembira main beramai-ramai’ kerana bumi ini tetap terpelihara daripada pencemaran dan sentiasa indah dan bersih untuk didiami.

Monday, March 17, 2008

Jom vote!

Pagi ni, secara tak sengaja, aku tertengok cerita ni, ‘Behind The News’ kat channel ABC. Memang tak pernah tengok pun tapi ntah macam aku tertengoklah pulak.

Apa yang menarik perhatian aku ialah topic hari ni menceritakan tentang diskriminasi terhadap muslim di Australia dan membawa kepada sekolah-sekolah Muslim yang ada di Australia ni. Overall there are 20 Muslims schools all over Australia. Dan di satu tempat bernama Camden ni, penganut kristian membantah penubuhan sekolah Muslim ni dan mahukan ia ditutup. Aku sakit hati bila dengar sorang minah kristian ni kata ‘This is Australia. There is no place for Muslim. It’s just for Christian. So deal with it!’ Atok kau! Bengang aku dengar komen minah ni. Diorang ni tak sedar ke yang diorang ni pun pendatang kat tanah Australia ni. Lagi tak tau malu buat macam negara sendiri. Sebijik macam yahudi Israel lakhanat! Orang asli Australia merempat kat negara sendiri.

Dan macam biasalah. Kalau dah cerita pasal Muslim mesti tak lekang daripada cop ‘pengganas’. Siap dia tunjuk banggunan WTC yang runtuh yang kononnya angkara pejuang berani mati Islam ni. Eeeeee… tambah sakit hati aku tengok.

At the end of the story, they want the viewers to vote whether should or shouldn’t the Islamic school go ahead in Camden. Kononnya kalau ada sekolah ni bahayalah, sebab macam menggumpulkan pengganas kat satu tempat. Takut kat sekolah nanti tak belajar betul-betul tapi belajar macam mana nak jadi pengganas, nak bom kat mana, nak rampas kepal terbang mana, nak bom terowong mana, nak culik saper… Eeeee geram! Geram!

So, kengkawan, marilah kite vote. Mungkin vote ni tak dapat menentukan atau menolong apa-apa pun lebih-lebih lagi umat Islam di Camden sendiri. Tapi sekurang-kurangnya marilah kite sama-sama vote demi agama kite!

Klik kat link bawah ni untuk vote.

http://www.abc.net.au/tv/btn/poll/vote/total.htm

Tq!

back to top