♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Wednesday, January 16, 2008

Ajar anak berjimat

Hari ni artikel Neezam disiarkan lagi kat suratkhabar Utusan Malaysia.

Alhamdulillah… Sejak akhir-akhir ni artikel-artikel yang Neezam hantar ke Utusan mesti akan disiarkan. Sampai hari ni aku tak tau dah berapa banyak artikel yang Neezam hantar.

Ajar anak berjimat

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

“Ayah, duit sekolah ayah berikan tak cukuplah.” “Ibu, tambang bas sudah naik, boleh tambah sedikit lagi duit saku saya?” Sebagai ibu bapa, pasti kita selalu mendengar anak-anak merungut dengan nada seperti ini, yang menyatakan bahawa wang perbelanjaan di sekolah yang diberikan sehari-hari tidak mencukupi.

Rungutan ini lebih selalu kedengaran dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Jika RM2 sehari diberikan kepada setiap anak-anak ini, ia mungkin sekadar habis untuk membeli makanan di kantin sekolah pada waktu rehat. Itu tidak termasuk bayaran untuk tambang bas awam bagi kanak-kanak yang tidak menaiki bas sekolah.

Pada zaman serba canggih dengan teknologi maklumat ini, ramai kanak-kanak yang memerlukan duit tambahan membayar perkhidmatan melayari Internet di kafe siber.

Diakui bahawa pada zaman sekarang tidak seperti 20 atau 30 tahun lepas, semua harga barangan atau perkhidmatan telah berlipat kali ganda lebih tinggi. Kalau dahulu, kantin sekolah menjual sepinggan nasi lemak pada harga sekadar 20 sen hingga 50 sen dan kadang-kadang dengan harga tersebut turut disertakan dengan sekeping telur goreng atau kuih. >

Hari ini, jangankan telur, timun dan ikan bilis pun tidak disajikan bersama dalam sepinggan nasi lemak kosong berharga RM 1.50 di sesetengah kantin sekolah! Kalau dahulu, tambang bas untuk kanak-kanak mungkin sekadar 10 sen hingga 50 sen, di mana mereka diberi diskaun khas kerana masih bersekolah. Sekarang ada syarikat bas yang tidak membezakan harga penumpang sama ada orang awam atau kanak-kanak sekolah, semuanya sama rata.

Begitu juga harga sebuah buku latihan yang dijual di sekolah yang harganya lebih daripada RM1 berbanding 25 sen hingga 40 sen dijual pada sedekad yang lalu. Ada sekolah yang menjual pada harga yang agak tinggi, hanya kerana buku latihan tersebut mempunyai cap sekolah atau cap Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.

Ini adalah contoh yang sejajar dengan perkembangan taraf sosioekonomi masyarakat Malaysia yang semakin meningkat dan ‘kuasa beli’ yang semakin besar dimiliki oleh segenap anggota masyarakat. Hal ini tidak dapat disekat, bahkan tidak boleh dinafikan akan hak pihak-pihak terbabit untuk menetapkan harga perkhidmatan atau produk yang disediakan.

Mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah, kos sewa, kos perkhidmatan, dan cukai yang juga semakin meningkat saban hari. Cumanya, apa yang perlu kita fikirkan adalah untuk membantu anak-anak dalam masalah ‘duit belanja sekolah’ yang semakin menjerat dan tidak mencukupi sebegini?

Anak-anak tidak seharusnya dibebankan dengan masalah sebegini kerana mereka perlu fokus kepada usaha mentelaah pelajaran di sekolah dan seterusnya mendapatkan keputusan peperiksaan yang bagus.

Bagi ibu bapa yang berpendapatan tinggi, tuntutan anak-anak terhadap tambahan wang saku sehari-harian bukanlah masalah besar, bahkan elaun saku untuk tempoh setahun pun mereka boleh berikan dalam satu-satu masa tanpa berfikir panjang.

Namun, bagi ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah, ditambah lagi golongan yang memiliki anak yang ramai dan bersekolah, tuntutan wang saku tambahan oleh anak-anak ini benar-benar meletakkan mereka dalam dilema.

Sebenarnya, ada banyak kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam mendepani permasalahan sebegini. Ibu bapa perlu mewujudkan situasi ‘menang-menang’, di mana mereka masih dapat memenuhi tuntutan perbelanjaan bulanan mereka dan memenuhi keperluan anak-anak.

Antaranya adalah mengajar anak-anak untuk faham dan mengamalkan budaya berjimat cermat dan tidak bermewah-mewah. Anak-anak perlu dididik supaya tidak terikut-ikut gaya berbelanja besar oleh rakan-rakan yang berada dan seakan-akan mampu memiliki ‘seisi dunia’.

