بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Alhamdulillah... Abah dah balik rumah. Semalam aku dan emak berkesempatan ambik abah kat hospital. Rasa lega sangat bila dapat tengok abah depan mata. Sedih pun ada, tengok abah dah kurus sangat. Muka pun cengkung jer.
Bila tenung-tenung muka abah, nampak abah dah nampak tua. Sedih pulak rasa.
Sampai rumah tadi, emak dah siapkan bubur nasi dan sup ikan haruan. Lepas mandi, abah terus makan. Sikit jer abah makan. Tak der selera lagi katanya.
Aku beranikan diri tengok luka pembedahan abah. Biasanya aku memang takut nak tengok benda-benda macam ni. Abah tunjuk... ya Allah... panjangnya bahagian kena potong - dari dada ke bawah pusat. Ada lebih 30 cm. Sedih tengok.
Abah kata masih ada rasa sakit-sakit lagi sebab pembedahan tapi rasa tak sedap perut macam sebelum ni dah tak der. Alhamdulillah... harap-harap abah semakin sembuh dan sihat.
10hb yang lepas abah buat pembedahan Abdominal Aortic Aneurysms atau AAA. Dengan kata lain, saluran darah abah dibahagian perut membengkak. Keadaan abah agak kronik sebab bengkak tu dah besar sangat. Kalau tak cepat buat pembedahan, bahagian membengkak tu boleh pecah dan menyebabkan kematian. So, memang kena buat pembedahan.
Pembedahan pun berisiko tinggi jugak. Sebelum pembedahan, doktor cerita kat emak dan abah risiko-risiko yang mungkin terjadi jika terdapat komplikasi. Macam-macam komplikasi selepas pembedahan boleh terjadi jika nasib tak baik.
Kitorang sejak tahu abah perlu pembedahan yang berisiko tinggi ni, memang selalu nangis jer. Terutamanya emak. Emak selalu nangis bila call anak-anak. Tak putus-putus mintak kitorang selalu berdoa dan buat solat hajat untuk abah. Emak sampai tak tidur malam dan turun berat badan 5kg sebab tak lalu makan.
Kadang-kadang kitorang buat video call dengan abah kat hospital. Dapatlah tengok abah kat secara online jer dari hospital. Dapat jugak abah tengok kerenah anak cucu... huhuhu...
Kesian abah. Sebab covid ni, memang tak boleh ada sesiapa pun tunggu kat hospital. Nak pergi melawat pun tak boleh. Sedih betul rasa...
Awal bulan Januari yang lepas, abah buat checkup kat Columbia Hospital sebab asik mengadu tak sedap perut jer, badan pun rasa lesu. Bila pergi klinik, doktor asik cakap angin jer. Tapi bila dah makan ubat, tak baik-baik jugak. Akhirnya kitorang decide untuk hantar abah buat full checkup dan jumpa pakar kat Columbia Hospital. Masa tu baru tahu yang saluran darah abah membengkak.
Bersyukur jugak bila dapat tahu cepat. Masih belum terlambat lagi nak buat pembedahan. Doktor kata kalau bengkak tu pecah, memang tak boleh diselamatkan lagi.
Alhamdulillah, hari ni dah 5 hari dah selepas pembedahan. Doktor kata pembedahan ni berjaya dan tak der komplikasi ketika dan selepas pembedahan. Ini pun sebab abah sihat jer, tak der penyakit lain. Bersyukur sangat.
Aku tengok emak pun semakin happy. Boleh senyum senyum dah. Kalau tak hari tu, muka risau dan sembab jer sebab asik menangis. Ni buah hati emak dah balik, nampak happylah.
Kesian tengok emak sedih bila abah sakit. Emak banyak berkorban untuk abah. Emak susah hati bila abah sakit. Emak sediakan semua keperluan abah dari dulu sampai sekarang, bila abah susah dan bila abah sakit. Emak pergi pasar cari ikan haruan, suppliment untuk abah. Emak pastikan perut abah sentiasa kenyang, masak ikut selera abah. Emak mandikan abah. Emak buat yang terbaik untuk abah.
Emak bidadari syurga. Emak isteri yang terbaik.
Ya Allah... berikanlah kesembuhan untuk abah. Pulihkan dan sihatkanlah abah seperti sediakala.
Ya Allah... berikanlah kebahagian dan kesenangan untuk emak. Angkatlah segala beban yang dipikul dan disimpan dihatinya.
Ya Allah... sayangi dan lindungilah emak dan abah. Berikanlah rahmat dan nikmat kebahagiaan dan kesihatan kepada mereka. Jauhikanlah mereka dari bala bencana dan kesedihan.
Ameen...