♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, November 8, 2008

Kat Berita Harian pulak!

Semalam baru jer artikel Neezam keluar kat Utusan Malaysia. Hari ni keluar pulak kat Berita Harian. Tajuk yang berbeza tapi isi yang hampir sama. Kat Berita Harian ni artikelnya panjang sikit dari yang semalam.

Jom baca!

Pekerja curi tulang hilang keberkatan rezeki

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Kakitangan berdedikasi tak boleh ambil ringan tugas, tanggungjawab diamanah majikan

PERKATAAN amanah berasal daripada bahasa Arab yang dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan dan lurus. Namun, dalam konteks umum, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan kepada pihak tertentu untuk memelihara atau menunaikan sesuatu perkara.

Sifat amanah dikatakan sebagai beban yang tidak terpikul dan ditolak makhluk Allah lain, namun manusia sanggup untuk memikulnya berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzaab, ayat 72)

Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang kerana orang beriman adalah yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya, amanah kepada Allah termasuk menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan serta menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks kedua adalah amanah sesama manusia meliputi perkara seperti memberikan hak kepada yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, serta melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

Sifat amanah antara empat sifat yang ada pada Rasul selain siddiq (benar), tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW adalah model nilai murni yang sempurna dan unggul, harus diterapkan serta diteladani dalam kehidupan.

Contohnya, dalam urusan pekerjaan Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah Khuwailid (yang kemudian menjadi isteri Baginda).

Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan saja menunjukkan budi pekerti mulia Rasulullah SAW, bahkan berhasil memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW terserlah sebagai salah satu nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlulah memenuhi dan mencapai matlamat ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea adalah antara elemen disumbangkan pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah amanah.

Dalam membicarakan mengenai sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah dan amanah sesama manusia. Keadaan ini jelas diisyaratkan melalui firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan. Islam memberikan keringanan dalam hal tertentu bagi umatnya bekerja untuk memajukan diri.

Jika seseorang melaksanakan tugas di luar daerah, dia dibolehkan untuk menjamak atau mengqasarkan solat fardunya. Ini keringanan istimewa diberikan kepada umat Islam supaya dapat terus tawaduk melaksanakan amanah beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya.

Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah, jika diberikan keringanan sebanyak mana pun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal ibadah kononnya terlalu fokus terhadap kerja.

Amanah sesama manusia ketika bekerja pula meliputi konsep yang luas. Jika diamati Dasar Penerapan Nilai Islam (DPNI) yang diperkenalkan kerajaan sejak 1985, amanah digariskan sebagai salah satu nilai murni daripada perspektif Islam seperti bersih, cekap, ikhlas, dedikasi dan bertanggungjawab.

Amanah dalam bekerja meliputi skop berikut:

  • Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan
    dengan sebaik-baiknya.
  • Mempunyai pengetahuan dan kemahiran diperlukan bagi menjalankan tugas
    dipertanggungjawabkan.
  • Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi
    kepentingan tugas.
  • Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa,
    sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.

Kita selalu dimaklumkan di media cetak dan media massa akan laporan kes pecah amanah, penyalahgunaan wang organisasi, penindasan pekerja bawahan dan sebagainya yang dilakukan oleh sebilangan pekerja atau majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara kita.

Itu tidak termasuk perbuatan tidak amanah lain seperti curi tulang dengan tidur atau keluar minum sesuka hati dalam waktu bekerja, mencuri masa dengan berborak kosong, melayari bahan tidak berkaitan dengan kerja melalui internet dan membuat kerja luar ketika sedang bekerja.

Ini adalah amalan buruk ketika bekerja yang boleh mencacatkan kesempurnaan dan keberkatan bekerja.

Cuba fikirkan, apakah adil jika kita menerima upah atau gaji, tetapi kita tidak melaksanakan kerja dengan beretika, amanah atau sebaik-baiknya? Apakah berkat dan halal wang gaji yang kita peroleh untuk digunakan bagi menyara kehidupan anak dan isteri?

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Empat perkara jika kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)."

Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang munafik seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati." (Muttafaqun 'Alaih).

:: Klik sini untuk ke artikel ni kat Berita Harian online ::



*juliet le sweetheart : insaf...


No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top