Ada sesetengah ibu bapa yang mengamalkan kaedah di mana anak-anak turut diberitahu tentang jumlah pendapatan ibu bapa dan perbelanjaan bulanan seisi rumah yang perlu dilangsaikan. Misalnya memberitahu anak-anak agihan wang untuk makanan, bayaran bil-bil air, elektrik dan telefon, bayaran sewa rumah dan kereta, sehinggalah kepada agihan untuk tabungan kecemasan keluarga.

Dengan cara ini, baru anak-anak faham hakikat bahawa ibu bapa tidaklah sebenarnya lokek untuk memberikan mereka duit saku tambahan, tetapi ada keperluan kewangan yang lebih penting pada aspek-aspek yang lain.

Perbelanjaan

Anak-anak perlu dilatih untuk mengetahui ‘aliran tunai’ duit perbelanjaan mereka. Caranya mudah iaitu dengan mengajar mereka untuk mempunyai ‘buku akaun’ sendiri yang mencatatkan berapa banyak duit yang mereka terima dan berapa banyak pula duit yang mereka belanjakan sehari-harian.

Dengan cara ini, anak-anak faham jika duit keluar itu lebih banyak daripada duit masuk, ini menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menyingkirkan apa-apa pembelian barangan yang tidak patut dan merugikan.

Kaedah ini juga melatih anak-anak supaya jangan ‘muflis’ yang bermaksud bahawa mereka perlu ada wang simpanan untuk tujuan kecemasan dan keperluan terdesak pada masa hadapan.

Seterusnya, anak-anak boleh dididik dengan konsep ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.’ Ini adalah sesuai bagi anak-anak yang mungkin mahukan sesuatu seperti membeli basikal, buku rujukan, atau pergi ke kafe siber untuk melayari Internet, di mana mereka perlu menyimpan duit secukupnya hasil lebihan duit saku sehari-harian untuk memiliki apa yang dihajatinya.

Konsep ini juga selaras dengan amalan menabung sama ada menyimpan duit dalam tabung di rumah, atau dalam institusi perbankan atau institusi amanah saham yang ternyata lebih selamat. Lebih-lebih lagi sejak tahun 2004, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah diwujudkan bagi menggalakkan tabungan untuk pembiayaan pengajian anak-anak di menara gading merupakan platform terbaik untuk anak-anak membuat tabungan.

Anak-anak sebaiknya dibiasakan untuk membawa bekal makanan sendiri dari rumah yang lebih terjamin kebersihan dan keseimbangan gizi dan khasiatnya. Dalam hal menggunakan buku-buku latihan, wajar mereka diasuh untuk menggunakan semula buku-buku latihan lama yang masih boleh digunakan agar ia tidak dibuang dengan sia-sia.

Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak akan ajaran agama yang melarang seseorang untuk membazir, kerana membazir itu adalah amalan kesukaan syaitan. Apabila anak-anak dapat diasuh mentaliti dan tindakan mereka untuk berjimat cermat dan menghargai setiap sen yang dimiliki, maka diyakini bahawa mereka dapat membentuk peribadi berhemah dalam berbelanja dan mengusir jauh akan tabiat boros dan ‘biar papa, asal bergaya’.

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Tuesday, January 15, 2008

Niesreena update

Dah lamaaaa sangat tak update cerita pasal Niesreena kan?

Hari ni genap usia Niesreena 1 tahun, 1 bulan, 1 minggu dan 3 hari. Sewaktu aku sedang sebuk menaip ni Niesreena sedang lena beradu di samping ayah Niesreena. Waktu-waktu macam ni lah baru aku boleh nak fokus untuk menulis sesuatu kat blog aku ni.

Ramai kengkawan yang tanya, “Niesreena dah pandai buat apa sekarang”, ”Niesreena dah pandai jalan?”… Niesreena dah boleh berjalan sejak usia dia 11 bulan lagi. Cepat kan? Memula tu aku risau gak sebab masa Niesreena gunakan walker, Niesreena jalan berjingkit-jingkit. Mungkin sebab walker tu berat so dia terpaksa tolak dengan hujung kaki dia. Sebab tu lama-lama Niesreena biasa berjalan berjingkit-jingkit, macam ballerina. Aku risau takut Niesreena lambat berjalan plak nanti. Tapi alhamdulillah, dalam usia Niesreena 11 bulan Niesreena dah boleh berjalan. Dan sekarang ni dah boleh berlari pun! Niesreena memang suka sangat dibawa berjalan kat sekitar kawasan rumah kitorang ni. Bila berjalan tak nak dipegang pulak tu! Siap berlari! Risau aku dibuatnya. Tapi seronok tengok Niesreena yang memang kelihatan seronok sangat bila berjalan sendiri.

Satu lagi keletah Niesreena ialah Niesreena sekarang ni suka sangat bercakap. Selalu sangat bercakap tapi baby language lah. Ntah hapa-hapa jer. Aku layan jer lah dia bercakap. Yang kelakar dan tak tahannya ialah bila Niesreena bercakap tu siap dengan angguk-angguk atau geleng-geleng kepala, kengkadang tu siap angkat-angkat tangan. Hehehhe… Setakat ni kalau dalam bahasa kiter, Niesreena hanya dah pandai cakap ‘nak’ dan ‘bird’. Bila Niesreena nak meminta sesuatu, Niesreena akan cakap “nak… nak…” sambil tangan Niesreena tunjuk ke arah benda yang dia nak tu. Tapi kalau aku buat tak tau jer dengan permintaan dia, dia akan tarik tangan aku ke tempat tu. Suka sakat Niesreena macam tu. J Dan bila nampak atau cari burung, Niesreena akan sebut “bird”. Hmmmm… bilalah nak pandai sebut “mama” dan “ayah” pulak ek?

Hmmmm… untuk pengetahuan kengkawan jugak, Niesreena sekarang ni tak takut dah dengan orang. Tak macam dulu lagi. Dulu takut sangat dengan orang. Orang tak sempat nak dokong, baru tengok jer dah menangis ketakutan. Tapi alhamdulillah sekarang ni dengan semua orang dia nak. Aku pun seronok tengok Niesreena bersosial dengan orang. Taklah asyik duduk bawak ketiak aku dan Neezam jer. Heheheheh…

Sejak beberapa minggu ni jugak Niesreena suka sangat mengigit orang. Aku dan Neezam lah mangsanya. Mungkin Niesreena nak tumbuh gigi lagi kot. Setakat ni Niesreena ada 7 batang gigi; 4 batang gigi atas dan 3 batang gigi bawah.

Niesreena jugak dah pandai turun katil dan sofa sendiri. Hasil usaha aku dan Neezam mengajarnya beberapa minggu ni. Hehehehehe… Tapi masih dalam pemerhatian lagilah. Seronok tengok Niesreena turun katil sendiri. Terkial-kial jer tapi berjaya jugak. Niesreena akan turunkan kaki dia dulu, then tersangkut kat tepi katil dan terus pijak ke lantai. Kelakar…

Favorite Niesreena yang aku tak suka ialah buat sepah, buat kerak, buat kotor… Geram betul! Pantang tengok almari terbuka mesti Niesreena akan keluarkan semua benda. Tak kiralah almari baju atau almari dapur. Nasib baik Niesreena masih tak pandai buka almari dapur sendiri. Kalau tak habis semua periuk belanga keluar. Kalau almari baju tu tak dapat diselamatkanlah. Memang Niesreena dah pandai bukak. Kalau tinggalkan Niesreena sorang-sorang dalam bilik beberapa saat jer tengok semua kain baju yang boleh dicapai dah bersepah-sepah. Kalau cermin almari atau kaca tv ni lagilah… Penuh dengan cap jari dan air liur Niesreena. Suka sangat pengang cermin dan kaca tv. Siap cium lagi tu! Sabar jer lah…

Niesreena ni semakin manja sekarang. Kalau jatuh sikit jer pun buat-buat nangis. Macamkan sakit sangat. Bukan nangis betul pun. Sajer jer berlakon. Ada sekali tu Niesreena terjatuh. Bukan jatuh betul pun. Just tersadung sikit. Then Niesreena mula nak menangis. Aku plak sajer menyorok tepi peti ais sebab aku tau kalau aku tengok dia jatuh mesti dia nangis. Then bila Niesreena tengok aku tak der, Niesreena tak jadi nangis tapi cari aku kat dapur. Bila nampak aku barulah mula buat-buat nangis. Ngader betul. Sekarang ni pun Niesreena suka sangat duduk atas pangku. Sampai lenguh kaki aku dibuatnya. Hai lah anak manja aku sorang tu…

Seronok cerita pasal Niesreena. Tak sedar dah panjang aku tulis. Dan tak sedar masa berlalu begitu pantas. Ok… Berhenti sampai sini dulu… Cooking time!

Sunday, January 13, 2008

Camberwell & Melbourne Aquarium

Macam biasa aktiviti hujung minggu mestilah keluar berjalan dan kali ni kitorang ke Camberwell dan Melbourne Aquarium.


Awal pagi lagi kitorang dah keluar rumah. Naik train ke Camberwell. Kat Camberwell ni famous dengan carboot sell. So, banyak sangat barang murah-murah kat sini. Ada barang baru dan banyak sangatlah barang terpakai tapi harganya memang murah sangat. Free pun ada! Aku tak beli banyak barang pun. Just buku cerita untuk Niesreena.


Puas jalan kat Camberwell, kitorang ke Melbourne Aquarium plak. Niesreena seronok sangat tengok ikan-ikan kat sini. Seronok tengok telatah Niesreena yang macam pelik sangat tengok ikan-ikan dalam akuarium.


:: More piccas @ my fotopages okies! ::

back to top